Home Novel Thriller/Aksi APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
APOKALIPS (Trilogi Distopia #2)
kenhendri
13/6/2021 07:57:50
19,323
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

Darith yang telah melaporkan tentang penyembuhan Karl kepada Komander Jargon itu lama menunggu Karl di bawah sehingga dia menyuruh Andalus menggunakan kebolehannya untuk mengesan lelaki itu. Takut sekiranya dia melarikan diri. Baru sahaja Andalus mengikut arahan, Karl muncul. Tangannya tidak lagi bengkok. Wajahnya nampak berbeza seperti sebelum ini. Ianya nampak tenang dan marah pada masa yang sama. Darith mengendahkan hal itu.

"Kenapa kau lambat?" soal ketua.

"Maaf. Aku ada sesuatu yang nak tambah dalam rancangan kita. Kalau kalian sudi, izinkan aku bercakap."

"Idea kau bagus sangat ke?" soal Arora dengan nada menyindir.

"Arora, biarkan Karl bercakap."

Karl tersenyum sinis sebelum membuka mulut. Dia mencadangkan agar K-Rebellion bekerjasama dengan geng kongsi gelap di Malaysia. Setelah kematian Kris, semakin banyak geng-geng kongsi gelap yang muncul yang mengagung-agungkan nama Raiqal Kris. Mereka boleh menggunakan kesempatan itu untuk menentang kerajaan. Lagipun, sudah tentu geng kongsi gelap akan tunduk kepada K-User seperti yang pernah mereka lakukan kepada Kris sebelum ini dalam perang Karnivor di Kuala Lumpur.

Pada mulanya Andalus tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana K-Rebellion sepatutnya bergerak dalam senyap. Pasukan rahsia itu dihantar untuk mencari K-Subject tanpa mendedahkan identiti kepada kerajaan Malaysia. Namun, melihat kepada keadaan sekarang ini, ianya agak sukar bagi mereka mencari 'mayat' Raiqal Kris yang 'disorok' oleh kerajaan. Setelah berfikir, Darith bersetuju dengan idea Karl. Andalus dan Arora agak terkejut kerana idea lelaki itu diterima.

"Bukan ke kau benci Karl? Tak sangka pula kau terima idea dia," soal Arora.

"Aku tak kisah idea tu datang dari mulut sesiapa pun. Komander Jargon takkan lantik aku sebagai ketua tanpa sebab."

Darith menerangkan semula rancangan dan matlamat melalui idea Karl. Matlamat K-Rebellion bukan sahaja untuk mendapatkan K-Subject tetapi, untuk menjajah Malaysia menerusi Revolusi Dunia Baharu. Mereka akan bertindak dengan lebih licik dan terperinci bermula dari sekarang. Karl pula hanya tersenyum sinis tatkala dia mendengar idea tersebut. Entah apa yang sudah terjadi kepadanya.

"Checkmate."

*****


3 Januari 2025,
Rumah Kebajikan Al-Baqarah.

Mentari pagi menyapa. Angin sejuk meraba wajah anak-anak yatim yang sedang berkumpul di pagar menyambut kedatangan seseorang. Terlihat juga Suriati dan Violet. Sebuah jip tentera berhenti di hadapan pintu pagar. Seseorang bersama dengan beg pakaian turun dari dek belakang. Hari ini ialah hari kepulangan Raven dari berkhidmat di sempadan negara. Dia akan direhatkan sebulan sebelum kembali bertugas.

Lelaki itu disambut meriah oleh 'adik-adiknya'. Violet hanya tersenyum nipis. Dia sedar bahawa dia perlu memberi jawapan kepada lamaran Raven pada enam bulan yang lalu. Namun, setelah seminggu memikirkan hal itu, dia sudah mendapat jawapan. Suriati juga ingin tahu jawapan gadis itu. Dia sangat berharap agar mereka berdua segera berkahwin.

