Bab 4 & 5
PUAN Khalida
kelam-kabut apabila si kecil menangis tidak henti-henti. Tengku Melisa yang
berusia tigatahun
itu berjalan terkedek-kedek menghampiri mamanya yang sedang menyusukan Zara
Humaira.
Tengku Melisa turut sama menangis. Terus saja dia
duduk di depan mamanya dan menghempas barang permainannya.
“Mel, kenapa ni? Mama tengah susukan adik.
Janganlah buat perangai sayang. Ambil mainan tu. Mama suruh Mak Som main dengan
Mel ya,” pujuk Puan Khalida.
Tengku Melisa yang seakan-akan faham kata-kata
mamanya menggeleng laju. Dia hanya mahu mamanya melayan dia bermain.
“Sekejap, sayang. Kesian adik Mel ni. Adik
lapar. Dia kena minum susu. Mel tak sayang adik ke?” soal Puan Khalida lagi.Dia
sempat mengelus pipi comel anaknya.
Tiba-tiba Tengku Melisa menangis tersedu-sedan.
Dia tidak suka melihat adiknya dipangku oleh Tengku Khalida. Kalau boleh biar
dia saja berada di atas riba mamanya.
Mak Som bergegas keluar dari dapur. “Kenapa Mel
menangis? Ada yang tak kena ke, puan?” Dia menghampiri Tengku Melisa.
“Biasalah dia. Mel mana boleh tengok kalau saya
pangku adik dia.”
“Cemburulah ni, puan. Tiba-tiba dapat adik
segera,” kata Mak Som.
Puan Khalida hanya tersenyum.
“Mel, mari Mak Som bawa Mel ke taman. Mak Som
bentangkan tikar dan Mel boleh main anak patung atas tikar nanti. Nak?”
Tengku Melisa terus diam dan mengangguk.
“Macam nilah budak comel. Mel ikut Mak Som ya.
Bila adik Mel dah tidur, mama akan temankan Mel pula ya. Tapi, sebelum tu Mel
kena cium adik dulu. Ini adik Mel, Mel kena sayang dan jaga adik baik-baik
tau,”pujuk Puan Khalida lagi seraya
mengusap rambut panjang Tengku Melisa.
Sebelum bangun, Tengku Melisa mencium pipi
adiknya dengan kasar dan terus meminta Mak Som mendukungnya.
Pening Puan Khalida dengan tingkah anaknya ini.
Kalau boleh, dia tidak mahu ada apa-apa jurang di antara anak kandung dan anak
angkatnya ini. Baginya Tengku Melisa dan Zara sama saja. Dia mahu membesarkan
kedua-duanya dengan penuh kasih sayang.
Puan Khalida merenung wajah si kecil yang sudah
pun nyenyak tidur di atas pangkuannya. Dia mengusap pipi si kecil ini.
Kemudian, satu kucupan hingga di pipi Zara.
Ada satu perkara yang membuatkan Puan Khalida
berasa bimbang. Bagaimana reaksi ibu mertuanya nanti? Tengku Khairah sangat
cerewet. Ibu mertuanya itu tinggal bersama dengannya cuma dua bulan ini ibu
mertuanya berada di rumah abang iparnya. Oh silap! Sebenarnya dia yang
menumpang di banglo besar Tengku Khairah ini.
Mengingatkan sikap panas baran Tengku Khairah,
Puan Khalida berasa gerun. Dia faham sangat perangai Tengku Khairah. Bengis,
cepat marah, cerewet. Kadang-kadang saja punyai rasa kasih sayang. Itu pun
kalaumoodnya baik. Bukan dia tidak mahu memberitahu ibu mertuanya
tentang kehadiran Zara Humaira, tapi dia takut. Bahkan Tengku Razif juga berasa
takut.
Lamunan Puan Khalida mati sebaik saja mendengar
suara suaminya memberi salam. Terus dia menghadiahkan senyuman buat suami
tercinta yang sedang menghampirinya.
“Waalaikumussalam, bang. Maaflah tak perasan
abang dah balik,” kata Puan Khalida lembut.
Dia merenung wajah Tengku Razif yang sudah duduk
di sebelahnya.
Tengku Razif mengintai sedikit wajah si kecil
yang sedang dipangku isterinya. “Abang tengok Ida termenung jauh aje. Fikirkan
apa? Si kecil ini meragam lagi ke?”
Puan Khalida diam. Apakah dia harus memberitahu
Tengku Razif apa yang berada dalam
fikirannya ketika ini.
“Kita kena bincang sesuatu, bang?”
