Home Novel Seram/Misteri Realiti atau Fantasi
Realiti atau Fantasi
Maryani Zailani
11/11/2022 13:53:10
12,629
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 4

Encik Alfrado duduk di dalam pejabat di galeri pameran miliknya. Dia pengkarya juga agen penjualan karya. Seperti biasa, galeri pameran persendirian miliknya beroperasi. 

Encik Alfrado membaca surat khabar untuk hari itu walaupun hari sudah menjengah petang. Tabiatnya ialah akan membaca surat khabar itu selama mana dia nak selagi belum menjelang tengah malam. 

Tinggal beberapa jam sahaja sebelum galeri pameran ditutup. Waktu itu ialah jam 3:30 petang.

Tajuk utama akhbar beberapa hari ini memang menarik perhatiannya. Dia tahu, pasti akan ada seseorang datang dan bertanyakan sesuatu kepadanya seperti sebelum ini.

Encik Alfrado meletakkan akhbar dan keluar dari bilik pejabat. Dia terserempak dengan pembantunya, Marina yang sedang membawa beberapa fail penting.

“Encik Alfrado, selamat petang!” Ucap Marina sambil menundukkan kepala tanda hormat dengan ketuanya itu.

“Ya…selamat petang.” Balas Encik Alfrado. Mereka senyap beberapa saat.

Encik Alfrado memeluk tubuh dan memerhati Marina.

“Encik Alfrado....ada apa-apa yang ingin encik tanya?” Marina meneka kerana Encik Alfrado tidak menyuruhnya berlalu seperti selalu. Encik Alfrado menganggapnya mengganggu sahaja. 

“Hmmm…dia…anak muda yang rajin mengkritik itu…dia datang ke hari ini?” Encik Alfrado hampir tergelak apabila bertanyakan hal itu. Dia teringatkan betapa Manisah suka mengkritik karya hasil di laman webnya. Walaupun itu hanya sebagai penjelasan kepada karya yang dia sendiri hasilkan.

“Penggunaan warna garang…merah! Tidak pernah menggunakan warna lembut dalam setiap karyanya…membuatkan saya terfikir yang pengkarya seorang yang garang! Oh…pemarah tentunya! Tentu sekali tidak mesra orangnya! Karya melambangkan peribadi seseorang itu”

Begitulah ulasan Manisah dalam ruang ulasan pada pertama kali gadis itu melawat laman webnya. Semenjak menjumpai laman web itu, rajin benar Manisah memberikan ulasan dan kritikan. Tapi, Manisah hanya memberikan kritikan kepada karyanya sahaja dan bukan kepada karya lain. Itu menarik perhatian Encik Alfrado. Dan Manisah setelah itu rajin mengunjungi galeri pameran dan mereka kerap berjumpa apatah lagi kebelakangan ini tersiarnya berita yang membimbangkan.

“Oh…saya ada melihatnya tadi. Dia…seperti biasa melihat dengan dekat sekali melebihi garisan yang ditetapkan.” Rungut Marina. Marina teringatkan garis sempadan antara karya dan audiens yang patut dipatuhi. Namun, tidak pada Manisah walaupun sudah beberapa kali ditegur penjaga karya. Boleh pula, tiap kali kunjungan, dia membawa kanta pembesar dengan alasan mahu melihat kehalusan dan ketelitian karya yang terhasil. Hampir geleng kepala Marina mengingati peristiwa lalu.

“Bagus…jumpa awak nanti, Marina!” Encik Alfrado menepuk bahu Marina dan berlalu pergi. Dia hanya mahu memastikan kedatangan Manisah menepati firasatnya. 

Marina menggaru kepala dan berlalu pergi. Dia memahami perbuatan ketuanya.

Sebelum mendapatkan seseorang yang ditunggu kedatangannya, Encik Alfrado menuju ke bilik rehat yang ada di situ. Dia membuka peti sejuk dan mengambil anggur lalu diletakkan di poket baju kot. Setelah itu, dia mengambil gelas dan menuangkan minumannya. Dia akan membawa kedua bahan itu kerana itu merupakan trademark dirinya. Itulah keunikan yang orang ramai kenali!

“Ketenangan ialah keterampilan...” kata Encik Alfrado sambil tersenyum di depan cermin besar di pejabatnya itu. Dia berasa dia macho ketika itu. Sesungguhnya, dia perasan sendiri.

