Home Novel Thriller/Aksi Hey, You Mr. Vet!
Hey, You Mr. Vet!
Angel_k20
20/9/2020 06:19:33
23,679
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1b

"Er... Nenek. Nenek datang sini dengan siapa?" tanya Adwan lagi dengan rona muka tetap dimaniskan walaupun hatinya terus-menerus membungkam. Tadi kucing, sekarang ini nenek siapa pula terlepas datang ke klinik aku? Hatinya menjerit geram.

'Cool, Adwan. Kau kan spesies sama macam jurulatih kau Rayyan Razien, takkanlah dengan si nenek tua ni kau tak boleh cool?' pujuk hatinya sendiri.

"Nenek jalan kakilah. Hehehe," jawab si nenek sambil menekup mulut dan tertawa kecil.

Mendengar jawapan daripada si nenek yang langsung tidak nampak serius, Adwan melepaskan lagi keluhan kasar di dalam hati. Ya Allah, sungguh dia penat hari ini ditambah pula dengan perutnya sudah berdendang sayang minta diisi. Jam tangan berjenama Quartz yang terlilit elok di pergelangan tangan kirinya dikerling sekilas sebelum pandangannya ditalakan kembali kepada si nenek yang sedang tersenyum-senyum memandangnya. Psiko betul!

"Sekejap, Nenek," kata Adwan kepada si nenek lantas dia bangun lalu menapak laju ke kaunter pertanyaan dan pendaftaran kliniknya. Cepat betul Dora membuat kerja membersihkan segala benda di dalam bilik pembedahan. Jika tidak, dia tidak perasan yang Dora sudah pun sedari tadi memerhatikan ulah si nenek tua dengannya.

"Dora, inform MA Malakat supaya petang ni tolonglah balik ke sini. Aku penat, tahu? Apa kes majlis akikah pun nak ambil cuti padahal itu bukannya majlis anak dia pun. Kahwin pun belum," kata Adwan dalam nada mengomel kepada Dora sambil membetulkan semula rambutnya yang sudah berserabai dek perbuatan si nenek yang mengusap kepalanya bak mengusap bulu kucing.

"Baik, Dr," jawab Dora sambil tersengih. Ya, dia faham bosnya sekarang sedang bengang dengan si nenek misteri di kerusi ruangan menunggu.

"Cucu Nenek! Kamu pergi mana tu Cu? Kenapa lambat sangat kamu ni, kata tadi nak pergi sebentar je?" laung si nenek apabila melihatkan 'cucunya' tidak menghiraukannya dan ralit bersembang dengan seorang wanita di kaunter.

'Ya Allah, berikanlah aku kesabaran. Janganlah jadikan perangai dingin bekuku yang sama seperti jurulatih keduaku Qarizh Zahwan muncul dalam keadaan seperti ini ya Allah,' doanya dalam hati sambil memejam mata dan menarik nafas panjang dan menghembuskannya kembali.

Setelah bertenang, Adwan membuka mata dan terus memekakkan telinga apabila mendengar lagi suara halilintar oktaf nada si pemanggil. Suara si nenek itu memang tidak usah menggunakan loud speaker, memang suaranya sudah kuat sampai ke ufuk Timur. Ceh! Matanya dijulingkan ke atas dan sekali lagi keluhan kasar dilepaskan. Sungguh, dia penat. Muka Dora yang bulat tembam dipandangnya lama sebelum tanpa sepatah kata dia mencapai pen lalu menulis nota kepada gadis itu.

Cari info pasal nenek tu, dia macam orang gila.

Dora mengerutkan dahi apabila membaca nota bertulisan tangan si bosnya. Sudahlah sesuka hati cop nenek itu macam orang gila, tulisan pula cakar ayam betul! Namun, tanpa bertangguh lagi dia terus memulakan kerjanya memasuki sistem pengkalan data Pertubuhan Akademi Rahsia Arjuna (PARA) lalu membuat carian pantas mengenai si nenek hanya melalui sekeping gambar yang dipukul curi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang juga berfungsi sebagai kamera rahsia. Semua ini dimodifikasi oleh Malakat agar kerja mereka di klinik veterinar itu kelihatan seperti klinik biasa namun operasi mereka luar biasa sebenarnya.

"Oh..." Dora memuncungkan mulutnya apabila maklumat yang dikehendaki terpapar di skrin. 'Orang besar' rupanya nenek itu.

"Dr... dia..." Dora ingin memberitahu bosnya namun belum sempat dia membuka mulut, bunyi deruman enjin motosikal berkuasa besar terlebih dahulu menyapa pendengaran disertai dengan bunyi rempuhan dan kaca pecah bertaburan.

Vrom!

Dum!

Prang!

Stret!

