Kereta
kancil warna merah hati itu mula membelok ke arah sebuah bangunan yang agak
tinggi di tengah kota Pulau Pinang. Lalu terus diparkir di ruangan yang masih
kosong. Azzam mencengkam erat setereng kereta sambil matanya meliar-liar
memerhati di segenap bangunan itu. Brek tangan masih tidak ditarik. Hanya pedal
brek dipijak untuk memastikan keretanya tidak bergerak.
Betul
ke kat sini? Azzam bercakap sendirian di dalam hati. Pandangan matanya masih
meliar-liar ke luar tingkap. Namun, segera terhenti sebaik terlihat orang ramai
yang lengkap berpakaian kemas sedang berjalan ke suatu arah. Lekas-lekas Azzam
mendapatkan beg galasnya yang berada di tempat duduk belakang lalu terus
menapak keluar dari perut kereta.
Azzam
baru saja pulang ke Malaysia setelah bertahun-tahun lamanya dia berada di luar
negara. Pemuda lulusan kursus kejuruteraan ini telah membuat keputusan untuk
mencari kerja sementara menunggu permohonannya sebagai jurutera tempatan diterima.
Sudah hampir dua bulan Azzam menunggu jawapan tentang permohonannya.
Cuaca
pada petang itu sungguh mendamaikan. Kepulan awan yang sedikit kelabu warnanya
dilihat sedang berarak perlahan. Sepertinya bumi akan dilimpahi dengan air
jernih yang terhasil daripada tangisan sang awan. Azzam terus mengekori orang
ramai menuju ke kaunter pertanyaan bangunan itu. Sebelum melangkah masuk,
sempat juga dia mengerling ke arah papan tanda yang terletak di luar bangunan
tersebut. Papan tanda itu kelihatan masih baru walaupun dinding bangunan
dilihat usang. Sepertinya cat di dinding itu sudah lama tidak ditukar ganti.
Ship & Travel,
Pantas bibirnya menyebut nama syarikat itu.
“Encik,
nak temuduga, ya? Ambil nombor giliran ni kemudian jalan terus ke bilik sana,”
ujar seorang gadis kecil molek yang bertugas di kaunter itu sambil menghalakan
jari telunjuknya ke arah bilik yang tidak terlalu jauh dari situ.
Azzam
hanya mengukirkan senyuman sejurus mendapatkan nombor giliran itu. Segera dia
menatap nombor giliran itu. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya.
Sekali lagi Azzam meneliti kertas yang tertera nombor 005 itu, sepertinya ada sesuatu
yang begitu menarik perhatiannya.
“Terima
kasih,” ucap Azzam kepada gadis kecil molek itu.
Azzam
hanya tersenyum-senyum malu sambil mengatur langkah ke bilik temuduga. Sempat
juga dia menoleh ke belakang. Anak matanya dapat menangkap reaksi gadis
tersebut yang sedang tersenyum malu memandang Azzam. Sepertinya ada sesuatu
yang dia mahukan daripada pemuda bertubuh lampai itu.
Pintu
bilik yang diperbuat daripada kayu jati itu dikuaknya hemah. Azzam terus
menapak masuk dengan wajah yang ceria. Di mulutnya juga tidak lekang dengan
menyebut nama ALLAH dan kalimah suci daripada kitab al-Quran. Hatinya juga
berasa sedikit gelisah. Bagaimana jika dia tidak diterima bekerja? Namun,
lekas-lekas Azzam menenangkan diri. Udara nyaman dihirup sedalamnya sebaik
wajah gadis yang baru dikenalinya itu muncul di benaknya.
*****
Beberapa
jam telah berlalu, Azzam segera menyelinap keluar dari bilik temuduga. Kumalan
renyuk di belakang bajunya segera diusap-usap hingga hilang garisnya. Tali
leher bercorak garis serong dibetulkan Azzam hingga dia berpuas hati akan
kekemasan penampilannya. Rambut potongan uppercut
yang kelihatan lembap disisir rapi.