Setelah itu, Raven dijemput masuk. Tatkala anak-anam yatim sedang bersarapan di dewan, Raven, Violet dan Suriati berkumpul di taman. Duduk di atas kerusi batu yang sebelah buaian. Menunggu jawapan daripada Violet akan lamaran Raven. Gadis itu sendiri memaksa diri untuk memberitahu jawapannya.

"Violet, aku tak suka memaksa. Jadi, aku okey je dengan semua jawapan kau. Aku tak kisah," ucap Raven yang sudah akur menunggu.

"Terima."

Tersentak sekejap tatkala mendengar jawapan itu. Dia terpinga-pinga membuatkan Violet terpaksa mengulang semula jawapannya. Ya. Jawapan Violet: 'terima'. Gadis itu sudah fikir masak-masak akan lamaran Raven. Dia tidak boleh teringat akan orang yang sudah meninggal dunia. Hidup ini sentiasa bergerak ke hadapan, jadi dia tidak boleh lagi terkandas di masa lalu.

Suriati turut tersenyum tatkala mendengar jawapan itu. Dia membalas, "baguslah kalau sudah terima. Jadi, kita boleh berbincang pasal tarikh. Alang-alang kamu cuti sebulan, bolehlah akad nikah dalam minggu ni."

"Tapi, kami tak buat apa-apa persedian lagi. Macam mana dengan pakaian? Cincin?" soal Violet.

"Kamu berdua pergi carilah. Sekarang pun tak apa. Lagi cepat lagi bagus. Tentang kenduri tu nanti ibu yang akan uruskan. Kamu berdua cepat bersiap cari baju kahwin dan cincin."

"Biar aku tempah grab," cadang Raven kepada Violet.

"Yelah-yelah. Aku pergi bersiap kejap." Violet berjalan masuk ke dalam rumah. Ingin bersiap untuk keluar.

"Raven, jaga Violet baik-baik ya," pinta Suriati.

"Insya Allah, ibu."

Setelah beberapa minit perjalanan, akhir Raven dan Violet tiba di kompleks pusat beli-belah Aeon Mall. Kedai pakaian pengantin dicari mereka. Gadis yang berpakaian serba biru itu berasa janggal tatkala menjejakkan kaki di kedai pakaian tersebut. Bagaikan mimpi dia ditakdirkan untuk bersama dengan Raven. Adakah dia akan bahagia menerima lelaki itu?

Raven mencadangkan pakaian pengantin mereka berwarna putih tetapi Violet pula lain. Dia lebih suka akan warna biru cerah. Lagipun, itu ialah warna kegemarannya. Lelaki itu akur lalu cuba memakai pakaiannya. Nampak segak sekali tatkala dia menyarungkan pakaian itu ke badan.

Violet pula mencuba pakaian pengantinnya. Corak dan reka bentuk baju tersebut membuatkan gadis itu nampak bertambah cantik. Raven hanya tersenyum manis tatkala Violet mempamerkan pakaian yang dicuba. Akhirnya, mereka berdua bersetuju dengan pakaian tersebut. Raven menggunakan duitnya untuk membayar pakaian mahal itu walaupun Violet berasa agak segan.

"Kita nak ke mana pula?" tanya Violet yang berjalan mengikuti Raven di koridor melalui kedai-kedai pakaian.

"Ke kedai barang kemas. Kau tak nak cincin ke? Dan juga televisyen untuk budak-budak tu."

"Aku bukan apa. Kau dah habiskan duit untuk beli pakaian. Aku pula yang rasa bersalah."

"Tak payah nak rasa macam tu. Memang tugas lelaki untuk belanja bakal isteri dia, kan?"

Violet hanya menarik nafas akur. Jika Raven sudah berkata begitu, apa lagi jawapan yang sesuai untuk dibalasnya. Lagipun, lelaki itu seorang tentera. Sudah tentu gajinya mampu untuk membeli semua persiapan perkahwinan mereka. Ditambah pula dengan bonus yang diberikan oleh kerajaan dalam tugas menjaga sempadan negara daripada Karnivor yang baru-baru ini muncul di Sungai Golok, Kelantan.

