Home Novel Alternatif #AntologiDarius
#AntologiDarius
JejakaTerpujiSyurga
16/8/2017 11:35:33
36,210
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
Bab 10

Berita kematian Johan mula mendapat liputan daripada pihak media. Hampir seminggu juga berita tersebut berada dalam arus media massa. Kematian lelaki itu dilaporkan sebagai kemalangan ketika lawatan ke salah satu gudang miliknya dan dianggap sebagai satu insiden yang  tragis. Kejadian dikatakan berpunca akibat daripada letupan gas yang konon disimpan di dalam salah satu stor gudang itu.

Ternyata itu semua hanya cerita yang direka bagi mengaburi orang awam kerana jika pihak media mendapati apakah sebenarnya barang yang disimpan di situ, sudah tentu ia akan membawa kepada isu yang lebih besar dan mungkin akan melibatkan pihak atasan kerajaan yang memerintah sekarang. Aku juga dinasihatkan oleh Profesor Firdaus untuk tidak berada di khalayak ramai seminggu ini sebagai langkah pencegahan; risau jika klan Yamaguchi cuba melakukan carian. Maka aku kini tersadai di salah satu lokasi rahsia yang mana merupakan markas Profesor Firdaus bersembunyi.

“Ryu, aku bosanlah.” Ujarku.

“NAK SAYA BUAT APA? BUAT SKIT KOMEDI? NYANYI?” Balas Ryu sinis.

“Aku luahkan perasaan aku jer. Kalau pendam takut masalah mental pulak.” Sahutku kembali sambil bangkit dari katil yang menjadi tempat perbaringan.

“Aku nak minta izin dari Profesor Firdaus untuk keluar. Aku rasa dah selamat untuk aku kembali ke rumah.” 

“KAU YAKIN KE PROFESOR AKAN BENARKAN?” Soal robot itu tentang niatku.

Aku tahu niat Profesor hanyalah untuk melindungi aku daripada musuh, namun aku mesti keluar kerana aku perlu bertemu dengan Naqiela. Pastinya berita yang diterima ketika ini sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadapnya. Walaupun hubungannya dengan Johan adalah bersifat terpaksa, namun pasti ada rasa sayang setelah sekian lama bersama. Kerana itulah aku harus pergi berjumpa dengannya dan menceritakan perkara yang sebenar. Apatah lagi aku langsung tak berhubung dengan gadis itu saat aku sepatutnya menjadi orang pertama yang menghubunginya tatkala berita kematian Johan sampai ke pengetahuannya. Namun, demi melindungi diri aku dan Naqiela, aku terpaksa berbuat demikian. 

“Aku harus keluar dari sini Ryu. Aku kena cuba.” Tegas aku menjawab setelah diam agak lama seraya keluar dari bilik itu meninggalkan dia. Langkah kakiku dibawa menuju ke makmal Profesor yang terletak di tingkat bawah markas itu.

Setibanya aku di sana, kelihatan Profesor sedang berbual dengan seseorang melalui skrin monitor besar di hadapannya. Setelah diamati, wajah yang terpapar di situ merupakan orang yang sangat aku kenali. Malah aku berhutang nyawa dengannya.

“Oh Darius, ada apa kau datang cari aku? Aku baru je nak panggil kau ke sini. Pakcik kau ada perkara nak bincang dengan kau.” Ujar Profesor kepadaku.

Wajah lelaki 50-an yang bengis itu adalah bapa saudaraku yang merupakan abang kepada ayahku. Nama beliau Ryoku Yamaguchi. Walaupun dia sebahagian daripada klan Yamaguchi, namun dia disisihkan kerana menentang kehendak datukku.

Aku menundukkan pandangan seperti mana budaya Jepun kebiasaannya. Walaupun aku bukanlah warganegara Jepun, namun sebagai tanda hormat aku lakukan. Pakcik Ryoku mula membuka perbualan di antara kami berdua. Dah tentulah dia berbahasa jepun. Mujurlah ketika aku di sana, aku berjaya mempelajari bahasa jepun asas. Tapi disebabkan ini adalah novel Bahasa Malaysia maka aku terjemahkan terus untuk anda yang sedang membaca.

“Kau sihat?” Tanya Pakcik Ryoku.

“Saya sihat Ryoku Oji-san,” balasku.

“Kau sedar tak perbuatan kau nyaris menyebabkan pelan kita musnah?”

