Home Alternatif Umum Dunia Kecil Itu
Dunia Kecil Itu
BERUKA MAKINO
22/7/2015 14:59:21
8,074
Kategori: Alternatif
Genre: Umum
Senarai Bab
1
2
1

Aku sudah melalui jalan ini selama 16 tahun. Dan pada tarikh 16 Julai ini masa itu akan bertambah menjadi 17 tahun. Aku dapat merasakan tekanannya di sini-sana. Sebaik aku melangkah keluar melepasi pagar rumah, senario yang sama akan terus berulang. Tidak akan pernah berubah.

Aku bosan dengan abah yang hanyut dengan dunianya. Dunia persekolahan yang mencekik. Peperiksaan yang mengganggu dan bayangan masa silam yang menghantui. Apatah lagi ketika aku lalu di kelas oren itu. Bayangan penghuninya yang sedang beraktiviti. Dada akan menjadi sesak serta merta. Apabila aku sampai dan duduk di gazebo, penghuni-penghuninya juga menghantui aku.

Emak pernah mengajak aku tinggal bersamanya. Sengaja aku tolak kerana tidak sanggup melihat kemesraannya dengan ‘abah’ baru. Aku pelik melihat tindak-tanduk orang dewasa yang berlagak seolah-olah handal menyelesaikan segala masalah. Walhal, mereka sebenarnya mencari masalah sendiri. Dan kemudian aku menjadi mangsanya.

Pagi itu, aku mendapat satu tugasan. Menulis esei. Tidak susah sebenarnya menulis esei. Namun, pagi itu, aku terpempan.

“Kenangan zaman kanak-kanak?”, Cikgu Tan hanya mengangguk. Cikgu Cina ini kemudian tersenyum.

“Tak ada zaman kanak-kanak ke? Saya ingat ada pertaliannya. Zaman kanak-kanak ialah zaman belajar mengenal hidup. Zaman remaja, ya zaman yang sedang awak lalui sekarang ini, hah tentunya untuk menyesuaikan diri pula dengan hidup.”, aku terkedu, lidah terkelu.

Sehari suntuk aku memerah otak. Sekejap termenung, menonggeng, meniarap, tetap juga idea tidak mahu menyinggah. Penat terasa seluruh tubuh badan, aku meneguk air mineral di dapur. Sebaik menutup pintu peti sejuk, mata aku seakan terhenti. Pelekat magnet dengan lukisan rumah di atas bukit itu menarik perhatian. Sedangkan telah lama pelekat itu tertampal di situ. Fikiran aku menerawang. Jauh merempuh jaluran masa dalam arkib memori. Apabila jari telunjuk kanan menyentuh pelekat itu, cerita lama itu terimbau. Sedikit demi sedikit…

~Imbas kembali~

Matahari semakin terik. Pad menunggang pada basikal apabila aku sentuh terasa panas membakar kulit. Untung sahaja ada pokok besar di sini. Dapat juga menumpang teduh. Beg sekolah warna merah darah yang tersangkut atas dahan pokok aku tenung. Kemudian mengeluh. Akhirnya, aku cuba menyentuh kulit pokok kasar dan menggerutu, kalau tidak, sampai sudah tidak kan pernah beg itu melayang kepada aku. Kaki kanan aku daratkan sambil mengucap basmalah. Kain sekolah warna biru tua aku singsing sampai ke paha. Ikatan rambut pula sudah lama terlerai selepas pergaduhan tadi. Abon itu memang tinggi dan besar orangnya. Ramai yang tidak percaya umurnya baharu 11 tahun. Kalau tidak bergaduh dengan Abon tadi, pasti sudah lama aku sampai di rumah.

Tenaga aku kerah sampai aku dapat rasakan badan aku sudah melekap pada pokok. Jarak kaki dari tanah pula hanya sejengkal. Bagaimana hendak dicapai beg itu dengan lagak memanjat pokok sebegini. Akhirnya, aku menjerit sendiri.

“Aaaaahhhhhhhhhh….Aaaabonnnnn…..”, mata aku terpejam rapat menahan silau.

