Home Puisi Keluarga Aku Bukan Nakhoda
Aku Bukan Nakhoda
Kutz Amlan
21/4/2019 14:19:16
6,639
Kategori: Puisi
Genre: Keluarga

BUKAN NAKHODA

Maafkan aku
Jika tidak mampu menjadi cahaya penerang
Di saat kau bertatih di jalan kelam
Mencari-cari arah tujuan
Kerana aku sendiri tenggelam
Dalam bayang yang tiada haluan.

Maafkan aku 
Jika tidak mampu sediakan istana
Ketika kau ingin bersemayam
Menikmati keindahan sebuah singgahsana
Sedangkan aku hanya berteduh
Di bawah pondok usang
Berteman unggas yang menumpang.

Maafkan aku 
Andai setiap hidangan di meja 
Bukan seperti yang diharapkan
Cuma sepiring juadah orang biasa-biasa
Jauh sekali santapan diraja
Cukup sekadar mengisi perut kosong
Sekuat mana tangan ini menguis rezeki
Dari siang ke malam hari.

Maafkan aku
Andai hidup ini tidak selari dengan impian
Yang kau citakan sekian lama
Dari kecil mendambakan seiras syurga
Namun zahir ini yang aku hulurkan
Sedang jauh di sudut hati
Mengharapkan kita kekal
Bersama selamanya.

Maafkan aku wahai sang cinta
Jika setelah sekian lama
Aku masih gagal sebagai pengemudi bahtera
Apatah lagi sebagai manusia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.