Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
33,985
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 12

DETIK demi detik berlalu. Tidur Shila begitu lelap. Bibirnya yang tadi sekadar bergerak terkumat-kamit, mula bersuara perlahan. Mula-mula antara dengar tak dengar. Lama-kelamaan kian jelas sebutan Shila.

“Abang... Abang Ezzat... Abang Ezzat...”

Dia mengigau. Wajahnya berkerut-kerut entah apa yang dimimpikan. Malah, tangannya juga turut bergerak-gerak. Dia benar-benar hanyut dalam mimpi. Tubuhnya bergerak ke kiri, ke kanan. Igauannya makin menjadi-jadi. Nama Ezzat asyik disebut tak henti-henti.

Kerana gerakannya mula kasar, bantal peluk yang diletak Zakiah tadi jatuh ke lantai dan bergolek ke arah lilin. Lilin itu jatuh! Jatuh betul-betul ke bantal golek. Api lilin membakar bantal tersebut. Sedikit demi sedikit api itu marak. Dari bantal, api merebak ke karpet pula dan kemudian ke lantai.

Shila masih hanyut dalam igauan tidurnya. Dia tak sedar biliknya kini sedang dimakan api. Kian lama kian marak.


“MAK tak sangka jadi macam ni.” Wajah Senah beriak duka. “Kesian si Shila tu,” keluhnya lagi.

Liyani yang duduk bersandar lemah di sofa berpeluk tubuh. Rasa begitu letih mencari Shila siang tadi masih terasa. Cuma sekarang yang bermain di benaknya bagaimana hari esok pula.

“Esok orang kerja, mak. Minta-mintalah Shila tak apa-apa. Susah hati orang nanti nak buat kerja asyik teringat kat dia.”

“Nanti mak tolong tengok-tengokkan dia. Kau kerja jelah... tak payah risau.” Senah memandang jam dinding. Dalam keadaan gelap yang suram diterangi cahaya lilin, agak lama barulah dapat melihat jam itu. “Dah pukul 10.30. Pergilah tidur. Esok pagi kau terlajak tidur tak bangun, mak tak tahu.”

Menggeliat Liyani terduduk tegak. Memang dia berasa penat, tapi tak mengantuk langsung.

Melihat Liyani termenung, Senah bingkas berdiri. “Pergilah tidur. Biar mak kunci semua pintu, tutup tingkap.”

Lalu, dia memeriksa dari satu tingkap ke satu tingkap kayu ruang tamu itu. Memeriksa sama ada sudah benar-benar berkunci atau belum. Gelap-gelap begini risau pula kalau ada yang tak kunci betul-betul. Dia kemudian beralih mahu menutup pintu.

“Abah balik pukul berapa, mak?”

“Kejap lagi baliklah tu dari surau. Abah kau biasalah. Lepas isyak bukan terus balik rumah.”

Melihat Senah beredar menuruni anak tangga ke dapur, barulah Liyani bangun. Nak tak nak, risau macam mana sekalipun, dia harus tidur dan lupakan semuanya buat seketika. Baru saja dia merebahkan diri di atas katil, terbeliak matanya mendengar Senah menjerit-jerit dari dapur. Spontan dia terduduk memasang telinga.

“Yani! Ya ALLAH, Yani! Yani, cepat! Yani! Yani!”

Bergegas Liyani keluar mendapatkan emaknya. Cuak dia dibuatnya.

Senah tak mampu nak bercakap. Mukanya pucat. Ditunjuk ke arah tingkap yang terbuka.

Liyani memandang ke arah luar tingkap. Dari situ dia nampak api marak membakar rumah Shila! Terkejut sungguh dia. Terbeliak matanya. Lantas dia berlari membuka pintu dapur dan keluar.

Senah berlari mengekori Liyani. Dia risaukan anaknya itu. “Yani! Yani!”

Liyani terjerit-jerit. “Tolong! Tolonggg! Tolonggg!” Berlari-lari dia ke rumah jiran-jiran yang lain meminta tolong. Bagaikan histeria dia.

