Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
521
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

HAWA salah. Lelaki semalam yang baru dia tahu namanya bukan dari Malaysia. Dan lebih mengejutkan, suara itu bukan datangnya dari lelaki cina bernama Sean. Tetapi lelaki yang duduk di belakangnya. Juga orang Malaysia seperti dia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.


Buku di tangan Hawa hempas di atas peha. Dua jam dia diberikan untuk berehat sebelum perlu bekerja tepat jam dua belas malam sebagai scammer. Syukur dipanjatkan bila nyaris dijadikan pelacur. Wujudnya tawaran itu apabila dia dikatakan memiliki rupa paras yang mampu menarik ramai pelanggan.


Seharusnya dia berterima kasih di atas rundingan yang berjaya menyelamatkan dirinya. Jika tidak, dia rela tidak pulang ke pangkuan keluarganya. Kepulangan dia hanya membawa malu besar!


Hampir setengah jam menelaah buku panduan bagi memerangkap mangsa penipuan di atas talian. Setengah jam itu juga Hawa masih gagal menghadam semua taktik licik mereka.


Jauh di dasar hati jadi simpati ke atas nasib mereka yang hilang puluh-puluh ribu ringgit. Sedangkan, dia hanya memperoleh gaji 900 ratus ringgit sebulan! Bukannya 2500usd yang diheboh-hebohkan.


Rugi pun dapat, dosa pun dapat! Dua pakej diterima dalam waktu yang sama.


Mengeluh panjang Hawa dibuatnya. Tak tahu sampai bila dia mampu bertahan setelah gagal rundingan supaya dia dilepaskan. Dia perlu membayar ganti rugi sebanyak lima puluh ribu ringgit jika mahu dibebaskan.


Gila!


Mustahil dia ada duit sebanyak itu! Dia pun baru berkecimpung dalam dunia pekerjaan. Langkah pertamanya saja sudah gagal kerana telah menjadi mangsa sindiket penipuan. Bagaimana mahu membayar mereka sebanyak itu?


Semakin berat keluhan Hawa. Mahu menghubungi orang tuanya meminta duit sebanyak itu, tentu mereka juga tiada. Dapat dirasakan emak akan menggadai semua rantai dan gelang emas pusaka demi membebaskan dia. Malah, ayah akan sanggup jual tanah sawah sekangkang kera yang ada. Sekiranya dibebaskan, dia perlu berdepan pula dengan amukkan kakaknya.


Entah kali ke berapa Hawa mengeluh. Semua masalah menemukan jalan buntu. Tiada langsung lorong-lorong yang dapat dia keluar dari sini.


Sedang Hawa meratapi nasib, ada suara yang menyergah supaya memulakan kerja awal satu jam dari masa yang sepatutnya. Cemberut terus wajah dia. Seminit itu sangat berharga bagi mereka. Tak patut dibazirkan. Dalam seminit itu mereka boleh kaut berapa banyak keuntungan jika mangsa masuk perangkap. Itu merupakan konsep songsang kumpulan sindiket. Penat tak penting bagi mereka. Selagi boleh kerah tenaga, mereka akan kerah habis-habisan.


Kerlingan Hawa singgah pada orang sebelah yang sedang berbual di atas talian. Serius saja suaranya. Setiap patah ayat dapat didengari sebiji-sebiji. Cukup jelas. Ini kerana orang sebelah merupakan rakan senegara Hawa juga yang terkandas di sini.


“Pakcik akan disenaraikan hitamkan oleh pihak LHDN. Tak setakat tu, passport pakcik juga akan dirampas. Pakcik tak dibenarkan keluar dari negara.”


Bersungguh orang sebelah Hawa meyakinkan mangsanya. Tegas. Langsung tiada kompromi. Namun Hawa perasan, disebalik ketegasan tersebut ada terselit sedikit rasa serba salahnya. Apa lagi mangsanya adalah orang tua. Tiada niat mahu menipu. Tetapi lebih kepada terpaksa jika ingin mengelak daripada diseksa.


“Macam mana Paan?” Tanya orang depan pandang muka lelaki yang duduk disebelah Hawa setelah panggilan ditamatkan.  


Tiada jawapan dari mulut Paan melainkan keluhan panjang. Berat keluhannya. Sarat dengan sesalan yang tiada kesudahan.