Bergema-gema jeritan itu ke pelosok kawanan lalang merimbun.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi basikal menghampiri dan ditongkatkan. Refleks mata terbuka sedikit-sedikit. Dari bukaan kecil kelopak mata, aku lihat seorang lelaki dewasa berjalan sambil meletak beg selimpang atas tanah. Dia mencekak pinggang, memandang aku.

“Kenapa?”, rona wajahnya garang dan menakutkan.

Aku telan liur sendiri. Kain tersingkap aku tarik sedikit ke bawah, dan perlahan-lahan kaki menjejak tanah semula. Rambut kusut aku lurut dengan jari ala kadar dengan pantas. Kemudian, aku berdiri tegak di hadapannya. Aku mendongak untuk melihatnya. Ketinggian budak sekolah rendah dalam darjah empat tidak akan mampu menyaingi ketinggian orang dewasa.

“Eh, tak ada mulut ke?”, suaranya meninggi.

Dia berjalan laju ke arah aku dan menepuk debu pada lengan baju, rambut dan, pipi. Aku hanya diam walaupun tubuh aku turut terayun-ayun apabila dia membersihkan debu yang terlekat. Sesudah itu, aku menunjuk ke arah beg yang tersangkut atas pokok. Matanya menurut ke arah yang aku tunjukkan. Dia mengeluh.

“Usu dah cakap jangan kawan dengan budak lelaki. Degil. Bergaduh lagi.”, Usu pantas memanjat pokok, manakala aku hanya memerhati.

Kali ini sahaja sudah empat kali Usu mengingatkan aku tentang isu ini. Usu selalu berkata, budak lelaki kasar, dan Usu tidak mahu aku menjadi kasar seperti mereka. Pernah Usu mencarikan aku kawan perempuan, adik kepada Kak Huda. Namun, tidak sampai pun satu jam berkenalan, adik Kak Huda menangis hendak pulang. Jarinya luka digilis rantai basikal aku. Selepas itu, Usu tidak pernah membawa Azah, adik Kak Huda berjumpa aku lagi.

Usu sudah mendapatkan beg aku semula. Beg itu disumbat dalam bakul basikalku. Basikal Usu, Usu dapatkan. Dia sudah berkira-kira untuk pergi, lalu dia memanggil aku.

“Ji, cepatlah! Usu dah lapar ni.”, aku diam dengan muka masih berkerut.

“Yelah, Usu tak cerita kat mak.”, bahu kanan aku terasa berdenyut-denyut akibat tumbukan padu Abon.

“Usu kira sampai tiga...satu...”, angin singgah sebentar menerbangkan urat-urat rambut kotor aku ke kiri.

“Du....a.....”, Usu menguatkan suaranya.

“Ji, Usu serius ni...”

“Ji.....”

“Janji tak bagitau.”, aku mencapai basikal dan mengayuh laju meninggalkan Usu yang masih di bawah bayang-bayang pokok.

Aku toleh belakang sekali lalu. Tangan kanan aku usung keluar, dan isyarat janji aku unjukkan kepada Usu. Jalan di hadapan yang lengang aku pandang jauh. Jalan yang saban hari aku lalui. Angin makin kuat tandanya hari akan bertukar hujan. Kayuhan aku lajukan, apabila Usu turut berada di sebelah mengayuh basikalnya. Usu sudah tidak marah, malah sedang ketawa galak. Rambut Usu turut terbuai-buai oleh angin. Aku lihat di belakang rambut Usu, langit semakin mendung.

“Usu kacakkan?Haha...”, tangan kanan aku laju menumbuk lengan kiri Usu.

Usulah sahabat, Usulah teman, Usulah emak, Usulah ayah, Usulah segalanya. Pada ketika itu, aku cuma ada Usu. Usu adik tiri emak, yang telah aku kenal sebaik melihat dunia ini. Dan untung sahaja Usu tinggal bersama kami. Nenek dan atuk telah lama kembali kepada-NYA. Apabila emak dan abah terpekik-pekik di tengah malam, Usu akan mencari aku.

Sebaik ayam berkokok, emak akan bersiap-siap ke hospital. Uniform jururawat putih bersih sudah siap tersarung pada tubuh. Ketika itu, aku selalunya baharu sahaja terjaga. Usu pula sedang merapi rambut dengan sikat. Abah hari ini juga tiada, mungkin belum pulang.