Pintu utama klinik yang diperbuat daripada kaca berwarna hitam itu pecah berderai akibat efek rempuhan daripada sebuah motosikal berkuasa besar berwarna hitam biru. Motosikal berkuasa besar atau dipanggil superbike berjenama Kawasaki yang ditunggang oleh seorang gadis tinggi lampai berketinggian 169 cm itu kemudiannya diberhentikan dan ditongkat selamba di ruangan menunggu betul-betul di hadapan kaunter pendaftaran.

Gadis tinggi lampai berjaket kulit hitam dengan bertopi kaledar penuh menutup muka itu kemudiannya dengan penuh bergaya turun dari superbikenya lalu tanpa bersalah, dia terus berjalan mendapatkan si nenek. Dalam kakinya melangkah, tangannya lincah membuka topi kaledar lalu beralunlah rambut panjangnya yang hitam berkilat dan terserlahlah wajahnya yang cantik berseri.

Kulitnya putih melepak, bibirnya merah asli tanpa secalit gincu, keningnya terbentuk elok dan alis matanya matanya lentik. Sinar mata si gadis tinggi lampai galak memandang ke sekeliling lalu pandangannya jatuh kepada figura seorang jejaka setinggi 179 cm berkemeja lengan panjang yang disinsing ke paras siku berwarna biru cair dan dipadankan dengan seluar slack hitam yang berada di hadapan kaunter pendaftaran.

Kemudian, pandangannya dihalakan pula kepada raut wajah si jejaka. Wow, handsome! Namun begitu, raut tampan wajah si jejaka tidaklah menjadi perhatiannya buat masa sekarang kerana matanya lebih terfokus kepada benda yang membuatkan ketampanan di jejaka di hadapan kaunter hilang dalam sekelip mata. Dia... perlu mencongak berapakah kos pampasan yang perlu diberikan kepada pemilik klinik ini kelak. Lagipun, jaraknya dengan jejaka itu tidaklah terlalu dekat untuk dia membuat 'scan' muka si jejaka handsome tersebut.

Dalam sibuk fikirannya mencongak, hatinya juga ketawa melihatkan kepada wajah cemberut si jejaka walaupun dari jarak jauh. Alah, bukannya dia sengaja pun mahu merempuh pintu kaca klinik itu. Ini semua disebabkan seekor kucing berbulu hitam putih tiba-tiba muncul di hadapannya, dia yang sedang memecut laju terus terperanjat lantas superbikenya tidak dapat dikawal dengan baik. Hasilnya, inilah dia... superbikenya terus merempuh pintu kaca klinik.

Mahu dibuat macam mana, klinik haiwan itu di tepi jalan tanpa pagar. Kacak tidak bersalah, yang bersalah tentulah Sayang. Sebelum dia merempuh pintu kaca, matanya terlebih dahulu dapat membaca perkataan pada colar leher si berbulu hitam putih. 'Sayang', jadi mungkin si kucing itu bernama Sayang. Nasib baik dia memakai pakaian tebal menutup seluruh tubuh, tidaklah dia tercedera dek efek hentaman dari superbikenya yang bernama Kacak dan pecahan kaca yang bertaburan tadi.

Dalam diamnya meneliti sekeliling akan kerosakan yang dibuatnya bersama Kacak, pandangannya tertala dan terpaku semula kepada wajah si jejaka yang gelap cerah bagai hujan tak jadi. Tidak dinafikan walaupun raut wajah si jejaka itu mendung dan bengang, aura handsomenya tetap terserlah. Namun, pada hematnya juga dia menebak bahawa pastilah si jejaka pemilik klinik ini akan naik hantu melihatkan kerosakan yang sedemikan rupa teruknya.

"Kau..." Adwan mengorak langkah ke arah si gadis yang masih lagi terpaku melihatnya. Dia handsome? Ya semestinya tetapi tidak perlulah si gadis itu memandangnya bagai mahu ditelan hidup-hidup.

Dirinya kemudian terus dipujuk lagi agar bertenang setenang air di kali. Cool, Adwan! Malang bertimpa-timpa hari ini tetapi tidak apalah, mungkin itu tanda Allah SWT sayang kepadanya dan memintanya agar bersujud lebih lama kepada-Nya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan perkara yang tidak dapat ditanggung oleh seseorang hamba-Nya.

"Nama?" tanya Adwan dengan tenang sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil dari poket seluar slacknya. Kini dia berdiri betul-betul di hadapan si gadis dan lagaknya sekarang sudah seperti polis trafik yang bersedia mahu menulis surat saman.

"Kaysa... Bussaina," jawab si gadis dengan mata masih tidak berkelip memandang kepada Adwan. Pertama kali dia melihat si pemilik klinik ini dari jarak dekat, ya, dia mengakui yang jejaka ini sungguh hot tetapi... kenapa aura cold pun terasa juga?



Ps: Novel ke-3 Angel_k20 di Wattpad dan Portal Ilham. Selamat membaca! 

Previous: Bab 1a
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.