“Pakcik tu nak pergi haji…”


Mengetap bibir orang depan. Merangkap penterjemah Hawa sepanjang berkomunikasi dengan semua pengawal sindiket. Namanya Dila. Ramah orangnya.


“Berapa besar dosa aku, Dila? Pakcik tu penat-penat kumpul duit. Sekelip mata lesap.” Perlahan suara Paan. Jelas tersepit demi kelangsung hidup sepanjang berada di sini. Hilang seriusnya sebentar tadi. Berganti dengan raut wajah keruh.


“Aku tak kenal pakcik tu.” Keluh Paan lagi.


Jangan kata Paan. Hawa sendiri pun tak kenal siapa mangsanya. Mereka hanya bercakap melalui panggilan telefon atau pesanan whatsapp. Itu saja. Gambar profile yang dia gunakan pun, gambar yang dicuri di media sosial bagi mengaburi mata mangsa


“Doa banyak-banyak supaya kita dapat keluar dari sini.” Hawa mencelah. Enggan membiarkan mereka terus-terusan menyalahkan diri dan hanyut dalam emosi.


Paan ketawa sinis. Geli hati mendengar cita-cita Hawa. Dia juga mempunyai cita-cita yang sama pada hari pertama berada di sini. Setelah menempuh hari demi hari, cita-cita dia terkubur begitu sahaja. Mereka dikawal 24 jam. Setiap pergerakkan mereka dalam radar askar-askar tersebut. Tiada peluang untuk melarikan diri.


“Doa je tak cukup, Hawa…Kena ada usaha.”


Apa dikatakan Paan tak salah. Usaha juga penting.


“Tapi usaha kita orang selalu gagal. Ni…”


Cerun mata Hawa melihat Paan naikkan sedikit lengan baju. Mendedahkan bahunya yang lebam. Bawahnya, ada kesan luka sepanjang lima inci.


“Habuan bila cuba larikan diri…” Kata Paan lagi.


“Sebelum tu kita orang tak boleh makan sebab tak capai target. Mana ada tenaga nak lari. Masing-masing letih. Sempat minum air sungai sebelum terus lari lagi. Tak sampai lima ratus meter lari, dah kena cekup semula.”


Mengendur bahu Hawa. Daripada cerita Paan, harapan mereka melarikan diri gelap. Pasti orang-orang sindiket mengawal ketat jalan keluar dan masuk kawasan ini.


“Ada yang dapat lepaskan diri.” Dila mencelah.


Ayat Dila memberi sedikit sinar harapan dikala Hawa hampir kecewa.


“Tahu apa jadi?”


Hawa geleng kepala. Dia tak tahu.


“Dia orang report polis…Tapi polis tu call ketua sindiket. Dia orang kena cekup balik dan kena jual dengan sindiket lain.”


Tercengang Hawa. Cerita yang baru dia dengar jauh lebih dahsyat. Tak dapat dia membayangkan bagaimana nasib mereka semua. Entah masih hidup atau sudah mati.


“Kalau kau ada niat nak lari, pastikan rancangan kau tak gagal. Kalau gagal, teruk kau nanti!”


Hawa teguk liur. Terasa kesat. Dila telah menakut-nakutkan dia. Kepala berpusing mencari Paan. Berharap sangat Paan tidak mengeyakan cerita-cerita Dila. Separuh nyawa dia sudah hampir melayang dengar cerita Dila.


Anggukan Paan hampir membuatkan Hawa gagal bernafas. Menggigil seluruh tubuhnya.


“Dia orang datang!” Keras suara Dila sebelum dia tunduk menyambung semula kerjanya.


Begitu juga Paan. Dia mula mengangkat ganggang telefon. Mula mencari mangsa lain untuk diperdayakan bagi memberi kekayaan kepada ketua sindiket. Pura-pura sedang bekerja.


Lambat-lambat Hawa angkat tangan kanan. Nanti-nanti baru dia fikirkan cara untuk melepaskan diri dari neraka ini. Buat masa sekarang dia tiada pilihan lain. Dia perlu bekerja. Perlu capai sasaran memperolehi ribuan usd dalam masa sehari. Doanya, semoga dia gagal. Dia tak mahu menanggung dosa seumur hidup.


 


HAWA tertanya-tanya apa yang dihidangkan. Warnanya tidak seperti daging biasa dia lihat. Ini pertama kali dia melihat hidangan sebegini. Entah mengapa tekak dia terasa mual. Mulut ditekup bagi mengelakkan segala isi perutnya melonjak keluar.


