Semuanya bermula pada hari ini...
AKUmemuatkan bagasi kecil berisi pakaian dan beg
galas ke dalam bonet kereta Inspira. Hanya barangan yang penting sahaja
dibawaku. Sebaik sahaja selesai, bonet ditutup semula. Tatkala itu Iphone 5
yang berada di dalam poket seluar berbunyi. Segera aku menyeluk poket. Skrin
telefon dilihat seketika. Lalu panggilan dijawab.
“Kau dah gerak ke belum?” soal Faiz dalam talian.
“Belum lagi. Baru masukkan barang dalam bonet,” jawabku.
“Orait. Aku tunggu kau kat rumah.”
“Dalam 15 minit aku sampai,” beritahu aku lantas menamatkan
panggilan telefon.
Telefon bimbit dimuatkan semula ke dalam poket. Hari ini aku
merancang untuk bercuti setelah saban hari fikiran disesakkan dengan
masalah-masalah yang merenggut semangatku untuk meneruskan kehidupan. Itu pun
setelah dinasihati Faiz yang merupakan rakan sekerja dan merangkap rakan baik
aku. Mungkin dia melihat produktiviti kerja aku yang semakin merosot dari hari
ke hari.
Setiap hari datang lewat ke pejabat, dimarahi bos, kerja yang
diberikan gagal disiapkan dalam masa yang terdekat, bertengkar dengan rakan sepejabat dan lain-lain lagi. Apa
yang pasti segalanya bermula setelah berpisah dengan Carenne, kekasihku. Aku
ditinggalkan kerana seorang lelaki lain yang kononnya lebih baik. Benarlah,
setiap pengkhianatan dilakukan orang yang kita percaya. Sejak itu kehidupan
yang aku lalui berbeza 360 darjah daripada hari-hari biasa.
Aku berharap keputusan untuk bercuti ini dapat menghilangkan
segala kekusutan dan rasa galau yang bergelumang di jiwa. Kadang-kadang tidak
semua masalah akan selesai hanya dengan memendamnya sahaja. Mujur permohonan
untuk bercuti telah diluluskan pihak atasan. Faiz turut dengan rela hati untuk
menemani diriku.
Aku memuatkan diri dalam perut kereta. Enjin dihidupkan.
Sesuatu menjengah fikiran. Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket. Nombor
telefon Sherry dicari sebelum panggilan dilakukan. Sherry merupakan rakan baik
aku sewaktu menuntut di Universiti Malaya lima tahun lalu. Setahu aku, hanya
Sherry satu-satunya rakanku yang tinggal di Melaka. Aku menunggu dengan penuh
sabar panggilan berjawab. Tidak sampai beberapa saat, suara seorang wanita
berada di hujung panggilan. Serak dan kedengaran malas.
“Kau jangan cakap kat aku yang kau baru bangun tidur,” sapaku
terus.
Sherry tertawa kecil.
“Mimpi apa pagi-pagi telefon aku ni, Eric?”
Aku mendengus sambil menggeleng-geleng.
“Hari ni aku nak turun Melaka. Kau free tak? Teman
aku dan kawan aku ronda Melaka hari ni. Kau jadi tour guide tak
bertauliah kami hari ni,” ajakku.
Sekurang-kurangnya tidak perlu tersesat kerana ada Sherry
menemani. Wanita Melayu itu aku akui sememangnya sangat cekap dalam menghafal
jalan.
“Boleh aje. Pukul berapa kau sampai?” soal Sherry.
Kedengaran dia menguap kecil seketika kemudian.“Mungkin dalam pukul 12.00
lebih atau 1.00. Tapi, kau tak kerja ke hari ni?”soalku, kehairanan.
“Baru lepas berhenti minggu lepas,” jawab Sherry ringkas.
“Hisy, kau ni! Aku rasa masuk ni dah dekat tujuh kali kau
berhenti kerja.”
“Enamlah,” sangkal Sherry, membetulkan.
