Home Novel Seram/Misteri POCONG BALIK RUMAH
POCONG BALIK RUMAH
2/10/2014 08:10:43
6,874
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
bab 6

Bab 6

KAMPUNG SERI ANDAK

Terkial – kial Hairul mengawal basikalnya ketika melalui jalan kampung. Peluh yang berjejeh didahi dan lehernya makin bercucuran. Panas. Namun semua itu tidak dipedulikan. Apa yang bersarang didalam lopak fikirannya cumalah wajah cikgu Mokhtar. Lainnya tidak. Kalau ditanya oleh cikgu bertubuh sasa dan berkulit gelap itu, apa aku nak jawap? Itulah yang sedar berlegar – legar didalam relung difikirannya. Tak kan dia nak jawap dia bangun lambat? Mampus aku nanti. Hairul mengeleng dengan penuh kesal. Yang dia tahu dia bakal ‘dibambu’ cukup – cukup dengan cikgu Mokhtar nanti. Nasib akulah! Nak menyesal pun tak guna, seranahnya didalam hati.

Hairul membelok masuk kejalan kebun getah lama ketika dia sampai dipersimpangan itu. Dia memang tahu selok – belok jalan didalam kampung itu. Apa yang ada diperut kampung itu, dia tahu. Sejak dari dia pandai berjalan dia sudah mula meneroka setiap ceruk dan lubuk yang ada disitu. Dia tahu dimana ada lubuk ikan. Kalau hendak makan buah rambutan atau langsat percuma pun dia tahu dimana. Tidak ada yang terlepas pandang dari matanya. Pendek kata kalau dicampak ditengah malam buta sekali pun, dia masih boleh pulang kerumah dengan selamat. Setiap lurah, setiaplekuk, setiap bukit, setiap selekoh didalam kampung sudah dihafalnya sejak dulu lagi.

Jalan yang baru dia mudik ini adalah jalan potong untuk kesekolahnya. Kalau hendak ikut jalan besar memang memakan masa. Namun dengan jalan kebun getah ini dia boleh menjimatkan waktu. Pun begitu tidak ada anak – anak sekolah yang mahu lalu jalan ini. Seingatnya memang tidak ada. Baik budak lelaki atau pun budak perempuan. Cuma dia dan rakan – rakannya pernah melalui jalan ini.

Tidak ada apa – apa yang ada disepanjang jalan itu melainkan hanya pokok getah yang semakin dimamah usia itu. Tidak ada rumah orang kampung. Bukan kata rumah, reban ayam pun tak ada. Jalan itu memang sunyi. Sesunyi tanah kubur dikampungnya. Kalau ada pun cumalah suara unggas hutan. Namun sesuatu yang dia suka tatkala melewati jalan itu ialah dia akan merasa sejuk dan nyaman. Lantaran kerana cahaya matahari tidak mampu menjamah tanah menjadikan persekitarannya sejuk dan enak. Kawasan kebun getah itu memang redup dan mengasyikkan. Kayuhan Hairul makin ligat biar pun dia terpaksa berhati – hati kerana laluan itu banyak lubang dan lopak. Sekejap dia kekiri dan sekejap lagi dia terpaksa kekanan. Setiap kali basikalnya terlanggar lopak dia terpaksa mengangkat punggungnya kerana takut terhentak. Setiap kali dia terlanggar lubang mulutnya akan mencarut. Bodoh!

“ Haduh!” tidak pasal – pasal Hairul menjerit kuat. Hatinya meradang. Basikal yang dikayuhnya mula bergerak semakin perlahan. Anak muda itu menundukkan kepalanya. Memerhatikan kearah rantai basikal yang sudah pun tercabut. Lantas dia memberhentikan basikalnya.

Hairul memandang kearah belakang. Cuba mencari rantai basikalnya yang terlucut. Mana pulak perginya! Rungutnya didalam hati. Dadanya mula terasa panas. “ Time macam nilah kau buat hal!” dia memekik sekuat hati. Memuntahkan lahar kemarahannya dipagi yang sunyi.

Anak muda itu menyusur kembali jalan yang baru saja dilewatinya tadi. Kepalanya masih lagi menunduk sambil bola matanya melilau mencari rantai basikal yang terlucut. Peluh sudah merenek didahi. Tubuhnya juga mula terasa panas. Bukan kerana dipanah cahaya matahari pagi tapi kerana hatinya sakit.

“ Mana pulak perginya ni!” suaranya tinggi memecah keheningan dikawasan kebun getah. Tidak menghiraukan akan suara unggas yang saling bersahutan.

Hairul terhenti sebentar. Kakinya bagaikan terpasung kebumi. Hatinya entah mengapa bergetar dengan laju. Ada semacam perasaan kurang enak menyelinap menyentuh kolam perasaannya dikala itu. Perlahan – lahan dia mendongak. Sekali lagi dia melingaskan bola matanya. Kali ini dia tidak lagi memberikan tumpuannya pada rantai basikal. Pun begitu anak muda berambut lurus kemas itu tidak pasti apa yang sebenarnya sedang dia cari. Nafasnya diaturkan dengan kemas. Debaran didadanya kian rancak.