Itulah kali pertama dan kali terakhir binatang itu muncul setakat ini. Bangkainya dibawa ke makmal di Kuala Lumpur untuk dikaji. Seperti yang Kein katakan, binatang itu telah dijangkiti oleh virus CWD-Rabies ketika berada di darat dan telah berubah bentuk ketika berada di kawasan paya atau kawasan berair. Tetapi, Karnivor tersebut mungkin lebih hebat daripada Karnivor Bawahan kerana ianya boleh bergerak di atas darat dan di dalam air. Kajian soal binatang itu boleh bergerak di bawah cahaya matahari masih lagi diteruskan. Raven sendiri tidak sempat untuk mencuri dengar maklumat-maklumat yang selanjutnya.

Tatkala sedang berjalan berdampingan, Violet terlanggar seorang lelaki berpakaian serba gelap dari arah hadapan sehingga terjatuh. Topeng muka dan topi besbol dipakai sehingga wajahnya tidak kelihatan. Dengan pantas, Raven cuba mengangkat gadis itu. Lelaki yang melanggar Violet tidak berpaling. Dia hanya berhenti di sebelah kiri gadis itu sambil menyarungkan tangan ke poket seluar.

"Maafkan dia. Maaf sebab terlanggar. Kamu tak apa-apa?" ucap seorang lagi lelaki yang berbadan sasa kepada Raven dan Violet. Dia merupakan kawan kepada lelaki yang berpakaian serba hitam tadi.

"Tak mengapa. Lagipun, dia tak sengaja," balas Raven.

Tatkala hendak bangun, Violet terpandang wajah lelaki berpakaian hoodie hitam itu. Walaupun tidak begitu jelas tetapi pandangan itu sudah cukup membuatkan jantung Violet berdegup kencang. Dia terkaku seketika. Terketar-ketar dan seram sejuk gadis itu. Entah kenapa, dia rasa begitu. Dia seperti mengenali lelaki yang berada di sebelahnya.

"K, lain kali jalan di belakang aku. Sudah berapa kali aku beritahu kau. Mari pergi," rungut Falcon. Mereka berdua berjalan meninggalkan Raven dan Violet. Namun, mata Violet masih lagi menatap susuk tubuh K. Raven pula bingung dengan kelakuan gadis itu.

"Kenapa, Violet? Kau kenal mereka?" soal Raven.

"Entahlah. Mari kita ke kedai barang kemas," ajak Violet yang cuba menukar tajuk perbualan. Dia masih terkejut dengan apa yang dilihatnya. Tetapi, fikirannya mengatakan ianya tidak logik.

"Hey, Falcon. Kau kenal mereka?" soal K.

"Tak kenal. Kenapa? Kau kenal?"

"Entahlah. Aku pun tertanya-tanya, adakah aku kenal mereka?"

*****


4 Januari 2025,
Balai Polis Bukit Aman.

Malaysia telah dikejutkan dengan satu artikel tentang kerajaan yang sedang merahsiakan 'senjata berbahaya' melalui sebuah pos di laman facebook. Bahkan, berita itu cepat sekali tersebar ke media sosial. Berita itu sudah kecoh sehingga ada pihak yang membuat laporan polis tentang artikel tersebut. Apa yang menyukarkan pihak berkuasa ialah, artikel itu dipos menggunakan akaun palsu. Bahkan, ada yang mempercayainya.


Isi artikel itu mengatakan bahawa kerajaan Malaysia merahsiakan uji kaji tentang Karnivor dan K-User daripada pengetahuan rakyat Malaysia. Kajian itu dijalankan untuk menghasilkan satu senjata rahsia yang paling berbahaya iaitu K-User yang sama seperti Raiqal Kris. Sekali lagi, nama lelaki itu diguna untuk menakut-nakutkan orang awam.