“Lebih kuranglah tu. Kejap lagi aku sampai, aku beritahu
kau.”
“Orait. Tapi sehari suntuk ni kau kenalah belanja aku ya.
Aku kan baru berhenti kerja,” ujar Sherry dengan suara yang sengaja dimanjakan.
“Yalah, yalah. Aku tahu. Dahlah! Pergi bangun dan mandi. Aku
dah bau busuk ni.”
Aku menggeleng-geleng sambil tersenyum. Panggilan
ditamatkan. Perangai nakal dia masih tidak berubah sejak dari zaman universiti.
Aku meletakkan telefon bimbit di ruangan kecil berdekatan kotak gear. Lalu klac
dipijak dan gear satu dimasukkan. Pedal minyak diseimbangkan sebelum
perlahan-lahan kereta bergerak menuju ke destinasi.
AKU tiba di Bandar Hilir setelah menempuh halangan
lalu lintas yang menyesakkan jiwa.Tambahan dengan jerebu yang menyelubungi
persekitaran. Mata mengerling dashboard. Tepat pukul 1.00 petang. Aku
menggeliat kecil melegakan urat darah yang terasa lenguh kerana duduk dalam
tempoh yang lama. Enjin kereta dibiarkan hidup beberapa minit sebelum
dimatikan.
Aku dan Faiz melangkah keluar dari kereta. Rayban bercermin
gelap dipakai. Cuaca berada dalam keadaan baik. Tidak begitu panas dan tidak
terlihat juga tanda-tanda hari akan hujan. Matahari masih memancarkan cahaya,
tetapi bahangnya tidak begitu terasa. Aku menekan punat alarmsebelum
melangkah menuju ke arah sebuah kedai makan berkonsepkan kafe. Sherry telah berjanji untuk bertemu aku
dan Faiz di situ pada pukul 1.15 minit petang.
Sebuah meja berbentuk bulat yang terletak di penjuru kafe
menjadi pilihan. Aku dan Faiz duduk bertentangan di antara satu sama lain. Kaca
mata hitam ditanggalkan dan disangkutkan di tengah-tengah kolar baju. Kafe itu
dipenuhi para pelanggan yang sedang menjamu selera. Seorang pelayan tiba lalu
mengambil pesanan sebelum berlalu. Tidak lama kemudian, pelayan itu muncul
semula sambil membawa pesanan yang dipinta. Segelas kopi hazelnut ais bersama
teh o ais limau. Aku dan Faiz menunggu kedatangan Sherry di situ seperti yang
telah dijanjikan.
“Aku pelik betul. Dalam banyak-banyak tempat, Melaka jugak
yang kau pilih. Banyak lagi kawasan yang menarik. Genting Highland ke,” ujar
Faiz.
Aku tersengih.
“Melaka kaya dengan sejarah tau. Misalnya sejarah kesultanan
Melayu Melaka yang agung, hikayat Hang Tuah Lima Bersaudara dan lain lain lagi.
Bahkan banyak lagi sejarah yang tidak diketahui ramai masih belum dibongkarkan
secara ilmiah oleh para pengkaji dan sarjana. Lagipun aku dah lama sangat tak
datang ke sini. Rasa rindu pulak. Lastaku datang pun kalau tak salah
beberapa tahun yang lepas,” jelasku secara panjang lebar.
Kopi hazelnut disedut menggunakan straw. Tatkala itu lagu
Hotel California menjadi halwa telinga. Meskipun aku tidak begitu berminat
dengan lagu itu, tetapi entah mengapa pada hari ini aku boleh melayani lagu itu
sehingga tamat. Mungkin juga kerana aku tiada pilihan untuk menukarnya. Apabila
dihayati secara mendalam liriknya, kedengaran agak misteri. Seolah-olah
mempunyai mesej tersirat yang cuba disampaikan. Tetapi aku tidak begitu
mengendahkannya. Aku sedar setiap pengkarya muzik lazimnya cuba menyampaikan
sesuatu melalui adunan lagu dan melodi dalam bahasa yang halus.Baru sahaja jam hampir
menunjukkan pukul 1.30 minit petang, sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah
berhenti di hadapan kafe itu. Seorang wanita mengenakan skirt paras lutut,
blaus tanpa lengan dan berambut perang melepasi bahu melangkah keluar dari
perut kereta. Dia berjalan menuju ke arah aku. Hampir kesemua mata terutamanya
lelaki yang berada di sekitar kafe memandang ke arah Sherry. Mungkin penampilan
Sherry yang agak seksi menarik perhatian mereka.