“Tolong cepat! Cepat!” Senah terpekik-pekik pada jiran-jirannya. “Rumah Kiah terbakar tu! Rumah Kiah terbakar! Ya ALLAH...”

Suasana hingar-bingar. Makin ramai yang menjerit-jerit meminta tolong pada jiran-jiran sekampung.

“Telefon bomba! Cepat!” Terdengar suara jeritan lelaki menyuruh.

“Tolong jirus air! Bawa air banyak-banyak. Jirus mana yang sempat! Cepat! Cepat!” arah yang lain pula.

“Yang ada getah paip panjang tu tolong pasangkan air. Tarik ke sini!”

Terdengar lagi suara-suara yang berusaha mahu memadamkan kebakaran. Beberapa orang membawa baldi yang penuh dengan air di kiri dan kanan tangan. Yang tak larat, hanya membawa sebaldi air. Dijirus ke rumah Shila. Tapi api kelihatan makin marak. Begitu cepat!

Ada jiran-jiran yang cuba nak masuk ke dalam rumah itu, namun tak berani kerana api sudah menjulang tinggi dan merebak hampir ke seluruh rumah. Masing-masing terjerit-jeritkan nama Zakiah, Karim dan Shila.

Liyani sudah menangis. Seluruh tubuhnya menggeletar. Direnung rumah Shila dengan perasaan gementar. “Shila!” jeritnya sekuat hati. “Shila! Keluar, Shila! Shila!” Dilihat api bagaikan tak mahu padam walaupun sudah ramai yang menjiruskan air.

Dia menangis semahunya. Tak ada apa yang mampu dia buat ketika ini. “Shila! Keluar, Shila! Keluarlah...” Dia meraung tak tertahan melihat rumah itu kian terbakar.

“Ya ALLAH... selamatkanlah sahabat aku, ya ALLAH. Shila! Shila! Allahuakbar... Shila!” laungnya keras. Tak sanggup lagi bersabar, dia berlari mahu masuk ke dalam rumah itu.

Senah nak menolong menjirus air, mujur terperasankan Liyani. Dia nampak Liyani berlari menghampiri rumah Shila, lantas dia mengejarnya. “Yani! Jangan, Yani! Yani! Jangan pergi!” Terpekik-pekik dia ketakutan.

Beberapa orang membantu Senah menghalang Liyani. Ditarik Liyani agar menjauhi rumah itu.

“Lepaskan aku! Aku nak selamatkan Shila!” Liyani meronta-ronta.

“Bahaya, Yani! Bahaya! Kau jangan cari pasal!” marah salah seorang lelaki yang menghalang Liyani itu.

Liyani menangis meraung. “Mak... selamatkan Shila, mak! Selamatkan Shila! Nanti Shila mati, mak! Mak! Orang tak nak Shila mati. Shila! Shila!” Dia meronta-ronta lagi minta dilepaskan. “Shilaaa!” Meraung-raung dia sekuat hati.

Senah dengan bantuan yang lain mengheret Liyani agar menjauh rumah itu.

“Shila! Shilaaa! Shilaaa!” Liyani meratap hiba, masih meronta-ronta.

Pegangan tangan Senah kuat mencengkam lengan Liyani. “Sabar, Yani! Sabar! Istighfar! Kita tak boleh masuk rumah tu. Bahaya! Dah terbakar habis.”

Liyani merenung rumah Shila dengan air mata yang berguguran. Rumah itu kian marak apinya. “Shilaaa...” Dia terduduk lemah. Makin banyak air matanya tumpah ke pipi. Berjuraian.

“Shilaaa...” Kabur pandangannya yang bergenangan. “Shilaaa...” rintihnya sayu.

Dia menangis semahu hati tanpa mempedulikan orang ramai yang hingar-bingar ke hulu ke hilir menjirus air ke rumah Shila. “Shilaaa...” Dia hanya mampu merintih.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.