6,664
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 4 & 5

Bab 4 & 5

PUAN Khalida kelam-kabut apabila si kecil menangis tidak henti-henti. Tengku Melisa yang berusia tigatahun itu berjalan terkedek-kedek menghampiri mamanya yang sedang menyusukan Zara Humaira.

Tengku Melisa turut sama menangis. Terus saja dia duduk di depan mamanya dan menghempas barang permainannya.

“Mel, kenapa ni? Mama tengah susukan adik. Janganlah buat perangai sayang. Ambil mainan tu. Mama suruh Mak Som main dengan Mel ya,” pujuk Puan Khalida.

Tengku Melisa yang seakan-akan faham kata-kata mamanya menggeleng laju. Dia hanya mahu mamanya melayan dia bermain.

“Sekejap, sayang. Kesian adik Mel ni. Adik lapar. Dia kena minum susu. Mel tak sayang adik ke?” soal Puan Khalida lagi.Dia sempat mengelus pipi comel anaknya.

Tiba-tiba Tengku Melisa menangis tersedu-sedan. Dia tidak suka melihat adiknya dipangku oleh Tengku Khalida. Kalau boleh biar dia saja berada di atas riba mamanya.

Mak Som bergegas keluar dari dapur. “Kenapa Mel menangis? Ada yang tak kena ke, puan?” Dia menghampiri Tengku Melisa.

“Biasalah dia. Mel mana boleh tengok kalau saya pangku adik dia.”

“Cemburulah ni, puan. Tiba-tiba dapat adik segera,” kata Mak Som.

Puan Khalida hanya tersenyum.

“Mel, mari Mak Som bawa Mel ke taman. Mak Som bentangkan tikar dan Mel boleh main anak patung atas tikar nanti. Nak?”

Tengku Melisa terus diam dan mengangguk.

“Macam nilah budak comel. Mel ikut Mak Som ya. Bila adik Mel dah tidur, mama akan temankan Mel pula ya. Tapi, sebelum tu Mel kena cium adik dulu. Ini adik Mel, Mel kena sayang dan jaga adik baik-baik tau,”pujuk Puan Khalida lagi seraya mengusap rambut panjang Tengku Melisa.

Sebelum bangun, Tengku Melisa mencium pipi adiknya dengan kasar dan terus meminta Mak Som mendukungnya.

Pening Puan Khalida dengan tingkah anaknya ini. Kalau boleh, dia tidak mahu ada apa-apa jurang di antara anak kandung dan anak angkatnya ini. Baginya Tengku Melisa dan Zara sama saja. Dia mahu membesarkan kedua-duanya dengan penuh kasih sayang.

Puan Khalida merenung wajah si kecil yang sudah pun nyenyak tidur di atas pangkuannya. Dia mengusap pipi si kecil ini. Kemudian, satu kucupan hingga di pipi Zara.

Ada satu perkara yang membuatkan Puan Khalida berasa bimbang. Bagaimana reaksi ibu mertuanya nanti? Tengku Khairah sangat cerewet. Ibu mertuanya itu tinggal bersama dengannya cuma dua bulan ini ibu mertuanya berada di rumah abang iparnya. Oh silap! Sebenarnya dia yang menumpang di banglo besar Tengku Khairah ini.

Mengingatkan sikap panas baran Tengku Khairah, Puan Khalida berasa gerun. Dia faham sangat perangai Tengku Khairah. Bengis, cepat marah, cerewet. Kadang-kadang saja punyai rasa kasih sayang. Itu pun kalaumoodnya baik. Bukan dia tidak mahu memberitahu ibu mertuanya tentang kehadiran Zara Humaira, tapi dia takut. Bahkan Tengku Razif juga berasa takut.

Lamunan Puan Khalida mati sebaik saja mendengar suara suaminya memberi salam. Terus dia menghadiahkan senyuman buat suami tercinta yang sedang menghampirinya.

“Waalaikumussalam, bang. Maaflah tak perasan abang dah balik,” kata Puan Khalida lembut.

Dia merenung wajah Tengku Razif yang sudah duduk di sebelahnya.

Tengku Razif mengintai sedikit wajah si kecil yang sedang dipangku isterinya. “Abang tengok Ida termenung jauh aje. Fikirkan apa? Si kecil ini meragam lagi ke?”

Puan Khalida diam. Apakah dia harus memberitahu Tengku Razif apa yang berada dalam fikirannya ketika ini.

“Kita kena bincang sesuatu, bang?”

