2,319
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 3

Seperti biasa di sekolah. Nota kerja sejarah mesti dihantar cepat. Tapi jangan risau, aku ada pembantu istimewa. Dia akan meletakkan nota sejarah di atas meja aku nanti. Tunggu sekejap. Dalam kiraan 10 saat dia akan muncul. 9… 8… 7… 6… 5… 4… 3… 2… 1… ketika suara-suara pelajar yang lain sudah mula mengisi tempat duduk mereka…

Ting!

Miss Adams berjalan masuk ke dalam kelas. Dia nampak mengantuk. Mungkin penat salin nota sejarah semalam. Tapi bagus untuk emosi aku. Sekurang-kurangnya aku tahu dia tidak keluar rumah, pergi jumpa lelaki lain atau nonton wayang, tapi dia di rumah. Bukankah itu melegakan? Dengan renungan tajam yang meluat Nami meletakkan buku nota di atas meja aku sebelum dia duduk di meja depan aku. Aku memerhatikan dia mengeluarkan buku notanya juga dan kelihatan siap sedia untuk subjek sejarah.

Kelas itu berjalan lancar. Semua pelajar berjaya menghantar nota kepada Cikgu Paula yang garang macam harimau. Mangsa yang selalu lambat buat kerja sekolah selalu dianugerahkan kepada Tony Blaze. Tapi hari ini dia berjaya siapkan sebab Tony tidak mahu didenda kelas tahanan selama sejam lepas pulang dari sekolah. Aku pun sama. 

“Norah dah balik rumah?” tanya Lennie tiba-tiba sebaik Cikgu Paula keluar.

Nami menggeleng. Kenapa dengan kakaknya? Aku curiga dan memasang telinga.

“Ayah kau tahu?”

Nami menggeleng lagi. 

“Kau nak aku temankan kau cari dia lepas balik dari sekolah nanti?” tanya Lennie yang memang selalu mengambil berat hal semua orang di sekelilingnya.

Nami memiringkan tubuhnya untuk bercakap lebih dekat dengan Lennie. Aku ikut menggerakkan badan ke depan tetapi suara Nami terlalu perlahan. Aku pun kembali bersandar kecewa. Ada yang tak kena pasal Norah, kakak Nami. Semalam aku nampak gadis itu ikut dengan Maddox naik motor. Maddox tinggal di bahagian belakang apartmen Zuhrah. Tempat aku tinggal. Nami pun tinggal di apartmen Zuhrah. Aku tak tahu kalau Nami kenal Maddox. Tapi Maddox bukan lelaki yang boleh diharap! Dia pun penagih dadah tegar tapi sebab dia kaya, ibunya ahli perniagaan kosmetik jadi tak ada siapa yang hairan dia jadi begitu.

Kelas bersambung. Subjek sastera dan kesenian. Aku seperti biasa mudah bosan mendengar cerita pasal Shakespeare. Aku lebih banyak memandang belakang rambut Nami yang panjang melepasi paras bahu itu. Gadis di depan aku sekarang ini seperti biasa sentiasa fokus dalam menyiapkan apa saja yang cikgu suruh. Kalau ada hal-hal yang paling dia tidak gemar di sekolah sudah tentulah pasal sukan. Aku pernah nampak dia memukul bola besbal tetapi bukan bola yang terbang… kayu pemukul itu yang terbang dan hampir mengenai Cikgu Hugh.

“Jon… kamu dengar apa yang saya cakap?”

Aku kembali gelabah mendengar namaku disebut. Tony ketawa mengekeh.

“Kalau nak berkhayal lebih baik kamu jangan masuk kelas saya,” bebel Cikgu Hugh. “Rabu nanti saya mahu kamu siapkan dua helai nota pasal Shakespeare dan hantar di meja saya sebelum saya masuk, faham.”

“Baik,” sahutku malas.

Nami terus berpaling ke belakang dan mendengus marah kepadaku. Aku rasa dia tahu kerjanya semakin bertambah. ‘Sorry Nami, esok kalau aku kaya, aku cari kau okay’ aku mengenyit mataku membalas pandangan marah gadis cantik itu.