“Bincang? Bincang apa?” Berkerut dahi Tengku
Razif. Dia merenung dalam-dalam wajah isteri tersayangnya.
“Apa kita nak cakap pada bonda tentang Zara? Ida
takut bonda tak boleh terima keputusan kita nak jaga dan besarkan Zara.”
Tengku
Razif terdiam seketika. “Abang ada terfikir juga tentang tu, tapi abang
sendiri tak tahu nak cakap macam mana pada bonda.”
“Abang tahulah perangai bonda tu macam mana. Ida
dah sayangkan Zara. Dia tak salah apa-apa. Ibu dia yang tak mampu jaga dia.
Kita juga yang akan dapat pahala kerana membesarkan Zara mengikut ajaran
Islam.”
“Abang faham. Lusa abang long akan hantar bonda
ke sini. Hmm… Ida ada idea macam mana cara terbaik kita nak beritahu bonda?”
soal Tengku Razif.
Puan Khalida berfikir sejenak sebelum menjawab
soalan suaminya. “Ida rasa kita kena beritahu bonda apa sebenarnya yang dah
berlaku dan dari mana Zara datang. Ida tak nak berbohong, bang. Nanti lama-lama
akan terbongkar juga. Kita jugak yang susah. Abang sendiri faham perangai bonda
abang, kan?”
Tengku Razif mengangguk perlahan. Tangannya
mengelus rambut lebat si kecil yang berkulit putih. Kemudian dia memandang semula Puan Khalida.
“Abang setuju dengan apa yang Ida cadangkan.
Bila bonda balik sini, kita berterus terang saja pada bonda dan yang lain ya.”
“Kalau mereka tak setuju Ida bela Zara macam
mana, bang?” Wajah Puan Khalida mula risau. Hatinya bimbang kerana dia sudah
terpaut sayang pada si kecil berketurunan cina ini.
“Insya-Allah...
tak ada apa-apa. Jika bonda dan yang lain-lain marah, kita diamkan aje.
Lama-lama mereka boleh terima jugak. Yang penting kita jaga Zara sebaik
mungkin. Ini amanatAllah. Abang
mahu Zara jadi anak yang baik dan solehah. Abang tidak mahu kita
membeza-bezakan Zara dengan Melisa. Ida fahamkan maksud abang?”
Puan Khalida mengangguk dan tersenyum. Dia lega
mendengar kata-kata Tengku Razif. Selepas sembilan tahun mendirikan rumah
tangga, dia mengandungkan Tengku Melisa. Selama sembilan tahun jugalah, Tengku
Khairah selalu menyakitkan hatinya dan mengatakan dia mandul.
“Ida…” panggil Tengku Razif.
Puan Khalida terkejut. “Ya, bang…”
“Apa lagi yang Ida fikirkan ni? Jangan fikir
apa-apa lagi. Oh ya, mana anak dara abang sorang lagi? Biasanya petang-petang
macam ni, abang balik kerja mulut dia riuh bercakap.”
“Ada kat taman tu. Mak Som tengah layan dia.
Tadi, dia mengamuk sebab tengok Ida susukan Zara. Mungkin dia ingat Ida dah tak
pedulikan dia lagi.” Puan Ida tersenyum. “Abang nak minum? Ida buatkan minuman
ya. Rasanya Mak Som dah siapkan tadi.”
“Tak apalah, Ida. Abang nak naik bilik dulu. Nak
mandi.” Tengku Razif terus bangun dan
sempat tangannya mengelus lembut rambut Puan Khalida. Mata kedua suami isteri
ini bertentang.
Itu yang membuatkan Puan Khalida separuh nyawa
sayangkan Tengku Razif. Lelaki ini
memang baik dan romantik. Walaupun perkahwinan mereka dulu tidak direstui oleh
Tengku Khairah, Tengku Razif tetap
mahukan Puan Khalida menjadi isterinya. Dia tetap bersabar walaupun sering
disakiti oleh ibu mertuanya. Dipekakkan saja telinganya. Kalau boleh dilihat
dengan mata kasar, sudah berdarah dan bernanah telinganya itu agaknya.
“AKU tak fahamlah orang muda zaman sekarang ni!
Buat sesuatu tak pernah nak fikir tentang perasaan orang tua! Kamu berdua kena
ingat yang bonda ni masih lagi hidup, masih ada nyawa! Segala keputusan
berkaitan dengan hal di dalam rumah ini di tangan bonda!” marah Tengku Khairah.
Dari tadi tidak henti dia menghamburkan kemarahannya sebaik saja Tengku Razif
menceritakan tentang kewujudan Zara Humaira.