*****

“Mata mesti setajam helang,” Amirul sekadar mengulang kembali kata-kata guru mereka dan menyentak Manisah yang seperti sedang termenung mengingatkan sesuatu.

Manisah mengangguk walaupun dia tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh Amirul secara jujurnya. Sekadar memberi respon.

“Oh...welcome...Manisah!” Ada suara lelaki garau menyampuk mereka berdua dari belakang. Lelaki bertuksedo maron, bermisai lentik, beruban sedikit tetapi perutnya tetap membuncit di hadapan. Tall, dark and handsome? No, jauh sekali!

“Oh…Encik Alfrado Go Go Go!” Sebaik sahaja mendengar suara lelaki yang agak menjengilkan telinga itu, Manisah terus menyebut nama lelaki berserta tagline sekali. 

“Apa aku cakap ni?” Detik hati Manisah.

“Ketenangan ialah keterampilan...” Dia memang mengenali suara lelaki itu walaupun tidak melihatnya.

“Yes…Ini Encik Alfrado Go Go Go…yang segala cita-cita mesti dicapai…”

“By hook or by crook,” serentak mereka bertiga menyebut bersama lalu ketawa tidak ikhlas yang dibuat-buat. Hohoho.

“Yeah…memahami sekali,” Encik Alfrado mendepakan tangan dan memandang sekeliling sudut pameran.

“Konon tengah menikmati hasil usahalah tu. Gedik!” Kutuk Manisah dalam hati dan memaling muka tanda tak suka. Kemudian, dia menguntum senyuman palsu.

“Kali ini…apa yang membuatkan awak datang ke mari, Manisah? Saya pasti tentu mengenai alasan yang sama,” lelaki separuh abad itu menguntum senyuman sinis. Begitu juga Manisah. Mereka semacam musuh yang berbuat baik dengan musuh sendiri.

“Betul…pandai Encik Alfrado Go Go Go baca fikiran saya,” Manisah sengaja menggerakkan jari telunjuk ke kepalanya beberapa kali. Sepertinya mengatakan, “Wow briliant, man!”

“Well...”

“Saya pasti…Encik mempunyainya…”

Encik Alfrado berdesir, sigh! Senyuman sinis tidak lekang.

“Berapa kali…Manisah…awak mengesyaki saya? Cuba awak lihat…ada milik awak?” Mereka berdua memandang tepat ke mata masing-masing. Kemudian Manisah memandang sekeliling sudut pameran.

Manisah senyum sinis lagi kemudian memandang Amirul. Amirul hanya mengangkat bahu dan tidak bersuara menunjukkan dia tidak pasti dan yakin dengan kata-kata Encik Alfrado. Dia kurang pula bercakap hari itu.

“Tentu tiada. Tapi, saya percaya potret itu tetap ada pada awak. Tentu encik tidak begitu bodoh untuk mempamerkan sesuatu yang boleh saya katakan sebagai…” Manisah berhenti bercakap, dia menghampiri Encik Alfrado dan berdiri bersebelahan dan separuh berbisik, “…pencuri karya orang lain?” Suaranya serius tetapi tetap diselangi gelak kecil mengejek.

Encik Alfrado ketawa kecil.

“Awak pasti saya artnapping? Cerdik tapi melakukan perkara yang salah? Cuba cari…jika benar ia berada di tangan saya.”

“Cabaran?”

“Tentu! Berani?” Lelaki itu meniru apa yang dilakukan oleh Manisah tadi.

Manisah ketawa besar.

“Tentu. Why not!” Tiba-tiba sahaja mereka bersalaman dan ketawa besar. Tentu sahaja orang lain berasa pelik melihat ulah mereka. Amirul menepuk dahi hanya mampu menyaksikan tanpa mencelah. Seakan-akan tiada seorang pun pedulikan dia.

“Hmmm…apa kata saya meronda dahulu sekeliling alang-alang dah berada di sini? Mana tahu terjumpa masterpiece yang berkenan?” Manisah mengangkat kening.

“Ya…sila…sila...”

“Amirul…jom,” Manisah menarik tangan Amirul meninggalkan tempat itu.

“See ya...” Manisah sempat melambai ke arah Encik Alfrado.

“Hmm?” Encik Alfrado membalas dengan lambaian juga. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.