Dengar saja bunyi loceng waktu rehat aku bergegas keluar menuju ke bilik air. Merokok. Dengan Witsel, Jeremy dan dan Tony. Sepuluh minit lepas hapuskan semua bukti-bukti penting kami keluar dan Tony terjumpa mangsa terbarunya. Budak perempuan kelas sebelah yang masuk ke tandas perempuan. Dia terus mengekori mangsanya. Aku menggeleng sementara Jeremy ketawa sinis. Itu bermaksud mereka akan dapat ‘barang’ malam ini.

“Hannah Savannah, bagus jugak terjumpa kau di dalam ni,” kata Tony senang hati.

Gadis itu tergagap-gagap di dalam bilik air. “Jangan, jangan tolonglah.” Rayunya.

Witsel dan Jeremy berjaga di pintu memastikan tidak ada orang lain masuk. Aku pula berjalan ke belakang untuk memastikan bilik air itu memang tidak ada orang. Suara merintih gadis itu merayu semakin perlahan mungkin takut dengan ancaman Tony. “Aku suka kau Hannah, kau kan kaya bagi saja duit yang aku mahu kalau kau tak mahu apa-apa jadi pada kau. Mudah kan?”

Aku terus berjalan ke arah pintu hujung yang tertutup. Baru sahaja aku cuba menolak tiba-tiba Nami membuka pintu itu dengan riak terkejut. 

“Apa kau buat di sini! Dalam tandas perempuan!” Bentaknya dengan nada risau.

Aku pantas menghampiri Nami menyebabkan dia terdorong masuk semula ke dalam dengan wajah takut dan bimbang.

“Apa yang kau buat ni? Jon…”

Mata Nami terkebil-kebil merenung aku.

“Masalah kecil. Jangan risau,” sahutku dan berharap Tony menyelesaikan urusannya lebih cepat. 

“Tolonglah…tolong, esok saya bagi duit tu…” rintih Hannah lebih kuat.

Nami mula curiga. “Apa kamu buat dengan…?”

“Kalau kau tak mahu terlibat dengan masalah lain. Pekakkan saja telinga kau.” Desisku sinis sambil tanganku mencengkam lengan Nami yang aku pastikan tidak akan berani melakukan apa-apa.

“Tolong biarkan aku keluar dari sini,” Nami pula merayu. Dia sudah tentu tahu yang Tony cuba mencabul gadis yang sedang merayu dalam bilik air yang lain. “Kau patut halang kawan kau, sedarlah Jon, jangan rosakkan anak orang.”

“Aku tak jaga urusan Tony. Jadi lebih baik kita diam.”

Nami berhenti mendesak hendak keluar. Pergelangan tangannya juga melemah dalam genggamanku. Kami sama-sama mendengar suara Hannah menangis.

“Aku mahu esok duit tu ada, kalau tak, adik kau pun dalam masalah, faham!” Suara Tony mengugut semakin kuat. Aku tak tahu apa yang jadi tetapi Tony selalu berjaya dapatkan apa yang dia mahu. Selepas beberapa saat kedengaran pintu ditutup dan tidak ada lagi suara-suara menangis tadi. Aku berpaling ke belakang.

Tony sudah ada di belakang dan sedang menjenguk pintu tempat aku menahan Nami dari keluar.

“Wohoo kita ada mangsa baru!” Tony gembira betul sebaik melihat aku sedang menahan Nami di dalam bilik air yang paling hujung.

“Biarkan dia.” Aku menegah ketika keluar dari pintu dan cuba menahan Tony dari menganggu Nami.

“Kenapa? Kalau dia lapor dengan Mr. Shein?” desak Tony.

“Tak. Dia tak berani.”

“Kalau begitu beri aku masa seminit dengan dia di dalam ni juga, aku mahu duga budak pintar ni!”

Sial! Tony memang sial! “Jangan sentuh dia, dia hak aku. Aku tak mahu kau kacau Nami, dia hak aku seratus peratus!” Aku hampir memaki Tony tadi.

Tony mengangkat tangan menyerah kalah. “Ok, ok, terserah kau kawan.” Kemudian Tony berjalan keluar. Aku pun ikut keluar dari pintu dan sempat memandang Nami yang masih ketakutan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.