Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,267
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 14

HANA mula terbatuk-batuk akibat terhidu gas beracun. Asap yang mula memenuhi ruang bilik sempit itu sungguh menyesakkan dada. Semakin dia menendang pintu, semakin galak pula si penculik mentertawakannya. Sungguh, tekaknya mula perit dan pandangannya turut kabur.

“Ya Allah.” Hana terdesak. 

Matanya memandang jam tangan. Lagi lima minit sebelum cukup 20 minit dia berada dalam gudang. Disebabkan telefonnya berada di luar, dia terputus hubungan dengan pasukan penyelamat. Lima minit merupakan masa yang cukup lama sebelum pasukan polis menyerbu masuk ke sini.

Sekali lagi, Hana meliarkan pandangan ke sekeliling bilik. Bilik itu tidak mempunyai tingkap. Walaupun hanya lubang pendingin hawa di siling saja yang ada, namun amat mustahil baginya untuk meloloskan diri. Tambahan lagi, pandangannya mula dikelabui dengan asap. 

Dalam keadaan cemas itu, dia tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada berdoa kepada Allah SWT agar ada yang menyelamatkannya. 

Namun begitu, dalam keadaannya yang sudah seperti putus harapan, bunyi ketukan bertalu-talu di pintu dan bunyi rantai kunci ditarik-tarik serta-merta memberikan sinar baru kepadanya. Terburu-buru, dia bangun dari duduknya lalu mengetuk-ngetuk pintu sekuat hatinya.

“Tolong!” jerit Hana dengan disulami batuk-batuk keras.

“Ke tepi, inspektor!” Kedengaran suara menyuruhnya agar beredar ke tepi.

Menurut arahan, cepat-cepat dia berundur ke belakang bagi memberikan laluan kepada orang di luar untuk membukakan pintu. Dalam masa dua saat, pintu bilik serta-merta terbuka setelah ditendang kuat oleh sang penyelamatnya. Dalam suasana berkelabut, terzahir di matanya figura seorang lelaki berketinggian 180 cm menerpa cemas ke arahnya.

“Hana!” 

“Rayyan,” sahut Hana dengan penuh rasa bersyukur. 

“Kau okey? Boleh jalan? Boleh lari?” tanya Rayyan, cemas.

Pertanyaan Rayyan dijawab dengan anggukan oleh Hana dek tekaknya masih lagi berasa perit dan helaan nafasnya juga masih belum stabil. Tercungap-cungap dia cuba menghirup udara segar sebaik sahaja kakinya berjaya menapak keluar dari bilik yang dipenuhi asap tersebut.

“Falcon, bawa masuk baby aku sekarang.” Tidak menunggu lama, Rayyan terus memberikan arahan kepada Syafiq melalui earbud di telinga. 

“Macam mana kau boleh ada dekat sini?” tanya Hana. Kemunculan Rayyan di sini sangat tiba-tiba.

“Nanti aku cerita, okey?” balas Rayyan.

“Aku tak percaya kat kau.” Hana berundur beberapa langkah ke belakang. Walaupun Rayyan menyelamatkan nyawanya pada malam ini, namun rasa curiganya kepada lelaki itu tetap mekar dalam hati.  Bukan niatnya ingin bersangka buruk, namun dia sudah terbiasa syak kepada seseorang.

Melihat itu, Rayyan menarik nafas panjang. Keluhan kasar terlepas dari mulutnya. Kecil besar saja Hana pada pandangannya. Bukannya nak berterima kasih, malah dicurigai pula.

“Kalau aku tahu jadi macam ni, tak adanya aku nak selamatkan kau. Helo, cik kak. Kalau aku nak kau mati, tak perlu aku susah payah ekori kau dari tadi,” kata Rayyan. Sengaja muka geram ditayang kepada Hana supaya gadis itu reti bersyukur.

Walaupun dalam gelap, Hana perasan raut muka bengang Rayyan. Dia rasa bersalah, tapi dirinya memang sudah terbiasa mencurigai seseorang. 

“Aku minta maaf,” ujar Hana.

“Tapi tu tak bermaksud aku percaya kau 100%,” sambungnya pula. Perlahan.

