DUA orang lelaki itu diam kembali. Mereka berdua kini 
berasa tidak selesa walaupun perjalanan mereka dilihat 
lancar tanpa sebarang kenderaan di atas lebuh raya itu. 
Namun, ketakutan jelas merangkul hati salah seorang 
daripada mereka. Terutama apabila sekali-sekala dia terlihat 
kewujudan seorang rakannya di pinggir jalan. Walhal 
rakannya itu sedang berehat di rumah, jauh di ibu kota. 
Mustahil boleh berada di lebuh raya pantai timur dengan 
kadar yang singkat.
Lelaki Melayu itu langsung tidak menyangka dia dan 
rakannya yang berketurunan India yang sedang memandu 
itu diganggu. Lelaki Melayu itu tidak habis-habis 
menyalahkan dirinya kerana celopar. Pada ketika lelaki 
Melayu itu sedang dilanda kegalauan dan resah, rakannya 
yang sedang memandu menjerit lalu memutarkan stereng 
lorinya ke kiri dan ke kanan.
“Kenapa ni?” soal lelaki Melayu.
“Ada orang berlari ke arah kita!” jerit lelaki India.
Memang benar apa yang dikatakan lelaki India itu. 
Lelaki Melayu itu turut melihat seorang lelaki sedang 
berlari di tengah-tengah lebuh raya. Susuk lelaki itu sedang 
berlari menghala ke arah lori mereka berdua.
“Tu...tu... Mustahil!” jerit lelaki Melayu akhirnya. 
Dia melihat susuk seperti rakan karibnya sedang berlari 
dengan wajah yang bengis ke arah mereka.
Seketika tadi kedua-duanya ada terserempak dengan 
susuk menyerupai rakan sekerja mereka di pinggir lebuh
raya. Kini susuk itu menjelma lagi. Kerana sudah terlalu 
dekat, lelaki India itu terpaksa merempuh susuk yang 
menyerupai rakan sekerja mereka itu. Kerana panik dan 
tidak dapat mengawal stereng dengan baik, lelaki India itu 
terus memutarkan stereng lorinya ke arah tebing lebuh
raya.
Disebabkan keadaan sudah terlambat, lori yang 
dipandu lelaki India itu meluru merempuh benteng di 
pinggir lebuh raya. Akhirnya lori menjunam ke lurah yang 
membawa ke ladang kelapa sawit yang berhampiran. 
Jeritan dua sahabat di dalam lori bersilih ganti. Lori 
berwarna putih itu terus menjunam dan menghentam 
permukaan tanah.
Lelaki Melayu terpelanting keluar melalui cermin depan 
lori. Kepala dan tangannya mengalami kecederaan teruk 
kerana terkena ketajaman serpihan kaca. Nasib lelaki India 
sedikit baik kerana memakai tali pinggang kaledar 
menyebabkan dia tidak terpelanting seperti rakannya. 
Cuma kepalanya terhantuk dengan kuat, menyebabkan dia 
pengsan serta-merta di situ.
“To...tolong,” rintih lelaki Melayu dalam nada lemah.
Namun, tidak ada sesiapa di situ yang mendengar 
rintihannya.
“Sa..kit,” rintih lelaki Melayu tersekat-sekat.
Dia yang terdampar tidak bermaya di atas tanah, hanya 
mampu melihat langit malam yang cerah dihiasi bintang-
bintang. Lelaki Melayu itu semakin lemah. Raungan 
kesakitannya juga semakin tidak kedengaran lagi.