Home Novel Thriller/Aksi Hey, You Mr. Vet!
Hey, You Mr. Vet!
Angel_k20
20/9/2020 06:19:33
1,856
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2b

Si nenek apabila melihatkan ada seorang gadis tinggi lampai mendekatinya, dia yang sedang memangku kepala di tongkatnya terus memalingkan muka ke arah lain. Dia mahu cucunya si doktor sama seperti yang sedang tersenyum di bunting, bukannya gadis ranggi lagi ganas ni. Tadi pun mahu terluruh gigi palsunya dek terkejut dengan hentaman superbike daripada gadis gangster, ini sudah kenapa gadis ini mendekati dia pula? Dia tidak mahukan gadis brutal ini, dia mahukan doktor handsome tadi!

"Toh Puan..." panggil Kaysa dengan lembut kepada si nenek. Badannya direndahkan sedikit bagi menyaingi paras duduk si nenek yang melihatnya dengan pandangan tidak berpuas hati.

"Siapa Toh Puan? Kau siapa?" balas si nenek dengan suara meninggi. Hatinya sudahlah panas kerana si 'cucu' yang dipanggil sedari tadi tidak menghiraukannya dan asyik pula berbual dengan gadis ini, selepas itu gadis ini pula yang datang mendekatinya. Dia betul-betul nak merajuk ni!

Kaysa menggenggam buku limanya erat. Jika tidak kerana dia bekerja sebagai pembantu peribadi si tua banyak songeh Toh Puan Zainab tu, memang lama sudah dia angkat kaki dari situ. Entah apalah dosanya hari ini apabila majikannya yang seorang itu tiba-tiba menghilangkan diri bersama dengan kucing kelabu berbaka British Shorthair kesayangannya. Jika tidak kerana info daripada anak buahnya yang mengatakan bahawa majikannya berada di dalam klinik haiwan mewah ini, memang tidaklah dia masuk ke situ. Dia takut kucing, okey?

Dalam dirinya mengutip sisa kesabaran dan bibirnya dipaksa senyum, dia memandang lagi kepada si nenek atau Toh Puan Zainab yang sememangnya sangat licik orangnya. Orang tua ini ada-ada sahaja ulahnya yang membuatkan pekerja yang menjadi pembantu peribadinya naik gila dan tidak lama kemudian surat berhenti kerja sampai ke meja anaknya Tan Sri Zahir. Orang tua ini pun satu, kalau sudah ada penyakit Alzheimer tu buatlah seperti orang nyanyuk. Ini tidak, habis kecoh seluruh ahli rumah agam itu dibuatnya pagi tadi.

Iyalah, mem besar rumah itu hilang, dia sebagai pembantu peribadi memanglah dipersalahkan atas kecuaiannya menjaga si majikan. Apa Tan Sri Zahir ingat dia ni pengasuh mak dia ke? Hatinya sebal namun digagahkan lagi mulutnya untuk mengukir senyuman semanis gula. Toh Puan Zainab suka manusia yang sentiasa tersenyum, jadi dia perlu sentiasa tersenyum apabila berhadapan dengan si tua ini walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun!

"Toh Puan, ini Kaysa la. Kaysa, cucu Toh Puan yang paling comel di alam semesta ini," kata Kaysa sambil mengetap bibir namun roman mukanya tetap dimaniskan.

"Ish, kau bukan cucu aku. Cucu aku..." kata si nenek atau Toh Puan Zainab lalu berjalan perlahan-lahan ke arah Adwan.

"Ha, inilah cucu aku. Handsome kan dia?" Toh Puan Zainab terus merangkul lengan Adwan lalu melentokkan kepalanya ke bahu jejaka itu.

Automatik, mata Adwan membulat dan dirinya terkejung dilakukan sedemikian rupa, namun dia lagi terkejut apabila melihatkan Kaysa tetap tersenyum. Tolonglah, sumbang mahram ni! Namun, dirinya masih lagi dikekalkan dalam ketenangan dan fikirannya dipacu agar tetap waras untuk berfikir jalan penyelesaian supaya semua perkara yang tidak masuk akal ini dapat diselesaikan dengan baik. Perempuan muda ke perempuan tua ke, apa kes nak manja-manja dengan dia? Dia nak manja-manja dengan isteri dia yang sah je! Eh...

"Nenek, saya..." kata Adwan dengan berhati-hati, risau pula kalau orang tua itu tiba-tiba membentak seperti mana Kaysa dimarahi tadi.

Pst! Pst!