Rayyan terus tertawa sinis apabila mendengar kata-kata Hana. Alahai, Hana Mikayla. Ada sifat curiga itu memang baik tapi terlebih curiga pun tak boleh juga. Malas mahu mempedulikan ulah Hana, dia memilih untuk diam.

Dalam dua detik, kereta miliknya berhenti tepat di depan mereka berdua di tengah gudang. Namun begitu, Hana yang melihatkan keberadaan kereta yang bergerak lalu berhenti di situ tanpa pemandu terus dipagut hairan. Sekonyong-konyongnya, dia memberikan pandangan pelik kepada Rayyan.

“Anak buah aku punya kerja. Cepat masuk, kita tak ada masa.” Rayyan membukakan pintu kereta untuk Hana. Setelah memastikan semuanya selamat, dia menghubungi Syafiq.

“Falcon, situasi?”

“Semuanya okey, Boss,” jawab Syafiq yakin. Matanya tekun di skrin komputer meneliti tinjauan pergerakan dari drone yang diterbangkannya ke gudang lama tersebut.

“Okey,” balas Rayyan lalu mematikan talian.

Gear undur diturunkan dan stereng dipulas. Namun, belum pun sempat dia menekan pedal minyak, satu figura tiba-tiba muncul di belakang kereta lalu menghadang pemanduannya dengan sehabis tenaga. Lelaki itu juga bertindak agresif dengan memecahkan cermin belakang kereta menggunakan bata sebelum dia bertindak pula melemparkan tukul besi ke cermin sisi di sebelah penumpang hadapan.

“Hana tunduk!” laung Rayyan seraya menundukkan Hana rapat ke bawah.

Prangg!

Pecah berderai cermin kereta dek hentaman tukul besi tersebut. Namun, malang menyebelahi Rayyan apabila serpihan kaca cermin daripada jenis dua lapisan mengena tangan dan lehernya yang terdedah ketika melindungi perempuan itu dengan badannya sendiri. Termengaduh dia dibuatnya, tetapi mujurlah hanya terdapat goresan kecil di lehernya. Rasa sakit ditahankan sebaik mungkin dek lelaki tersebut bertindak pula membuka pintu kereta lalu menarik Hana keluar.

“Rayyan, tolong!” jerit Hana sambil meronta-ronta dalam pegangan kemas si lelaki tersebut dari arah belakang. Dia masih lemas, tenaganya belum pulih untuk bergasak.

“Boss, Ace dan May dah masuk. Kami tunggu arahan je ni. Nak buat apa ni bos?” 

Bagai memahami geram hati Rayyan, tiba-tiba Syafiq bersuara di talian melalui earbud yang berada di telinga kiri bosnya. Walaupun bosnya telah mematikan talian tadi, tetap saja dia membuka semula talian tersebut dengan cara menggodamnya. Dia tidak perlu menunggu arahan Rayyan pun jika mahu berhubung terus dengannya.

Mendengar suara Syafiq, Rayyan menarik senyuman sinis lalu menalakan pandangannya kepada lelaki itu. Kalau Ren Hau dan Grace sudah masuk, ini bermakna keadaan berpihak kepadanya. Tiga lawan satu, memanglah penjahat ini takkan menang melainkan dia mempunyai balacinya sendiri. 

“Kau diamlah betina!” jerkah si lelaki tadi seraya mengacukan pisau ke leher Hana. 

Jerkahan tersebut memberhentikan Hana daripada terus meronta. Ketika ini, jantungnya berdegup kencang dek mata pisau diletakkan pula di pipinya. Terasa kesejukan besi pendek itu apabila bersentuhan dengan pipinya.

“Kau ingat aku ni bodoh sangat ke tak sedar yang duit tu duit palsu?” Kemarahan lelaki itu semakin meningkat.

Hana menelan air liur yang terasa tersekat di kerongkong. Kuat betul cengkaman lelaki ini sampaikan dia langsung tidak boleh bergerak walau seinci. Peluang untuk dia melepaskan diri adalah kosong!

“Lepaskan dia.” Rayyan menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan.