“Hai,” sapa Sherry sambil melambai tangan dan tersenyum.
Menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dia
melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan aku.
“Awal kau sampai?” tegur aku, sinis.
Sherry tertawa kecil.
“Maaf terlambat. Jammed masa nak datang tadi. Jangan
marah ya,” balas Sherry.
“Tak marah, cuma geram aje,” balasku sambil mendengus kecil.
Sherry tertawa lagi.
“Dah lama gila tak jumpa kau. Apa khabar? Kenapa kau simpan
rambut panjang macam tu? Tapi smart jugak. Macam Antonio Banderas. Dah
tak nampak macam lelaki Chinese dah,” puji Sherry lalu tertawa kecil
lagi.
Sempat dia menyentuh hujung rambut aku yang dibiarkan
terbuai-buai dihembus angin.
Aku hanya tersengih menerima pujiannya.
“Sihat aje. Saja nak ubah penampilan sikit. Oh, terlupa
pulak aku nak kenalkan! Ini kawan aku, Faiz. Faiz, ni Sherry. Aku kenal dia
sejak sama-sama menuntut di UM dulu,” ujar aku, memperkenalkan kedua-dua
mereka.
Mereka berdua saling bertukar senyuman sebelum Sherry
mengalihkan pandangan ke arah aku dan Faiz silih berganti.
“Jadi, kau orang nak pergi mana ni? Kat Melaka ni banyak
sangat tempat menarik. Kalau pusing dalam masa sehari pun tentu habis,” ujar
Sherry.
Aku menjongketkan bahu.
“Entah. Kau bawa aje kami ke tempat yang best-bestdalam
Melaka ni. Aku tak ada idea. Lagipun dah ingat-ingat lupa jalan sekitar bandar
ni. Dah banyak tahun aku tak datang sini,” balas ku.
Sherry mengangguk kecil. Dia melihat kaki langit.
“Jom kita gerak sekarang. Cuaca pun nampaknya elok,” ajak
Sherry.
Aku akur lalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Penjaga kaunter memberikan bil dan aku mengeluarkan beberapa keping wang dari
dompet lalu diserahkan kepadanya. Tatkala itu pandangan mataku tertancap ke
arah sekeping Surat Khabar Sinar Harian yang terletak di atas kaunter bayaran.
Kehilangan Misteri
Bandar Melaka: Nasib
sepasang pelancong asing yang dilaporkan hilang sejak tiga hari yang lalu masih
menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Pihak polis masih gagal mendapatkan
sebarang petunjuk khusus dalam menjejaki kedua-dua orang pelancong itu.
Dalam kejadian itu, pasangan
suami isteri berusia lingkungan 30-an berwarganegara Britain dilaporkan hilang
setelah kali terakhir mereka dilihat berada di bandaraya bersejarah tersebut
pada hari Khamis yang lalu. Kehilangan mereka melengkapi 15 kes kehilangan
pelancong tempatan dan asing di negeri Melaka sepanjang tahun 2015 yang masih
gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.
Ketua Polis, Supt Manoharan
Apparu tidak menolak kes kehilangan pelancong ini mempunyai kaitan dengan kes
jenayah. Tetapi bukti kukuh bagi mengesahkan tuduhan tersebut masih belum
diperolehi. Beliau berkata pihak polis memandang serius perkara tersebut dan operasi
pencarian akan diteruskan bagi mengesan pelancong yang masih hilang itu.