Azzam
segera mengatur langkah ke arah gadis kecil molek itu. Nasibnya begitu baik
kerana gadis itu berada di bangku berdekatan dengan kaunter pertanyaan. Mungkin
sedang berehat agaknya. Disebelahnya pula masih kosong tidak berpenghuni. Derap
kasut yang kedengaran lantang mengejutkan gadis itu yang sedang leka bermain
telefon bimbit. Mujur saja pegangan tangannya erat. Reaksi terkejut secara
spontan dapat dilihat dengan jelas oleh Azzam. Azzam tersenyum kecil.
“Saya
minta maaf kerana mengejutkan awak,” ujar Azzam yang tersenyum manis.
Gadis
itu hanya tersenyum malu. Ketara dilihat pipinya berona merah.
“Boleh
saya duduk?” soal Azzam.
“Duduklah,”
jawab gadis kecil molek itu ringkas.
Tanpa
berlengah lagi, Azzam terus menghenyakkan punggungnya di sebelah gadis itu.
Gadis kecil molek itu segera memasukkan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.
Lalu merenung wajah Azzam dalam-dalam.
“Macam
mana interview?” Gadis itu memulakan
perbualan.
“Alhamdulillah,”
jawab Azzam, yakin.
“Ya
ke? awak mohon jawatan apa?” soal gadis itu lagi.
“Housekeepingaje,” Azzam menjawab sambil
tersengih.
“Ooo.
Boleh saya tengok fail awak?”
“Boleh,
kejap,”
Azzam
mencapai beg galasnya yang masih berada di belakang tubuhnya. Zip di bahagian
tengah ditarik pantas, sebuah fail berwarna biru dicapai keluar lalu dihulur
kepada gadis itu tanpa bicara.
Cepat-cepat
gadis itu meneliti setiap helaian fail tersebut. Dia hanya tersenyum sambil
mengangguk. Lantas fail itu dihulurkan semula kepada Azzam. Gadis itu menatap
wajah Azzam sambil tersenyum.
“Dah
habis?” tanya Azzam, tersengih.
“Kenapa
awak mohon jawatan housekeeping?
Sedangkan awak lulusan dari luar negara.” Gadis itu menyoal dengan nada yang
serius.
“Sebab
saya suka bekerja dari bawah. Awak faham kan apa yang saya maksudkan?” soal
Azzam lagi.
“Ya
saya faham. Tapi, kerja housekeeping
ni bahaya sikit tau. Selalunya pekerja dapat bertahan selama dua minggu aje.
Kemudian terus letak jawatan. Saya harap awak dapat bertahan lama. Nanti tak
ada pulak orang yang boleh saya berborak,” ucap gadis itu sambil tersenyum
sipu.
“Bahaya?
Apa maksud awak?” Azzam mula mengajukan pertanyaan. Dahinya tampak sedikit
berkerut.
“Kapal
St. Queen tu selalu berlayar ke seluruh dunia. Banyak penumpang yang akan naik
kapal mewah tu. Setiap kali kapal transit, berbagai-bagai manusia yang akan
kita jumpa. Ada yang berkulit putih, hitam dan ada juga yang kacak macam awak.
Dahlah, saya nak kemas barang kejap. Awak baliklah dulu, nanti kita jumpa
lagi,” ujar gadis itu dengan panjang lebar sebelum bingkas bangkit dari bangku.
“Oh
itu aje ke? Saya ingatkan kapal tu berhantu.” Azzam membalas sambil menggaru
kepalanya yang tidak gatal itu.
Gadis
itu tersenyum hambar.
“Borak
punya borak, awak belum perkenalkan diri lagi,” ujar Azzam.
“Saya,
Qistina. Boleh panggil, Qis.” Gadis itu memperkenalkan namanya sebelum mengatur
langkah ke kaunter pertanyaan.
Azzam
hanya melihat gerak kaki Qistina yang diatur ke kaunter pertanyaan. Sesekali
dia tersenyum sendiri. Masakan tidak, belum pernah lagi ada gadis yang memuji
tentang rupa parasnya. Jam ditangan ditatap buat seketika. Azzam harus segera
pulang dek kerana jarum jam hampir menjengah ke angka tujuh malam.
Azzam
mula mengorak langkah ke pintu keluar. Sesekali dia diserang seram sejuk ketika
melewati ruangan yang sedikit kelam. Azzam mengusap di sekeliling lehernya.