“Kau siapa? Sibuk je nak masuk campur urusan orang. Hei betina, kau ingat kan pesan aku jangan bagi tahu orang. Ni apa ni?” Lelaki itu menyeringai marah. 

“Tu bukan orang. Tu kambing,” jawab Hana geram. Buta ke sampai tak nampak mamat tinggi lampai yang tengah bersedia nak berlawan tu? 

Rayyan ternganga sedikit. ‘Aduh Hana, mulut kau memang tak ada insurans. Tak boleh baca situasi ke? Yang kau pergi provok dia kenapa?’

Melihat situasi sekarang, Rayyan dipagut rasa seram. Apatah lagi, penjahat itu seolah-olah tercabar dengan menayangkan muka menjengkelkan dan mengacah akan mencederakan Hana. Sekarang ini dia tidak boleh menjamin keselamatan perempuan itu. 

“Baik kau lepaskan dia sebelum aku lenyek kau jadi lepat pisang,” kata Rayyan disusuli dengan senyuman sinis. Lelaki ini perlu dialih perhatian segera.

“Huh! Kita tengok siapa akan jadi lepat pisang nanti,” balas lelaki itu dengan riak bengang.

Mendengar kata-kata lelaki itu, Rayyan terus menghamburkan tawa seraya menggaru-garu keningnya yang tidak gatal. Entah kenapa hatinya tergeletek apabila mendengar omongan tersebut. Kedengaran lucu pula di telinganya.

“Boss, nama dia Chong. Baru saja keluar penjara tiga hari lepas. 15 tahun lalu, dia kena sumbat ke penjara sebab menggubah wang haram, merogol, dan menculik.” Suara Syafiq tiba-tiba kedengaran dari hujung earbud.

Mendengar berita itu, Rayyan mengangguk. Memang tidak hairanlah kalau lelaki itu cepat saja sedar bahawa duit yang dibawa oleh Hana itu sebenarnya duit palsu. 

“Tak payah cakap banyaklah botak. Aku confirm kau yang akan jadi lepat pisang. Kau dah tua, skil dah berkarat. Lutut pun dah lemah hahaha,” kata Rayyan lagi seraya sengaja menghamburkan tawa.

“Sial mulut kau. Sama busuk macam aku!” Chong menyumpah seranah. Terbakar jiwanya apabila mendengar provokasi jejaka di hadapannya itu sekarang.

“Tak baik mencarut.” Dengan relaksnya, Rayyan menambah lagi sakit hati Chong dengan menayangkan pula senyuman sinis. 

“Tak guna!” Chong mencerlungkan matanya kepada Rayyan. 

Terus dia menolak kasar Hana ke lantai. Lantas, batang besi yang sedia berada di atas lantai diambil lalu dihunuskan ke arah Rayyan. Kiri dan kanannya bersenjata.

Oh, bagus! Melihatkan Chong sudah melepaskan Hana dan memfokuskan pula target marah kepada dirinya, Rayyan mengisyaratkan kepada Hana agar segera keluar dari situ. Hana dilihat menggeleng beberapa kali, namun dia tetap berkeras agar perempuan itu keluar secepat mungkin. 

“Pergi mati kau! Kecil-kecil tak nak mampus. Dah besar menyusahkan aku!” jerkah Chong garang. 

“Hiargh!” Chong memulakan serangan dengan melibas kasar batang paipnya kepada Rayyan.

Libasan itu agak pantas, namun tangkas lagi Rayyan mengelak. Dalam amukan Chong yang semakin menggila, dia terlebih dahulu mendekatkan dirinya kepada lelaki itu sebelum menghadiahkan tendangan padu ke perutnya. Chong tertunduk menahan senak, pisau di tangannya jatuh. 

Mengambil kesempatan itu, Rayyan tidak memberikannya peluang untuk berlama-lama mengaduh sakit. Tak cukup dengan tendangan, dia menghentam pula kepala lelaki botak itu dengan kedua-dua belah tangannya. Batang besi yang tergenggam kemas dalam pegangan Chong pula terlepas. Lantas, dia mengambil kesempatan tersebut dengan mencapainya lalu melemparkannya ke sudut dinding.