“Bincang? Bincang apa?” Berkerut dahi Tengku Razif. Dia merenung dalam-dalam wajah isteri tersayangnya.

“Apa kita nak cakap pada bonda tentang Zara? Ida takut bonda tak boleh terima keputusan kita nak jaga dan besarkan Zara.”

Tengku Razif terdiam seketika. “Abang ada terfikir juga tentang tu, tapi abang sendiri tak tahu nak cakap macam mana pada bonda.”

“Abang tahulah perangai bonda tu macam mana. Ida dah sayangkan Zara. Dia tak salah apa-apa. Ibu dia yang tak mampu jaga dia. Kita juga yang akan dapat pahala kerana membesarkan Zara mengikut ajaran Islam.”

“Abang faham. Lusa abang long akan hantar bonda ke sini. Hmm… Ida ada idea macam mana cara terbaik kita nak beritahu bonda?” soal Tengku Razif.

Puan Khalida berfikir sejenak sebelum menjawab soalan suaminya. “Ida rasa kita kena beritahu bonda apa sebenarnya yang dah berlaku dan dari mana Zara datang. Ida tak nak berbohong, bang. Nanti lama-lama akan terbongkar juga. Kita jugak yang susah. Abang sendiri faham perangai bonda abang, kan?”

Tengku Razif mengangguk perlahan. Tangannya mengelus rambut lebat si kecil yang berkulit putih. Kemudian dia memandang semula Puan Khalida.

“Abang setuju dengan apa yang Ida cadangkan. Bila bonda balik sini, kita berterus terang saja pada bonda dan yang lain ya.”

“Kalau mereka tak setuju Ida bela Zara macam mana, bang?” Wajah Puan Khalida mula risau. Hatinya bimbang kerana dia sudah terpaut sayang pada si kecil berketurunan cina ini.

“Insya-Allah... tak ada apa-apa. Jika bonda dan yang lain-lain marah, kita diamkan aje. Lama-lama mereka boleh terima jugak. Yang penting kita jaga Zara sebaik mungkin. Ini amanatAllah. Abang mahu Zara jadi anak yang baik dan solehah. Abang tidak mahu kita membeza-bezakan Zara dengan Melisa. Ida fahamkan maksud abang?”

Puan Khalida mengangguk dan tersenyum. Dia lega mendengar kata-kata Tengku Razif. Selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga, dia mengandungkan Tengku Melisa. Selama sembilan tahun jugalah, Tengku Khairah selalu menyakitkan hatinya dan mengatakan dia mandul.

“Ida…” panggil Tengku Razif.

Puan Khalida terkejut. “Ya, bang…”

“Apa lagi yang Ida fikirkan ni? Jangan fikir apa-apa lagi. Oh ya, mana anak dara abang sorang lagi? Biasanya petang-petang macam ni, abang balik kerja mulut dia riuh bercakap.”

“Ada kat taman tu. Mak Som tengah layan dia. Tadi, dia mengamuk sebab tengok Ida susukan Zara. Mungkin dia ingat Ida dah tak pedulikan dia lagi.” Puan Ida tersenyum. “Abang nak minum? Ida buatkan minuman ya. Rasanya Mak Som dah siapkan tadi.”

“Tak apalah, Ida. Abang nak naik bilik dulu. Nak mandi.” Tengku Razif terus bangun dan sempat tangannya mengelus lembut rambut Puan Khalida. Mata kedua suami isteri ini bertentang.

Itu yang membuatkan Puan Khalida separuh nyawa sayangkan Tengku Razif. Lelaki ini memang baik dan romantik. Walaupun perkahwinan mereka dulu tidak direstui oleh Tengku Khairah, Tengku Razif tetap mahukan Puan Khalida menjadi isterinya. Dia tetap bersabar walaupun sering disakiti oleh ibu mertuanya. Dipekakkan saja telinganya. Kalau boleh dilihat dengan mata kasar, sudah berdarah dan bernanah telinganya itu agaknya.

“AKU tak fahamlah orang muda zaman sekarang ni! Buat sesuatu tak pernah nak fikir tentang perasaan orang tua! Kamu berdua kena ingat yang bonda ni masih lagi hidup, masih ada nyawa! Segala keputusan berkaitan dengan hal di dalam rumah ini di tangan bonda!” marah Tengku Khairah. Dari tadi tidak henti dia menghamburkan kemarahannya sebaik saja Tengku Razif menceritakan tentang kewujudan Zara Humaira.

