Home Novel Thriller/Aksi Sindiket II
Sindiket II
Meja Editor
11/11/2024 09:52:48
1,004
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

SEBAIK sahaja motosikal itu berhenti, gadis yang membonceng di belakang pemuda berambut panjang segera turun. Aliya tertawa gembira sambil menampar-nampar manja bahu pemuda itu. 

"Terima kasih, sayang. I really enjoyed it. Lain kali kita keluar lagi ya," ujar Aliya dengan nada manja. 

"Okay, baby. Itulah, aku ajak kau tidur rumah aku, kau tak nak. Kalau tak, boleh kita terus berpesta," ujar pemuda berambut gondrong itu sambil merangkul pinggang Aliya. Berderau darah Syukur melihat perbuatan sumbang di halaman rumahnya. 

"Okeylah ... aku nak balik dah. Cium sikit," pinta lelaki itu sambil memuncungkan bibirnya. 

Aliya tersenyum lebar. Tanpa berasa ragu-ragu, dia mencium pemuda itu. Terbuntang mata Syukur.Dengan segera, dia bingkas berdiri lalu melompat dari beranda rumahnya. "

Apa yang kau orang berdua buat ni? Kau tahu tak berdosa? Kamu bukan suami isteri!" jerit Syukur. 

Kedua-dua anak muda itu tergamam. Jaki tersentak. Wajahnya pucat melihat ayah Aliya meluru ke arah mereka. Aliya tidak menghiraukan ayahnya. Dia terus memeluk leher Jaki. Pemuda itu menolak-nolak tubuh Aliya. 

 "Aliya, sudah! Masuk! Hari dah lewat ni," tegur Syukur. 

Aliya mendengus. Dia segera berpaling memandang lelaki tua itu. 

"Woi, orang tua! Kau jangan masuk campur hal aku! Aku nak bercium ke, berpeluk ke tak ada kena-mengena dengan kau!" tengking Aliya kuat. 

"Eh, Liya! Apa ni? Tu ayah kau," bisik Jaki, tidak selesa. 

 "Siapa kata dia ayah aku? Dia bukan ayah aku! Dia tu orang jahat! Dia pembunuh! Kau nak aku mengaku pembunuh tu ayah aku? Pergi mampuslah!" jerit Aliya lagi. 

Berubah air muka Jaki mendengar kata-kata gadis di depannya. Syukur diam membisu, matanya merenung ke arah Jaki. 

 "Hei, budak! Lebih baik kau balik sekarang. Jangan kau ulang perbuatan tak sopan tu lagi. Dia bukan mahram kau," ujar Syukur dengan suara bergetar. 

"Jaki, takkan kau nak diam saja? Kau tu boyfriendaku!" gesa Aliya.Terangsang dengan kata-kata Aliya, pemuda itu menjerit. 

"Hoi, orang tua! Diamlah! Ini urusan aku dengan anak kau dan kau ...."

Belum sempat Jaki menghabiskan kata-katanya, Syukur meluru lalu menampar pipi lelaki itu.Tergamam Jaki dan Aliya. Jaki meraba-raba pipinya yang terasa begitu perit. 

"Balik sekarang!" tegas Syukur dengan satu renungan tajam. 

 "Liya ... aku balik dulu." 

Kelam-kabut Jaki menghidupkan motosikalnya.Aliya memandang teman lelakinya dengan wajah tidak percaya. Ini kali pertama dia melihat ayahnya bertindak begitu. 

"Tunggu ... tunggulah, Jaki!" ujar Aliya sambil memegang lengan pemuda kurus itu. 

"Aku tak beranilah. Esok malam, kita jumpa di tempat biasa. Aku balik dulu," ujar Jaki sambil menepis tangan gadis itu. 

Dia segera menghidupkan enjin motosikalnya. Bunyi ekzos berdentam-dentam. Aliya mendengus marah. Jaki segera memerah pendikit motosikalnya lalu memecut laju. Hati Aliya sebal dan bersarang kemarahan. 

"Celaka kau, orang tua! Dah berapa kali aku ingatkan kau! Jangan masuk campur hal aku. Memang orang tua tak guna! Siap kau!" tengking Aliya sambil berpaling ke arah ayahnya. 

Terkedu Aliya apabila mendapati lelaki tua itu sudah tiada di situ. 

 'Memang nak kena ni,' gerutunya.  

Dengan rasa marah membara, dia berjalan ke rumah yang selama ini dia anggap neraka. Sebaik sahaja membuka kasut, dia memanjat tangga.Sengaja dihentak-hentaknya lantai. Bergegar rumah buruk itu. 