Perasaan tidak sedap semakin kuat membadai hatinya. Dalam waktu yang sama dia memasang telinganya dengan hati - hati. Langsung dia terlupa dengan apa yang mahu dia cari tadi. Udara dipersekitaran terasa sejuk dengan tiba – tiba.Angin datang berpuput lembut. Daun pokok getah bergetar menghasilkan bunyi gemersik. Lalang yang tumbuh segar dan tinggi turut berbisik sesama sendiri. Hairul menelan rengkungnnya dengan tiba – tiba. Tubuhnya mula mengigil kecil. Apa hal pulak ni, hatinya berdetik sendiri. Bola matanya terus melingas. Anak muda itu berpusing. Mencari – cari sesuatu yang dia sendiri pun sebenarnya tidak pasti.

Sejenak Hairul tertegun sendiri. Kali ini dia pasti benar yang telinganya baru saja menangkap satu bunyi. Bunyi seakan – akan sesuatu bergesel. Gemersik. Pandangannya diliarkan lagi. Bunyi daun atau lalang bergesel kedengaran lagi. Bunyi apa tu? Hatinya berkocak sendiri. Hairul berpusing lagi.

Bola matanya terbeliak besar. Mulutnya mula terbuka namun tidak ada kata – kata yang keluar. Segera wajahnya yang berdarah bertukar menjadi pucat dengan serta - merta. Lututnya juga menjadi lembik dengan tiba – tiba. Mujur dia masih mampu untuk terus berdiri. Pun begitu sepasang kakinya bagaikan melekat kuat dibumi. Tidak mampu untuk digerakkan walau pun sedikit.

Tidak jauh dari tempat dia berdiri kelihatan sesusuk tubuh berbungkus putih bersandar pada sebatang pokok getah tua yang ada disitu. Bunjut diatas kepalanya seakan – akan melambai kearahnya tatkala tubuh berbungkus putih itu sedang mengeselkan belakang badannya pada pokok getah tersebut.

“ Tolong bukak kan....,” rayu mayat itu dengan suara yang mendayu.

“ Mak! Hantuuuuuu!” serentak dengan itu Hairul berlari berpatah semula kearah jalan yang dilewatinya tadi. Pantas dan langsung tidak menoleh kebelakang lagi.

“ Tolong bukak kan....!” ketika dia memecut telinganya masih lagi mendengar suara pocong itu merayu.

“ Tidakkkkk!!!” Hairul memekik hingga kepuncak suaranya. Lariannya makin deras. Seakan – akan sepasang kakinya tidak jejak bumi ketika itu.

Kiah superstar terkejut dengan tiba – tiba. Hampir saja besen ditangannya terlepas kebawah. Hatinya juga berdetak kuat. Pantas dia menoleh memandang kearah pintu dapurnya yang terkangkang luas.

Baru saja tadi dia terdengar bunyi dentuman kuat pada pintu dapurnya. Pun begitu dia tidak dapat melihat kelibat sesiapa pun. Siapa? Hati perempuannya diganggu dengan rasa kurang enak. Perlahan – lahan dia meletakkan besen diatas meja dapur. Pintu yang sudah terdedah luas direnungnya lagi dengan rasa curiga.

“ Abang?” mulutnya menyeru perlahan.

Panggillannya itu hanya disambut sepi. Yang ada cuma ‘Johnny’ kucing berbulu kuning sedang leka menjilat bulu – bulunya sendiri ditepi tangga. Langsung tidak memberi reaksi terhadap Kiah superstar yang tercangak – cangak sendiri didapur.

Kiah superstar pula terus melangkah kepintu. Menjengahkan sebentar kepalanya keluar. Cuba mencari kelibat orang. Namun begitu tidak pula dia melihat sesiapa pun ada diluar. Hendak kata anak jirannya berlari dan terhantuk kepala dipintu itu mustahil. Jika tidak tentu budak tu dah ‘melalak’ ditepi pintu sambil mengaduh kesakitan. Rumah Timah disebelah dipandangnya. Tidak ada apa – apa yang ,mencurigakan pada pandangan matanya. Kiah superstar menarik nafas panjang. Bunyi apa yang berdentum tadi? Hatinya makin dijajah dengan rasa tidak enak. Mulutnya terherot – herot sambil benaknya berputar ligat. Mencari sebab musabab dengan apa yang baru berlaku tadi.

Ya! Kiah superstar memang binggung. Nama Kiah superstar itu memang sudah lama menjadi miliknya. Sejak dari zaman anak dara lagi gelaran itu sudah diberikan kepadanya oleh orang kampung. Tidak keterlaluan jika dia sendiri sebenarnya amat menyenangi dengan gelaran yang diperolehinya itu. Satu kampung mengelar dia dengan gelaran itu.