Tidak semena-mena, bulu romanya merinding seram.
Sejuk
sangat malam ni, desis Azzam di dalam hati. Dia terus berjalan mendekati kereta
kancil miliknya yang diparkir tidak terlalu jauh dari situ. Ruangan parkir itu
kelihatan lengang. Hanya satu dua sahaja kereta yang masih berbaki. Sesekali
Azzam merasakan seolah-olah diperhatikan. Dia melihat sekeliling sebelum
melangkah masuk ke perut kereta.
“Hoi...!”
Tiba-tiba
bahunya ditepuk seseorang. Azzam segera berkalih dengan hati yang
berdebar-debar.
“Qis...!
Terkejut saya,” getus Azzam sambil mengusap-usap dadanya. Nafasnya turun naik.
“He
he... maaflah. Awak kenapa berpeluh sangat ni? Nampak hantu, ya?” sakat Qistina
sambil ketawa kecil.
“Mana
adalah. Awak kenapa belum balik ni?” Azzam menjawab sambil mengesat peluh di
dahinya.
“Saya
tengah tunggu member saya. Kejap lagi
dia datanglah tu,” ujar Qistina.
Tiba-tiba
satu bunyi deraman yang kuat mengejutkan Azzam dan Qistina. Lekas Qistina
memaling wajahnya ke sesuatu tempat yang tidak jauh dari situ.
“Awak,
kawan saya dah datang tu. Nanti kita jumpa lagi, ya.” Qistina terus melangkah
laju ke arah kereta tersebut. Kereta Wira kelabu yang dipandu teman Qistina
tampak sedikit lusuh.
Azzam
segera masuk ke perut kereta. Enjin dihidupkan dan gear ditukar sebelum kereta
kancil itu bergerak ke belakang dengan perlahan. Lantas Azzam menukar semula
gear sebelum keretanya bergerak laju ke depan dan terus membelah jalan yang
licin.
****
Hari Pertama
Azzam
kelihatan kemas dengan seragam krew kapal St. Queen. Baju berkolar putih yang
dikenakan bersama seluar slackhitam
dilihat sempurna di tubuh Azzam. Hari ini merupakan hari yang pertama dia
bekerja di bahagian housekeeping.
Sesudah subuh lagi dia telah berada di Pengkalan Weld Quay. Sementara menunggu
kapal mewah St. Queen tiba, dia sempat menjengah-jengah mencari kelibat
Qistina.
Namun,
dia hampa. Kelibat Qistina langsung tidak dilihat disitu. Hanya beberapa orang
gadis sahaja yang berada di sekitarnya. Penglihatan Azzam mula berarah kepada
gadis-gadis tersebut. Ada yang sibuk dengan telefon bimbit dan ada juga yang
tidak habis-habis mengenakan make-up
di wajah. Azzam tersenyum meleret tatkala melihat kerenah mereka.
Azzam
mula mengatur langkah ke tepi laut. Air laut mula pasang. Kelihatan juga
beberapa ekor ketam sedang berlari membawa diri. Risau jika dibadai ombak
gamaknya. Sesekali Azzam terketawa kecil melihat gelagat sang penyepit itu.
“Kau
pun tengah tunggu kapal datang ke?” soal satu suara misteri dari belakang
Azzam.
Azzam
segera berkalih ke belakang. Kelihatan seorang pemuda sedang berdiri sambil
mengulum rokok di mulutnya. Pakaiannya mirip seperti Azzam. Hal itu membuatkan
Azzam tersenyum manis. Persepsi demi persepsi mula hadir di benaknya.
“Ya.
Kau kerja bahagian mana?” soal Azzam sambil menghulurkan tangan kanannya.
“Aku
housekeeping. Kau?” jawab pemuda
bertubuh tegap itu. Tangan kanan yang dihulur Azzam segera disambutnya. Lalu dijabat
seperti biasa.
“Samalah.”
Azzam segera mengukirkan senyuman yang meleret.
“Baguslah.
Ada jugak geng. Aku, Farid,” ujar pemuda itu yang memperkenalkan dirinya
sebagai Farid.
