Home Novelet Thriller/Aksi INSPEKTOR SHAHILA: TREN
INSPEKTOR SHAHILA: TREN
Syaida Ilmuna
22/9/2015 21:08:47
6,670
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
#10

“APA kekecohan tu?” Inspektor Shahila yang berbaju t-shirt lengan panjang masuk ke dalam bilik kawalan KL Sentral sambil ditemani Supritendan Yusof.

Sarjan Suresh menggeleng-geleng. “Ada sesuatu yang berlaku. Ada pergelutan dan tembakan. Saya tak pasti apa yang terjadi tetapi saya sudah hantarkan skuad kita untuk berjaga-jaga di sana.”

Telefon pintar Supritendan Yusof berdering. Pegawai polis yang berusia akhir 30-an itu menjawab panggilan.

“Hello. Waalaikumussalam. Ya, saya bercakap. Bagaimana keadaan di sana?”

Supritendan Yusof menutup mulutnya sebaik sahaja mendapat suatu perkhabaran. “Bawa mereka ke sini. Saya ingin dapatkan keterangan dari mereka semua. Berapa orang yang terlepas?”

“19? Baiklah, waalaikumussalam,” kata Supritendan Yusof sebelum mematikan panggilan.

“Bagaimana tuan? Ada perkembangan terbaru?” tanya Inspektor Shahila tidak sabar ingin mengetahui butiran perbualan sebentar tadi.

“19 orang tebusan tersebut berjaya melepaskan diri. Mereka akan dibawa ke sini. Suresh, jangan lupa panggil ahli keluarga mangsa yang terlibat untuk buat pengecaman,” arah Supritendan Yusof yang seterusnya keluar dari bilik kawalan tanpa mengajak Inspektor Shahila bersama.

Inspektor Shahila mengerti. Memang Supritendan Yusof mahukan dia berehat. Tetapi baginya, ini bukanlah masanya.

***

MELILAU mata Farid ke sana ke mari. Namun kelibat adik kesayangannya, Fatin Nura masih belum kelihatan. Takkanlah Fatin masih lagi menjadi mangsa tebusan? Ataupun Fatin di antara yang terkorban di dalam nahas tren itu?

Farid cemas. Keadaan sekeliling yang dipenuhi ahli keluarga mangsa saling berpelukan dengan mangsa tebusan itu membuatkan hatinya bertambah pedih. Fatin Nura tiada! Takkanlah dia sudah pulang? Dia pun tahu bahawa abangnya menunggu di sini untuk mengambilnya berjumpa dengan ibu.

“Sarjan Suresh!” Farid memanggil kuat apabila terlihat tubuh sarjan yang tegap itu sedang melekatkan sesuatu di papan tanda.

Sarjan Suresh berpaling. Dia mengangguk dan menggamit supaya Farid mendekatinya.

“Sudah jumpa adik awak?”

Farid menggeleng lemah. “Belum. Sebab tu saya panggil sarjan tadi. Saya tak jumpa dia di mana-mana. Ada tak orang bernama Fatin Nura dalam senarai nama ni?”

“Awak tengoklah sendiri. Tapi setahu saya tiada. Sebenarnya hanya 18 orang tebusan saja yang terlepas. Lagi seorang itu, wartawan Mentari Harian yang menceroboh kawasan kejadian tanpa pengetahuan polis. Ada lagi dua tebusan yang belum dilepaskan. Seorang bernama Dani, ataupun Dani Ihsan. Dia pelajar tahun akhir kejuruteraan elektrik. Keluarganya juga tadi ada melaporkan bahawa mereka masih belum menemuinya. Dan lagi seorang… kemungkinan adik awak, Fatin Nura,” jelas Sarjan Suresh.

“Ada lagi tebusan yang kita tidak tahu, sarjan? Mungkin yang dah mati dan tidak diketahui ada di dalam tren tu?” Farid terasa berbelah bahagi.

“Kemungkinan itu besar ada kerana ada lima lagi keluarga yang mencari ahli keluarga mereka. Saya tahu Dani masih hidup pun kerana pemandu tren itu sendiri yang mengesahkannya kepada keluarga mangsa. Tetapi, mengenai adik awak saya tak pasti. Awak boleh tanya mangsa-mangsa yang lain… mungkin mereka kenal adik awak,” jawab Sarjan Suresh simpati.

“Saya ingin jumpa dengan pemandu tren.” Farid menunduk. Nama adiknya tiada di dalam senarai.

“Baiklah, ikut saya.” Sarjan Suresh membawa Farid ke sudut dewan. Yunus, pemandu tren sibuk berbicara dengan anak-anaknya.

“Encik Yunus, ini Encik Farid. Dia nak bertanyakan Encik Yunus sama ada encik kenal dengan adiknya yang juga ada di dalam tren tersebut.” Sarjan Suresh memulakan bicara.