“Macam mana? Satu lawan satu.” Rayyan menghadiahkan senyuman sinis kepada Chong yang masih lagi tertunduk-tunduk menahan senak dan sakit kepala.

“Boss, Hana dah keluar,” lapor Syafiq di talian.

“Okey,” jawab Rayyan sepatah.

Lantas, dia kembali menumpukan perhatiannya kepada Chong yang kini dilihat semakin pulih daripada kesakitan yang diterimanya tadi. 

“Kau kacau pelan aku.” Chong mendengus kasar.

Well... kau tu dah tua. Bawa-bawalah bertaubat. Tak takut azab ke?” Rayyan menayangkan muka tak bersalah.

“Jantan tak guna,” marah Chong seraya mengacip kuat giginya. Pandangannya difokuskan kepada lelaki yang bakal dijadikannya lepat pisang. Dia sempat mencapai sebatang lagi batang paip lalu membuat libasan pantas ke arah musuhnya. Tapi, libasan tersebut hanya membelah angin. 

“Aku ingat skill kau hebat. Tapi tulah, dah tua susah nak bergerak,” provok Rayyan seraya mengelak lagi. 

‘Mak aii, kuat betul libasan dia. Ni kalau kena kat kepala, confirm jadi arwah terus. Tua bukan sebarang tua. Tua berbisa rupanya.’ Sempat Rayyan kagum dalam hati apabila melihat kekuatan tujahan Chong.

“Huh!” Chong terus menggasak lagi tetapi satu pun tidak mengena. Bunyi saja acah kuat.

Berasa kecewa, Chong melemparkan batang paip besinya ke tepi. Marah! Urat merah di dahinya jelas kelihatan timbul. Batang lehernya pula disengetkan ke kiri kanan sehingga menimbulkan bunyi tulang berlaga dan rahangnya pula sengaja dikuatkan.

Lantas, tanpa berfikir panjang, dia berlari kencang ke arah Rayyan lalu melayangkan beberapa buah sepakan. Namun, belum pun sempat sepakannya mendarat ke tubuh musuhnya, serangannya terlebih dahulu sempat dipatahkan dengan teknik sapuan lintang oleh lelaki tersebut. Natijahnya, Dia jatuh tersungkur menyembam lantai.

“Alah, tu aje ke? Bangun, bangun. Kesian aku tengok kau. Meh sini bangun. Takkan dah lunyai jadi lepat pisang kot? Baru sikit aku penyet kau.” Rayyan menghulurkan tangan kepada Chong dengan kelakuan mengejek.

“Aargh!” tempik Chong kuat seraya menepuk-nepuk lantai.

Semakin menggila marah, pantas dia bangun dari sungkurannya lalu mendepani Rayyan dengan suaranya sengaja dideramkan kuat. 

"Woo... woo... chill. Macam kerbau mengamuk!" Rayyan berundur ke belakang sambil ketawa. Entah kenapa, dia nampak manusia di depannya ni seperti hulk versi gelap saja.

“Budak, hari ni kau akan mati!” jerkah Chong. Tanpa berfikir panjang dia terus melakukan serangan dan asakan demi asakan tanpa henti. Asakan daripadanya membuatkan Rayyan terperosok ke dinding. 

Rayyan bersiaga. Musuhnya sekarang ini nampaknya sudah tidak boleh dipandang ringan lagi. Menyondol bak babi hutan. Habis semua di depannya dilibas dan ditendang. Empat lima kali juga dirinya disepak dan ditumbuk. Untung saja dirinya tidak terkena libasan batang paip. Bahananya dia kepenatan, sedangkan Ren Hau dan Grace tidak pula berkunjung tiba. 

Namun, saat itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, dia terpandangkan sesuatu yang membuatkan dirinya tersengih lega.

“Hei botak!” Rayyan tersenyum sinis.

“Huh?” Chong berhenti seketika sebelum tiba-tiba kepalanya dipukul dari arah belakang!

Efek pukulan maha kuat pada belakang kepalanya, pandangannya serta-merta berpinar-pinar. Sebelum rebah, sempat dia berpaling ke belakang. Dalam menahan kabur, berbalam-balam di matanya figura seorang perempuan berdiri sambil memegang batang besi.