“Hari ni kalau Zima bergaduh lagi, emak hantar Zima masuk sekolah pondok macam abang Zain.”, setiap pagi pun itulah yang emak akan katakan.

Hari ini, mata emak pun sembab macam selalunya. Usu dan emak kurang bercakap belakangan ini. Mungkin peperiksaan maut Usu makin hampir. Aku pernah terdengar Azah membicarakan tentang Kak Huda dan Usu.

“Kak Huda kita kan nak kahwin dengan abang Wan.”, aku mengungsung basikal hadapan belakang, mendengar dengan bosan.

“Tapi sekejap lagi akak dengan abang Wan nak periksa STPM.”, aku hanya sempat menangkap perkataan H-T-P-M.

Azah sedikit pelat pada sebutan huruf S. Mungkin kerana itu apabila aku tanyakan Usu peperiksaan HTPM itu apa, Usu mengerut muka. Dia baru tersedar kemudiannya aku memaksudkan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Tapi Usu lebih gemar menamakan peperiksaan itu sebagai peperiksaan maut.

“Peperiksaan maut?”, aku menunggang basikal bersebelahan dengan Usu sebelum berpecah di simpang kerana sekolahnya lebih jauh.

“Kerk....kalau tak lulus. Ahahah.”, Usu membuat aksi mengelar leher dengan tangan kanannya.

Aku masih belum mengerti apakah nilai sebuah peperiksaan seperti itu dalam hidup aku. Sungguh tubuh kecil aku ketika itu tidak akan mampu memahami erti kata kehidupan yang penuh mencabar melainkan bergaduh dengan Abon, menunggang basikal, bermain layang-layang, dan mendengar jerit pekik emak dan abah. Hanya itulah perkara mencabar yang aku hadapi, bukan peperiksaan.

Sampai di sekolah, Abon menanti aku di pintu pagar buruk sekolah. Basikalnya aku lihat sukar siap diparkir. Dua lagi budak jahat namun bertubuh kecil seperti aku berdiri beberapa tapak dari tempat Abon berdiri. Itulah Jamil dan Azad. Pesanan emak terimbau. Aku buat tidak peduli. Jam digital bercorak askar pada pergelangan tangan kiri menunjukkan angka 6.52 pagi. Sebaik melintasi Abon dengan menyorong basikal, dia menegur aku. Tangannya menarik bahu kanan aku supaya menghadapnya.

“Hoi...!”, muka aku berkerut menahan sakit dek kerana bengkak akibat ditumbuk masih belum surut.

“Bon, dia ejek kau Bon.”, si Jamil menebar fitnah.

“Aah Bon, dia buat muka kat kau.”, Azad menambah perisa fitnah yang ditabur Jamil.

Aku merentap kasar tangan Abon lepas dari bahu aku. Aku dapat rasa mata aku panas. Rasa sakit makin menyucuk dan berdenyut-denyut.

“Korang buat apa tu?”, seorang pengawas senior datang menghampiri.

Tiga lagi pengawas bertugas pada pagi itu, tanpa menunggu lama mengheret kami berempat ke muka pengadilan. Aku dapat rasakan lengan aku turut merasa sakit dan kebas. Tapi biarlah, aku lebih rela menghadap guru besar daripada terus bergaduh dengan Abon. Api sengketa antara Abon dan aku menyala kira-kira setahun yang lalu di rumah Ustaz. Abon membuli Azad pada petang itu, dan aku melaporkan hal itu kepada Ustaz. Sebagai hukuman, Abon dirotan Ustaz. Aku tahu Abon malu apatah lagi seluruh anak-anak mengaji di situ melihat dengan benci. Sejak hari itu, Abon mula mengarahkan perhatian dan tenaganya untuk mencari pasal dengan aku. Kedegilan aku tambah menyakitkan hatinya. Azad selepas kejadian itu menjadi kroni Abon gara-gara takut dikecam Abon, si budak jahat.