Aku
merayapi pandangan ke arah dua wajah yang terpapar. Aku tertelan liur sebaik
sahaja mengetahui lokasi itu…
Aku tertelan liur sebaik sahaja mengetahui lokasi itu.
Segera aku menyingkirkan andaian buruk yang mula bertandang di fikiran. Setahu
aku, kes begitu telah kedengaran beberapa kali bahkan melibatkan penduduk
tempatan, tetapi sehingga hari ini masih belum ada penyelesaiannya.
Mungkin ia kes penculikan. Lagipun aku rasakan manusia
sekarang ini semakin gila. Abnormal! Sanggup melakukan apa sahaja untuk
mendapat apa yang dihajati.
“Asal mana?” tegur lelaki penjaga kaunter itu sambil mengira
wang sebelum diserahkan kepada aku.
“Selangor. Saja datang sini jalan-jalan,” balasku.
Melihat pada raut wajahnya, aku menganggak dia berusia dalam
lingkungan 30-an. Ataupun sebaya dengan usia aku 28 tahun.
Lelaki itu mengangguk kecil.
“Tidur hotel mana?” soal lelaki itu lagi.“Belum tahu lagi. Tak fikir
lagi pun,” jawabku acuh tak acuh.
Aku tidak begitu menggemari sikapnya yang menyoal
sedemikian. Seolah-olah cuba menyibukkan diri dengan urusan diriku.
“Hati-hati pilih hotel kat kawasan sini. Banyak hotel yang
mengusik,” pesan lelaki itu lagi.
Dia merenung aku dengan wajah serius. Tangannya mengunjuk
baki bayaran.
“Mengusik? Maksud encik apa?” soalku, tidak mengerti.
“Gangguan hantu. Kat sini banyak hotel yang kurang selamat.
Ada seorang pelanggan saya mengadu pernah menginap sebuah hotel kat kawasan
sini jugak. Malam tu dia nampak seorang perempuan terjun dari bumbung hotel tu.
Bila dia pergi tengok, mayat perempuan tu tak ada pun. Ada jugak yang pernah
nampak perempuan tikam perutnya sendiri dengan gunting berulang kali. Bila
tanya penjaga kaunter, baru tahu yang hotel tu berhantu. Dah banyak pelanggan
yang kena usik macam tu. Hotel tu hujung jalan ni aje,” jelas lelaki itu sambil
menjuihkan mulut ke hadapan.
Aku menoleh. Terlihat sebuah bangunan hotel yang tersergam
di hujung jalan itu. Dari luar kelihatan seperti mana-mana hotel biasa dan
tidak kelihatan menyeramkan.
Aku terdiam mendengar cerita lelaki itu. Perkataan hantu
terlalu asing dalam kamus hidup aku. Bukan tidak mempercayai kewujudannya. Cuma
tidak mahu terlalu taksub mempercayainya. Aku menyambut lambat-lambat baki wang
bayaran tadi.
“Ada sebuah hotel lagi yang agak misteri. Tapi saya sendiri
tak tahu sama ada cerita ni betul atau tak,” ujar lelaki itu lagi.
“Ada apa yang tak kena dengan hotel tu?” soalku, ingin tahu.
“Setiap pelanggan yang menginap di hotel tu akan hilang
begitu aje. Orang pun tak tahu apa nasib mereka. Ghaib dan terus lesap,” terang
lelaki itu.
Aku mengerling ke arah akhbar tadi. Entah mengapa kisah
lelaki itu membuatkan aku terpanggil melihat semula Akhbar Sinar Harian itu.
Sama ada wujud hubung kait antara kedua-duanya, aku sendiri tidak pasti.
Mungkin ya dan mungkin tidak. Lagi pula lelaki itu sendiri tidak pasti akan
kesahihan cerita yang disampaikan kepada aku itu.
“Terima kasih untuk info tu,” ucapku.
