BUKAN CINTA BIASA
Sungguh hebat si Adam
Kulitnya gelap berjemur mentari
Demi sesuap nasi untuk anak dan isteri
Badannya penuh calar dan parut
Asalkan mereka tak perlu mengikat perut
Matanya layu kusam dan lebam
Dek berkerja keras siang ke malam
Segalanya ikhlas untuk yang tersayang.
Sungguh tinggi darjat si Hawa
Wajah berkeringat menghias rupa
Lantaran gigih menyediakan juadah
Tangannya kasar seakan lelaki
Membantu sedaya mungkin mencari rezeki
Tumitnya pecah pedih dan luka
Ke hulu ke hilir membersih singgahsana
Semuanya digagahi demi yang dicinta.
Tatkala Tuhan memanggil mereka
Tinggallah seketika urusan dunia
Adam menjadi nakhoda
Hawa akur di belakangnya
Waris turut berdiri bersama
Takbir diangkat menghadap yang Esa
Sujud semata-mata sebagai hamba.
SubhanAllah.
Kekalkan mereka hingga ke syurga.