Berita aku, Abon, Jamil, dan Azad dihukum berjemur bawah terik mentari cepat sahaja tersebar seluruh kampung. Sudah tiga jam kami berjemur. Malu yang aku tanggung tidak sehebat rasa sakit pada bahu kanan. Tapi aku keraskan hati dan tangan semakin kebas dan kebas. Jamil dan Azad sudah mengeluh dan menangis teresak-esak. Yang masih tegak berdiri ialah Abon. Hatinya sangat keras dan ego. Ekor mata aku memerhati budak lelaki tinggi dan besar itu di hujung barisan melewati tubuh Azad dan Jamil.

“Bon, jom minta maaf dengan cikgu jom...hgh....aku dah nak mati ni Bon...”, Jamil teresak-esak memujuk.

Wajahnya kelat dan gelap dibakar mentari. Aku sendiri terasa panasnya membakar atas kepala. Aku raba rambut, panas. Tiba-tiba Azad jatuh rebah ke bumi. Dan hukuman berakhir apabila Azad diusung ke bilik rawatan. Aku pula berjalan lambat-lambat ke kelas. Nur Aminah menanti di sebelah tempat duduk aku. Hanya Nur Aminah kawan perempuan yang aku ada. Cikgu Rafa sedang menulis nombor 4 pada papan hitam sebelum dia menghampiri aku dengan perlahan.

“Nur Azima tak apa-apa?”, hanya Cikgu Rafa yang memanggil aku dengan nama penuh.

Aku sengih tawar. “Maaf cikgu, saya lambat masuk kelas.”

“Ok, salin soalan kat papan hitam ni. Awak hantar besok jelah. Pinjam buku Nur Aminah.”

Jari aku terketar-ketar untuk memegang pensel. Nur Aminah yang perasan menarik pensel daripada tangan aku. Buku Matematiknya diselitkan dalam buku latihan aku.

“Tangan kau sejuk Ji.”, aku pun dapat merasakan bibir aku sejuk.

Ada lebih kurang setengah jam lagi sebelum loceng tamat sesi persekolahan berbunyi. Aku tahankan diri. Sebelum keluar dari kelas, Nur Aminah bertanya lagi, “Kau tak apa-apa ke Ji? Aku cakap dengan ayah aku tolong hantar kau sekali eh?”

Aku menolak dengan baik. Tidak mahu aku menyusahkan orang tua itu. Sudahnya Nur Aminah pulang sendiri, dan aku mendapatkan basikal. Sewaktu menggenggam, tangan aku terasa sakit sekali. Sudah hendak dekat jarak aku sedang mengayuh dengan simpang jalan yang Usu akan lalui untuk pulang ke rumah. Langit sedikit berawan menahan sinar terik matahari. Aku mula terlihat tompok-tompok hitam pada penglihatan, tangan terasa lemah dan badan longlai, sebelum aku terjelepuk jatuh di tepi jalan. Dalam separa sedar, aku terdengar orang memanggil-manggil aku.

“Hoi...hoi!...bangun hoi...mati ke?”, badan aku bergoncang-goncang.

“Jangan buat aku takut...”, mata aku makin berat.

“Hoi bangun...tolong!...hoi maafkan aku hoi.. tolong!”, aku terus tidak sedar.

Dua hari di rumah serasakan setahun. Cuti sakit yang diberi doktor tidak diisi dengan menunggang basikal sekeliling kampung sewaktu musim cuti persekolahan bersama Nur Aminah dan Usu. Bengkak pada bahu kanan semakin surut dan rasa berdenyut sudah hilang. Mungkin esok aku sudah boleh kembali ke sekolah. Duduk di beranda rumah menantikan Usu pulang dari sekolah begitu menyeksakan kalau tidak ada jalan kampung ini. Basikal buruk yang tersadai di tiang rumah aku perhatikan. Sayu.

Selepas pengsan di tepi jalan, Abon sempat menahan basikal aku daripada menindih badan. Dia mengekori aku. Sebelum pulang hari itu, Nur Aminah memarahinya dan membuka rahsia bahawa bahu aku bengkak. Sebelum ini, dagu aku koyak sedikit terkena kukunya sewaktu menumbuk aku. Nur Aminah pantas mengagak angkara siapa bahu aku jadi begitu.