“Saya tahu Ryoku Oji-san, tapi saya tak sangka bahawa pejuang elit Yamaguchi sendiri turun ke kawasan terebut. Saya cuma jangkakan ejen asing Yamaguchi yang akan memantau operasi tu. Jadi saya mohon maaf atas kesulitan yang telah saya timbulkan kepada Ryoku Oji-san.” Aku menundukkan kepala dan badan sepertimana yang biasa dilakukan oleh orang Jepun apabila melakukan kesalahan.

“Kalau mereka dapat tangkap kau, pasti mereka akan soal siasat kau bagaimana kau boleh meloloskan diri ke Malaysia semula dan itu akan menyebabkan aku dan yang lain-lain di sini  terdedah kepada bahaya. Kau kena ingat, kita sedang berhadapan dengan salah seorang pemimpin Order of The World. Segala tindakan kita hendaklah dilakukan dengan penuh hati-hati dan teliti. Jangan biarkan pengorbanan ‘dia’ jadi sia-sia,” bebel Pakcik Ryoku panjang lebar.

“Sudahlah Ryoku. Aku pasti Darius bukannya sengaja. Dia pun tak mahu Yanagawa tahu dia di mana ketika ini.” Ujar suara misteri di belakang Pakcik Ryoku.

Kelihatan di monitor sekarang seorang warga Jepun seusia dengan Pakcik Ryoku berada di belakangnya. Senyuman di wajah itu mampu memberi damai di jiwa kepada mana-mana individu yang melihatnya. Beliau merupakan penasihat Pakcik Ryoku dan merupakan tok guru aku dalam seni mempertahankan diri. Nama penuh beliau ialah Tatsujin Senmon tetapi orang hanya memanggilnya Tatsujin.

“Kau tak perlu nak pertahankan anak saudara aku ni. Kalau silap langkah, segala yang kita rancang bertahun-tahun ni akan musnah, tahu tak?” 

“Aku faham, Ryoku-san. Darius pun sedar akan kekhilafannya itu. Rasanya itu dah mencukupi. Kita perlukan dia untuk pastikan segala rancangan kita dapat dilaksanakan. Hanya dengan keupayaan unik Darius dapat kita tumbangkan Yanagawa daripada klan Yamaguchi.”

“Hmm...yelah. Firdaus, kau kena pastikan yang Darius tak terdedah kepada segala risiko sehinggalah kita laksanakan rancangan kita. Darius, ingat pesan aku. Jaga diri. Klan Yamaguchi masih berusaha mencari kau. Kau merupakan spesimen berharga buat mereka. Andai kau ditangkap semula, segala usaha kita untuk menundukkan Yanagawa pastinya akan hancur.”

“Baik Ryoku-Oji san. Saya akan ingat pesanan tersebut.” Ringkas aku menjawab. Aku tak mahu leteran pakcik aku berterusan lagi. Aku kini ada hal yang lebih mustahak untuk diuruskan.

“Baiklah. Firdaus, pastikan laporan dihantar seperti biasa. Saya undur diri dahulu.”

“Baik Ryoku-san.” Sahut Profesor Firdaus.

Pakcik Ryoku terus mematikan panggilan sambil Tatsujin melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan. Tamatlah sudah perbualan tersebut. Profesor Firdaus ternyata lega sesi tersebut akhirnya tamat.

“Ada apa-apa berita yang patut saya maklum ke Profesor?” Soalku.

“Aku nak maklumkan bahawa hasil data yang kau perolehi di gudang senjata hari itu, aku dah kenalpasti jenis senjata dan pembekal. Senjata tersebut sememangnya sangat merbahaya kerana dikuasakan dengan hydrogen seperti yang kau agak. Cuma kaedah mampatan atom yang sangat kompleks telah menyebabkan senjata ini berjaya dihasilkan. Senjata ini juga sebenarnya dipasang di Jepun dan dihantar ke Malaysia sebagai laluan transit sebelum dihantar ke Asia Barat untuk dibekalkan kepada pengganas di sana. Setelah diselidiki, memang syarikat milik Yamaguchi yang menghasilkannya,” hurai Profesor Firdaus kepadaku.

“Ini bermakna krisis di timur tengah pasti akan lebih mudarat andai senjata ini berjaya jatuh ke tangan mereka. Mujurlah saya sempat sabotaj senjata itu sebelum saya larikan diri daripada gudang tersebut.”