Aliya melihat lelaki tua tadi sedang duduk di sisi ibunya yang terbaring. Dengan rasa marah, dia meluru ke arah lelaki tua itu.Aliya terus mengayun beg tangannya menghentam tepat kepala ayahnya. Cawan yang dipegang ayahnya terpelanting. 

Syukur terlentang di sisi isterinya. Dia meringis kesakitan. Terbuntang mata Zawiyah melihat kelakuan anak perempuannya. 

 "Orang tua tak guna! Dah berapa kali aku cakap, kau jangan masuk campur urusan aku! Kau ni memang betul-betul menaikkan kemarahan aku!"

 Aliya menggila.Dia terus memijak dan menyepak tubuh lelaki kurus itu berulang kali. Syukur membiarkan sahaja. Dia melindungi mukanya dengan kedua-dua tangannya. Dia mengerang kesakitan. Zawiyah terkejut dengan perbuatan anaknya. Dia menangis sambil menepis-nepis sepakan anaknya. 

"Liya! Cukuplah! Berhenti ...," rayu Zawiyah.Zawiyah memandang suaminya yang terbaring. Lelaki itu memandang isterinya sambil menggeleng perlahan sebagai isyarat supaya perkara itu dibiarkan sahaja. 

"Abang ...," rintih Zawiyah dalam tangisan. 

"Kakak! Apa yang kakak buat ni? Hentikan!" jerit Syakir yang muncul dari dapur. 

"Kau jangan masuk campur urusan aku! Aku nak bunuh orang tua tak guna ni. Dia merosakkan segala-galanya! Dia hancurkan hidup aku dan kita semua. Lebih baik dia mampus daripada menyusahkan kita. Aku benci dia! Aku benci!" 

Syakir meluru ke arah Aliya lalu menolak tubuh kakaknya. Aliya terundur ke belakang lalu jatuh terlentang. Dia mengaduh kesakitan sambil menggosok belakangnya. 

Syakir memeriksa keadaan ayahnya. Dalam kesakitan, Zawiyah bangkit duduk, dia memandang suaminya. Aliya berdiri semula, dia merenung ibu dan adiknya dengan kemarahan membara. 

"Sial! Kenapa semua orang nak bela orang tua tak guna ni? Dia ni pembunuh! Dia bunuh ayah kita, Akir! Kenapa kau nak lindungi dia? Aku ... aku dah lama benci dia. Kau jangan halang aku, Akir!" bentak Aliya lalu menyerbu. 

Aliya melepaskan satu tendangan padu yang kena tepat ke rusuk Syukur. Lelaki tua itu terpelanting ke belakang lalu berguling dalam kesakitan. 

"Ayah!" jerit Syakir. 

Aliya tersenyum puas melihat orang tua yang sangat dia benci itu dalam kesakitan. Sejak kecil lagi, Aliya memang tidak suka dengan ayahnya. Syukur mengerang kesakitan, dadanya sesak, rusuknya seperti mahu patah. Syakir menangis melihat keadaan ayahnya.

"Bangsat kakak ni! Kau dah melampau!" jerit Syakir sambil cuba menyerang kakaknya. 

Selama ini, dia menyimpan kemarahan atas perbuatan kakaknya. Kali ini, kesabarannya sudah menipis. Belum sempat Syakir meluru ke arah kakaknya, Syukur segera memaut tangan Syakir. 

"Jangan Akir! Jangan," ujar Syukur menahan sakit. 

Tersentap Syakir memandang lengannya yang dipaut oleh ayah. Dia terpaku melihat air mata jernih mengalir di kedua-dua belah pipi lelaki tua itu. 

"Ayah ...," kata Syakir perlahan. 

"Jangan, nak. Jangan kau lepaskan kemarahan kau. Dia kakak kau, ayah tak izinkan." 

"Kenapa ayah? Dia pukul ayah! Dia tak hormat ayah! Selama ni, Syakir perhatikan saja sikap kurang ajar kakak. Kenapa ayah diamkan saja? Kenapa ayah tak pukul kakak bila dia buat salah? Kenapa ayah biarkan kakak buat ayah macam ni?" rintih Syakir dengan linangan air mata. Dia tidak tahan lagi melihat keadaan ayahnya. 

 "Ayah yang bersalah dalam hal ini. Betul apa yang kakak katakan. Ayah yang menjadi punca masalah keluarga ini. Ayah yang merosakkan hidup kakak. Biarlah apa saja yang kakak nak buat asalkan hatinya puas. Jangan marah dan pukul kakak," ujar Syukur perlahan. 

'Abang ...,' gumam Zawiyah dalam tangisan. 


Nota: Ini adalah bab terakhir yang disiarkan di laman ini. Bacaan lanjut, dapatkan buku Sindiket II di Karangkraf Mall: https://www.karangkrafmall.com/sindiket-ii-arman-jazee

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.