Abon juga yang menahan kereta Abang Salleh untuk ke hospital. Tiba di hospital, emak mendapat berita aku ditahan di wad. Badan aku diserang demam panas, dan aku pengsan kerana menahan sakit. Usulah yang menahan emak daripada menampar aku sebaik terjaga.

“Kan Jiji masih hidup kak.”, kedua-dua kelopak mata aku pejamkan, menanti tangan emak hinggap pada pipi.

“Akak...”, suara Usu perlahan dan sayu.

Kelopak mata aku buka sebelah dan aku dapat lihat wajah emak tidak beriak, matanya tidak berkata-kata, tangan kanannya jatuh perlahan ke sisi, sebelum aku tersentak sekejap apabila emak memeluk aku. Kuat dan erat. Aku dapat dengar esakan halus emak dan nafasnya terputus-putus. Malam itu, Usu menemani aku kerana emak bekerja pada bahagian malam. Sebelum memejam mata, aku bertanya Usu.

“Abah tak nak tengok Jiji ke Su?”, Usu berhenti menulis dalam bukunya.

“Abah kerja luar Ji. Takkan abah nak berkejar ke sini. Tidurlah.”, peha kanan aku Usu tepuk sekali.

“Abon?”, mata usu dikerling sekilas ke arah aku dan Usu tersenyum.

“Berani ke dia? Ada dia datang ikut sekali masa hantar Jiji ke sini. Lepastu dia baliklah.”, mata aku terkebil-kebil merenung siling, sementara penghuni lain dalam wad ini semuanya sudah dibuai mimpi.

“Besok Usu bawak Abon datang sini boleh?”, suara aku semakin perlahan, dan kelopak semakin memberat.

“Tak takut?”, aku menguap lebar, mata terasa berair.

“Tak....”, dan aku terus terlelap meninggalkan Usu yang perlahan-lahan menyandar pada kerusi, matanya turut dipejamkan.

Mangkuk tingkat yang sudah berdiri atas meja di hujung kaki bergerak ke kiri ke kanan. Tangan yang memegangnya pula seakan-akan tidak mahu dilepaskan. Abon hari ini datang juga dengan memakai seluar kodroi berwarna hijau lumut berpadanan dengan baju kemeja kotak-kotak. Hari ini, Abon kemas dan tidak selekeh.

“Hoi sinilah...”, Abon menurut meninggalkan mangkuk tingkat bersendirian atas meja.

Jarak yang lebih dekat menampakkan lagi penampilannya yang rapi. Aku dapat lihat rambut yang selalunya kering dan kusam dipanggang cahaya matahari kini hitam gelap. Mungkin Abon menyapu minyak rambut. Abon tersipu-sipu apabila aku tidak mempelawanya duduk. Lantas, dia terus berdiri dengan kedua-dua tangan diselimpang kebelakang. Kepalanya tunduk menekur lantai. Apabila tangan kirinya menggosok-gosok hidung, aku lihat kukunya bersih rapi sudah dikerat. Berniat mengurangkan rasa canggungnya, aku bangkit dari baring dan duduk. Kedua-dua kaki aku lipat.

“Duduk.”, mata Abon menoleh aku sekilas sebelum dia menurut.

Kedua-dua tangan aku panjangkan mencapai mangkuk tingkat. Mangkuk tingkat aku buka dan mangkuk yang paling atas aku lihat berisi kuih donat bergula. Aku sengih lebar. Tanpa mempelawa, aku kunyah donat yang dibawa Abon.

“Sedap. Siapa buat?”, aku bercakap sambil mengunyah.

Abon teragak-agak menjawab.

“Mak aku.”, aku unjukkan mangkuk kepadanya.

“Nak?1,2,3,4,5 campur aku punya ada 6.”, Abon gelisah dan mengeluarkan sesuatu dari poket baju.

“Minta maaf!”, tanpa pamit Abon bangkit dan menuju ke pintu wad.

