Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
229,025
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 11

HANA baru sahaja keluar dari bangunan akhbar Nadi Kota. Jam menunjukkan pukul enam petang. Hari ini dia terpaksa pergi dan balik kerja dengan bas memandangkan kereta Myvinya masuk bengkel.

Sambil menunggu bas, Hana membaca surah al-Ikhlas dan bacaan surah itu diulang-ulang mengikut kemahuannya. Tiga kali baca surah al-Ikhlas bersamaan dengan satu kali khatam al-Quran. Rugi sangat kalau peluang ini tidak diambil. Sambil mulutnya terkumat-kamit membaca, Hana memandang jam tangannya. 

‘Lambat pulak bas nak sampai. Dahlah kawasan ni sunyi. Kenapa pondok bas selalu dekat kawasan macam ni? Menakutkan betul. Ni kalau ada orang jahat culik aku, memang tak ada sapa perasan,’ rungutnya dalam hati. 

Dia terpaksa balik lambat sebab bosnya buat hal lagi. Itu tak betul, ini salah. Ini jangan salah. Eh banyak pula salahnya hari ini. Ke sana ke sini ke sana ke mari dibuatnya dia hari ini.

Bunyi decitan tayar kereta menamatkan bacaan Hana dalam keadaan terkejut. Sebuah kereta berwarna hitam metalik Nissan GTR-2020 berhenti tepat di hadapannya. Pintu kereta dibuka lalu keluarlah seorang wanita berbaju cotton putih ketat dengan jeans hitam berserta jaket kulit hitam separa pusat membaluti tubuh. 

 Wanita itu kemudiannya berjalan ke arah Hana lalu berhenti tepat di hadapannya dengan muka ketat terzahir di wajah.

“Cik Hana Mikayla?” soalnya dingin.

Hana mengangguk perlahan, matanya penuh siaga. Sudahlah di perhentian bas, dia seorang sahaja ada di situ ketika ini. Mahu lari tak boleh, mahu menjerit pula rasanya sia-sia sahaja. Waktu senja macam ni, siapa saja yang lalu-lalang di kawasan ni? 

Ishh mulut celupar aku ni. Sekarang betul-betul kena culik,’ omel Hana dalam hati. 

Kalau nak lawan, nampak macam perlawanan akan menjadi berat sebelah. Bukan calang-calang skil pergerakan wanita ranggi yang tahu-tahu sahaja berada di belakangnya. Padahal tadi di depan. Sumpah dia tak sedar!

“Bos aku nak jumpa kau. Naik atau aku tikam,” ugut wanita itu seraya menekan mata pisau ke belakang Hana.

Melihatkan tindakan wanita ranggi itu, Hana menelan air liur. Ya Allah, bala apakah ini? Kenapa semakin banyak dugaan yang mendatang selepas dia membuat liputan pasal Campbell Corporation? Dia tersilap langkah ke macam mana? 

“Ikut atau tak?” tanya wanita itu lagi dengan garang.

Hana kelihatan teragak-agak. Mati kalau dia melawan. Tapi, dia rasa macam kenal sahaja dengan kereta tersebut. Oh ya, dia sudah ingat. Itu kereta milik Campbell Corporation. Tapi, kenapa mereka guna cara ini? Takkan mereka betul-betul nak bunuh dia?

“Okey... okey... aku ikut, aku ikut,” jawab Hana. Sangat tak bijaklah kalau lawan wanita itu. Jadi dia mengambil keputusan untuk mengikut sahaja rentak wanita itu.

Wanita ranggi itu kemudiannya membukakan pintu sebelah kanan pemandu dan menyuruh Hana masuk ke dalam kereta. Dengan bertawakkal kepada Allah, Hana masuk ke dalam kereta tanpa banyak soal. 

Sekarang ini, hanya Allah SWT sahaja yang dapat menolongnya dan sebaik-sebaik penolong hanyalah Tuhan yang Maha Penolong. Allahu akbar, lailahaillallah...



HANA terasa dirinya didudukkan di atas kerusi dan kain hitam yang membalut matanya juga dibuka. Pandangan pertama yang menyinggah ruangan matanya hanyalah kesebaman cahaya yang terhasil daripada lampu kalimantang kecil di siling. 

Dia kemudiannya memandang sekeliling dan mendapati bilik itu langsung tiada tingkap. Di hadapannya pula, hanya terdapat sebuah meja dengan dua buah kerusi. 

“Ace, mission succeed!” lapor wanita itu melalui earbud di telinga.

“Err...” Hana cuba bersuara setelah matanya menangkap kelibat wanita yang menculiknya ke sini. 

Garang betul raut wajah wanita itu walaupun secara zahirnya nampak comel dengan kulit putih bersih tanpa cela. Barangkali, wanita itu berketurunan Cina dengan mata sepet semacam itu.

Mendengar suara Hana yang perlahan seolah-olah berbisik memanggilnya, wanita itu memalingkan wajahnya kepada Hana lalu menarik kerusi dan duduk mendepani gadis itu. Kasihan, mesti gadis ini takut dengannya.