“K... kau...betina tak guna!” sumpahnya sebelum tersungkur menyembah lantai.

“K... kau...jantan tak guna!” Hana mengajuk balik percakapan Chong. Segera dia melempang kuat pipi lelaki botak tersebut untuk memastikan sama ada sudah pengsan atau tidak.

“Fuh! Good job, Hana.” Rayyan mengangkat ibu jari kepada Hana. 

Tadi, sengaja dia menyuruh perempuan itu berlari keluar dari gudang bagi menampakkan bahawa dia itu benar-benar berjaya melepaskan diri. Walhal, itu hanyalah pelannya kepada Hana untuk bersembunyi mengira detik sesuai sebelum membuat serangan balas. 

Rayyan menghela nafas. Dirinya lelah. 

“Kau okey?” Hana melepaskan batang paip besi dan mendapatkan Rayyan.

“Hmm... okey aje,” balas Rayyan.

“Kenapa?” tanyanya pula.

“Emm... terima kasih… selamatkan aku.” Perlahan saja suara Hana berbicara.

“Tu nampak menyakitkan.” Hana menunjuk pula ke arah leher dan tangan Rayyan.

“Oh. Yalah aku luka. By the way, bukan gentleman kalau bergasak tak ada luka.” Rayyan menyentuh lehernya seraya ketawa perlahan. Terasa pedih. Tapi itu bukan masalah besar baginya. 

“Macam mana kau tahu aku ada kat sini?” tanya Hana seraya melihat ke arah Chong yang masih terbaring kaku di lantai. 

“Aku ternampak kau pagi tadi. Tapi, cara jalan kau pelik. Macam ada sesuatu tak kena.” Rayyan berjeda. 

“Jadi, aku pun ekori kau,” sambungnya pula.

“Uih... stalker!” Terpacul perkataan itu dari mulut Hana.

“Tak adanya aku nak stalk kau. Kau bukan taste aku. Jauh sekali idaman aku. Perasan!” Rayyan mencebik. 

“OMG mulut kau, puaka betul. Tak reti jaga hati orang.” Hana membulatkan mata. Terkejut. 

Choiii, kau pun sama. Mulut tak carum insurans. Nak provok si botak pun tak beragak. Bahaya tahu tak?” Rayyan memandang Hana tajam.

“Aku terpaksa tahu tak. Kau tu belum berlawan dah cedera, sedangkan kau harapan aku. Kau perlukan masa untuk standby berlawan. Sebab tu aku provok dia. Bukan aku saja-saja cari maut. Aku boleh rasa kekuatan botak ni macam gorila. Aku tak boleh bergerak. Kau pun boleh tahan...” 

“Wei Ace, sampai ke sudah batang hidung kau tak nampak,” kata Rayyan setelah menekan punat earbud di telinganya. Dia sudah malas mahu melayan bebelan Hana yang dirasakannya semakin panjang, jadi dia berbicara dengan Ren Hau pula.

“Seronok tengok Boss beraksi,” jawab Ren Hau sambil ketawa. Seronok betul dia dan Grace melihat aksi mendebarkan yang ditayangkan secara percuma di depan mata.

“Siap kau nanti. Aku potong gaji,” balas Rayyan. 

Terus dia menutup talian dan berpaling semula kepada Hana yang masih lagi terawang-awang tangan sambil mulutnya becok membebel. Lah, tak habis lagi rupanya membebel. Macam mak nenek! 

“.... kami ada perancangan tau. Bukan tak ada plan. Bahaya tahu tak bila orang awam masuk campur. Eh, kau dengar tak ni Rayyan?” Hana melambai-lambai tangannya ke muka Rayyan.

Well, kalau aku ni orang awam, kau pula siapa? Polis?” Rayyan tersengih melihat reaksi Hana yang termati kata. Perempuan itu sebelum ini sehabis daya menafikan identitinya. Akhirnya terkantoi juga!

“Aku tak nak masuk campur urusan polis. Jadi, anggap je aku tak wujud pun kat sini. Aku tak nak ada kaitan apa-apa. Jadi, kau settle sendiri ajelah ya malaun tu. Bye,” kata Rayyan lalu berjalan ke keretanya.