Bahkan, dalam artikel itu menyatakan bahawa mayat Raiqal Kris telah hilang. Gambar kubur yang digali juga diselit. Sesudah artikel itu tersebar, berbondong-bondong orang awam menyerbu kubur Raiqal Kris. Ianya benar. Kubur itu kosong. Maka timbullah golongan yang mula tidak percaya akan kerajaan.


Tidak hairanlah mengapa kerajaan menafikan pengumuman palsu yang dibuat di Bukit Bintang sebelum ini. Ternyata maklumat dalam pengumuman itu benar. Tetapi, susuk tubuh yang bercakap itu sudah pasti orang lain yang cuba menyamar sebagai Raiqal Kris. Kini, akaun media sosial pemimpin-pemimpin kerajaan diserang termasuk juga Perdana Menteri.


Bahkan, serangan melalui internet terhadap pemimpin-pemimpin negara semakin ganas apabila tidak ada daripada mereka yang bersuara tentang isu tersebut. Kini, rakyat Malaysia terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang menentang dan menyokong kerajaan. Tidak ubah seperti setahun yang lalu. Berita-berita di televisyen pula tidak habis-habis menyampaikan perkara tersebut.


Rakyat sudah trauma dengan K-User. Mereka sangat takut jika orang seperti Raiqal Kris muncul kembali. Disebabkan itulah mereka menentang, marah dan benci. Ditambah pula kerajaan diam akan isu tersebut, semakin percayalah rakyat akan artikel yang dipos oleh K-Rebellion. 'Berita palsu' yang disampaikan adalah berita benar. Cadangan Karl untuk meletakkan gambar kubur Kris yang digali telah menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap artikel itu.


Berita tentang artikel itu telah sampai ke pengetahuan Raven dan Violet. Mereka berdua juga terkejut dengan kehilangan mayat Kris. Violet ialah orang yang paling terkejut. Dia kembali teringat akan lelaki yang terlanggarnya semalam. Entah kenapa dia rasa orang itu ialah Raiqal Kris tetapi dia sendiri melihat yang lelaki itu sudah dihukum mati di hadapan semua orang. Raven ialah orang yang menjalankan hukuman tersebut. Sudah tentu dia percaya bahawa Kris telah mati.


Kein pula hanya duduk di atas kerusi sambil mendengar semua berita itu. Dia lebih mempercayai artikel yang dipos oleh K-Rebellion kerana dia pernah menjadi K-User. Dia juga sedar bahawa virus CWD-Rabies ialah bukan virus biasa seperti virus yang lain. Dia tahu bahawa CWD-Rabies bukan sahaja mengubah binatang pemakan daging menjadi Karnivor tetapi ianya juga mengubah manusia menjadi luar biasa tetapi dengan risiko. Salah satu kebolehan itu ialah penyembuhan di mana orang yang memiliki kebolehan itu dinamakan K-Subject.


Kini, sekali lagi pihak polis bermesyuarat akan isu tersebut. Isu pengumuman palsu pun masih belum selesai, ditambah pula dengan isu baharu. Namun, ketua polis negara menyimpulkan bahawa orang yang membuat artikel itu ialah orang yang sama yang membuat pengumuman palsu di Bukit Bintang.


"Haish, tidak habis-habis dengan kekacauan. Keamanan dah hilang. Aku dapat bau rusuhan nanti," teka Fareq.


"Kalau artikel tu salah, kenapa kerajaan masih senyap? Berita ni tersebar sejak petang semalam lagi. Kita bermesyuarat pun disebabkan ada yang buat laporan polis dan dalang di sebalik artikel tu ialah orang yang sama yang buat pengumuman palsu. Aku pun tertanya-tanya, kalau artikel itu benar, bagaimana penjenayah tu tahu rahsia kerajaan?" soal Pyro pula.


