Home Buku Cinta Uncle Bos Mama
Uncle Bos Mama
19/3/2020 15:46:58
51,133
Kategori: Buku
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

SEMALAMAN Fish tidak dapat tidur. Ketika Shaina pulang dari study group, Fish berpura-pura sudah melelapkan mata. Tidak lama kemudian, dia terasa tubuhnya disaluti selimut, burger di tangan diambil dan dahinya dikucup Shaina. Sebaik sahaja dia mendengar pintu bilik gadis itu di tingkat atas ditutup, Fish kembali termenung dan fikirannya terus teringat pada Haidir dan kata-kata lelaki itu yang telah membuatkannya kecewa.

Dia cuba membayangkan hidupnya tanpa kehadiran Haidir. Cuba membayangkan masa depan di mana lelaki itu bukan sebahagian daripada keluarganya. Cuba membayangkan Haidir memeluk wanita lain, mengucup pipi bayi dalam dakapan si wanita, membisikkan ucapan kasih sayang kepada keluarga baharunya. Dia tahu imejan itu hanya lebih melukakan, tetapi mindanya tidak boleh berhenti menggambarkan semua senario itu.

Fish tahu dia tidak boleh menyalahkan Haidir dalam hal ini. Haidir tidak pernah tahu yang Fish menyimpan perasaan padanya dan kalaupun dia tahu, Fish tidak pasti ia berbalas. Kalau benar lelaki itu menyayanginya sepertimana Fish menyayangi Haidir, pasti sudah lama lelaki itu luahkan pada Fish. Dia asyik menunggu dan menunggu, mengharapkan pengakuan itu terbit di bibir lelaki itu. Tetapi ia tetap tidak kunjung tiba. 

 Hakikatnya, Haidir hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang kawan rapat. Sehingga ke akhirnya, hubungan Haidir dan Fish kekal sama. Mereka cuma teman akrab dan tidak lebih daripada itu.

Dia tidak tidur. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, dia cuma terbayang wajah Haidir dan kata-kata lelaki itu ketika dia berdiri di luar pintu.

Nanti bila aku dah tak ada macam mana? 

Bila jam penggera di telefon pintar berkokok menandakan sudah masa untuk dia mengejutkan anak-anak untuk solat subuh dan bersiap ke sekolah, Fish terus bangkit. Dia menggeliat malas, membetulkan ikatan rambutnya, lantas segera ke bilik air.

Sebaik sahaja keempat-empat penghuni bawah umur rumah itu bangun, rumah itu riuh-rendah kembali dan Fish tidak ada masa untuk memikirkan perkara lain.

Entah kenapa, Faiq dan ketiga-tiga beradik itu berkelakuan baik pula hari ini. Shaila tidak buat perangai, Faiq tidak menangis kerana hal-hal enteng, Shaina tidak berebut apa-apa dengan adik perempuannya dan Shairil tidak mengalami sebarang masalah berkaitan sistem pencernaan. Keempat-empat mereka sampai di sekolah di awal waktu dan membolehkan Fish membeli sarapan Joshua dengan cepat dan sampai di pejabat lebih awal. Malah, lebih awal daripada biasa. Mujur dia ada memegang kunci pejabat. Kalau tidak, pasti dia terpaksa menunggu di dalam kereta.

Fish menoleh ke arah pintu cermin yang memisahkan meja kerjanya dengan majikannya. Joshua sedang sibuk bercakap di telefon. Wajah lelaki itu nampak lebih ceria berbanding pagi tadi, ketika mereka berbincang mengenai kolaborasi Kuaci Media di Brunei. Seketika, dia tersenyum. Ini kali pertama dia berjaya buat Joshua memujinya.

Selama ini, dia hanya berjaya membuatkan majikannya itu marah padanya.

“Such a disappointment,” ujar Joshua bila dia menghidangkan minuman Milo yang berais kepada lelaki itu, sedangkan lelaki itu memesan Milo sejuk tanpa ais.