“Oh ya kalau mereka tanya, cakap kau tumbangkan sendiri botak tu. Kau kan hulk, berani datang sini seorang diri. Power woman gitu!” Sempat Rayyan mengejek Hana, sengaja mahu perempuan itu sedar diri sikit bahawa perbuatannya datang ke sini tanpa iringan polis adalah perbuatan berani mati.

“Hei!” laung Hana, geram.

Rayyan menekup telinga, buat-buat tuli. Dalam berjalan, sempat dia mengangkat tangan dan melambai dari belakang kepada inspektor itu. Setelah memboloskan diri ke dalam keretanya yang sudah tidak sempurna itu, terus dia menghidupkan enjin kereta.

Nasib baik enjin keretanya hidup. Terus dia menghalakan pemanduan ke pintu gudang. Namun, belum pun sempat dia menekan pedal minyak, tiba-tiba gudang itu dipenuhi dengan anggota polis beruniform taktikal. Siap mengacu senjata kepadanya pula tu!

“Alah…” keluh Rayyan.


>>> BERSAMBUNG DALAM NOVEL


* Untuk membaca kisah penuh Rayyan Razien dan Hana Mikayla, boleh dapatkan novel Inferno Bodyguard di mana-mana kedai buku di seluruh Malaysia, Shopee, Tiktok Shop dan Lazada.


* BLURB: 

Bagaimanapun jalannya, seperti apa pun prosesnya, ketentuan yang tercipta adalah kuasa Yang Esa. Dalam genggaman takdir, dua jiwa disatukan dalam satu alur waktu, mengikat perkaitan yang tidak mungkin terpisahkan oleh apa jua yang menghalang.

Rayyan Razien, ketua bodyguard di Campbell Corporation. Hidupnya berstrategi, pantas berfikir tangkas bertindak. Namun, ketenangannya tergugat apabila jantungnya memberi signal supaya melindungi seorang gadis bernama Hana Mikayla walau dengan apa cara sekalipun.

Hana Mikayla, polis yang menyamar sebagai wartawan di syarikat akhbar Nadi Kota. Tanpa sedar, dirinya menjadi target Mafia Death kerana formula dadah Blue Rose yang dipercayai disembunyikan oleh arwah Inspektor Khalid.

"Jangan pandang rendah kat aku."- HANA MIKAYLA

Campbell Corporation yang turut menjadi sasaran Mafia Death membuatkan Rayyan terpaksa bekerjasama dengan Hana walaupun mereka tidak pernah bersefahaman, kedua-duanya terpaksa akur dengan simpulan takdir antara mereka.

Kejutan menyapa Hana apabila DSP Haireen Jamilah membawa masuk Rayyan ke dalam pasukan polis bagi menyiasat kes pembunuhan yang dipercayai berkait rapat dengan dadah Blue Rose. Pelbagai tanda tanya turut mengisi benaknya tatkala melihat tingkah Rayyan yang kelihatan seperti penyiasat profesional. Kenapa mudah benar lelaki itu menebak dan membaca fikiran serta tindakan penjenayah?

"Hutang nyawa dibalas nyawa. Aku akan lindungi kau dengan nyawa aku sendiri." - RAYYAN RAZIEN

Adakah benar anggapannya selama ini bahawa Rayyan hanyalah orang biasa sahaja?

Apa sebenarnya rahsia 15 tahun yang lalu sehingga membuatkan Mafia Death begitu bersungguh-sungguh ingin menghapuskan mereka?

Serangan dan pertarungan yang berlaku sungguh mencabar kudrat. Nyawa mereka diasak bertalu-talu dari segenap penjuru. Cinta dan dendam silih berganti mewarnai darah yang mengalir. Tersalah langkah hancur binasa. Berpantang maut sebelum ajal, bangkit berdiri penuh berapi!

"Selagi bukan ajal, aku takkan mati."


* MAKLUMAT NOVEL:-

Tajuk: Inferno Bodyguard

Penulis: Angel_k20

Penerbit: Fajar Pakeer

Harga: RM 26 (Semenanjung) RM 29 (Sabah Sarawak)


Terima kasih.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20