"Benar juga apa yang Pyro cakap. Tapi, sudah banyak bukti yang menyatakan bahawa artikel itu benar. Bukti yang paling kukuh ialah mayat Raiqal Kris yang hilang," luah Sarjan Husein.


"Tapi, apa yang pelik di sini ialah tentang K-Subject. Artikel itu sudah menjelaskan tentang K-Subject. Jadi, K-Subject ialah orang yang mempunyai kebolehan penyembuhan yang luar biasa. Betapa hebatnya virus CWD-Rabies sampai orang yang dijangkiti virus mempunyai kebolehan yang luar biasa seperti itu," kata Inspektor Khairi pula.


Benar kata Inspektor Khairi. K-Subject ialah nama bagi seseorang yang telah dijangkiti virus CWD-Rabies tetapi mempunyai kebolehan penyembuhan yang luar biasa. Semua K-Subject ialah K-User tetapi tidak semua K-User ialah K-Subject. Untuk lebih mudah difahami, anggap sahaja K-User sebagai sebuah bulatan yang besar manakala K-Subject pula sebuah bulatan kecil yang terdapat di dalam bulatan besar tadi. Itulah perumpamaan untuk lebih mudah memahami tentang K-Subject.


"Aku rasa aku sudah tahu apa yang penjenayah mahukan. Sudah tentu mereka mahukan K-Subject kerana darah Raiqal Kris telah beradaptasi dengan virus CWD-Rabies. Jadi, proses penyembuhan seseorang yang mempunyai darah itu akan menjadi lebih cepat atau dengan kata lain sesiapa sahaja yang menyuntik darah Raiqal Kris ke dalam tubuh mereka, akan segera pulih dari segala penyakit dan luka. Tapi, ianya mungkin terbatas bergantung kepada kumpulan darah tersebut" simpul Fareq dengan bijak.


"Bermakna, darah Raiqal Kris ialah vaksin bagi semua jenis penyakit dan luka. Bahkan, ianya mungkin akan menaikkan tenaga dan kekuatan seseorang. Tidak ubah seperti dadah," sambung Pyro pula.


"Tapi, Raiqal Kris sudah mati. Mayat dia pun sudah hancur," kata Sarjan Husein pula.


"Siapa yang cakap mayat dia sudah hancur? Fikir baik-baik. Penjenayah telah tulis dalam artikel bahawa mayat Raiqal Kris sudah hilang dan kuburnya sudah digali. Bermakna, mereka ialah orang yang menggali kubur tu untuk mengambil mayat Raiqal Kris. Mereka tahu yang Raiqal Kris ialah K-Subject. Kalau Raiqal Kris bukan K-Subject, sudah tentu mereka tidak akan sanggup buat macam tu."


"Jadi, Fareq... kau cakap yang tubuh K-Subject tidak hancur? Jadi, mereka mahukan Kris disebabkan darah dia?"


"Tepat sekali, Inspektor Khairi. Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimana mereka tahu yang Raiqal Kris ialah K-Subject dan satu lagi siapakah mereka?" tambah Pyro.


"Siapapun mereka, sudah jelas yang mereka ialah penjenayah dan penentang kerajaan. Sudah jelas juga yang kerajaan tahu bahawa Kris ialah K-Subject. Nampaknya, rahsia kerajaan sudah terbongkar," simpul Sarjan Husein pula.


Kaki disilang di atas meja. Tangan kanan menongkat dagu. Fareq hanya tersenyum sinis sambil membalas, "rahsia kerajaan sudah terbongkar jadi ucapan Perdana Menteri tentang bantahan terhadap pengumuman di Bukit Bintang ialah sebuah penipuan. Aku yakin yang orang awam pun boleh fikir tentang tu. Jadi, siapa yang kalian mahu ikut sekarang? Kerajaan yang merahsiakan perkara penting daripada rakyat atau penjenayah yang cuba membongkarkan kebenaran?"
















APOKALIPS akan diterbitkan sampai Bab 5 sahaja. Untuk membaca kesemua Trilogi Distopia, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.