“Kau takut?” soalnya dengan nada rendah.

“Kenapa kau culik aku?” Hana membalas soalan itu dengan soalan. 

“Saja,” jawab wanita itu seraya tiba-tiba ketawa terbahak-bahak. Puas ketawa, dari atas ke bawah wanita itu memandangnya pula dengan keluhan juga terbit dari mulutnya.

“Kalau tak sebab Cik yang minta aku bawa kau ke sini, memang taklah aku nak heret kau masuk ke tempat ni,” tambahnya lagi seraya mencebik. 

“Hahaha.” Hana terketawa sinis. Rasanya dia sudah dapat menebak gerangan yang menculiknya kini.

“Kenapa kau gelak?” tanya wanita itu hairan. 

“Aku terhibur tengok kau. Lagi satu, mana ada penculik baik hati sangat bagi air jus strawberi dan muffin coklat ni. Favourite aku,” jawab Hana jujur sambil mencuit hujung muffin. 

Dalam menjamah hidangan makanan ringan itu, Hana tersenyum sambil memandang kepada si wanita di hadapannya. Baik sangatlah si penculik ini sampaikan menyediakan makanan dan minuman kesukaannya pula. Firasatnya mendeduksi bahawa sekarang ini dia bukannya diculik tetapi sengaja dibawa ke situ. Mungkin, untuk berbincang sesuatu yang serius. 

Sedang ralit Hana menyedut jus strawberi, pintu bilik itu tiba-tiba terbuka lalu masuklah seorang wanita elegan berambut blond bersama dengan seorang lelaki yang berbadan tegap. 

“Cik Eve!” seru Hana. Buat-buat terkejut dengan menaikkan seoktaf suaranya. Tekaannya betul. 

Hi, Hana Mikayla,” kata Eve sambil tersenyum lalu melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah wanita tadi.

Thanks, May,” katanya sambil menayangkan thumbs up kepada wanita itu.

“Kenalkan bodyguard I, Ace dan May,” ujar Eve kepada Hana sambil menunjuk kepada wanita tadi berserta dengan lelaki tegap di sisinya.

Grace dan Ren Hau mengangguk sambil tersenyum kepada Hana yang pada amatan mereka jelas terlakar di wajahnya riak berpura-pura terkejut. Memang Hana ini boleh jadi pelakon tambahan.

Hana hanya memandang tanpa senyum. Patutlah macam pernah nampak wanita si penculik. Rupa-rupanya, bodyguard Eve.

“Er... kenapa Cik Eve bawa saya ke sini?” tanya Hana teragak-agak. Dia sudah terbau bakal inti perbincangan mereka kali ini.

You rasa?” Soalan dibalas dengan soalan. Bagi Eve, seronok jugalah dia melihatkan wajah perempuan di hadapannya ini. 

“Sebab saya serang Cik Eve hari tu ke? Saya minta maaf. Saya cuma nak tahu je apa yang berlaku 15 tahun lepas.  Kalau saya tak tarik perhatian Cik, sampai kiamat Cik takkan balas e-mel saya,” jawab Hana dengan laju. Dia serba salah tetapi dia hanya terdesak untuk mendapatkan maklumat mengenai kes pembunuhan ayahnya sahaja, tiada niat lain. 

“Wo... wo... relaks. I tak jahil sangat sampai tak tahu niat you hentam I hari tu.” Eve menenangkan Hana yang nampak kalut dalam mempertahankan diri.

I cuma nak jumpa you aje, sebab tulah I minta May bawa you ke sini,” kata Eve.

“Kenapa Cik Eve guna cara ni nak jumpa saya? Bukan ke boleh je kita jumpa pada waktu biasa? Tak pun terjah je pejabat saya macam bodyguard Cik Eve buat.” Akhirnya, terluah juga persoalan itu daripada mulut Hana. Dalam masa yang sama sempat pula dia menyindir Rayyan.

“Saja nak bagi you rasa thrill,” jawab Eve selamba.

“Hah?” Hana memandang tepat kepada Eve dengan muka berkerut. Eve pula tersengih galak.

“Sebenarnya, I nak you bekerjasama dengan I,” kata Eve sambil menyorongkan sebuah fail kepada Hana.

“Tiga hari lepas I ada terima surat layang. Tapi I buat tidak tahu dan teruskan juga bidaan projek itu,” terang Eve sambil melepaskan lagi keluhan.

“Sepatutnya Cik bekerjasama dengan polis, bukannya dengan wartawan,” kata Hana setelah melihat sepintas lalu isi kandungan fail tersebut yang berisi beberapa keping surat layang dan juga maklumat ringkas berkenaan projek pembidaan semalam.

I tahu. Sebab tu I nak bekerjasama dengan you, Inspektor Hana Mikayla,” balas Eve sambil tersengih.

Terperanjat besar Hana apabila perkataan “inspektor” meluncur keluar dari mulut Eve. Nasib baik dia tidak terbangun dari kerusi. Tubuhnya masih boleh dikawal agar kekal tenang dan tidak tertunjuk yang dia gelabah kerana identitinya terbongkar.

