PROLOG
“Abang tak teringin ke nak kahwin dengan
amoi?” Hampir tersedak Waiz mendengar pertanyaan adiknya. Wajah Wardiah di
depannya dipandang sejenak.
“Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba
aje tanya abang macam tu kenapa?” soal Waiz kembali meletak cawan kopinya ke
meja.
“Manalah tahu kalau-kalau abang berkenan
nak kahwin dengan mana-mana amoi ke. Diah suka dapat kakak ipar amoi tau.”
Wardiah sudah tersengih-sengih. Menayang barisan giginya yang bersih.
“Kenapa pulak?” Waiz sudah mengerut
kening. Adik aku ni dah kenapa? Tiba-tiba saja dah buang tabiat tanya perkara yang
tak pernah ditanya. Entah apa-apa ajelah budak ni, getus hatinya. Lalu mata Waiz
kembali mengadap komputer riba di atas meja. Tidak peduli Wardiah sudah merengus
halus.
“Kenapa pulak abang tanya? Mestilah Diah
suka sebab dapat kakak ipar yang putih melepak macam orang Jepun. Mata dia pun
sepet aje, cantik. Lagikan…”
“Kalau setakat pasal cantik aje Diah nak
abang kahwin dengan amoi, lebih baik tak payah. Orang Melayu pun ramai yang
cantik, putih melepak. Zaman sekarang ni dik, dah ada macam-macam produk yang
boleh putihkan kulit. Sedia duit aje,” cantas Waiz.
“Itu lain sebab bukan putih original.
Lagipun abang, dapat pahala tau kalau kahwin dengan mualaf ni.”
“Pahala tu yalah dik tapi kalau salah
didik, pahala boleh bertukar jadi dosa.”
“Alah, abang cakap macamlah abang tu
cukup ilmu agama sampai tak boleh ajar isteri mualaf abang dengan didikan agama
yang sempurna.”
“Dik, kita ni manusia biasa, bukannya
maksum macam Nabi. Tak ada manusia yang boleh lari dari buat salah terutama
bab-bab agama ni. Sedangkan tok imam pun boleh rogol cucu, inikan pulak kita
yang imannya ala-ala telur dihujung tanduk aje ni,” suara Waiz seakan berhujah.
“Eh, kejap. Yang adik tiba-tiba nak
sangat abang kahwin dengan amoi tu kenapa?” soal Waiz kemudian, baru perasan
dengan keadaan tu. Wajah beria-ia Wardiah kembali menjadi habuan pandangannya.
“Ni hah, abang tengok tajuk suratkahabar
ni. Ada ke patut dia orang kata lelaki Melayu tak romantik? Tak aci betul!”
suara Wardiah lebih kepada merungut sambil menyua surat khabar di tangannya
kepada Waiz. Lelaki itu hanya membaca seimbas pandang sebelum bibirnya menyungging
senyuman.
“Alah, biasalah tu dik. Tak semestinya
apa yang ditulis tu betul dan tak semuanya jugak salah. Semua tu bergantung
pada pandangan dan cara seseorang itu menafsir makna romantik tu sendiri. Lain
orang, lainlah pemikirannya.” Waiz hanya mengambil mudah perkara yang dirasakan
remeh itu.
“Tapikan dik, apa kena mengenanya amoi
dengan pasal romantik tu pulak?” Waiz kembali menyoal selepas itu, tidak faham.
“Adalah kena mengenanya. Sebab wartawan
yang menulis artikel ni adalah wartawan Cina. Huh, nampak sangat orang
perempuan Cina fikir lelaki Melayu ni tak romantik padahal dia orang tak tahu,
orang Melayu pun pandailah bab-bab romantik ni. Bukan orang Cina atau Korea aje
yang pandai tau.”
“Kalau dengar pada orang Cina
cakap-cakap adik tu, tak pasal-pasal kita boleh bergaduh dengan dia orang tau
sebab cakap adik tu dah berunsurkan perkauman.”
“Alah, benda dah betul. Mana boleh dia
orang nak nafikan.”
