RABUN
Tatkala sahaya dihidang
Dengan kemilau sang permata
Cahaya meliuk riak gemilang
Mengabur mata
Menghijab jiwa.
Acapkali hamba dihulur
Mutiara indah terluhur
Sempurna bagai di awangan
Tersusun rapi
Kemas diatur.
Hingga khayal akal seketika
Dek perhiasan semata
Lantas secebis kaca
Dikuis jauh ke tepi
"Menyesal ku pilih dia"
Sedarkah kamu?
Mungkin tampaknya biasa
Seakan-akan tiada harga
Walau dialah pelindung
Penjaga kamu sepanjang masa
Sedetik pun tak pernah lupa
Akan kamu yang dipuja.
Cinta dia persis hikayat
Untuk kamu sepenuh hayat
Benar dialah kaca
Yang senantiasa abdi
Mendepa menangkis nista
Dari menyentuh jasad mu.
Dampinglah dia selayaknya
Kerana ikhlas dari jiwa
Menyahut qada dan qadar Pencipta
Untuk kamu selamanya