Puncanya? Ya.... lewat tahun lapan puluhan ketika dia baru menamatkan alam persekolahannya Kiah sudah ada hobi. Bukan setakat hobi malah sudah dianggap menjadi cita – citanya sejak dari kecil lagi. Ya! Kiah superstar ingin bergelar ‘bintang’. Bintang yang menyinar dipersada seni hiburan tahan air ketika itu. Berbekalkan dengan suara yang dimilikinya Kiah cuba untuk mengorak langkah. Ketika itu pantang benar dia bertemu dengan microphone pasti dia hendak ‘melalak’. Rambutnya sengaja dibiarkan panjang mengurai kerana dia teringin benar hendak menjadi seperti penyanyi kegemarannya Noor Kumalasari. Dari gaya rambut hinggalah kefesyen baju, semuanya ditiru dari penyanyi itu. Bezanya mata Kiah superstar agak sepet tidak segalak dan secantik Noor Kumalasari. Tubuhnya juga dijaga agar sentiasa selangsing Noor Kumalasari. Cara dia berjalan juga tidak ubah seperti penyanyi itu.

Pendek kata kalau ada kenduri kahwin dikampungnya atau kawasan sekitar, Kiah superstar tidak akan ketinggalan untuk menyumbangkan suaranya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan jika tidak kedengaran suara Kiah superstar majlis kahwin kurang meriah.

Namun sudah nasib badan. Bakat yang ada ditubuhnya tidak kemana. Sebaik saja dia ditunangkan dengan Deraman aktiviti seninya mula berkubur. Ya.... Deraman memang kaki cemburu. Biar pun Kiah tidaklah secantik mana pun, namun dia tetap cemburu. Lantas kerana itu, Deraman melarang Kiah ‘melalak’ dimajlis kerja kahwin.

Dek kerana merasa tidak puashati, Kiah menjengah lagi kearah luar. Setelah memastikan yang keadaan seperti sediakala Kiah berpusing untuk masuk kedalam. Kakinya tiba – tiba terhenti. Ditelapak kakinya dirasakan ada benda melekit.

Kiah tunduk. Kaki kanannya diangkat sedikit dan ketika itulah dia terpandangkan akan kesan tanah berlumpur melekat disitu. Begitu juga disimen. Lumpur apa pulak ni? Terdetik pertanyaan itu didalam hatinya.

Dari mana datangnya lumpur ni? Persoalan itu menjengah benaknya pula. Lantas Kiah memandang kearah luar. Cuba mencari dari mana datangnya lumpur berwarna coklat bercampur kelabu. Seketika kemudian dia mendongakkan kepalanya memandang langit.

Mustahil! Dengan tidak semena – mena Kiah membentak didalam hati. Hendak kata ditepi rumahnya berlumpur, hujan tidak pula turun sejak kebelakangan ini. Kiah menumpahkan pandangannya kearah kesan lumpur disimen.

Sah! Kesan lumpur itu kelihatan bertompok – tompok hingga kedalam dapur. Ianya bersambung ditangga yang memisahkan ruang dapur dan ruang tengah. Kiah bergerak perlahan – lahan menyusur kesan lumpur itu. Hatinya mula diserang dengan rasa kurang enak. Dadanya juga bergetar seolah – olah ada sesuatu menendang keras dari dalam.

Kesan lumpur yang masih basah itu membawanya kepintu kamar. Kiah mendongak dan memerhatikan kearah dalam. Ada sesuatu diatas katil yang menarik perhatiannya dikala itu. Kiah mengorakkan lagi langkahnya. Kali ini lebih perlahan dan lebih berhati – hati. Diwaktu yang sama perasaannya berkocak kuat.

Matanya terus merenung sesuatu yang berselindung disebalik selimut diatas katil. Dari keadaan bentuk yang dilihatnya ketika itu dia merasakan ada seseorang sedang berselubung. Selimut warna biru berbunga merah kelihatan bergerak –gerak. Hati Kiah dijamah rasa gentar. Siapa?

Kiah beralih pula pada kesan lumpur diatas papan lantai dan ianya berakhir ditepi katil. Macam.... tapak kaki, baru dia sedar apa yang sedang dia lihat ketika itu.

Kiah tergamam seketika sebaik saja dia terdengar ada suara menyusul. Perlahan dan tersekat – sekat. Kini matanya tidak lepas dari memandang kearah sesusuk tubuh yang sedang bergulung disebalik gebar tebal.

“ Abang?” bibirnya terbuka menyapa.

Sapaannya tidak disambut. Sebaliknya suara orang menderam kedengaran kuat. Serentak dengan itu getaran disebalik selimut itu kelihatan makin kuat.

“ Abang?” Kiah memberanikan dirinya bertanya lagi.

Kiah teragak – agak lagi. Apa benar memang suaminya yang berada disebalik gebar itu? Tapi serasanya mustahil kerana suaminya pagi tadi sudah bertolak keluar kerana ada kerja katanya. Itulah yang Deraman beritahunya sewaktu keluar dari pintu dapur selepas bersarapan.

“ Abang,” dan serentak dengan itu Kiah selimut direntap. Deraman yang sedang mengerekot menoleh. Matanya terbeliak besar. Serentak dengan itu Deraman menjerit hingga kepuncak suaranya.

“ Tolong! Hantu!!!!”

Kiah cemas sambil terlopong.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.