“Sepatutnya kau jangan ikut sangat apa yang
isteri kau tu nak! Ini... apa aje yang bini kau minta, kau bagi aje! Budak yang
entah dari mana datangnya pun, dia nak bela!”
Puan Khalida tertunduk. Dia rasa sebak mendengar
kata nista ibu mertuanya itu.
“Bonda, ini semua pemberianAllah. Tak salah kalau saya dan Ida
menjaganya.” Tengku Razif bersuara
perlahan. Takut juga dia dengan wajah bengis bondanya.
“Betul kata Razif tu, bonda. Mungkin kehadiran
Zara akan memberi kebahagiaan dan rezeki yang bertambah pada keluarga kita. Tak
siapa tahu semua tu bonda,” kata Tengku Riyyaz, anak sulung Tengku Khairah.
Tengku Khairah menjeling Tengku Riyyaz dengan
tajam. “Kalau aku cakap, semua orang tak nak dengar! Yang orang muda buat semua
betul! Aku ni makan garam dulu dari korang semua! Jangan nak mengajar aku! Kau
tu pula Riyyaz, pandai kau cakap yang budak entah dari mana datangnya tu bawa
tuah pada keluarga ni. Mana kau tahu semua tu? Cuba kau cakap dan buktikan pada
aku yang dah tua nyanyuk ni!” marah Tengku Khairah lagi.
Mereka semua terdiam. Tidak berani hendak
melawan kata wanita yang belum dimamah usia dan masih bergaya.
“Razif, Khalida,
kau orang dengar apa yang bonda cakap ni!”
Semua mata tertumpu pada Tengku Khairah.
“Tengku Melisa tu cucu aku! Cucu kandung aku!
Kalau kau berdua atau sesiapa saja yang melebihkan budak pungut tu dan
mengabaikan Melisa, siap kau orang semua! Bonda tak akan teragak-agak untuk
hantar budak Cina tu ke rumah anak yatim! Kau faham ni? Lagi satu, jangan
sampai bonda tarik balik saham Royale Inn kamu berdua tu. Faham!”
Perasaan sakit hati menggigit-gigit sanubari
Puan Khalida. Sampai begini sekali sikap ibu mertuanya yang tidak pernah
berubah.
“Bonda, saya dan Ida dah nekad
akan jaga Zara bersama-sama dan memberikan sepenuh kasih sayang padanya. Kami
tak akan susahkan bonda,” ujar Tengku
Razif. Dia mengerling sekilas ke arah isterinya yang sedang mengesat air
mata.
“Huh! Peduli apa aku
dengan nekad kau tu Razif, Ida! Lain kali tanya bonda dulu jangan suka-suka nak
buat keputusan tau tak! Nekad konon! Kau tahu ke budak kecik tu keturunan apa,
bangsa apa? Entah-entah mak bapak budak tu penjahat! Entah kahwin atau tidak!”
asak Tengku Khairah lagi geram dan suaranya begitu kasar.
Tengku Razif menelan liur. “Ibu bapa Zara keturunan
cina tapi ibu bapa Zara memeluk islam selepas mereka berkahwin. Ayah Zara
meninggal ketika isterinya mengandungkan Zara.Sewaktu ibu Zara tinggalkan Zara depan rumah kita, dia sudah tahu
yang dia tak akan hidup lama di dunia ini. Lagi pun apa salahnya jika saya dan
Ida jaga Zara. Kami janji tak akan susahkan bonda.”
“Percaya sangat kau pada
orang! Entah-entah perempuan tu masih
hidup! Bila anak dia kau dah besarkan, perempuan tu akan datang tuntut anak dia
pulak! Masa tu baru padan muka kau!”
“Bonda!” Tengku Riyyaz menjerit
kecil. Tidak suka dengan kata-kata Tengku Khairah.
“Tak baik bonda cakap macam tu. Ini semua
rancanganAllah bonda. Kita tak
ada kuasa untuk menyangkalnya,” tokok Tengku Riyyaz agak kesal.
“Kalau aku cakap, semuanya tak betul! Kau ajelah yang betul! Kau tak payah nak
ingatkan aku tentangAllah,
Riyyaz. Aku tahu semua tu! Bonda hidup dulu di dunia ini! Kalau bonda tak lahirkan
korang berdua, korang pun tak akan dapat lihat dunia ni dan korang tak akan
rasa hidup dalam kemewahan ni. Bonda bukan apa Razif, bonda tak nak suatu hari
nanti kau akan menyesal sebab jaga budak tu dan bonda tak nak budak tu akan
menyusahkan kau nanti! Bonda tak nak macam tu Razif! Kau faham tak maksud
bonda?”