“Ya. Disebabkan kita, rancangan mereka gagal. Malah, untuk mereka hasilkan kembali senjata tersebut juga akan mengambil masa yang agak lama kerana pembinaannya yang memerlukan ketelitian yang tinggi. Jika silap langkah boleh memakan diri sendiri.”

“Terima kasih Profesor di atas info tersebut. S-Saya sebenarnya ada perkara nak m-mohon dengan Profesor.” Suaraku mula tersekat-sekat kerana aku seolah-olah sudah tahu bahawa permintaan ini sukar untuk ditunaikan.

“Kau nak pergi jumpa Naqiela kan?” Teka Profesor setelah membaca riak wajahku.

“Ye Profesor. Tolong izinkan saya pergi bertemu dengan dia. Saya perlu jelaskan kepadanya apa sebenarnya yang telah berlaku.”

“Kau dengar kan apa Pakcik Ryoku pesan sebentar tadi? Ia terlalu bahaya.”

“Saya tahu, tapi saya tetap kena pergi. Saya harap Profesor izinkan saya pergi,” rayuku dengan wajah yang serius.

“Baiklah, tapi dengan syarat aku ikut kau sekali. Setuju?” Kata Profesor.

Jika itu pilihan yang ada untuk aku ketika ini agar aku dapat bertemu dengan Naqiela, aku akur. Aku cuma mahu ceritakan segalanya yang terjadi supaya jiwa aku boleh tenang tanpa ada sebarang penyesalan.

“Kita akan bergerak keluar petang nanti.” Ucap Profesor sambil beredar dari makmal tersebut.

“Aku harap Naqiela mampu hadam realiti pahit yang terjadi,” bisik aku di dalam hati.


KOMPLEKS MEMBELI BELAH

4 PETANG


Naqiela kelihatan agak muram ketika ini. Ternyata pemergian tunangnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosinya. Walaupun dia tahu, cintanya atas dasar paksaan namun tunangnya itulah insan yang berada disisi tatkala dirinya perlukan sokongan moral. Walaupun Johan tidaklah romantik sepertimana yang diharapkan, namun Johan tetap ambil berat terhadap dirinya. Namun, Naqiela lebih risaukan keadaan Darius yang ternyata hilang tanpa sebarang khabar berita sebaik sahaja kematian tunangnya menjadi topik bualan hangat nasional. Laporan kematian yang direkodkan tidak tersenarai nama Darius namun ia tetap memberi kegusaran terhadapnya.

Datin Mawar ternyata risau melihat keadaan anaknya ketika ini. Nampaknya rancangan untuk membawa anaknya itu menemaninya membeli-belah tidak memberikan hasil yang diharapkan. Aktiviti window shopping boleh dikatakan sebagai naluri setiap wanita tidak mengira usia, darjat, pangkat dan keturunan. Ternyata anaknya masih berdukacita tentang apa yang berlaku pada tunangnya.

“Naqiela, janganlah tunjuk dekat mama muka macam tue. Gelisah mama dibuatnya. Mama tak boleh tengok anak mama sedih.” 

“Maaflah mama, Naqiela still tak  ada mood nak berjalan. Sorry ye mama.”

“Mama faham kamu bersedih akan pemergian Johan, tapi janganlah sampai kesihatan anak mama nie terjejas. Apa yang berlaku ini sudah tercatit di dalam Luh Mahfuz. Kita sebagai hambaNya, harus menerimanya sepertimana ikrar kita untuk beriman kepada qada dan qadar.”

“Naqiela faham, cuma bagi masa dekat anak mama nie ye.”

“Yela Naqiela. Mama nak masuk kedai depan tue. Nak tengok kalau ada fesyen rekaan baru keluar.”

“Mama mama, tak habis-habis dengan pakaian mama. Naqiela tunggu mama dekat restoran masakan Korea hujung sana.”

“Yelah, mama pergi dulu ye.”

Datin Mawar pun pergi meninggalkan anaknya itu menuju ke butik pakaian yang dikatakan sementara Naqiela terus bergerak menuju ke restoran masakan Korea. Sejak kebelakangan ini, banyak restoran makanan Korea bertapak di Malaysia. Ini semua gara-gara lewat kini, golongan remaja Malaysia banyak menonton drama dan mengikuti perkembangan dunia hiburan Korea hingga menyebabkan permintaan untuk merasai sendiri hidangan Korea yang sering dilihat di dalam rancangan dan drama mereka tetapi halal menyebabkan banyak peniaga membuat keputusan untuk membuka restoran makanan Korea. Apatah lagi dengan konsep “mukbang” yang kini trending di saluran video terkenal ketika ini, membuatkan rakyat Malaysia terliur dengan makanan Korea.