“What is this rag you’re wearing?” soal Joshua apabila Fish muncul di pejabat dengan kemeja yang ada kesan kotoran minuman, selepas Shairil tidak sengaja menumpahkan air coklatnya ketika seluruh ahli keluarga itu cuba bersarapan di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah kerana mereka sudah terlambat.

“Absolutely unacceptable!” bentak Joshua apabila Fish lupa untuk mengemas meja Joshua sebelum dia pulang ke rumah menyebabkan pejabat lelaki itu berbau spageti basi.

Kalau difikirkan semula, mungkin dia memang patut dimarahi lelaki itu. Fish mungkin eksekutif pentadbiran yang baik. Tetapi dia seorang pembantu peribadi yang agak tidak cekap.

Menjelang pukul 10.30 pagi, Fish sudah pun bersedia untuk keluar bersama Joshua. Dia meminjam pemerah pipi dan penggaris mata rakan sepejabatnya, Nabilah untuk menutup cela matanya yang bengkak kerana tidak tidur semalaman dan membetulkan tudungnya agar tidak nampak selekeh.

Telefon pintarnya bergetar. Skrin memaparkan perkataan Cikgu Aril.

“Helo?” Fish menjawab panggilan dengan nada berbisik.

“Helo, ni mama Shairil kan? Saya Azah, cikgu Shairil. Maaflah mengganggu. Ada masalah sikitlah, puan,” ujar suara di hujung talian.

“Ada apa? Kenapa dengan Aril?” soal Fish.

“Ada accident tadi. Kerusi rodanya terbabas masuk dalam longkang masa nak ke kantin. Dia jatuh tersembam ke depan, saya tak tahu berapa serius keadaan dia. Sekarang, saya kat klinik dengan dia. Doktor kata mungkin nak transfer dia ke hospital,” jelas si guru.

Darah Fish berderau. Dia terdengar tangisan dan jeritan Shairil dalam talian. Tangisan yang bukan setakat meluah kesakitan tetapi ketakutan.

“Astaghfirullahalazim… Cikgu, Aril tu ada doktornya sendiri yang boleh check dia. Dia tak boleh ke hospital sembarangan. Saya kena bawak dia jumpa doktor dia tu. Cikgu kat klinik mana sekarang?” soal Fish.

“Klinik Rakan Medik kat…”

“Tak apa, saya tahu klinik tu kat mana. Jangan bagi dia orang transfer Aril dulu. Biar saya ke sana,” pesan Fish.

“Okey.”

Panggilan dimatikan. Fish segera bangkit lalu menerjah masuk ke dalam bilik Joshua.

“Josh, I’m so sorry. I kena keluar ofis kejap. Ada hal I nak kena uruskan.” Fish berbicara dengan tergesa-gesa sambil cuba menahan air mata yang mengancam untuk terbit di kolam matanya.

Joshua kerut dahi memandang gadis itu.

“Keluar? Fish, we have a meeting in half an hour.”

“I… I tahu. Tapi ni penting sangat. I punya… I punya…” Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaannya. 

“What? What is so important that you are blowing an important meeting for this company?”

“My son is injured. I nak kena pergi hospital.”

“Fara, kalau you nak berbohong pun, cari alasan yang lebih logik. I know for a fact you belum kahwin. What son?”

“I’m sorry. I have to go!” ujar Fish, lantas melangkah pergi.

“Nanti. Fara… Fara!!!” 

Dia tahu dia akan menghadapi masalah yang sangat besar sebaik sahaja dia kembali ke pejabat nanti. Tetapi fikirannya terlalu berkecamuk untuk mempedulikan perkara lain selain kemalangan yang menimpa Shairil. Tidak ada apa yang lebih penting padanya ketika itu.



“MACAM mana dengan dia?” soal Fish sebaik sahaja Doktor Quah kembali ke bilik rawatan.

Mereka sudah pun berada di hospital ketika ini. Shairil masih berpaut pada lengan Fish di sebelahnya, masih tersedu-sedu sementara Fish sendiri mengusap lembut rambut si anak. Dia boleh rasakan kesan lebam di pangkal kepala Shairil, dekat dengan luka di dahi yang telah pun dibalut oleh pihak hospital.

