SUASANA hingar di seluruh asrama bertukar sepi
ketika semua penghuninya telah bersiap sedia di dalam surau sambil menunggu masuk
waktu Maghrib. Melati pula masih berada di luar surau. Kerusi batu marmar yang
nampak menarik menjadi tempat persinggahannya. Kicauan burung yang sedang
terbang pulang ke sarang langsung tidak diendahkan.
Fikiran Melati melayang jauh. Dia
merindui mama dan papanya. Sedar tidak sedar, sudah beberapa hari dia tinggal
di asrama SMK Mayang Sari.
Apa kata aku call mama sekarang. Kejap lagi mesti dah tak sempat, bisik Melati
dalam hati. Dia memandang ke arah surau. Masing-masing tengah asyik bersembang
tanpa menghiraukannya.
Lantas Melati mengeluarkan dompet merah
jambunya dari kocek seluar. Dia meraba-raba di celah ruang yang sempit.
Alangkah girangnya Melati ketika kepingan syiling yang besar jumlahnya ditemui
terselit di celah wang kertas. Lantas dia segera mengatur langkah menuju ke
telefon awam yang terletak di bawah anak tangga tanpa pengetahuan sesiapa.
“Helo,mama. Melati rindu sangat kat mama. Mama sihat?” soal Melati
setelah panggilannya diangkat.
Suaranya sengaja diperlahankan agar
tiada sesiapa yang mengetahui keberadaannya di situ.
“Mama pun rindu sangat kat anak mama
ni. Alhamdulillah, mama dan papa sihat,” jawab Puan Mawar di hujung talian.
Belum sempat Melati meneruskan
perbualan, telinganya menangkap bunyi tapak kaki sedang menuruni anak tangga.
Lantas dia segera meletakkan gagang dan bersembunyi di kawasan yang sedikit
kelam. Dadanya berdebar-debar kencang. Degupan jantungnya kian laju sehingga
pernafasannya sedikit terganggu.
Dengan tidak semena-mena, bunyi tapak
kaki itu sudah tidak kedengaran lagi. Melati menghembus nafas lega. Degupan
jantungnya mulai perlahan. Dia menjenguk keluar dari kawasan kelam itu. Tiada
apa-apa yang kelihatan. Lantas dia mengatur langkah perlahan menuju ke surau.
Tetapi, sekali lagi kakinya terkaku. Rongga hidungnya mula menangkap bau yang
tidak enak seperti bau bangkai. Hatinya sekali lagi berdebar kencang.
Kini, bulu romanya merinding seram
apabila dia merasakan ada susuk tubuh yang sedang berdiri di belakangnya. Lantas
Melati memalingkan wajah. Dia tergamam. Lidahnya kelu. Susuk tubuh manusia tidak
berkepala sedang berdiri di hadapan matanya. Darah merah memancut keluar
daripada bahagian urat leher yang terputus. Tidak semena-mena, tubuh Melati
rebah di atas lantai. Dia pengsan. Kepalanya terhantuk di bucu tangga.
“SAYA rasa macam
tak cukup seorang aje. Cuba kamu semua pandang sekeliling. Cukup tak
kawan-kawan kamu?” soal Cikgu Seroja sambil mengira bilangan penghuni asrama.
Melati, bisik Ros dalam hati. Kemudian,
dia bingkas bangun.
“Melati tak ada, cikgu,” ujar Ros
dengan nada lantang.
Beberapa saat kemudian, Cikgu Seroja
segera mengarahkan Ros dan Syasya mencari Melati di seluruh kawasan asrama.
Lantas mereka berdua menapak keluar dari surau dan mengatur langkah dengan laju
untuk mencari Melati. Setibanya mereka di tangga, Ros dan Syasya terkejut
melihat Melati sedang terbaring pegun di atas lantai. Lantas mereka segera mengangkat
dan memapah Melati ke dalam surau.
“Argh!” jerit Melati sebaik sahaja
terjaga daripada pengsan. Jeritannya
kedengaran begitu lantang sekali.
