Home Novel Thriller/Aksi Hey, You Mr. Vet!
Hey, You Mr. Vet!
Angel_k20
20/9/2020 06:19:33
23,559
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1a

Suasana dingin di ruangan dalam kliniknya tidak terasa dek kepanasan menggila lebih melanda dirinya sekarang. Ya, dia kepanasan dan tidak senang duduk apabila haiwan yang terlantar di atas meja bedahnya kini seperti tinggal nyawa-nyawa ikan. Demi Allah, dia sayangkan makhluk berbulu itu dan demi Allah, dia akan berusaha menyelamatkan nyawa si kucing kelabu berbaka British Shorthair yang dilanggar lari oleh pemandu kereta yang tidak bertanggunggjawab!

"Baby, bertahanlah. Kau boleh lakukannya!" bisik Adwan sambil tangannya ligat membuang cebisan kaca dalam daging seterusnya menyapu ubat dan menyimpulkan benang jahitan luka. Luluh hatinya melihatkan keadaan si kucing betina yang terkulai layu dengan mata separa tertutup memandangnya seolah-olah meminta nyawa.

"Miow..." panggil si kucing dengan nada lemah, serak suaranya memanggil si penyelamatnya.

"Ya, Baby. Sikit je lagi ni, nanti Baby okeylah. Abang sayang Baby tau..." bisik Adwan lagi sambil tangannya mengusap perlahan kepala si kucing yang dipanggil Baby.

Setelah beberapa jam berlalu, pembedahan menyelamatkan seekor kucing berbaka mahal tetapi sengaja dibiarkan lepas bebas lalu dilanggar lari pada pagi itu selesai juga akhirnya. Hatinya mengucap syukur alhamdulillah kepada Allah SWT pemilik hidup dan mati, tetapi hatinya mendongkol geram kepada si pemilik kucing. Kenapa dibiarkan sahaja kucing secantik itu terlepas?

Bunyi sliding door yang terbuka dan tertutup dengan sendiri tiba-tiba mengganggu fokusnya yang sedang memeriksa sekali lagi keadaan si kucing. Tanpa mengangkat muka untuk memandang ke arah si manusia yang masuk ke dalam bilik pembedahannya, dia meneruskan kerjanya yang sedikit tergendala fokusnya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Dr, kita ada masalah," lapor seorang jururawat kepada Adwan.

"Apa lagi Dora?" tanya Adwan dengan nada malas kepada jururawat itu.

Sejujurnya, dia sudah penat hari ini dengan pelbagai tugasan yang tidak berhenti-henti datang kepadanya. Bebannya bertambah hari ini disebabkan seorang pembantu yang biasa menguruskan pembedahan bersamanya bercuti kerana menghadiri majlis akikah anak saudara, seorang lagi jururawat di kliniknya pula tiba-tiba mengambil cuti sakit kerana demam. Lagi haru-biru dan malang lagi, pemandu van kliniknya pula mengalami kemalangan jalan raya pagi tadi semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Khabarnya, terseliuh kaki dan retak tulang lengan.

Kini, daripada lima orang yang bekerja di Care Square Love Animal Clinic & Surgery milik penuhnya iaitu Dr. Adwan Haffaz, hanya dia si pemilik klinik dan seorang jururawat bernama Dora sahaja yang menghadirkan diri. Kes kecemasan haiwan pula seakan-akan 'pandai' memilih hari, lagi tiada orang di klinik lagi banyak pula kes yang masuk. Kambing cirit-birit, arnab muntah hijau, biri-biri luruh bulu, dan tupai patah kaki. Sememangnya si pemilik haiwan-haiwan ini ingat bahawa kliniknya itu pusat rawatan zoo ke sampaikan kambing dan biri-biri pun dibawa ke sini? Sakit kepala dia memikirkannya.

"Er... Dr. Ada seorang nenek kat depan tu, dia cakap dia nak jumpa cucu dia. Katanya, cucunya ada di klinik ni," jawab Dora sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Setahunya, Dr. Adwan sudah tidak mempunyai nenek tetapi masih mempunyai ibu dan ayah serta seorang anak saudara.