Adwan memalingkan mukanya kepada Dora yang memanggilnya dari kaunter. Bagai memahami isyarat Dora yang memintanya melihat papan tanda bertulisan bergerak di kaunter, dia menjatuhkan pandangannya ke arah bait-bait perkataan yang ditaip oleh Dora.

Toh Puan Zainab, Alzheimer.

"Oh..." Itu sahaja ayat yang mampu keluar daripada mulutnya. Tidak hairanlah jika si nenek ini berkelakuan miang semacam. Astaghfirullahalazim, dalam diam dia sudah mengutuk orang tua yang sudah betul-betul nyanyuk!

"Hey, you Mr. Vet. I'm so sorry majikan aku buat hal hari ni. By the way dia kehilangan kucing kelabu berbaka British Shorthair. Ada neck collar bertanda 'Minah' di leher kucing itu. Jadi, aku rasa sebab itu kot dia boleh sampai ke sini," jelas Kaysa panjang lebar apabila dia juga turut melihat papan tanda di kaunter. Pelik sebenarnya apabila klinik itu boleh mengetahui identiti majikannya, jadi lebih baik dia angkat kaki sebelum apa-apa terjadi.

"Sekejap... British Shorthair?" tanya Adwan sambil menjongketkan kening lalu pegangan erat daripada Toh Puan Zainab cuba dilepaskan selembut mungkin. Buatnya orang tua itu mengamuk manja, jatuh reputasinya!

"Nenek duduk dulu, saya nak ke belakang sekejap," kata Adwan kepada Toh Puan Zainab lalu memimpinnya duduk di kerusi. Setelah memastikan si nenek itu selesa dan mendengar kata, Adwan berpaling kepada Kaysa.

"Kau, ikut aku," Adwan mengisyaratkan kepada Kaysa agar mengikutinya ke dalam bilik yang menempatkan sangkar-sangkar kucing yang sedang sakit lalu menunjuk ke arah sangkar yang berisi seekor kucing gebu berwarna kelabu.

"Itu ke?" tanya Adwan dan soalannya hanya dibalas dengan anggukan perlahan.

"Thanks," ucap Kaysa pendek. Jujurnya, dia tidak betah untuk berlama-lama di situ dikelilingi oleh makhluk berbulu. Dia ada ailurophobia!

"So, termasuk kos baik pulih klinik dan kos rawatan kucing tu, jumlah semuanya ialah RM 15,000. Nanti bayar kat Dora," kata Adwan sambil tersenyum senget menanti reaksi si gadis. Buat kali kedua, dia berasa semakin seronok mengenakan gadis brutal itu.

"Okey," jawab Kaysa perlahan lalu terus keluar dari bilik. Fuh, sesak nafasnya melihat makhluk-makhluk berbulu itu memandangnya bagai nak telan.

Adwan hanya memandang kelakuan si gadis bernama Kaysa Bussaina dengan senyuman senget. Padanya, personaliti gadis itu agak menarik walaupun ganasnya tidak boleh dibawa berbincang langsung. Gadis itu fobia kucing? Interesting betul... Sekali lagi dalam diam, dia menganalisis dan mendeduksi serta mengaitkan kembali semua perkara yang berlaku di kliniknya bermula daripada Dora membawa masuk kucing dilanggar lari, kehadiran Toh Puan Zainab dan rempuhan pintu kliniknya oleh Kaysa. Adakah semua ini kebetulan ataupun... dirancang?

"Mr. Vet, aku dah bayar duit kau RM 15,000 tu!" laung Kaysa dari luar.

'Cepatnya? Kaya betul minah tu,' hatinya dipagut hairan lalu tanpa berlengah, dia keluar dari bilik wad kucing lantas mendapatkan Dora.

"Ya Dr, Cik Kaysa dah bayar tadi," beritahu Dora tanpa sempat Adwan bertanya.

Mendengar jawapan daripada Dora, Adwan terdiam seribu bahasa. Okey, gadis tinggi lampai itu semakin menarik pada pandangan matanya. Kata pembantu peribadi si nenek tua itu sahaja tetapi kenapa kaya tahap nak mati? Tidak berpuas hati, Adwan terus terkocoh-kocoh mendapatkan Kaysa yang ketika itu sedang memakai topi kaledar.

"Kau, sekejap," panggil Adwan.

"Yes, Mr. Vet?" sahut Kaysa sambil mengikat rambutnya dengan pengikat rambut yang sempat diambil daripada Dora. Cantik sangat getah pengikat rambut tu, ada gambar kartun Dora The Explorer lagi.

