DI kaki langit baru saja
terbit jaluran cahaya kekuning-kuningan. Keheningan pagi menyengat kulit Pak
Aki ketika orang tua itu memulakan perjalanan menuju ke kebunnya.
Pak Aki mengenakan seluar slack hitam lusuh dan
kemeja lengan panjang putih yang juga lusuh untuk turun ke kebun. Dia melangkah
dengan penuh hati-hati melangkaui batas ubi kayu yang berbaris di situ.
Suasana pagi itu masih berbalam-balam kerana mentari
baru nak muncul. Batang-batang ubi kayu itu sudah mula bertunas. Pak Aki
menebarkan pandangan sekali lagi ke arah batang-batang ubi kayu dengan senyuman
meleret.
Syukur alhamdulillah, penat lelahnya selama ini telah
berhasil. Tak sia-sia berbudi pada tanah. Kebun Pak Aki yang luas empat ekar
itu telah diusahakan sendiri dengan tanaman kampung. Ada pokok pisang, ubi
kayu, kacang tanah, keledek, sedikit tanaman sayur seperti sawi, bendi, cili
padi, terung, jagung dan kangkung untuk keperluan sendiri.
Sejak pencen, Pak Aki hanya menghabiskan masanya di
kebun itu. Dapat juga hasil dan dapat menyihatkan badan. Tidaklah membuang masa
dengan tidur dan berkunjung ke gerai-gerai kopi untuk bersembang-sembang dengan
kawan-kawan yang sebaya dengannya.
Ada sesetengah orang pula selepas bersara hanya duduk
diam-diam di rumah. Langsung tak mahu melakukan apa-apa. Terperap saja. Hanya
duduk berangan dan layan perasaan di rumah. Bila badan mula berasa
sengal-sengal, mulalah mengatakan yang diri tu sudah terlalu tua. Sedangkan
usia baru saja mencapai 60 tahun.
Pak Aki mempercepatkan langkahnya. Dia hendak segera
sampai ke batas yang baru dibuat semalam. Terletak agak ke dalam dari jalan
raya dan bersebelahan dengan hutan. Dia bimbang kalau-kalau batasnya yang baru
dipacak dengan batang ubi kayu, diranduk dek babi hutan yang mencari makan pada
waktu malam.
Bayu pagi bertiup lembut menyegarkan tubuh Pak Aki.
Dia berasa semangat untuk berkebun hari ini. Mangkuk tingkat yang dibekalkan
isterinya tergenggam erat di tangan kanan.
Apalah agaknya sarapan yang dibekalkan? Matanya liar
memandang sekeliling sambil berjalan menuju ke batas yang dimaksudkan. Di bahu
kirinya, tersandar cangkul. Baldi merah kusam yang berisi tuala ‘Good Morning’
tersangkut di hujung cangkul itu. Tuala itu digunakan untuk mengelap peluh.
Tiba-tiba kaki Pak Aki tersandung ranting pokok yang
terlunjur di laluannya. Ranting itu betul-betul termasuk ke dalam selipar yang
dipakai. Nasib baik ranting itu tidak mencucuk dan menembusi kakinya.
“Hisy, nasib baik tak tercucuk.”
Pak Aki lantas mencangkung menarik keluar ranting kayu
itu. Dia melihat sekali imbas ranting itu sebelum dilontarkan ke sisi kirinya
dengan agak kuat. Ranting itu melayang jatuh ke dalam semak berdekatan yang
agak lebat.
Semasa hendak bangun, Pak Aki terpandang sesuatu yang
mencurigakan. Macam bentuk sekujur tubuh sedang tertiarap. Jantungnya tiba-tiba
berdebar kencang. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah tubuh yang tertiarap itu.
Bayu pagi menampar-nampar lembut pipi tuanya.
“Eh? Apa pulak ni?” tegurnya perlahan.
Pak Aki bingkas bangun dan melangkah berhati-hati
menghampiri tubuh itu. Setapak demi setapak dia melangkah. Terbongkok-bongkok
meninjau tubuh itu yang tidak bergerak. Hatinya mula rasa tak sedap. Dia
menoleh ke kanan dan ke kiri silih berganti. Dia mula berasa cemas.
“Apa bendanya ni? Takkan patung pulak. Siapa pulak
buang patung kat sini? Ingat kawasan ni tempat buang sampah ke?” ucap Pak Aki.
Pak Aki mula terbayangkan patung-patung besar yang
selalu digunakan oleh pekedai untuk mempamerkan baju yang dijual di pasar-pasar
raya.