Yunus menurunkan anaknya yang berusia enam tahun dari pangkuan. Dia menyuruh isterinya membawa kedua-dua orang anak kecilnya jauh sikit dari tempat mereka berbicara. Dia tidak suka anaknya mendengar soal jenayah ini kerana ia adalah detik paling hitam di dalam hidupnya sepanjang menjadi seorang pemandu tren.

“Adik encik yang mana satu?”

Farid mengeluarkan iPhone 6 miliknya. Ditayangkan gambar Fatin Nura tersenyum riang berbaju kurung moden.

“Ini budak perempuan yang diikat bom pada badannya,” kata Yunus spontan.

“Dia diikat dengan bom?” Farid cemas. Dia duduk bertinggung ke lantai. Kepalanya diketuk-ketuk. Kalaulah aku tahu perkara ini akan berlaku…

“Ya, encik… sarjan. Penjenayah tu ikat bom pada badan dia. Ada lebih kurang….” Yunus melihat jam tangan yang melingkar di tangan. “Lagi satu jam sebelum bom meletup.”

“Satu jam?” Sarjan Suresh tercengang.

Farid bingkas berdiri.

“Sarjan!” Dia mencengkam kolar Sarjan Suresh kuat. “Sarjan, adik saya akan mati! Sarjan kena tolong dia! Tolonglah sarjan!”

Terkedip-kedip mata Sarjan Suresh melihat tingkah laku Farid berubah mendadak. “Baik, baiklah. Saya akan laporkan hal ini dengan Inspektor Shahila dan Supritendan Yusof.”

***

“ADUH…” Fatin Nura memicit betisnya yang semakin banyak mengeluarkan darah. Dia menggeliat ke kiri dan kanan tanpa mempedulikan lagi bom yang berada di dadanya.

“Awak sabarlah. Saya ambilkan kain dan ikat pada betis awak ni ya. Mungkin ia dapat menghentikan aliran darah.” Dani cuba mententeramkan Fatin. Dia mengambil sapu tangan di dalam poketnya lalu dililit ke betis kurus Fatin Nura.

Dalam pada masa yang sama Ah Ping juga menahan kesakitan yang dialaminya. Peluru yang terbenam di dalam peha membuatkan langkah kakinya terbantut.

“Celaka itu wartawan!” Ah Ping mengeji. Sambil itu tangannya cuba menekup luka yang semakin parah. Oleh kerana faktor usia, badannya kian lemah.

Ah Fang tidak banyak bicara. Dia duduk merenung kesemua mereka dengan mata yang sudah merah. Pistol kejap dipegang pada tangannya. Siapa yang berani buat gila akan ditembaknya mati. Termasuklah Ah Ping sendiri.

“Fang, kau hubungi bilik kawalan mereka di sana. Katakan yang kita masih ada dua orang tebusan. Kalau mereka tidak bertindak menyerahkan wang itu cepat…. Kita bunuh mereka berdua,” arah Ah Ping. Dia terhincut-hincut berjalan ke kerusi biru. Disandarkan badannya. Lega walaupun masih sakit.

“Aku tak mahu lagi kita buat semua ni!”

Ah Ping mendongakkan kepalanya. “Kau kenapa? Gila?”

“Aku rasa kita sudah jauh menyimpang. Aku tak suka membunuh orang. Asal rancangan kita hanyalah dapatkan wang tebusan dan lari. Kenapa harus sampai jadi macam ni?” Ah Fang sudah mulai menangis. Dia menekup wajahnya rapat. Pistol yang ada di tangan di letakkan ke peha.

Fatin Nura dan Dani hanya menjadi pemerhati. Mereka saling berpandangan.

“Pemandu tren itu bodoh. Aku suruh dia hentikan tren tapi dia tidak pandai hentikan tren betul-betul. Kemudian dia cuba melawan cakap aku. Bila tren tidak dihentikan betul-betul, terjadi kemalangan ini. Lepas itu, tebusan-tebusan ini semua degil orangnya! Aku tak bersalah langsung. Mengapa kau asyik salahkan aku, Fang?” Ah Ping meluahkan rasa amarahnya. Ah Fang memang langsung tidak menyokong apa yang ingin dia lakukan dari mula. Asyik saja membantah. Dia kata dia sayang pada Ah Keong tapi tindak lakunya langsung tidak menunjukkan dia sayang pada anak mereka.

“Ah Ping, kita tak perlu lakukan semua ini pada mulanya!”

“Diam kau! Aku tahu apa yang aku buat. Kita akan dapatkan wang itu kemudian kita akan kenakan inspektor itu.” Ah Ping membantah lantang.

Dani asyik merenung pistol di peha Ah Fang. Kalau dia ambil dan tembak mereka berdua ini bagaimana….

“Apa kau pandang-pandang?” Ah Ping menjerkah pada Dani. “Kau akan aku bunuh mula-mula! Faham? Lepas tu perempuan itu. Dia akan tamatkan semuanya dengan bom di dadanya.”

Fatin Nura mengigit bibirnya kuat. Matanya mula memerah. Sedih dan takut. Dia tidak mahu kehidupannya berakhir dengan begini mudah. Dia tidak mahu!

***

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.