“Sepatutnya kau jangan ikut sangat apa yang isteri kau tu nak! Ini... apa aje yang bini kau minta, kau bagi aje! Budak yang entah dari mana datangnya pun, dia nak bela!”

Puan Khalida tertunduk. Dia rasa sebak mendengar kata nista ibu mertuanya itu.

“Bonda, ini semua pemberianAllah. Tak salah kalau saya dan Ida menjaganya.” Tengku Razif bersuara perlahan. Takut juga dia dengan wajah bengis bondanya.

“Betul kata Razif tu, bonda. Mungkin kehadiran Zara akan memberi kebahagiaan dan rezeki yang bertambah pada keluarga kita. Tak siapa tahu semua tu bonda,” kata Tengku Riyyaz, anak sulung Tengku Khairah.

Tengku Khairah menjeling Tengku Riyyaz dengan tajam. “Kalau aku cakap, semua orang tak nak dengar! Yang orang muda buat semua betul! Aku ni makan garam dulu dari korang semua! Jangan nak mengajar aku! Kau tu pula Riyyaz, pandai kau cakap yang budak entah dari mana datangnya tu bawa tuah pada keluarga ni. Mana kau tahu semua tu? Cuba kau cakap dan buktikan pada aku yang dah tua nyanyuk ni!” marah Tengku Khairah lagi.

Mereka semua terdiam. Tidak berani hendak melawan kata wanita yang belum dimamah usia dan masih bergaya.

“Razif, Khalida, kau orang dengar apa yang bonda cakap ni!”

Semua mata tertumpu pada Tengku Khairah.

“Tengku Melisa tu cucu aku! Cucu kandung aku! Kalau kau berdua atau sesiapa saja yang melebihkan budak pungut tu dan mengabaikan Melisa, siap kau orang semua! Bonda tak akan teragak-agak untuk hantar budak Cina tu ke rumah anak yatim! Kau faham ni? Lagi satu, jangan sampai bonda tarik balik saham Royale Inn kamu berdua tu. Faham!”

Perasaan sakit hati menggigit-gigit sanubari Puan Khalida. Sampai begini sekali sikap ibu mertuanya yang tidak pernah berubah.

“Bonda, saya dan Ida dah nekad akan jaga Zara bersama-sama dan memberikan sepenuh kasih sayang padanya. Kami tak akan susahkan bonda,” ujar Tengku Razif. Dia mengerling sekilas ke arah isterinya yang sedang mengesat air mata.

“Huh! Peduli apa aku dengan nekad kau tu Razif, Ida! Lain kali tanya bonda dulu jangan suka-suka nak buat keputusan tau tak! Nekad konon! Kau tahu ke budak kecik tu keturunan apa, bangsa apa? Entah-entah mak bapak budak tu penjahat! Entah kahwin atau tidak!” asak Tengku Khairah lagi geram dan suaranya begitu kasar.

Tengku Razif menelan liur. “Ibu bapa Zara keturunan cina tapi ibu bapa Zara memeluk islam selepas mereka berkahwin. Ayah Zara meninggal ketika isterinya mengandungkan Zara.Sewaktu ibu Zara tinggalkan Zara depan rumah kita, dia sudah tahu yang dia tak akan hidup lama di dunia ini. Lagi pun apa salahnya jika saya dan Ida jaga Zara. Kami janji tak akan susahkan bonda.”

“Percaya sangat kau pada orang! Entah-entah perempuan tu masih hidup! Bila anak dia kau dah besarkan, perempuan tu akan datang tuntut anak dia pulak! Masa tu baru padan muka kau!”

“Bonda!” Tengku Riyyaz menjerit kecil. Tidak suka dengan kata-kata Tengku Khairah.

“Tak baik bonda cakap macam tu. Ini semua rancanganAllah bonda. Kita tak ada kuasa untuk menyangkalnya,” tokok Tengku Riyyaz agak kesal.

“Kalau aku cakap, semuanya tak betul! Kau ajelah yang betul! Kau tak payah nak ingatkan aku tentangAllah, Riyyaz. Aku tahu semua tu! Bonda hidup dulu di dunia ini! Kalau bonda tak lahirkan korang berdua, korang pun tak akan dapat lihat dunia ni dan korang tak akan rasa hidup dalam kemewahan ni. Bonda bukan apa Razif, bonda tak nak suatu hari nanti kau akan menyesal sebab jaga budak tu dan bonda tak nak budak tu akan menyusahkan kau nanti! Bonda tak nak macam tu Razif! Kau faham tak maksud bonda?”