"Ha? Nenek mana pula? Tak apalah, kau tolong sambung kerja aku bersihkan semua ni dan aku akan jumpa nenek tu," ujar Adwan akhirnya apabila melihat raut wajah serba salah si Dora.

Kesian pula pada Dora jika terpaksa menguruskan pelanggan kerana gadis ini penyenyap orangnya seperti ada emas seketul di dalam mulut jika disuruh bercakap dengan pelanggan klinik. Dora ini pun bukanlah nama sebenar gadis itu, cuma sifatnya yang suka memakan Dorayaki sehingga berpuluh-puluh biji dalam satu hidangan itulah yang membuatkannya menggelarkan gadis manis anak Jepun sebelah rumahnya itu sebagai Dora.

Dora bersaiz XL sesuai dengan sifatnya yang suka makan tetapi raut wajahnya comel. Disebabkan kecomelan itulah pemandu van kliniknya yang bernama Guna mengikat si Dora dengan tali pertunangan. Dora ini walaupun tembam, tetapi dalam ramai-ramai pekerjanya gadis inilah yang paling ramah dan ceria di antara mereka semua.

Arahan daripadanya itu kemudian diangguk laju oleh Dora. Raut wajah gadis itu bertukar cerah, mungkin berasa lega tidak perlu menguruskan wanita tua yang dipanggil nenek di ruangan menunggu. Setelah meletakkan semua peralatan perubatan di tempat sepatutnya, dia menyerahkan semua tugas yang belum diselesaikannya kepada Dora. Sudah tidak banyak pun, hanya perlu membuang sisa-sisa kapas dan darah yang digunakan semasa proses rawatan tadi sahaja lagi.

Setelah membuang segala uniform yang dipakainya ketika melakukan pembedahan dan mengemaskan penampilan dirinya, Adwan kemudiannya menapak ke ruang menunggu klinik. Benar, kelihatan seorang nenek tua berambut putih dan rambut berubannya itu disanggul kemas sedang menanti di kerusi dengan mata tertancap tepat ke arah stand bunting di sudut bucu ruangan klinik. Dalam bunting setinggi 10 inci itu, terpampang besar gambarnya yang sedang tersenyum manis dalam sepersalinan kot putih dan di lehernya tergantung stetoskop sambil tangannya mendukung seekor kucing berbaka Maine Coon.

"Assalamualaikum, nenek," sapa Adwan sambil tersenyum manis. Kini, dia berada tepat di hadapan si nenek. Badannya direndahkan sedikit bagi menyaingi kedudukan wanita tua itu yang sedang berada dalam posisi duduk.

"Cucu nenek!" jerit si nenek lalu tanpa amaran, dia merangkul kemas Adwan.

Adwan terkejut dan berasa sesak diperlakukan sedemikian rupa, namun apabila melihat raut wajah si nenek yang mendung bagaikan hujan yang bila-bila masa sahaja lagi akan turun, maka dibiarkan sahaja nenek itu memeluknya erat. Mahu melepaskan diri tidak boleh, mahu berkasar berasa tidak sampai hati pula. Cool Adwan, mungkin nenek itu seorang yang nyanyuk dan ingat bahawa kau adalah cucunya. Sekali lagi, Adwan mengeluh di dalam hati.

"Nenek, nenek buat apa di sini?" tanya Adwan dengan lembut.

"Kamu kan cucu Nenek, jadi suka hati Neneklah nak datang jumpa kamu. Itu pun tak boleh ke?" Sedikit membentak, si nenek menampar lembut bahu 'cucunya'.

Pap!

Aduh! Berkuasa betul penangan 'tamparan lembut' yang dihadiahkan oleh si nenek kepadanya sehinggakan bahunya berasa berdenyut-denyut. Sekejap, nenek ini sudah kenapa mengakuinya sebagai cucu padahal inilah kali pertama dia melihat wanita berusia dalam lingkungan 70 tahun itu. Hati Adwan membengkak lagi sebal apabila si nenek mula tersengih-sengih dan terus mengusap-ngusap kepalanya pula. Nenek, apa kau ingat aku ni kucing?

Next: Bab 1b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.