Tubuhnya berlanggar dengan Usu yang datang dari arah bertentangan. Mereka berbual sekejap, dan Usu membiarkan Abon berlalu. Aku terus mengunyah walaupun terkejut. Aku lihat kertas yang Abon tinggalkan disebelah aku dengan penuh tanda tanya. Surat berwarna merah jambu. Itulah surat yang kemudian Usu bacakan kepada aku. Tiada apa sangat yang Abon tuliskan dengan tulisan cakar ayamnya. Dia meminta maaf, dan berjanji tidak akan mengganggu aku lagi. Kata Usu, emak Abon juga turut meminta maaf dan menitipkan mangkuk tingkat supaya aku lekas sembuh. Emak Abon baik, tapi anaknya.

“Maafkanlah dia.”, Usu bercakap dengan serius.

Aku angguk dan tersenyum. Namun, aku punya syarat aku sendiri. Pada mulanya Abon nampak ragu-ragu apabila aku nyatakan syarat aku. Dia menoleh Azad dan Jamil. Kemudian berkata, “Yelah...”. aku tersengih lebar. Selepas itu, kawan aku semakin bertambah, bukan hanya ada Nur Aminah dan Usu. Malah, dunia aku lebih luas dengan adanya Abon, Jamil, dan Azad. Kadang-kadang aku membonceng basikal Abon ataupun Azad sewaktu hujan. Mereka akan mengayuh manakala aku akan memegang payung di belakang. Jamil anak orang berada, basikalnya mahal. BMX. Tetapi, kami tetap berpeluang merasa pengalaman sekejap menunggang basikalnya. Dia hanya tersenyum bangga apabila kami nyatakan betapa seronok perasaan kami.

Dengan menjadi ahli kumpulan Abon, Azad, dan Jamil, aku mula pandai memanjat pokok. Antara mereka bertiga, Abon yang paling mahir. Kami agak mungkin kerana tubuhnya yang tinggi dan besar, tenaganya lebih banyak berbanding kami. Azad selalu mencadangkan Abon berguru dengan si Sazali. Sazali, pembina badan negara. Namun, biasanya Abon akan buat tidak endah.

Setahun selepas itu, mereka bertiga mula sibuk dengan kelas tambahan. Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR sedang giat dilaksanakan pihak sekolah. Pada ketika ini, aku selalu pulang sendiri. Hanya pada hari minggu kami berpeluang bermain dan menunggang basikal. Aku masih ingat hari itu hari Sabtu. Azad datang ke rumah aku.

“Jomlah. Bon ajak mandi sungai.”, aku mengerut dahi dan Azad sengih.

“Alah....jomlah...nanti aku tak ajak kau marah.”, aku terus mencapai basikal.

Sesampai di sana, Jamil dan Abon sudah berendam. T-shirt masing-masing ada terhumban dalam bakul basikal. Aku rasakan tiba-tiba pinggang aku meregang. Perut pula rasa sebu dan kembung.

“Hoi !”, aku menoleh apabila Abon memanggil.

“Jap...jap...aku sakit perutlah.”, hujung jari mula sejuk.

Mereka bertiga terus leka berendam dalam kesejukan air sungai. Tiba-tiba aku lihat Nur Aminah makin mendekat dengan basikalnya. Dia tersenyum dan melambai. Aku sengih semula dan turun dari basikal. Rasa sakit aku buat tidak peduli.

“Minah....nak mandi tak? Jomlah...!”, Jamil menjerit dari sungai.

“Taknaklah. Kita tak nak mandi dengan budak lelaki.”, Azad menepuk-nepuk permukaan air sambil menjerit-jerit.

“Mak kau tau tak kau datang sini Minah?”, tangan kanan aku menekan-nekan perut.

“Tau. Mak aku kata kena balik sebelum maghrib.”, aku pandang awan berarak pada langit cerah.

Matahari sedang terpacak atas kepala ketika itu. Aku tidak dapat menahan kerutan pada wajah dilihat jelas oleh Nur Aminah. Dia meraba bahagian bawah perut aku.

“Kat perut ke kat sini yang sakit?”, aku lihat Nur Aminah sudah mengalahkan doktor lagaknya.

Abon aku lihat sudah naik ke tebing. Kakinya digoyang-goyang menjatuhkan air dari seluar pendek. Jamil dan Azad masih terjerit-jerit, menyelam dan berlumba berenang dalam sungai. Abon menuju basikalnya di belakang aku. Soalan Nur Aminah tergantung sepi.

