MALAM SERIBU BULAN
Tahlil tasbih tahmid dan takbir
Ratib alunan melafazkan zikir
Bertamu sujud pada yang satu
Tekad mencari manfaat seribu
Bukan dinar dirham jadi taruhan
Hanya jiwa-jiwa yang inginkan ketenangan
Dahaga lapar diisi segala bekalan
Mendamba dosa diampun
Mohon pahala dapat dihimpun
Pabila dibangkitkan berduyun-duyun
Sejengkal mentari menjejak ubun-ubun
Tinggal sebatang kara di lautan hamba
Mencari syafaat dari baginda
Tumpang berteduh di halaqah yang sama
Semua tiga puluh
Ada dalam ganjil
Hadir bila masa
Sudah ada dalil
Usah pernah henti
Usaha sepenuh hati
Pasti bertemu jua nanti
Lupakan peraduan seketika
Singgahsana dunia sementara
Qiam dalam diam
Sepertiga seluruh malam
Sekelumit cahaya dalam kelam
Jadi peneman di akhir alam
Sapa dua kali salam
Sebelum mata rapat terpejam
Pintu syurga sedia menunggu
Moga itu pengakhiran aku dan kamu.