“Aku,
Azzam.”
Mereka
berdua saling tersenyum. Batang rokok yang dikulum Farid sejak tadi sudah
dilempar ke tanah. Beberapa minit kemudian, satu bunyi yang bingit mula menusuk
masuk ke gegendang telinga mereka. Kelihatan sebuah kapal mewah yang tertera
tulisan ‘St.Queen’ di badannya muncul membelah kabus pagi. Masing-masing yang berada
di pengkalan itu tersenyum panjang.
Kapal
St. Queen yang berwarna perak bersinar itu sungguh indah dilihat. Saiznya yang
amat besar dipercayai mampu memuatkan lebih daripada 10 000 penumpang dalam
satu masa. Lampu cerah yang terpasang membangkitkan lagi kemewahan kapal
tersebut. Azzam dilihat sedang tersenyum gembira. Angan-angan yang dibina
selama ini untuk menjejakkan kaki di dalam kapal mewah sudah hampir tercapai.
“Hoi...!
Kau tunggu apa lagi tu? Jom masuk,” ajak Farid yang sudah menggalas sebuah beg
yang terpapar lambang ‘Deuter’.
Azzam
segera mendapatkan beg galasnya. Lalu terus mengekori Farid dari belakang.
Tumpuannya masih berarah kepada badan kapal tersebut. Sebaik tiba di pintu
masuk, Farid dan Azzam diarahkan untuk ke ruangan krew kapal. Mereka hanya
menuruti permintaan krew kapal yang telah sedia bertugas di kapal itu.
“Mewahnya
kapal ni. Sumpah baru pertama kali aku naik,” ujar Azzam kepada Farid.
Azzam
memerhati di setiap inci ruangan dalaman Kapal St. Queen. Dinding kapal
tersebut tampak berkilau dengan warna emas. Azzam terlalu ghairah melihat
kemewahan kapal tersebut. Beg galasnya diletakkan di sebelah Farid yang
awal-awal lagi telah membuat keputusan untuk berehat di atas sofa.
Azzam
segera mengatur langkah ke bahagian penumpang. Ruangan itu telah dipenuhi
dengan lautan manusia. Bercampur jantina lelaki dan perempuan. Masing-masing
menggayakan pakaian yang tampak mewah. Seolah-olah ada majlis besar-besaran
yang akan dilakukan seketika nanti.
“Azzam,”
sapa Farid dari belakang tubuhnya.
“Ya,
bro. Ada apa?” soal Azzam semula.
“Jom,
dia orang nak kasi briefing sikit.”
Farid terus berjalan kembali semula ke ruangan krew kapal.
Azzam
hanya mengangguk.
****
Setelah
beberapa jam dibawa melawat ke ruangan di dalam Kapal St.Queen, kini Azzam dan
Farid tiba di ruangan yang menempatkan sejumlah besar bilik penginapan
penumpang. Satu per satu nombor bilik perlu diingati mereka. Seketika kemudian,
seorang lelaki yang lengkap berpakaian pejabat berserta kot hitam dilihat
sedang memasuki sebuah bilik yang bernombor 119. Azzam hanya merenungi wajah
lelaki tersebut.
“Farid,
kau perasan tak mamat tu?” soal Azzam dengan nada berbisik. Mulutnya
dimuncungkan ke arah bilik itu.
“Takpun,
kenapa?” tanya Farid semula sambil matanya berarah ke arah lain. Langsung tidak
memandang ke arah yang dituju Azzam.
“Muka
dia merah. Macam tengah menangis,” ujar Azzam, bersungguh-sungguh.
“Ada
masalah kut. Biarlah...” ucap Farid, selamba.
“Kalah
judilah tu.” Tiba-tiba ada seseorang di belakang mereka yang menyampuk
perbualan Farid dan Azzam.
Azzam
mula tidak sedap hati. Dia memandang nombor di pintu bilik itu. Nombor 119.
Azzam mula merencanakan sesuatu. Sebaik kesemua penumpang dan krew kapal merehatkan
diri, dia perlu bertemu dengan lelaki tersebut. Jika benar lelaki itu kalah
dalam perjudian, Azzam perlu segera menemuinya.