Doktor Quah melekatkan imbasan X-ray di iluminator yang dipasang di dinding.

“Kalau tengok dalam ni, memang tak ada apa-apa. Selain daripada those scratches di kepala dan lengan, yang lain semua okey. Saya rasa mungkin dia terkejut bila jatuh tu. He was in an accident after all,” ujar Doktor Quah.

Fish menghela nafas lega.

“Nampak tak, Aril? Tak ada apa-apa. Okey aje.” Fish memujuk si anak dengan lembut.

Shairil mengangguk-angguk sekalipun esakannya masih belum betul-betul reda.

“Tak mengapa, Shairil. Nanti doktor bagi you surat cuti. You boleh duduk rumah, okey? Boleh tengok TV, makan aiskrim. Order apa-apa aje kat your Mama Fish. Masa nilah you nak jadi raja, order orang sana sini. Okey?” Doktor Quah tersenyum memandang Shairil.

Shairil turut mengukir senyuman.

“When is his next physio?” soal Doktor Quah. 

“Khamis.”

“Then kita tengok nanti kalau dia ada masalah masa tu. Tapi I rasa semua okey. Betul tak, Encik Shairil? Doktor cakap betul, kan?”

Shairil tersenyum sebelum mengangguk. Malu.

“Dalam masa yang sama, kalau you nampak ada perubahan pada sikap dia atau benda-benda macam tu, like always, you bring him to Doktor Halimah. Kita tak nak dia trauma balik,” pesan si doktor lagi.

“Terima kasih, doktor.”

Fish menolak Shairil keluar dan terkejut apabila menyedari Haidir dan tiga orang anak yang lain sedang duduk menanti di ruang menunggu. Shaina, Shaila dan Faiq segera mendekati Shairil, bertanyakan soalan yang macam-macam. Shaina turut mengambil alih tugas Fish untuk menolak si adik, malah menawarkan diri untuk mengambil ubat di farmasi.

“Nana call aku, cakap kau dan Shairil kat hospital. Jadi aku pergi ambil budak-budak kat sekolah tadi,” ujar Haidir.

Fish mengangguk perlahan, tidak tahu apa yang patut diperkatakan kepada lelaki itu. Entah kenapa, dia rasa canggung, seolah-olah apa yang berlaku malam sebelumnya telah mengubah hubungan mereka secara total.

“Aril okey ke?” soal Haidir apabila Fish tidak bersuara. 

“Hmm...” balas Fish.

“Alhamdulillah. Hmm… Fish? Kalau kau nak balik ofis, pergilah. Biar aku yang uruskan budak-budak tu,” ujar Haidir.

“Eh, tak payahlah. Kau pun nak kena kerja jugak. Lagipun, aku kena uruskan Shairil lagi.”

“Aku boleh buat, Fish. Aku dah minta half day dengan bos tadi. Bos kau mesti marah kalau kau stay sini lama-lama. Lagipun, aku ni dah tak banyak masa lagi dengan budak-budak tu. Jadi, selagi aku ada kat sini dan ada peluang ni, biarlah aku tolong kau,” ujar lelaki itu lagi.

Fish mahu menghalang. Dia mahu menidakkan hasrat lelaki itu. Haidir tidak ada kaitan dengan anak-anak tanggungannya dan lelaki itu telah memilih untuk meneruskan hidupnya dengan wanita lain tidak lama lagi. Dia tidak mahu terus mengharapkan Haidir untuk apa-apa. Tetapi dalam masa yang sama, Fish tahu yang kerjayanya dalam bahaya selepas dia mengingkari arahan Joshua sebelum ini. 

Lalu, akhirnya dia akur dengan arahan Haidir. Dia harus mencari cara untuk memastikan Joshua tidak naik angin.



FISH tiba semula di pejabat pada jam 3.00 petang, tetapi Joshua tidak ada di dalam biliknya. Bila ditanya pada teman sekerjanya Nabilah, si gadis kata Joshua masih belum pulang sejak dia keluar untuk menghadiri mesyuarat jam 11.00 tadi.