“Dik, tak kiralah bangsa apa sekali pun
kita ni, kalau kita jadikan agama sebagai tunggak utama kehidupan, Insya Allah salah
faham macam ni takkan wujud. Jangan salahkan orang lain jika dia orang tuduh
kita begitu begini padahal kita sendiri pun banyak kekurangannya. Manusia tak sempurna
dik, pasti akan ada kurang dan lebihnya. Hanya kita yang kena belajar terima seadanya
sesama sendiri. Lagi satu, adik kena ingat. Jodoh tu di tangan Allah Taala. Tak
semestinya kita kahwin dengan Cina baru kita boleh buktikan yang kita pun boleh
romantik segala bagai. Seperti yang abang katakan tadilah, semuanya terpulang pada
penerimaan masing-masing terhadap orang lain, itu saja.”
“Lelaki Melayu tak romantik? Memang
pun!” suara Christina terus menghempas suratkhabar di tangannya ke tengah meja
setelah tajuk besar suratkhabar itu dibacanya kuat-kuat.
“Kalau aku jadi perempuan Melayu, dah
lama aku cari lelaki bangsa lain. Lelaki Melayu ni jangankan romantik, pandai
pun kurang, malas aje lebih.” Christina menyambung kata.
“Amboi kau, sedapnya mulut mengata
lelaki Melayu. Kau sedar tak kau sedang duduk semeja dengan siapa sekarang? Kita
orang ni perempuan Melayu sejati tau. Berbulu jadinya telinga aku dengar kau
mengutuk gata lelaki sebangsa aku,” bebel Iman sudah menjegil mata pada
Christina yang awal-awal lagi sudah tersengih lebar.
“Entah kau ni. cakap macamlah lelaki
Cina tu bagus sangat. Dibuatnya satu hari nanti kau jatuh cinta dengan lelaki
Melayu, baru padan dengan muka kau.” Ayra ikut sama marah.
“Aku nak jatuh cinta pada lelaki Melayu?
Huh. Kirim salam!” sanggah Christina cepat.
“Kirim salam? Salam apa? Salam cinta?
Sampaikanlah salam, cintaku padanya, walau…”
“Dah, dah. Tak payah kau gatal-gatal mulut
nak menyanyi lagu kumpulan Alleycats tu. Lagu favourite aku tu wei.” Tak jadi Arya nak menyambung nyanyiannya
bila Christina terlebih awal mencantas.
“Kau jangan cakap takbur sangat Miss
Christina Jane Lau oi. Kalau dah takdir Tuhan kau jatuh cinta pada lelaki
Melayu, kau jugak yang merana nanti.” Iman masih tidak puas bersyarah walau
Christina tidak meminta.
“Betul-betul. Aku setuju dengan cakap
Iman. Bab jodoh ni dalam tangan Tuhan, bukan dalam tangan kita. Kalau betullah
kau jatuh cinta dengan lelaki Melayu nanti, kau jangan nak salahkan Tuhan pulak
sebab memang itu ketentuanNya.” Ayra menyampuk sokong.
“Yalah tu kau orang. Mentang-mentanglah
kau orang berdua ni original Melayu, sedap-sedap kau orang aje nak hentam aku
begitu begini,” rengus Christina.
“Kita orang bukan nak hentam kau Tina
tapi kau tu, berlagak sangat bila bercakap pasal lelaki Melayu. Lelaki Melayu
tak ada kelaslah, lelaki Melayu tak boleh diharaplah. Macam-macamlah lagi,
sampai aku dan Iman yang dengar ni pun nak muntah rasanya,” sanggah Ayra
menjeling sekilas gadis itu.
“Dah memang begitu perangai lelaki
Melayu, aku nak kata apa lagi,” sahut Christina dengan riak muka tetap selamba.
“Tapi tak semuanya macam tu. Kau tu aje
yang suka samakan semuanya sekali.” Iman ikut sama tidak puas hati.
“Lantak kau orang lah nak kata apapun,
tapi pada aku, jawapannya tetap sama. Lelaki melayu memang tak boleh dibuat
suami. Muktamad!” tegas Christina.
“Kau yakin dengan cakap-cakap kau ni?”
soal Ayra meminta kepastian.
“Seratus peratus,” angguk Christina
tampak yakin dengan diri sendiri.
“Tak menyesal?”
“Tidak sama sekali.”