Tengku Razif tunduk. Letih mahu bertikam lidah dengan bondanya. Memang dia berkecil hati dengan kata-kata yang keluar daripada mulut bondanya. Saat begini, dia perlukan sokongan daripada Tengku Khairah, bukannya tohmahan.

Puan Khalida bertambah sakit hatinya tapi dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa melainkan berdiam diri sahaja. Walau apa tohmahan Tengku Khairah, dia tekad dengan keputusannya untuk memelihara Zara. HanyaAllah yang boleh memisahkan mereka.

Tangisan Zara di dalam buaian mengejutkan semua yang berada di ruang tamu.

Tengku Khairah menjeling tajam. Dia tahu anak Cina itu yang menangis. Menyampah Tengku Khairah mendengar tangisan si kecil itu. Kalau boleh, dia mahu memicit-micit kepala si kecil itu biar mati.

Puan Khalida terus bangun. “Mel, kenapa kacau adik tidur. Jangan main dekat sini, sayang. Kan adik dah nangis,” lembut suara Puan Khalida menegur anaknya yang bertocang dua ini.

Bulat mata si kecil itu melihat Puan Khalida. Tangisannya terus berhenti apabila Puan Khalida menghadiahkan ciuman di pipi.

Tengku Melisa terus meletakkan anak patungnya. Dia menarik baju mamanya.

“Oh, Mel nak cium adik ya?”

Tengku Melisa menggeleng. Puan Khalida terus menghulurkan pipi si kecil untuk Tengku Melisa mengucupnya. Tapi anak sulungnya ini enggan mencium pipi Zara.

Tengku Hanez, isteri Tengku Riyyaz muncul dan mengusap-ngusap rambut Tengku Melisa.

“Comelnya Zara ni. Putih melepak. Harap bila besar jadi orang yang berguna ya, Zara.” Tengku Hanez bercakap seolah-olah Zara dapat mendengarnya.

Puan Khalida hanya tersenyum dan terus menyusukan Zara.

“Ida…” panggil Tengku Hanez.

“Ya, kak long.”

“Kak long ada hal sikit nak cakap dengan Ida. Kak long harap Ida tak kisah.”

“Tak ada apa yang nak di kisahkan kak long. Apa yang kak long nak beritahu Ida?” tanya Puan Khalida pula.

Tengku Hanez menarik nafas dalam-dalam dan memandang tepat wajah Puan Khalida yang masih jelita seperti dulu.

“Kita ni Ida dah lama jadi satu keluarga. Kak long pun dah anggap Ida macam adik kak long sendiri. Cuma itulah bila ada orang marah atau cakap-cakap yang tidak baik tentang Ida, kak long pun turut sama akan terasa. Ida tahukan ibu mertua kita tu perangai macam mana? Dengan kak long pun bonda bukan suka sangat. Kalau ikutkan rasa hati ni, marah sangat pada bonda. Tapi, kalau kita melawan jadi derhaka pula.”

Puan Khalida tersenyum pahit. “Ida pun dah biasa lalui semua tu kak long. Dah berapa lama kami tinggal bersama. Tapi Ida tak kisah pun kak long asalkan kita satu keluarga bahagia. Kalau setakat bonda marah dan tengking, Ida dah biasa, kak long.”

“Hmm… Ida jangan ambil hati apa yang bonda cakapkan ya,” pujuk Tengku Hanez tenang.

Puan Khalida mengangguk dan cuba mengukirkan senyuman walaupun dia rasakan begitu payah sekali. Kata-kata ibu mertuanya sebentar tadi amat menghiriskan hatinya. Tidakkah ibu mertuanya faham hati seorang wanita yang bergelar ibu. “Kak long, Ida nak minta maaf pada kak long. Bukan niat Ida dan abang Razif nak rahsiakan hal ini, tapi kami rasa belum tiba masanya lagi untuk kami beritahu hal yang sebenar. Memang kami dah merancang untuk beritahu kak long dan abang long tentang kewujudan Zara tapi…”

Tengku Hanez terus mencelah. “Ida tak salah dalam hal ini. Kak long faham. Dahlah, jangan risau ya. Kak long dan abang long tak kisah. Kalau Ida dan Razif rasa bahagia dengan kehadiran Zara, teruskanlah menjaganya dengan baik.”

“Ida sayangkan Zara. Ida takkan sia-siakan dia, kak long. Ida akan jaga dia seperti anak Ida sendiri,” ujar Puan Khalida lagi seraya tersenyum.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.