Naqiela terus mengambil meja dan membuat pesanan. Ttekbokki dan Jus epal menjadi pilihannya. Dia tidak mahu memesan makanan yang agak berat kerana baru sahaja makan tengahari dengan ibunya. Selang beberapa minit kemudian, satu lembaga manusia berjantina lelaki masuk ke restoran tersebut dan duduk betul-betul pada meja belakang Naqiela ketika ini berada. Berpakaian agak misteri, dengan hood menyembunyikan rupanya, lelaki tersebut juga membuat pesanan kepada pelayan. Setelah pelayan tersebut beredar, lelaki tersebut cuba mendapatkan perhatian Naqiela dengan mula membuka mulut.

“Awak sihat Naqiela?”

Ternyata Naqiela terkejut mendengar suara yang menyapanya. Suara yang cukup dikenalinya. Naqiela ingin menoleh ke belakang untuk melihat wajah yang dirisaukannya namun ditegah serta-merta

“Tolong jangan pandang ke arah saya. Ini demi keselamatan kita berdua.”

Sebaik sahaja Naqiela mendengar permintaan tersebut, niatnya terus dihentikan.

“Kenapa perlu kita berbual seperti ini Darius?”

Darius yang cuba melihat sekeliling, membalas soalan yang diutarakan Naqiela.

“Sebab apa yang awak baca dalam laporan kematian Johan semuanya adalah tidak benar. Sekiranya mereka tahu saya berjumpa dengan awak, saya takut awak juga akan tepalit sama di dalam perkara ini.”

“Baiklah. Syukurlah awak selamat. Apa sebenarnya yang berlaku pada hari tersebut?”

Dengan rasa bersalah, Darius terus menceritakan segala perkara yang terjadi kepada Naqiela. Ternyata terkejut kerana tidak menyangka Johan selama ini melakukan bisnes penyeludupan senjata secara haram. Patutlah selama ini, Johan tidak izinkan dia pergi ke syarikatnya dan mengikutnya jika dia terpaksa keluar outstation. Naqiela ingatkan dia bermain kayu tiga rupanya lain pula yang terjadi.

“Maafkan saya Naqiela sebab tak dapat selamatkan tunang awak, Johan. Saya tak berdaya menghalang mereka.”

“Itu bukan salah awak Darius. Segalanya terjadi atas izin Allah swt. Saya bersyukur sebab awak selamat.”

“Saya rasa itu sahaja yang saya ingin beritahu. Mungkin ini kali terakhir kita berjumpa.” Kata Darius lalu bangkit cuba meninggalkan restoran tersebut.

Naqiela cuba menghalang dengan memegang erat tangan tangan Darius lalu bertanya sebab Darius mengungkapkan kata-kata tersebut

“Kenapa Darius? Adakah awak masih bencikan saya? Kenapa kita tak boleh bertemu lagi selepas ini?”

“Demi keselamatan awak, saya harus jauhi diri daripada awak. Ini adalah yang terbaik.” Jawab Darius lalu meleraikan pegangan tangan Naqiela lalu terus meninggalkan restoran tersebut tanpa memalingkan wajahnya ke belakang kerana dia tahu jika dia melihat wajah Naqiela ketika ini, pasti dia tidak mampu melakukan apa yang sepatutnya dia lakukan.

Datin Mawar yang ketika ini hampir tiba ke restoran tersebut, terkejut apabila melihat anaknya kini sedang mengejar seseorang yang kelihatan terburu-buru meninggalkan restoran tersebut. Sebaik sahaja Datin Mawar, ingin memangil nama anaknya, tiba-tiba terdengar suara lelaki datang arah belakang cuba untuk menghalangnya.

“Biarkan mereka Mawar. Hal orang muda biarkan mereka sahaja yang selesaikan.”

Tergamam Mawar mendengar suara tersebut. Lalu ditoleh untuk melihat pemilik suara tersebut dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat Profesor Firdaus berdiri dihadapannya.

“Firdaus, is it really you?”

“Yup, the one and only. Apa khabar Mawar?”

Bunyi beg yang mengandungi barang belian Datin Mawar jatuh menyentuh lantai sepertimana drama melayu tipikal. 


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.