“Melati, kamu okey tak ni?” soal Cikgu
Seroja sambil menyapu sedikit air pada wajah Melati.
Melati hanya mendiamkan diri. Bebola
matanya meliar tanpa henti. Seluruh tubuhnya menggeletar. Ros hanya terdiam
melihat kelakuan Melati. Penghuni lain segera beredar dari surau. Hanya Cikgu
Seroja, Syasya dan Ros yang berada di sisi Melati.
“Pandang saya, Melati!” arah Cikgu
Seroja ketika melihat keadaan Melati yang semakin tidak tentu arah.
“Cikgu, saya takut!” ujar Melati.
“Kamu jangan takut, Melati. Akak dengan
Ros ada kat sini,” pujuk Syasya, bersungguh-sungguh.
Melati bingkas bangun dan terus memeluk
tubuh Cikgu Seroja. Butiran peluh pada wajahnya mulai menitis hingga membasahi
baju. Wajah Melati yang pucat-lesi membuatkan Cikgu Seroja berasa bimbang.
“Cikgu, saya nak balik!” pinta Melati
dengan suara bergetar.
Air matanya mengalir deras.
“Baiklah. Ros, Syasya, kamu tolong bawa
Melati naik atas dan kemaskan beg dia. Saya nak bawa Melati balik ke rumah saya
malam ni,” arah Cikgu Seroja sambil mengesat air mata Melati dengan tapak
tangan.
SETIBANYA di rumah Cikgu Seroja yang terletak
tidak jauh dari asrama, Melati kelihatan agak tenang. Wajahnya yang tadinya pucat
kini kian pulih seperti sediakala. Sofa antik di ruang tamu menjadi tempat
Melati berehat. Tetapi, dia masih trauma. Bayangan makhluk tidak berkepala itu
masih bermain dalam benaknya.
Melati merenung jam dinding berwarna merah yang tergantung kemas. Jarum jam
menunjukkan pukul 11.05 malam.
“Malam ni kamu tidur dengan cikgu, ya,”
ujar Cikgu Seroja.
Melati hanya mengangguk. Lantas Cikgu
Seroja meminta diri untuk menyiapkan tempat tidur. Tilam kekabu dihamparkan di
tengah-tengah ruang tamu. Melati terus berbaring tanpa banyak bicara.
Fikirannya kembali terbayang susuk tubuh makhluk tidak berkepala itu. Setiap
kali teringat kejadian yang dialaminya itu, bulu roma Melati merinding. Mujurlah
Cikgu Seroja segera datang kepadanya.
“Kenapa, Melati? Masih teringatkan
kejadian tadi ke?” soal Cikgu Seroja.
“Saya takut, cikgu,” jawab Melati.
Pandangannya segera dialihkan kepada
Cikgu Seroja.
“Apa yang kamu nampak tadi? Beritahu
saya,” soal Cikgu Seroja lagi.
Melati membisu. Dipaksa pejam kedua-dua
belah matanya, namun tidak berjaya.
“Err... makhluk tu tak ada kepala,
cikgu,” jawab Melati, perlahan.
Air matanya mula mengalir perlahan.
“Dahlah, jangan fikirkan sangat. Melati
tidur ya,” pujuk Cikgu Seroja sambil mengusap ubun-ubun Melati.
Melati memaksa kedua-dua belah matanya
supaya pejam. Dia tidak mahu memikirkan lagi kejadian yang telah berlaku itu.
Namun, tidurnya tidak tenang. Peluh kecil mula membenih di dahinya. Bebola
matanya dilihat sedang meliar-liar walaupun dalam keadaan mata yang tertutup.
Melihat keadaan Melati begitu, Cikgu
Seroja bingkas bangun dan menapak ke penjuru ruang tamu. Dia memasang bacaan
ayat suci al-Quran di komputer riba. Cikgu Seroja tidak dapat melelapkan mata
walaupun jarum jam sudah menghampiri pukul 12.30 tengah malam. Fikirannya
berkecamuk.