****
Seperti
yang dirancangkan, senyap-senyap Azzam menyusur keluar dari ruang rehat krew
kapal. Dia masih bertegas untuk menemui lelaki tersebut. Jam ditangan ditilik
seketika. Jarum pendek betul-betul berada di angka satu pagi. Jarak dari ruang
rehat ke ruangan penginapan penumpang agak jauh.
Beberapa
minit telah berlalu, kini Azzam telah berada di ruangan tersebut. Dia segera
mencari-cari nombor bilik 119. Namun, Azzam mula mengerutkan dahinya. Masakan
tidak, di ruangan tersebut hanya menempatkan sehingga bilik yang ke 118 sahaja.
Azzam mula runsing memikirkannya.
Takkan
aku tersilap tengok kut...! Keluh Azzam di dalam hati.
Dengan
tidak semena-mena, anak matanya terpandang sebuah bilik yang pintunya dipalang
ketat. Pintu bilik tersebut juga tidak sama seperti pintu yang lain. Ianya
merupakan daun pintu yang diperbuat daripada besi. Tombol pintu turut tidak
kelihatan disitu.
“Ehem...”
Tiba-tiba,
bunyi berdehem garau lantang kedengaran. Hati Azzam mula berdegup kencang.
Risau jika kehadirannya disitu diketahui orang. Azzam mula bertindak ingin
melarikan diri. Sempat juga fikirannya ligat berputar memikirkan cara untuk
Azzam menyembunyikan diri.
“Tap...
tap... tap...”
Kali
ini bunyi seperti derapan tapak kaki yang kuat. Bunyi itu seakan-akan bergema
di setiap ruang dalam Kapal St.Queen. Makin lama makin kedengaran kuat. Azzam
mula hilang kawalan. Apapun yang terjadi, dia harus cepat menyembunyikan diri.
Secara tidak langsung, dia terus merempuh pintu besi bilik yang dipalang itu.
Serta-merta tubuhnya diserap masuk ke dalam bilik tersebut.
Usai
berada di dalam bilik yang dipalang itu, Azzam yang sedang terbaring segera
bangkit. Ruangan di dalam bilik itu gelap gelita. Tiada langsung sebarang garis
cahaya. Hanya bunyi enjin kapal yang bingit menemaninya kala itu. Azzam segera memandang keseluruhan bilik itu dengan mata
yang terkebil-kebil. Tiba-tiba, hidungnya menangkap satu bau yang aneh. Bau
tanah yang masih berlumpur.
Azzam
memekup hidungnya dengan tapak tangan kanan. Tangan kirinya terkapai-kapai
mencari suis lampu bilik tersebut. Pelan-pelan dia berganjak ke dinding bilik.
Tanpa sebarang bicara, dia segera meraba-raba di dinding bilik itu. Tiba-tiba,
tangan kirinya tersentuh sesuatu. Teksturnya seakan-akan kain. Azzam terus
meraba-raba kain itu. Alangkah terkejutnya dia apabila tersentuh sesuatu yang
membunjut.
Azzam
meneliti bunjut itu. Bunjut itu kelihatan seperti bungkusan guni yang diikat
diatasnya. Dengan tidak semena-mena, bunyi berdehem sekali lagi kedengaran.
Serta-merta nafas Azzam turun naik.
“Ehem...”
Azzam
memaling wajahnya ke belakang. Tiada sesiapa yang berada disekitarnya. Lantas
dia memalingkan wajahnya ke arah bunjut itu semula. Alangkah terperanjatnya
Azzam sebaik terlihat sepasang mata yang berwarna merah menyala di hadapannya.
Lidahnya terkelu bukan kepalang. Bebolanya mata juga terbuntang luas.
Makhluk
bermata merah itu mula bergerak dari tempat asalnya. Dia melompat-lompat dari
satu tempat ke tempat yang lain. Bunjutnya juga kelihatan seperti sedang
melambai-lambai. Azzam masih terpaku disitu. Sepasang kakinya juga dirasakan
seperti tertanam di lantai bilik tersebut.
