PLAY
“Apa jadi kalau…hidup sendiri dikawal oleh orang lain? Setiap langkah…bukan kehendak diri sendiri? Tidak dapat menjadi diri sendiri sama ada sedar…separa sedar atau tanpa kesedaran langsung? Adakah kau boneka atau manusia yang tiada jiwa?”
“Hmmm…hmmm…” Seorang wanita bergumam irama lagu. Dia berhenti bergumam kerana monolog hatinya memintas perbuatannya. Dia pelik dengan suara hatinya sendiri. Bagaimana dia boleh terdetik untuk bermonolog demikian? Kali pertama ayat itu muncul dalam benaknya.
“Setiap perbuatan dikawal?” Dia tidak jadi meneruskan sapuan warna pada kanvas. Dia tidak tahu mengapa dia harus merenung pelik pada lukisan yang hampir siap diwarnakan itu. Hanya beberapa kemasan sahaja lagi.
Tingkap tanpa ditutup menerbangkan langsir putih. Suasana gelap sedikit walaupun siang kerana cuaca cerah beransur mendung. Dentuman guruh kedengaran sayup-sayup.
Wanita itu tidak mempedulikan suasana itu. Dia tidak berniat untuk memetik suis lampu. Barangkali dia suka suasana itu. Berangin dan sejuk walaupun suasana mulai suram dan boleh mendatangkan keseraman bagi sesetengah orang.
“Sejuk…” Wanita itu mengadu sendiri. Dia sempat menggosok-gosok telapak tangan untuk merasakan haba hangat sebelum meneruskan kerjanya.
“…terperangkap dalam karya sendiri! Kau antaranya pemainnya!” Suara kuat yang garau menerpa disusuli dengan bunyi pasu bunga kaca berisi bunga mawar merah segar jatuh berkecai.
Wanita itu terperanjat dan berus di tangan tercampak entah ke mana. Dia terus berpaling ke belakang dan matanya liar memandang keliling. Nafasnya turun naik dan berdebar kencang hatinya. Dia yakin sekali tiada sesiapa di rumah kerana dia memang tinggal berseorangan.
“Siapa?” Tanyanya sambil menggenggam kuat tangan sendiri untuk menghilangkan gemuruh.
Tiada sesiapa menyahut dan kilat di luar rumah mulai rancak memancar. Setelah menunggu beberapa saat, wanita itu berusaha untuk berlagak tenang. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mungkin suara itu sekadar suara hatinya dan pasu bunga jatuh berkecai kerana angin kuat akibat tingkap yang tidak ditutup. Kebetulan pasu bunga itu diletakkan berdekatan dengan tingkap.
“Mungkin…aku berkhayal.” Dia berusaha untuk menyingkirkan perasaan negatif yang mulai menguasai minda.
“Fikir positif…positif!” Dia menepuk-nepuk pipi sendiri beberapa kali sebelum memandang sekeliling lagi sekali.
Wanita itu berusaha mencari berus lukisan yang tercampak dari tangannya tadi. Dia terbongkok-bongkok memandang lantai.
“Mana pula berus ni?” Tangannya meraba-raba lantai dengan harapan dapat bertemu kembali dengan berus kesayangannya. Dia mencekak rambut panjangnya yang menghalang pandangan. Kemudian, dia menemui kembali berus lukisannya.
“Dum…dum…dum…” Bunyi piano di ruang tamu rumahnya tiba-tiba kedengaran sehingga ke dalam bilik kerjanya ketika itu.
Wanita itu terperanjat besar lagi sekali kerana selama ini dia hanya tinggal bersendirian tanpa teman. Siapa yang bermain piano? Dia berdebar kencang. Berus lukisan terjatuh dari tangannya.
“Kenapa ni?” Dia menyoal diri sendiri dengan suara yang perlahan. Hatinya mulai tidak sedap. Fikirannya terbayang-bayang kemungkinan buruk yang boleh berlaku. Dia terfikirkan pencuri memasuki rumahnya. Dia sendiri terlupa untuk mengunci pintu utama.
Wanita itu memberanikan diri berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu sambil membawa lebihan kayu bingkai kanvas sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Dia menarik nafas dalam-dalam dan cuba untuk bertenang.
“Siapa?” Matanya meliar dan kemudian tertancap pada piano di ruang tamu. Suasana gelap dan tidak berlampu menyebabkan penglihatannya terhad. Namun, dia berasa tiada sesiapa yang duduk di tempat piano. Dia perlahan-lahan menuju ke tempat suis lampu sambil memegang dinding.
“Tiada siapa?” Ruang tamu rumah itu terang benderang. Kosong tiada makhluk hidup. Dia terlihat langsir tingkap berkibar-kibar. Ya, memang dia tidak menutup tingkap kerana hari masih siang.
Dia sudah siap siaga untuk berlawan jika ada sesuatu terjadi. Ilmu pertahankan diri akan diaplikasikan jika keadaan mendesak.
“Dum…dum…dum!” Piano berbunyi secara tiba-tiba tanpa ada sesiapa yang menggerakkannya dan wanita itu sendiri automatik terdorong ke belakang seperti ditolak angin kuat. Dia mengaduh kesakitan.
“Kenapa? Apa berlaku ni?” Dia bersuara perlahan sambil mengurut tangganya yang sakit. Ketakutan menguasai diri. Matanya tidak lekang memandang piano.
“Dum…dum…dum!” Dia menyaksikan sekali lagi piano itu dimainkan sendiri tanpa manusia menggunakannya. Laju sekali bunyi piano seakan-akan dimainkan oleh seseorang yang sangat mahir. Seseorang tanpa jasad.
Wanita itu tidak terkata apa. Dia kaku.
“Mungkin…” Piano terhenti. Suara garau kedengaran. Penutup piano tertutup dengan kuat dan memeranjatkan perempuan itu.
Dia menekup mulut kerana takut. Barangkali rumahnya sedang dikunjungi hantu. Dia mencuba untuk membaca ayat-ayat suci yang diingati walaupun lidahnya kelu.
“…akulah diri kau!” dan suara itu kuat menerpanya. Perempuan itu terdorong lagi ke belakang. Hembusan angin itu kuat menyebabkan kepalanya hampir terhantuk ke dinding.