Sempat aku mengukir senyuman sebelum terus berlalu. Enggan
membejatkan fikiran memikirkan perkara yang tidak masuk akal sedemikian. Aku
kembali mendapatkan mereka berdua.
“Naik kereta siapa ni?”soal Sherry.
“Kereta akulah,” balasku.
Aku mengorak langkah mendahului mereka berdua mendapatkan
kereta. Aku mencapai pemegang pintu. Tiba-tiba satu rasa aneh muncul di hati.
Aku terkaku seketika.
“Kenapa Eric?” tegur Sherry yang telah berdiri di pintu
penumpang belakang.
Aku tersentak lalu menggeleng. Pintu dibuka dan aku menyelit
masuk. Sesuatu yang tidak enak terasa bermain-main di tangkai hati.
Mungkin perasaan aku aje agaknya, pujukku dalam hati.
JAM telah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam.
Beberapa kawasan di Melaka telah dijelajahi dalam masa beberapa jam. Dari
tempat yang diketahui namanya sehinggalah tempat yang tidak pernah didengar
sama sekali sebelum ini. Walaupun agak letih, tetapi sebenarnya agak
menghiburkan hati ditambah dengan kerenah Sherry yang gila-gila.
Sekurang-kurangnya rasa tertekan yang memberat di pundak terasa menyusup
keluar.
“Kau rancang nak bawa kami pergi mana pulak ni?” tanyaku.
Sempat aku mengerling ke arah tempat duduk belakang melihat
Sherry.“Aku rasa semua tempat kita
dah pergi. Sekarang tinggal nak balik ajelah. Kau orang tidur hotel mana?”
tanya Sherry.
Aku menjongketkan bahu.
“Tak tahu. Kami tak cari lagi.”
Sheery terlopong mendengar jawapan yang terpacul keluar dari
bibirku. Matanya terbuntang merenung aku.
“Kau orang datang main redah aje? Dari tadi tak mandi? Patut
aku bau tengik aje. Teruk betullah kau orang berdua ni,” omel Sherry.
“Kau bukan tak kenal Eric ni. Dari hari tu aku dah pesan kat
dia suruh tempah hotel awal-awal, tapi dia buat tak tahu aje. Kena hotel penuh
nanti, tidur dalam keretalah jawabnya kami berdua,” rungut Faiz pula.
Aku tergelak kecil mendengar bebelan mereka berdua.
“Kau orang berdua macam tak kenal aku pulak. Tambah kau
Sherry. Kau kenal aku sejak dari zaman universiti lagi. Aku mana pernah buat
perancangan dalam apa-apa hal. Main redah aje.”
“Redah pun agak-agak jugak. Pakai helmet lain kali,” tingkah
Sherry.
“Kebiasaan lama-lama akan menjadi tabiat. Tabiat akan sebati
menjadi tingkah laku. Lagipun kalau kita asyik merancang dalam setiap hal, di
mana kita dapat nikmati keindahan dalam kehidupan ni,” balasku.
Sherry mencebik.
“Itu aku tahu. Tapi yang penting sekarang kau orang nak
tidur mana malam ni?”
“Aku tidur rumah kau boleh?” usikku sambil mengerling ke
arah Sherry di kerusi belakang.
Faiz yang sedang memandu menutup mulut menahan tawa.
Sherry mengepalkan penumbuknya lalu menunjuk ke arah aku.
Aku tertawa. Aku kenal dengan sikapnya. Meskipun berpakaian seksi, tetapi dia
bijak menjaga batas-batas pergaulan. Setahu aku dia bukan seorang yang gemar
bersosial, cuma suka berpakaian menjolok mata.
“Kita pergi makan dulu. Nanti lepas hantar kau,
pandai-pandailah kami cari hotel kat kawasan ni,” ujarku.
Jalan raya kelihatan agak lengang. Hanya beberapa buah
kenderaan yang menggunakan jalan raya dari arah bertentangan.