Makhluk
itu terus melompat-lompat kecil mendekati Azzam. Pandangan mata Azzam juga mula
berbalam-balam. Namun, sempat juga dia memerhati ke sudut bilik. Terdapat
sekeping papan tanda yang tertera tiga angka nombor. Nombor 119. Azzam terus
terjelepok jatuh ke atas lantai. Makhluk yang dilihat sebagai pocong itu hanya
tersenyum.
****
“Azzam,
Azzam. Bangunlah...” Farid menampar-nampar lembut pipi Azzam.
Azzam
mulai sedar. Dia bingkas memanggungkan kepalanya. Lantas dia memandang
sekeliling. Begitu ramai orang yang memerhatinya kala itu. Ada yang masih
lengkap berpakaian tidur. Ada juga yang berseluar pendek mahupun hanya bertuala.
“What’s going on?” salah seorang
pelancong asing mula bersuara.
Azzam
meraup wajahnya berkali-kali. Kedua belah matanya juga digenyeh-genyeh. Dia
memandang wajah Farid yang masih menanggung kantuk.
“Kau
ni dah kenapa?” soal Farid sambil menggosok matanya.
“Kenapa?
Kenapa apa?” Azzam masih lagi keliru.
“Yalah.
Yang kau baring kat sini buat apa? Pastu kau meronta macam orang kena rasuk.
Sampai satu kapal dengar kau jerit,” ujar Farid sambil membantu Azzam untuk
bangkit.
Azzam
masih keliru. Berkali-kali dia memandang ke arah bilik yang dipalang itu.
Bagaimana dia boleh berada di luar sedangkan dia sudah berada di dalam bilik
itu tadi? Siapakah yang mengeluarkan dia dari situ? Apa kaitan bilik itu dengan
bilik yang bernombor 119? Pelbagai persoalan mulai membenih di benaknya.
“Sudahlah.
Kau pergi rehat. Muka kau pucat semacam aje ni,” pinta Farid lalu segera
memapah Azzam ke ruang rehat krew kapal.
Azzam
hanya mendiamkan diri. Dia hanya menuruti permintaan Farid tanpa sebarang
kekangan.
Sesudah
tiba di ruang rehat, dia segera membaringkan tubuhnya di atas katil. Namun,
matanya masih tidak boleh lelap. Ada saja yang serba tak kena. Segera dia
mencapai telefon bimbitnya. Lalu Azzam terus mencari nombor telefon Qistina.
Butang dail ditekan.
Azzam
mula hampa. Nombor telefon Qistina tidak dapat dihubungi. Seperti yang
dikatakan operator tersebut, nombor telefon Qistina tiada dalam perkhidmatan.
Azzam mengeluh kasar. Telefon bimbitnya dicampak di tepi bantal. Namun dicapai
semula tidak sampai beberapa saat.
Azzam
terus menekan aplikasi pesanan mesej. Nombor telefon Qistina dimasukkan di
ruangan penerima.
Qis, awak pergi mana? Saya call pun tak dapat. Saya
ada sesuatu nak tanya awak. Awak ada maklumat tak tentang bilik penginapan
penumpang yang bernombor 119? Saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Lagi satu,
bilik yang daun pintunya dipalang dengan rantai besi. Saya musykil kenapa bilik
itu kunci? Saya harap awak balas mesej ini ya.
~Azzam~
Azzam
terus menekan butang hantar. Selepas beberapa minit, telefonnya dicampak ke
tepi bantal semula. Kain selimut yang menutupi kedua belah kakinya ditarik
hingga paras bahu.
Siang
tadi aku yakin memang bilik itu tak ada. Tapi, kenapa tadi bilik itu ada? Ke
sebenarnya bilik tu dan bilik bernombor 119 adalah bilik yang sama? Kalau sama,
kenapa siang tadi bilik tu tak dikunci? Malam dikunci dengan palang besi lagi.
Azzam meneka-neka di dalam hati.
Seketika
kemudian, dia terus memejamkan matanya. Risau jika kepenatan pada esok hari. Azzam
perlu merehatkan diri untuk melaksanakan tugas pada hari seterusnya. Misteri
tentang bilik 119 masih bermain-main di fikirannya.
~ TAMAT ~