Tengku Razif tunduk. Letih mahu bertikam lidah
dengan bondanya. Memang dia berkecil hati dengan kata-kata yang keluar daripada
mulut bondanya. Saat begini, dia perlukan sokongan daripada Tengku Khairah,
bukannya tohmahan.
Puan Khalida bertambah sakit hatinya tapi dia
tidak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan berdiam diri sahaja. Walau apa
tohmahan Tengku Khairah, dia tekad dengan keputusannya untuk memelihara Zara.
HanyaAllah yang boleh memisahkan
mereka.
Tangisan Zara di dalam buaian mengejutkan semua
yang berada di ruang tamu.
Tengku Khairah menjeling tajam. Dia tahu anak
Cina itu yang menangis. Menyampah Tengku Khairah mendengar tangisan si kecil
itu. Kalau boleh, dia mahu memicit-micit kepala si kecil itu biar mati.
Puan Khalida terus bangun. “Mel, kenapa kacau
adik tidur. Jangan main dekat sini, sayang. Kan adik dah nangis,” lembut suara
Puan Khalida menegur anaknya yang bertocang dua ini.
Bulat mata si kecil itu melihat Puan Khalida. Tangisannya
terus berhenti apabila Puan Khalida menghadiahkan ciuman di pipi.
Tengku Melisa terus meletakkan anak patungnya.
Dia menarik baju mamanya.
“Oh, Mel nak cium adik ya?”
Tengku Melisa menggeleng. Puan Khalida terus
menghulurkan pipi si kecil untuk Tengku Melisa mengucupnya. Tapi anak sulungnya
ini enggan mencium pipi Zara.
Tengku Hanez, isteri Tengku Riyyaz muncul dan
mengusap-ngusap rambut Tengku Melisa.
“Comelnya Zara ni. Putih melepak. Harap bila
besar jadi orang yang berguna ya, Zara.” Tengku Hanez bercakap seolah-olah Zara
dapat mendengarnya.
Puan Khalida hanya tersenyum dan terus
menyusukan Zara.
“Ida…” panggil Tengku Hanez.
“Ya, kak long.”
“Kak long ada hal sikit nak cakap dengan Ida.
Kak long harap Ida tak kisah.”
“Tak ada apa yang nak di kisahkan kak long. Apa
yang kak long nak beritahu Ida?” tanya Puan Khalida pula.
Tengku Hanez menarik nafas dalam-dalam dan
memandang tepat wajah Puan Khalida yang masih jelita seperti dulu.
“Kita ni Ida dah lama jadi satu keluarga. Kak
long pun dah anggap Ida macam adik kak long sendiri. Cuma itulah bila ada orang
marah atau cakap-cakap yang tidak baik tentang Ida, kak long pun turut sama
akan terasa. Ida tahukan ibu mertua kita tu perangai macam mana? Dengan kak
long pun bonda bukan suka sangat. Kalau ikutkan rasa hati ni, marah sangat pada
bonda. Tapi, kalau kita melawan jadi derhaka pula.”
Puan Khalida tersenyum pahit. “Ida pun dah biasa
lalui semua tu kak long. Dah berapa lama kami tinggal bersama. Tapi Ida tak
kisah pun kak long asalkan kita satu keluarga bahagia. Kalau setakat bonda
marah dan tengking, Ida dah biasa, kak long.”
“Hmm… Ida jangan ambil hati apa yang bonda
cakapkan ya,” pujuk Tengku Hanez tenang.
Puan Khalida mengangguk dan cuba mengukirkan
senyuman walaupun dia rasakan begitu payah sekali. Kata-kata ibu mertuanya
sebentar tadi amat menghiriskan hatinya. Tidakkah ibu mertuanya faham hati
seorang wanita yang bergelar ibu. “Kak long, Ida nak minta maaf pada kak long.
Bukan niat Ida dan abang Razif nak rahsiakan hal ini, tapi kami rasa belum tiba
masanya lagi untuk kami beritahu hal yang sebenar. Memang kami dah merancang
untuk beritahu kak long dan abang long tentang kewujudan Zara tapi…”
Tengku Hanez terus mencelah. “Ida tak salah
dalam hal ini. Kak long faham. Dahlah, jangan risau ya. Kak long dan abang long
tak kisah. Kalau Ida dan Razif rasa bahagia dengan kehadiran Zara, teruskanlah
menjaganya dengan baik.”
“Ida sayangkan Zara. Ida takkan sia-siakan dia,
kak long. Ida akan jaga dia seperti anak Ida sendiri,” ujar Puan Khalida lagi
seraya tersenyum.