Home Buku Alternatif Robinson Crusoe (Diadaptasi oleh Khidir M. Yazir)
Robinson Crusoe (Diadaptasi oleh Khidir M. Yazir)
Kid Haider
14/7/2025 19:29:05
190
Kategori: Buku
Genre: Alternatif
Bab 1

Bab 1: Meninggalkan Rumah


Namaku Robinson Crusoe. Aku dilahirkan pada tahun 1632 di bandar York, di England, dalam sebuah keluarga yang baik-baik dan berada. Ayahku berasal dari Bremen, Jerman, tetapi berpindah ke England dan menjadi warganegara. Beliau bekerja keras, berjaya dalam perniagaan dan akhirnya bersara dengan cukup selesa untuk membesarkan anak-anaknya dengan pendidikan dan nilai kehidupan. Aku adalah anak ketiga dan sejak kecil aku sudah menunjukkan tanda-tanda degil.


Ayahku menginginkan aku untuk menjalani kehidupan yang sederhana dan selamat. Bukan terlalu tinggi sehingga terdedah kepada bahaya dan cabaran golongan bangsawan dan bukan juga terlalu rendah sehingga menderita seperti golongan miskin. Baginya, kelas pertengahan ialah yang paling bahagia dan seimbang, tidak terdedah kepada kesombongan atau penderitaan dunia. Nasihatnya sentiasa lembut, penuh kasih dan masuk akal. Tetapi aku... entah mengapa, hatiku tidak pernah tenang dengan pilihan itu.


Aku sering bermimpi tentang lautan. Tentang pengembaraan. Tentang dunia yang luas yang menanti untuk diterokai. Aku membaca kisah pelayar dan pedagang dan imaginasiku liar berlari. Aku tidak mahu bekerja di pejabat atau ladang. Aku mahu berlayar. Aku mahu melihat tempat yang belum pernah kulihat. Dan aku tahu ayahku tidak akan pernah bersetuju.


Pada suatu hari, ketika aku berumur kira-kira lapan belas tahun, aku memberanikan diri berbincang dengan ayahku. Aku memohon untuk dibenarkan keluar mengembara. Reaksinya mengecewakanku. Dia menjadi sedih. Tidak marah, tidak menengking. Hanya kecewa. Katanya, ramai yang menyesal bila mereka memilih jalan yang penuh bahaya. Katanya, jika aku tetap berkeras mahu pergi, katanya, aku akan pergi tanpa restunya dan kelak akan menyesal. Katanya, hanya orang yang tidak bersyukur akan meninggalkan kehidupan yang selesa demi sesuatu yang tidak pasti.


Kata-katanya menusuk, tetapi aku muda dan keras kepala. Aku tidak memberontak secara terbuka, tetapi hatiku sudah tetapi hatiku sudah melangkah jauh, meninggalkan rumah ini lama sebelum kakiku sempat pergi. Aku menunggu masa. Tidak lama selepas itu, aku bertemu seorang kenalan yang akan berlayar ke London. Dia mencadangkan aku ikut bersama sebagai permulaan kepada cita-citaku menjadi pelayar. Aku tahu ini peluangku. Tanpa memberitahu keluargaku, aku mengatur pelayaran pertamaku.


Hari aku menaiki kapal itu adalah hari aku tinggalkan keluargaku, rumah yang melindungiku selama ini, dan doa keluargaku yang aku bawa diam-diam dalam hati. Angin pagi itu sejuk. Jantungku berdebar, antara takut dan teruja. Kapal kecil itu seperti pintu gerbang ke dunia baru. Aku tidak tahu apa yang menantiku di hadapan. Yang aku tahu, tiada jalan pulang.


Dalam beberapa hari pertama, laut menunjukkan wajahnya yang sebenar. Ombak ganas, ribut kuat dan mabuk laut membuatkan aku hampir gila. Aku mula mempersoalkan keputusanku. Aku menangis dalam diam. Aku teringat wajah ayahku. Suaranya. Nasihatnya. Tetapi aku sudah jauh dari pantai dan terlalu malu untuk berpatah balik.


Itulah pelayaran pertamaku. Hampir saja maut menyambutku, tetapi hatiku terlalu keras untuk menerima pengajaran. Aku masih muda. Masih degil. Dan pengembaraan sebenar... baru sahaja bermula.

Previous: Nota
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.