Beberapa minit terpegun, barulah Hawa berjaya menahan diri daripada muntah. Keliling dia pandang. Mereka semua memberi reaksi yang sama. Masing-masing tunduk merenung makanan tanpa diusik. Di hujung meja, dia menemukan Sean yang tenang menghirup minuman.


“Tak makan?” Suara Hawa memecah kesunyian. Hairan juga bila tiada seorang pun di antara mereka menyentuh makan tersebut. Kemudian tumpuan dia berakhir pada Sean. Lelaki yang jelas kacukan cinanya.


“Sean vegetarian.”


Oh! Sean spesis herbivor rupanya. Padanlah Sean tak bernafsu bila nampak daging depan mata.


“Ni daging babi.”


Hampir terbuntang mata Hawa. Terkejut. Patutlah dia rasa mual. Bau daging itu terlalu kuat menusuk rongga hidung. Bau yang tidak mampu di telan derianya.


“Semalam lauk tikus.” Paan bersuara.


Ngeri! Tak dapat Hawa bayangkan hidangan tersebut. Dengar saja sudah kembang tekak, apa lagi mahu makan.


Kesudahannya, Hawa tidak menjamah langsung makan tersebut. Perut dialas dengan air saja. Dia was-was sejak awal lagi. Rasa sangsinya terjawab bila dapat tahu apa isi utamanya.


Ketika dalam perjalanan ke bilik kerjanya yang terletak di tingkat empat, Hawa ditahan seorang lelaki bersenjata.


“Hei!”


Terpinga-pinga Hawa bila jari telunjuknya lurus terarah pada dia. Kiri dan kanan dipandang. Tiada kelibat Dila selaku penterjemah dia. Yang lain sudah berjalan masuk ke dalam bilik meninggalkan dia sendirian tanpa faham apa kemahuan lelaki itu.


Timbul rasa tidak sedap hati bila dirinya direnung penuh ghairah. Terasa diri dibogelkan oleh sepasang mata keranjangnya.


Rasa tidak sedap hati menjadi kenyataan bila lelaki di depan matanya mula membuka butang baju satu persatu bersama senyuman misteri. Automatik kaki Hawa berundur. Takut dengan apa yang bakal terjadi sebentar nanti.


Lelaki itu sudah separuh bogel. Hanya seluar yang tersarung ditubuhnya. Laju dia mara lalu menyambar pergelangan tangan Hawa.


“Lepaslah!” Hawa meronta-ronta.


Tenaga wanitanya tidak mampu menandingi tenaga lelaki yang sedang dikuasai nafsu. Kedua belah pipinya terasa kebas bila tangan besar lelaki itu menamparnya. Berang mungkin bila layanannya ditolak.


Belum pun hilang rasa sakit di pipi, tubuh Hawa diheret ke satu ruangan stor berhampiran. Semakin rakus gelengan Hawa. Dia mula menjerit meminta pertolongan. Sayangnya, tiada sesiapa di situ.


Tanpa ampun, dia ditolak. Hampir patah riuk pinggangnya saat punggung dia terhempas kasar di atas lantai yang sejuk itu. Rasa sakit itu diabaikan. Sepuluh jari disusun, lalu digosok laju. Air matanya berjuraian. Memohon simpati lelaki itu supaya dirinya tidak diapa-apakan.


Ketika itu satu suara datang menyapa. Terdengar lelaki di depannya merengus. Muka dia merah padam sebelum lelaki itu berlalu pergi.


Lega.


Hawa bebas daripada menjadi mangsa nafsu lelaki itu. Namun dia trauma. Menggigil-gigil seluruh tubuh dia. Air mata masih belum mengering sepenuhnya. Perlahan-lahan kaki di bawa rapat ke dada. Kepala disembamkan atas kepala lutut.


“Mak…Ayah…” rintih Hawa perlahan. Dia teresak bila raut wajah mereka datang menyapa.


“Hei!”


Hawa panggung kepala. Tubuhnya kembali menggigil. Tangan dia mula memukul angin. Menepis bayang yang cuba mendekati.


“Kau okey?”


Wajah Sean menyapa pandangan. Pandangan dia mula kabur kembali. Kepala digeleng laju. Dia tak okey.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.