"Kenapa kau bayar semua amaun RM 15000 tu? Kau tak rasa jumlah tu banyak sangat ke?" tanya Adwan bertubi-tubi kepada Kaysa yang kini sudah tercatuk di atas superbikenya.

"Oh..." jawab Kaysa sepatah.

"Sebenarnya, duit tu aku ambil dari akaun Toh Puan. Jadi kiranya, segala kerosakan ni Toh Puan yang bayar sebab dia yang bersalah buatkan aku cari dia sampai ke sini. Haha," sambung Kaysa dengan selamba lantas ketawa kecil.

"Dahlah, aku nak blah ni. Nanti kalau aku lambat balik, mengamuk pula si anak Toh Puan tu," sambungnya lagi sambil menghidupkan pula enjin superbikenya. Dia sudah meminta Pak Daud iaitu pemandu peribadi Toh Puan Zainab untuk menjemput wanita itu pulang dan nampaknya, memang pemandu itu sampai on-time. Toh Puan Zainab sudah tidak ada di kerusi menunggu.

"Oh ya, so sorry ya for what happen today. Aku benci kucing, tapi kau aku suka," kata Kaysa nakal sambil mengenyitkan matanya kepada Adwan. Seronoklah dia melihat reaksi tiada perasaan si jejaka handsome tu. Sudahlah tidak pemarah walau kliniknya dijahanamkan, lepas tu senyumannya tu... auch... sweet tahap nak mati walaupun muka beku ya amat!

Adwan yang hanya diam tanpa kata sejak dari tadi akhirnya terus menghamburkan ketawa sehingga senak perutnya. Wah, sangat menarik ya seorang Kaysa Bussaina, memang sangat berani orangnya! Ganas, gangster, brutal dan ditambah lagi dengan satu personaliti baru iaitu nakal. Nice, boleh dibuat 'kawan'.

"Terima kasihlah suka aku, tapi aku tak suka kau," balas Adwan dengan senyuman senget dihadiahkan buat Kaysa yang kelihatan berubah air mukanya. Jika tadi muka gadis itu penuh dengan riak nakal, kini bertukar pula dengan riak tidak berpuas hati.

"Kenapa kau tak suka aku?" tanya Kaysa sambil dahinya dikerut seribu. Hish, baru saja dia mahu kenakan doktor veterinar itu tetapi dia pula yang terkena!

"Sebab..." jawab Adwan sambil berjeda. Namun, perkataan yang ingin diungkapkan kepada Kaysa terpaksa ditelan kembali apabila matanya terlebih dahulu menangkap kelibat dua orang manusia masuk ke kliniknya dengan muka berkerut seribu penuh kehairanan.

Seorang daripada mereka berdua berpakaian formal seperti baru balik dari pejabat, seorang lagi pula ialah seorang lelaki muda awal 20-an berhoodie putih labuh dan berseluar pendek melepasi lutut. Di sebelah bahunya, tersandang beg galas dan mulutnya pula tidak berhenti-henti mengulum sebatang lollipop berwarna pink. Adwan yang melihat kedatangan dua orang manusia itu hanya memerhatikan sahaja langkah mereka berdua sehinggalah kedua-dua berhenti di hadapannya.

"Yo, Pak Cik!" tegur si remaja berhoodie putih dengan mengangkat sebelah tangannya kepada Adwan.

"Salam mana salam? Kau bukannya Mat Saleh nak ber'yo-yo' bagai ni," balas Adwan kepada Waiz Wahdan, anak saudaranya yang berumur 20 tahun.

"Yelah Pak Cik, assalamualaikum!" balas Waiz sambil tersengih-sengih dan menggaru kepala yang tidak gatal. Muka cemberut Pak Ciknya dipandang sekilas sebelum matanya menangkap kehadiran Kaysa di sebelah Adwan.

"Fuyoo... Kak Kaysa the most badass girl dalam team Satria Hitam Junior pun ada!" jerit Waiz penuh teruja. Kaysa tu idola dia kot!

Adwan mengerutkan dahi apabila mendengar Waiz menyebut gelaran Kaysa. Kaysa the most badass girl dalam team Satria Hitam Junior? Takkanlah...

"Aiman, apa semua ni?" tanya Adwan kepada si lelaki berpakaian formal dengan muka berkerut hebat. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan jika benar 'Kaysa' ini yang akan menjadi partner barunya dalam team Satria Hitam Senior!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.