“Dia nampak bengang gila, Fara. Masa kau keluar pagi tadi, dia duk jerit nama kau lepas tu hentak pintu bilik dia. Apa kau dah buat?” soal Nabilah.

“Panjang ceritanya. Dipendekkan cerita, kalau kau tak nampak aku kat ofis esok, maksudnya aku dah kena pecat,” ujar Fish sebelum kembali ke meja kerjanya.

Nampaknya, kemarahan Joshua padanya lebih teruk daripada selalu. Dia tidak pasti apa pun yang dikatakannya nanti akan mengubah keadaan. Komputer ribanya dihidupkan kembali dan dia segera melayari laman Jobstreet. Kalau Joshua mahu memecatnya, lebih baik dia bersedia untuk kembali mencari kerja baharu mulai sekarang.

Joshua tiba di pejabat bersama rakan kongsinya, Razman tidak lama kemudian. Dia menjeling sejenak pada Fish sebelum masuk ke dalam biliknya, diikuti Razman yang sempat mengukir senyuman pada Fish sebelum dia menutup pintu. Dari ekor matanya, Fish boleh nampak kedua-dua teman itu berbincang dengan wajah yang serius, sebelum Razman keluar dan terus beredar. 

Tidak lama kemudian, Joshua mengetuk dinding cermin. Fish menoleh. Lelaki itu mengisyaratkan dengan jari telunjuk agar Fish masuk ke biliknya.

Fish menoleh ke arah Nabilah yang duduk tidak jauh daripada ruang kerjanya.

Doakan aku! Ucapnya tanpa bicara.

Berusaha! Berjaya! Balas Nabilah juga tanpa bicara sambil menunjukkan penumbuk tanda semangat.

Fish menarik nafas panjang, lantas melakukan seperti yang diminta Joshua. Lelaki itu sedia menanti di meja kerjanya. Kedua-dua tangannya direhatkan di dagu, siku di meja. Anak rambutnya yang agak panjang melepasi dagunya dibiarkan jatuh menyapu sudut matanya tanpa disebak kembali ke belakang telinga. Wajahnya benar-benar serius. Fish rasa seperti dirinya ditelanjangkan renungan itu. 

“Do you have anything to say to me?” soal Joshua.

“I’m sorry, Josh.”

Joshua kerut dahi.

“That’s it? I’m sorry? Itu aje yang you nak cakap kat I?”

“I tahu I salah. Tapi masa tu I panik. I tahu tu bukan alasan yang konkrit. Tapi I tahu kalau I bagi alasan macam-macam pun, it’s still going to be just that. Alasan.”

Joshua mengangguk-angguk. Memang ada benarnya kata-kata gadis itu. Dia tidak berminat hendak tahu apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan Fish tergesa-gesa keluar dari pejabat. Dia ada banyak kerja lain hendak dibuat dan tidak ada masa untuk tahu setiap butiran kehidupan para pekerjanya. 

“I patut pecat you after that whole thing you just did this morning, you know?”

Fish ketap bibir. Dia mengangguk. Memang itu yang dia jangkakan daripada Joshua. 

“But I won’t.”

“Hah?” Fish terkejut.  

“I rasa macam nak buat charity hari ni, jadi I takkan pecat you. Those Bruneians liked your idea and agreed to work with us. And we wouldn’t have acquired the project if not for you. Jadi bersyukurlah sebab you terselamat disebabkan idea you,” ujar Joshua.

Fish berasa seperti hendak menangis.

“Joshua, terima kasih banyak-banyak. I akan…”

“This is your last chance, Fara. Next time, I won’t be as charitable,” ujar Joshua sebelum sempat Fish menghabiskan kata-katanya.

“Okey,” balas Fish dengan perlahan.

“Dah, pergi sambung buat kerja.” Joshua mengisyaratkan dengan tangan agar Fish beredar. 

Fish cuba menahan diri daripada tersenyum. Dia terselamat. Dia tidak perlu melayari Jobstreet! 


















Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.