MORGAN
sedang
sibuk mengemas peralatan-peralatan pentingnya. Termasuklah buku-buku catatan
dan buku rujukan yang sudah dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Siap dilabelkan
dengan ‘BUKU’ di tepinya.
“Banyaknya buku
kau bawa Morgan!” tegur Afzan macam tak percaya.
Anak matanya tak henti-henti memandang kotak yang diangkat
Morgan ke dalam MPV. Satu demi satu diangkat masuk ke dalam kenderaan itu. Ada
lima kesemuanya.
“Kau rasa sempat ke nak bukak buku tu semua? Banyak
kerja yang kita kena buat nanti. Semuanya bahan kajian baru, kita akan leka.
Entah-entah kau sendiri pun lupa kewujudan buku-buku ni,” sambung Afzan
mengingatkan.
Ikmal pula sudah siap sedia duduk di bahagian hadapan
sambil membelek-belek laci, radio dan pemain CD di dalam kenderaan MPV yang
mereka sewa itu. Dia nak pastikan pemain CD itu boleh digunakan atau tidak.
“Buku-buku ni pun penting jugak. Manalah tahu perlukan
rujukan,” terang Morgan, termengah sedikit. Penat mengangkat kotak-kotak tu
sendirian.
“Apa susahnya, line internet kan ada? Kenapa
nak bebankan diri dengan cara kuno ni?” pintas Ikmal, mendengus ego. Yakin
betul dia dengan teknologi moden ni.
“Helo, kalau betul ada line internet, kalau
tak, apa macam? Kau nak korek mana semua maklumat yang kau perlukan tu nanti?”
ucap Morgan, mempertahankan tindakannya.
“Takkanlah kau sanggup masuk hutan dengan memikul buku
yang berkilo-kilo beratnya tu? Tak praktikal langsung,” balas Afzan lagi tak
puas hati.
Membara betul perasaannya dengan perangai mamat sorang
ni. Degil betul! Getus hatinya.
“Alah, tak apalah. Aku yang pikul bukannya kau.”
Morgan masih mempertahankan kedegilannya. Sama-sama
keras hati dan kepala batu. Masing-masing tak nak mengalah. Walaupun yang
ditekakkan itu sesuatu yang tak masuk akal!
“Eh, mana Zaf?” tanya Ikmal, tiba-tiba mencelah sambil
anak matanya liar mencari kelibat Zafrizan.
Malas nak layan sikap Morgan yang kadangkala melampau
dan tak masuk akal itu. Asyik nak ikut cakap dia saja.
“Tu, dekat tepi MPV, sedang memeriksa tayar kot.
Katanya semalam, tayar belakang sebelah kiri tu kurang angin,” jelas Afzan.
Dia mengecilkan matanya meninjau Zafrizan dari tempat
duduknya.
“Morgan, dah ke? Banyak lagi ke kotak-kotak yang nak
diangkat? Barang apa lagi tu?” tanya Ikmal, rimas dengan gelagat Morgan yang
tak sudah-sudah mengangkat kotak.
“Ada lagi dua kotak. Kalau nak cepat, marilah tolong
aku. Merungut aje lebih, tolongnya tak,” perli Morgan sambil mengerling ke arah
Ikmal yang sedang tersengih macam kerang busuk itu.
“Alah, biasalah barang alatan penyelidikan. Macam
bebuli kaca dan tabung uji. Kita kena pakai banyak benda tu nanti kat sana.
Senang nak simpan bahan-bahan sampel kajian nanti,” terang Morgan sambil
meletakkan kotak yang terakhir ke dalam MPV dengan penuh hati-hati.
Zafrizan baru saja selesai memeriksa tayar dan
terus melabuhkan punggungnya di tempat
duduk belakang MPV. Walaupun kadang-kadang tindakan Morgan itu leceh dan remeh
namun kawan-kawannya tetap respek dengan sikap Morgan yang teliti itu.
Kadang-kadang perangai cerewet ni, ada bagusnya juga.
“Kau nak tahu tak? Hutan Simpan Nilam Setia yang kita
nak pergi ni memang tidak ramai yang pernah terokai. Usianya sudah menjangkau
beribu-ribu tahun. Cuba kau bayangkan dalam usianya yang sudah lanjut sampai
menjangkau beribu-ribu tahun itu, apa jenis tumbuh-tumbuhan agaknya yang wujud
di situ? Agaknya, entah berapa jenis spesies tumbuhan yang kita tidak pernah
jumpa sedang menunggu di sana,” ujar Morgan penuh keterujaan.
“Wah, agaknya tumbuhan jenis makan daging pun ada
tak?” duga Zafrizan mengusik rakan-rakannya.
Senyuman nakal terukir di wajah tampannya. Dia memang
sengaja nak mendajalkan kawan-kawannya dengan soalan ‘dungu’ begitu.
“Apa, kau ingat ni zaman dinasor ke? Nak ada tumbuhan
karnivor macam tu,” celah Ikmal.
Morgan dan Afzan hanya mencemik.
“Err... tak apa. Kalau kita terserempak dengan
tumbuhan karnivor macam tu. Kita ‘offer’ Zaf untuk kendurikan, habis cerita,”
sambung Ikmal lagi sambil membayangkan Zafrizan sedang panik meminta tolong
daripada mereka bertiga.
“Amboi korang, imaginasi terlampau! Eh, kau jangan.
Nanti sedih Amani tu,” ujar Zafrizan
membela diri.
“Tak apa, Amani sedih sekejap aje. Bila dia dah
lupakan kau, biarlah aku pulak masuk
jarum gantikan tempat kau jadi kekasih setia sehingga mati,” usik Ikmal.
“Amboi, amboi, tak sayang mulut punya orang. Ada hati
nak kebas tunang orang. Eh, kau dah ada niat ke?” usik Zafrizan lagi.
Hati Zafrizan mula memercik bunga-bunga api tak puas
hati. Namun tidak ditunjukkan. Ikmal pula tersengih-sengih.
Buat apa aku cakap macam tu? Tentu kecil hati Zaf,
desis hatinya.
Ikmal sengaja menggaru-garu tepi kepalanya yang tidak
gatal. Dia tahu dia salah namun keegoannya menghalang dirinya dari meminta
maaf.