“Ah?...kenapa sakit ek?”, aku bertanya kembali.

“Engkau makan apa tadi? Kau nak berak ke?”, Abon ketawa terbahak-bahak.

Sebelum sempat aku menjawab, aku tersentak apabila Abon memegang bahu aku dan menjerit pendek.

“Eh! Darahlah......”, Abon dibelakang aku berkata kuat apabila terpandang kesan cecair merah pada bahagian bawah T-shirt labuh yang aku pakai.

Nur Aminah ternyata lebih mengerti situasi aku. Dia menutup mata Abon dengan baju Jamil.

“Jangan tengoklah. Malulah dia.”, aku sebenarnya tidak mengerti.

“Minah, aku sakit apa? Aku nak mati ke?”, aku mula rasa cemas bila aku melihat darah pada tangan aku.

Jamil dan Azad yang terdengar jeritan Abon meluru mendapatkan kami bertiga. Jamil pantas menjerit.

“Eh kau datang bulan!....Hahah.”, Nur Aminah menepuk mulut Jamil.

Azad dan Abon kini sudah mengerti. Aku juga. Kata-kata Ustazah Zanariah dalam kelas hadas besar dan kecil terimbau. Ustazah pernah mengatakan orang perempuan boleh tidak solat. Kami semua tersentak. Selama ini, kami tahu neraka akan menanti andai tidak solat. Namun Ustazah Zanariah ketawa kecil sebelum berkata, “Hanya apabila orang perempuan itu haid. Datang bulan, nifas, wiladah.”. Perlahan-lahan wajah aku terasa panas.

Entah kenapa irama L’Inverno pada bahagian Allegro Non Molto yang aku sering dengar berkumandang dari dalam bilik Usu bergema-gema dalam kepala. Aku rasa malu dan sedikit-sedikit perasaan seperti pemisah antara aku dan geng Abon terbina. Bermula hari itu, aku seperti sedikit berubah. Mengelak daripada Abon, Jamil dan Azad sudah saban hari aku lakukan sehingga UPSR berakhir dan mereka bertiga ke sekolah menengah. Aku kembali bersendirian bersama Nur Aminah. Usu akan ke universiti dalam sebulan lagi.

“Jangan tak sembahyang. Jiji sendiri yang tanggung dosa. Jangan main sembarangan lagi dengan budak lelaki. Cuba cari kawan perempuan. Usu nak tengok Jiji pakai tudung bila Usu balik cuti semester.”, petang itu Usu sedang menyusun pakaian.

Aku berdiri bersandar pada daun pintu. Berat rasa hati melepaskan Usu pergi. Aku tahu maksud kata-kata Usu. Usu jugalah yang membelikan tuala wanita untuk aku pada ketika haid dahulu. Usu mahu aku menjaga diri sebagai gadis yang baik-baik.

“Tau...”, Usu berhenti mengemas dan menoleh aku.

“Jiji gaduh dengan diorang ke?”, aku angkat kepala.

“Tak....”, Usu sengih.

“Boleh kawan dengan diorang.”, ayam di luar rumah berkokok.

“Usu kata jangan main dengan budak lelaki.”

“Mana ada Usu cakap macam tu.”, aku alihkan mata.

“Maksud Usu, lebih daripada ka-wan. Jiji sekarang bukan macam dulu lagi. Takkan Usu nak kena bagitau semua ni pada Jiji. Dah darjah enam pun.”, aku angguk.

“Abon, Jamil, Azad. Diorang dah besar. Walaupun macam tu, diorang dah besar. Dan diorang tetap lelaki. Tetap le-la-ki.”, wajah Usu serius.

Aku angguk. Angguk lagi. Wajah Usu hari itu redup. Kata-kata Usu masuk ke dalam kepala dan jatuh ke hati. Memang selama ini aku membesar bersama Usu. Sampai sudah Usu tetap menjaga aku. Namun, selepas itu aku harus dapat hidup sendiri. Tanpa Usu. Tanpa kata-kata Usu. Kerana Usu akan pergi. Pergi meninggalkan aku. Pergi yang tidak akan kembali. Selama-lamanya bersama L’Inverno...

BERSAMBUNG 

Next: 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.