“Ikut suka kaulah sayang. Mengantuk pulak aku rasa,” keluh
Sherry sambil menguap kecil.
Matanya aku lihat agak layu dan kuyu.
“Laju sikit Faiz. Kita pergi makan lepas tu hantar si Sherry
balik,” pintaku.
Faiz akur lalu menekan pedal minyak. Sambil itu, mataku
melilau mencari-cari gerai makan atau restoran yang terdapat di sekitar kawasan
itu bagi menjamu selera lantaran perut mula berkeroncong.
Selesai makan di sebuah kedai, kereta akhirnya diberhentikan
berhadapan kafe yang dikunjungi siang tadi. Beberapa orang pekerja di dalam
kafe kelihatan sedang sibuk melayan pelanggan yang masih berkunjung. Tali
pinggang keledar ditanggalkan. Aku mengilas pandangan ke arah Sherry. Wanita
itu telah tertidur. Aku menggoncangkan pahanya beberapa kali. Sherry terjaga.
Terpisat-pisat dia memandang aku sambil menenyeh-nenyeh matanya.
“Kita dah sampai ni,” beritahuku.
Sherry menggeliat kemalasan. Matanya masih kelihatan kuyu.
“Kau boleh memandu ke? Nampak macam dah mengantuk sangat
aje. Kalau tak boleh, kami hantarkan kau terus ke rumah. Esok pagi kita datang
ambil kereta kau,” saranku.
Sherry menggeleng. Dia meraup wajah lalu menyelak rambut ke
belakang. Lehernya diurut beberapa kali.
“Aku okey aje. Cuma rasa pening sikit, tapi masih boleh
memandu lagi. Apa pun terima kasih sebab sudi belanja aku sehari suntuk ni,”
ucap Sherry.
“Aku sepatutnya ucap terima kasih dekat kau. Sudi jadi radio
karat aku dalam kereta ni,” usikku.
Sherry mendengus lalu mencubit lengan aku. Aku mengaduh kesakitan sambil
tertawa kecil.
“Padan muka kau. Suka sangat sakat aku,” ujar Sherry.
Dia menanggalkan tali pinggang keledar lalu membuka pintu
dan melangkah keluar.
“Esok dalam pukul 1.00 atau 2.00 petang aku datang ambil kau
kat rumah,” pesanku.
“Orait. Sebelum datang kau mesej aku dulu. Faiz, hati-hati
memandu kereta. Apa-apa kay orang jangan lupa telefon atau mesej aku,” pesan
Sherry.
Aku hanya mengangkat ibu jari sebagai tanda faham. Lalu kami
berdua saling berbalas lambaian sebelum Sherry menapak mendapatkan keretanya.
Aku memerhati Sherry sehinggalah Mini Copper yang dipandu lenyap daripada
pandangan.
“Tak nak sewa hotel kat sini ke?” tanya Faiz.
Matanya memerhati bangunan-bangunan hotel yang tersergam di
sekitar kawasan itu.
“Macam tak best aje hotel kawasan ni. Kalau boleh aku
nak cari hotel yang dekat dengan keindahan alam semula jadi. Baru ada feeling,”
jawabku.
Lagi pula tiba-tiba aku teringatkan pesanan yang dititipkan
pemilik kafe itu siang tadi.
“Ikut kaulah,” akur Faiz.
“Biar aku memandupulak. Dari petang tadi kau memandu
mesti letih,” pelawaku.
“Boleh jugak. Lagipun aku dah mula rasa mengantuk,” balas Faiz
lalu menguap kecil.
Lantas kami berdua keluar dari kereta dan bertukar tempat
duduk. Pintu kereta ditutup rapat. Aku memasukkan gear dan meneruskan semula
perjalanan. Matlamat aku kini adalah bagi mencari hotel atau tempat penginapan
yang menepati idaman hati. Tubuh terasa letih dan badan agak melekit lantaran
seharian tidak membasahkan tubuh. Peluh telah mengering dan membentuk hablur
garam yang halus sifatnya.