“Assalamualaikum
Jue…”Satu pesanan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp
dihantar kepada Juliana. Selepas 15 minit menunggu, masih tiada sebarang mesej
balas yang diterima. Sekali lagi kelihatan jari-jemari Arman menari-nari di
permukaan skrin telefon pintarnya.
“Juliana..
awak tahu kan saya sayangkan awak, dan saya juga tahu awak sayangkan saya. Tapi
untuk membina satu mahligai perkahwinan kita perlu restu dari kedua orang tua
kita Jue. Saya dah tak ada ibu bapa jadi sebolehnya saya memang tak mahu ada
sebarang hubungan yang keruh dengan bakal ibu dan bapa mertua saya. Saya faham
awak satu-satunya anak perempuan mereka, sudah semestinya mereka nak yang
terbaik untuk awak dan saya bukan yang terbaik Jue. Maafkan saya Juliana, but i hope can still keep contact with you.
Saya akan tetap sayang awak Jue.”
Sekali lagi telinga
Juliana menangkap bunyi deringan mesej masuk ke telefon bimbitnya. Dengan mata
yang masih bertakungan air, Juliana membaca mesej dari Arman. Tanpa sedar
takungan air matanya mengalir ke pipi, mengalir dan terus mengalir. Kali ini
Juliana tidak lagi mampu menahan untuk tidak membalas mesej dari kekasih
hatinya itu.
“Awak
dah give up?” Awak cakap awak
sayangkan saya tapi tak sangka begini mudah awak putus asa Arman.”
Kedengaran nada kesal tersembunyi disebalik tulisan mesej dari Juliana.
“Saya
bukan putus asa Jue, tapi kehendak ayah awak terlalu tinggi. Memang darjat kita
tak sama, saya tak mampu Jue. Memang salah saya sendiri mencintai orang yang
setinggi taraf awak, saya minta maaf Jue. Awak sendiri dengar apa yang ayah
awak cakap. Saya dah tak ada maruah untuk berhadapan dengan keluarga awak lagi
Juliana.”
“Arman,
awak jangan cakap macam tu. Saya akan cuba pujuk ayah saya ya. Saya lebih kenal
awak Arman, saya tetap sayangkan awak.”Juliana cuba memberi
harapan, hanya itu yang diinginkannya ketika ini, kehidupan bersama Arman.
“Baiklah
Jue, awak cubalah bincang dengan family
awak ye. Saya hanya mampu berharap awak dapat ubah keputusan family awak sekarang ni.”
Perbualan mereka terhenti, masing-masing menggamit rasa rindu yang tidak
berpenghujung.
****
“Ayah, Jue nak kahwin
dengan Arman.” Keberanian dikumpul, perasaan yang terbuku di hati dimuntahkan
tanpa berselindung. Haji Darus tersentap, mood
nya untuk menonton televisyen direntap Juliana.
“Juliana, ayah dah bagi
jawapan. Cukup! ayah dah tak mau dengaq apa-apa lagi tentang Arman. Keputusan
ayah muktamad!.” Suara Haji Darus cukup tegas kedengaran.
“Tak kan sebab Arman
kerja Pengawal Keselamatan, ayah nak hina dia macam tu? Dia baik ayah, baik
sangat. Jue dah lama kenal dia ayah, niat dia baik nak jumpa mak dan ayah untuk
pinang Jue. Jue yakin ayah, Jue yakin akan bahagia dengan Arman. At leastbagilah peluang dekat dia untuk
buktikan sesuatu pada ayah dan mak.” Juliana terus memujuk tanpa lelah.
“Ramai lagi lelaki yang
baik dan kerja lebih elok dekat luaq tu. La ni ayah nak hang lupakan Arman. YB
Ishak dah bincang dengan ayah, dia nak jodohkan anak dia si Faizal tu dengan
hang. Dia tu budak baik, keluarga pun baik-baik, kerja pun elok dah dok jaga
syarikat YB Ishak tu. Ayah dah setuju dah. Tak lama lagi keluarga depa nanti
mai merisik hang.” Juliana bagaikan menerima tamparan dari ayahnya sendiri,
otaknya bagaikan gagal berfungsi, hampir seminit tiada nada kedengaran dari
Juliana.
“Ayah cakap apa ni?”