Siapa punya kerja ini, buang patung kat kebun aku? Tak
ada tempat lain nak buang ke? Rungut Pak Aki, tak puas hati.
Kerana keadaan ketika itu masih lagi kelam, jadi
penglihatan Pak Aki tidak berapa jelas. Sekali lagi anak mata Pak Aki merenung tubuh
yang tidak bergerak itu dengan penuh tanda tanya.
Lagi 20 langkah, Pak Aki akan sampai ke tubuh itu. Pak
Aki meninjau-ninjau dari jauh. Bimbang nak rapat dengan tubuh itu. Buatnya dia
bangun dan menerkamnya, seperti dalam cerita Zombi yang pernah ditonton, takkan
niaya. Takut tubuh itu makan daging segar.
Tubuh itu langsung tidak bergerak. Pak Aki memerhati
dengan teliti kalau-kalau dia boleh nampak pergerakkan pernafasan tubuh itu. Hatinya berbolak-balik.
Orang ke? Atau patung? Tiada sebarang petunjuk yang
dapat menyokong tekaan Pak Aki. Sedangkan tubuh itu kaku di situ, tidak
bergerak-gerak. Sekali-sekala bayu pagi yang segar menyapa pipi tua Pak Aki
lagi.
Sudah lima minit, Pak Aki berdiri di situ namun tubuh
itu masih tidak bergerak. Akhirnya Pak Aki memberanikan diri menghampiri tubuh
itu.
Dup! Dap! Dup! Dap! Degupan jantung Pak Aki menghentak
dinding dadanya. Peluh dingin memercik halus di dahi Pak Aki yang berkerut
seribu itu. Cangkul di tangan, digenggam dengan kemas. Erat pegangannya.
Kalau tubuh itu tiba-tiba saja bangun, Pak Aki sudah
nekad, terus saja dia menghayunkan mata cangkul itu ke tengkuk tubuh itu tanpa
teragak-agak. Keselamatannya harus diutamakan.
Pak Aki sudah semakin rapat dengan lokasi tubuh itu
berada. Keadaan sekeliling sudah semakin cerah dan kini Pak Aki telah dapat
melihat dengan jelas tubuh yang telah merengut ketenteraman Pak Aki.
Astaghfirullahalazim! Mayat ke ni? Hati Pak Aki
menjadi kacau-bilau.
Peluh dingin membasahi baju. Pak Aki serba-salah.
Betul ke apa yang dia lihat ni? Berkali-kali dia menggosok-gosok mata tuanya.
Dia tak puas hati. Pak Aki maju ke hadapan beberapa langkah lagi untuk melihat
dengan lebih jelas dan untuk pastikan betul-betul.
Keadaan tubuh itu amat menyayat hati. Nampak jelas
akan kesengsaraan yang dialami ketika sakaratulmaut mencabut nyawanya. Mulutnya
herot-berot dan matanya terbeliak menahan kesakitan yang ditanggung. Tangannya
seperti ingin menggapai sesuatu di hadapan tapi tak tercapai.
Pak Aki melangkah ke bahagian kepala mayat itu pula.
Nak tahu apa yang cuba digapai oleh mayat itu. Menggeleng-geleng Pak Aki
beberapa kali. Terkejut melihat mayat itu habis melecur. Reput macam terkena
simbahan asid.
Tapi yang peliknya, hidung Pak Aki tidak pula tercium
sebarang asid atau cuka getah di tempat kejadian. Apa yang dah terjadi
sebenarnya?
Lutut Pak Aki terasa longgar. Terduduk dia seketika
memikirkan kejadian yang pelik itu. Dia tak sangka perkara buruk terjadi di
dalam kebunnya. Tertangguh terus niat Pak Aki untuk melihat batas ubi kayu barunya.
Apa yang dah berlaku ni? Soalan demi soalan bermain di
benaknya. Setengah jam orang tua itu menghabiskan masa bertanya soalan yang dia
tidak ketemui jawapannya.
Setelah berfikir seketika, akhirnya Pak Aki pulang ke
rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Nasib baik ketika dia pulang, isterinya
sedang membasuh di dalam bilik air. Wajah Pak Aki kelihatan cemas walaupun
sebenarnya dia cuba bertenang. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa akan hal itu
sehinggalah pihak polis tiba nanti.
Pak Aki tidak
mahu dituduh bukan-bukan oleh penduduk Kampung Nilam Setia. Dia tidak mahu
penduduk Kampung Nilam Setia jadi kecoh tentang hal ini tanpa usul periksa.
Biarlah pihak polis siasat dan membuat rumusan.