“Inspektor Hana Mikayla? Cik merepek apa ni?” Hana cuba berselindung.

You tak payah nak sorok-sorok ya. I Eve Campbell. I always tahu siapa target I. Sebab you buat hal semalam, you takkan terlepas. You yang jahil sebab berani bermain dengan I,” jawab Eve sambil tersengih penuh makna.

Mendengar jawapan Eve, Hana menjongket kening. Saat itu, tiba-tiba saja curiganya bertandang. Macam ada sesuatu yang tak kena saja. Macam mana rahsianya boleh terbongkar? Hanya orang atasan sahaja yang tahu identitinya yang sebenar. 

“Cik Eve Campbell, dalam dunia ni macam-macam boleh jadi. Punyalah banyak job yang ada, polis jugak yang Cik teka. Kenapa yakin sangat yang saya ni polis? Yalah manalah tahu saya ni penjenayah ke apa ke,” uji Hana.

You tak sesuai jadi penjenayah sebab you tak power berlawan,” jawab Eve seraya tergelak sinis. Teringat dia tentang Hana yang hanya jadi pak turut apabila berdepan dengan Grace.

Melihat reaksi Eve, Hana turut menarik senyuman sinis. Minah ini memang sengaja mengungkit balik reaksinya berhadapan dengan Grace. Tidakkah dia tahu yang bodyguard rangginya itu ganas gila? Tiba-tiba menghilang macam ninja, tup-tup muncul balik macam Chipsmore. Sekalipun dia polis, dia belum cukup gila untuk berlawan dengan ninja Chipsmore itu. Lagi-lagi apabila firasatnya mengatakan dia tidak berada dalam situasi bahaya. Hanya saja perasaan hairan muncul apabila bau minyak wangi yang dipakai wanita itu sangat familiar. 

“Kan. Saya tak pandai berlawan, sebab tu saya bukan polis.” Hana tersenyum senget.

Senyuman siapa yang akan mengendur dahulu? Itu yang Hana dan Eve saling beradu. Keadaan berlarutan begitu sampailah tiba-tiba, pintu bilik itu ditolak dari luar. 

“Hai.” Rayyan melayangkan sengihan kepada Hana sebelum mengambil tempat di sebelah Eve.

Hana kembali serius apabila melihat kombinasi empat manusia yang berada di depannya. Semuanya nampak mencurigakan. Macam ada sesuatu yang tak kena pada identiti mereka semua. Kalau ada masa, akan dia korek identiti mereka sampai dapat.

“Dia setuju tak nak kerjasama dengan kita?” tanya Rayyan kepada Eve.

“Setujulah sangat,” balas Eve seraya menjuihkan bibir.

Rayyan terus tergelak apabila melihat reaksi Eve. Sudahnya, dia kembali menumpukan perhatian kepada Hana.

“Kami perlukan pertolongan kau, inspektor,” kata Rayyan serius.

“Aku dah cakap aku wartawan, bukan polis. Tak ada benda sangat aku boleh bantu.” Dengan Rayyan, Hana menggunakan panggilan aku-kau. Entah kenapa mulutnya selesa begitu. Mungkin perang mulut separuh masak kelmarin berjaya menurunkan hormatnya dalam berbicara dengan lelaki di hadapannya itu. 

“Banyak kau boleh buat. Kau kan wartawan celup,” balas Rayyan.

Melihat lagak Rayyan, Hana ketawa. Tapi ketawanya tidak ikhlas. Syak wasangkanya kepada lelaki itu dan semua orang yang ada di sini sudah mencapai paras 100%!

Sorry but not so sorry. Aku bukan polis undercover. Kau salah orang ni. Aku Hana Mikayla, wartawan di Nadi Kota. Full stop. Dah, aku nak balik,” kata Hana seraya bangun dari kerusi.

Melihat Hana bangun dari kerusi, Rayyan dan Eve saling berpandangan. Masing-masing tidak bersuara, hanya isyarat mata sahaja pengganti bicara. Rayyan dengan caranya dan Eve dengan caranya. Dua-dua berkeadaan begitu hinggalah akhirnya, Rayyan membuka mulut.

“Jom aku hantar kau balik.”

“Tak payah!” Laju Hana membuka pintu bilik tanpa menoleh lagi kepada manusia-manusia yang berani menculiknya di siang hari. Langkah kakinya dihayun laju menuju ke lobi bangunan Campbell Corporation. 

Tapi itulah, boleh pula dia tersesat dalam bangunan syarikat tersebut. Memalukan betul. Nak tak nak, terpaksalah dia menerima pelawaan kali kedua ketua bodyguard itu apabila jam sudah menunjukkan angka lapan ketika dia berjaya menapak keluar dari pintu keluar bangunan tersebut. Sakit betul hatinya apabila melihat Rayyan sedang menunggunya di hadapan lobi sambil tersenyum geli hati.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20