Tidak percaya, Juliana tidak percaya apa yang baru sahaja didengarinya. Faizal?
Juliana cukup kenal lelaki ini, lelaki yang sentiasa dikelilingi ramai wanita
dan cukup sosial kehidupannya.
“Ayah rasa hang dah
dengaq apa yang ayah cakap tadi, tak perlu ayah nak ulang lagi banyak-banyak
kali. La ni ayah nak hang bersedia untuk terima Faizal.” Ringkas kata-kata dari
Haji Darus.
“Ayah, kenapa Faizal?
Ayah bukan tak kenai Faizal tu macam mana orangnya.” Juliana bingung memikirkan
bagaimana ayahnya setuju untuk jadikan lelaki sebegitu sebagai menantu.
“Itu dulu, sekarang dia
dah berubah. Manusia boleh berubah Juliana, lagipun ayah cukup kenal keluarga
YB Ishak tu. Ayah tak ada masalah nak berbesan dengan mereka. Dengar cakap ayah
Juliana, lupakan Arman.”
“Dulu pun ayah bukan
orang senang, tapi mak tetap terima ayah. Kenapa tidak Arman?”
“Juliana!” Satu
tamparan tangan kasar seorang lelaki hinggap di pipi putih Juliana. Haji Darus
tidak dapat menerima kebiadaban anaknya dengan kata-kata sebegitu.
Pipi sakitnya dipegang,
amarahnya berkuasa. Juliana terus berlari ke bilik, tanpa daya hanya mampu
teresak dengan tangisan. Keesokan harinya, Juliana tidak pergi ke kerja seperti
biasa, dirinya dikurung sendiri di dalam bilik. Emosinya masih belum stabil.
Tiba-tiba kedengaran pintu biliknya diketuk.
“Jue, buka pintu Jue,
mak nak cakap sikit.” Kedengaran suara Puan Hasmah di sebalik pintu.
“Bukalah pintu tu mak,
tak kunci pun.” Jika dibandingkan Puan Hasmah
dengan Haji Darus, Ibu Juliana ini lebih tenang dan rapat dengan
anak-anak. Tidak hairanlah kenapa Juliana dan abangnya lebih selesa berkongsi
masalah dengan ibu mereka.
Puan Hasmah
perlahan-lahan memulas tombol pintu bilik anak dara tuggalnya itu. Kedudukan
diambil bersebelahan Juliana yang sedang duduk di atas katil.
“Jue, mak faham
perasaan Jue. Selama ni mak dan ayah besarkan Jue dan abang tanpa kurang
apa-apapun. Tak kan soal memilih jodoh untuk Jue kami nak main-main. Mak tak
ada masalah untuk terima Arman, tapi mak juga faham kenapa ayah kamu membantah.
Ayah Cuma nak yang terbaik untuk kamu Jue, dia nak tengok Jue bahagia tanpa
kekurangan.” Puan Hasmah cuba memujuk Juliana dengan cara berbincang secara
tenang.
“Tapi mak, Arman pun
baik. Jue dah lama kenal dia mak. Dia betul-betul ikhlas sayangkan Jue dan Jue
yakin dia boleh bimbing Jue ke arah yang lebih baik.” Mana mungkin cinta yang
dipupuk selama ini dapat dilenyapkan dalam sekelip mata. Mustahil bagi Juliana,
mustahil!.
“Jue.. Selama ini mak
dengan ayah tak pernah minta apa-apa pun daripada Jue. Cuma sekarang ni mak cuma
nak minta satu sahaja dari Jue, ikutlah kehendak ayah kamu, jangan derhaka nak.
Kalau selama ini segala permintaan Jue kami turutkan, kenapa tidak Jue tunaikan
satu permintaan kami. Kami cuma nak kan yang terbaik untuk Jue. Semalam ayah
cakap keluarga YB Ishak akan datang untuk merisik Sabtu ni, mak harap sangat
Jue dapat terima Faizal. Fikirkanlah ya nak, jangan lukakan hati kami ibu bapa
Jue.” Bahu Juliana ditepuk-tepuk beberapa kali dan tanpa mengharapkan apa-apa kata
balasan dari Juliana, Puan Hasmah terus bangun dan beredar memberi ruang untuk
anaknya berfikir sendiri.