Home Novel Cinta Dia Diktator Hatiku
Dia Diktator Hatiku
7/1/2014 15:39:45
19,680
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

SIAPmelaksanakan operasi rumah, Sumayyah terus berlalu ke ruang tamu. Senyuman manis gadis itu terukir lebar di bibirnya yang merah asli. Sesiapa sahaja yang terpandang, pasti terpegun. Cantik sekali walau hanya sekali pandang. Tapi kali ini, Sumayyah kelihatan tidak ubah seperti bibi yang sudah lanjut usia. Rambutnya mengerbang macam Hantu Kak Limah Balik Rumah. Kain batik yang disarung senget sebelah, terkoyak pula pada hujung kaki. Entahlah. Mungkin kerana penangan deadline, menjadikan Sumayyah tidak terurus sebegini.

“Operasi berjaya!” jerit Sumayyah cukup bersemangat.

Operasi di sini ialah kerja-kerja pembersihan di dalam rumah yang merangkumi aktiviti mencuci, menyapu, mengelap lantai, membuang sampah dan banyak lagi. Masa yang diperlukan untuk menyelesaikan urusan rutin ini pula selama hampir empat jam. Terapi menghilangkan stres, mungkin.

“Yaya, akak nak berehat di dalam bilik sekejap,” Ainien yang entah bila sudah tercegat di belakang Sumayyah bersuara halus.

Mata Sumayyah membulat. Lamunannya terganggu. Wajah pelakon utama My boss my hero,Nagase Tomoya terus menghilang dari benak. Sumayyah mengeluh hampa.

“Mahu beradu?” soal Sumayyah pendek.

Ainien mengangguk-angguk seraya menjawab, “Naam. Beta hendak beradu sekejap. Bagaimana pula dengan tuan hamba? Tidakkah tuan hamba...” kata-kata Ainien terhenti di situ.

Dahinya berkerut. Ainien mengggeleng laju. Neuronnya bagai tersekat, mengakibatkan sistem sarafnya gagal berfungsi dengan baik.

“Hisy, berbelit lidah akak dibuatnya. Yaya tak nak qailulah bersama-sama?” sambung Ainien bersahaja. Senyumannya tetap terukir nipis di bibir.

Dahi Sumayyah turut jadi berlapis. Qailulah? Otaknya terasa bagai pernah mendengar perkataan itu tetapi di mana dan apa?

Ainien menggeleng buat kesekian kali.

“Hebat betul deadlinekali ni sampai hilang ingatan Cik Sumayyah kita dibuatnya...” Ainien diam seketika.

Kemudian, dia menambah, “Qailulah tu bermaksud tidur sekejap pada waktu tengah hari. Amalan sunnah ni. Sangat baik diamalkan jika Yaya berniat nak melakukan qiamullai pada malamnya.”

Tidak cukup panjang tetapi sudah jelas menerangkan maksudnya.

Sumayyah menganggukmengeyakan.

“Sememangnya deadlinemerupakan waktu azab bagi Yaya...” dia terdiam sekejap.

“Masalahnya, bukan deadlineyang mengazab jiwa dan raga Yaya. Tetapi dua jejaka yang bajet tampan tu yang buat Yaya merana. Macam bagus,” tambah Sumayyah dengan suaranya sedikit bergetar.

Nampak gaya, anak dara Pak Abu ini masih marah. Entah bila mahu sejuk hatinya.

Ainien segera mengusap belakang Sumayyah lembut.

“Bertenang,” ucapnya pendek.

Mata Sumayyah membulat, terkejut dengan ungkapan pendek Ainien tetapi besar pengertiaannya itu.

“Astaghfirullah...ujarnya dengar tidak dengar.

Baru tadi dia menanam tekad untuk berlapang dada. Memaafkan kesalahan insan-insan yang telahmenggores hati namun tidak sampai empat jam, dia telah terlupa dengan tekadnya sendiri.

“Astaghfirullah...tutur Sumayyah berulang kali.

Pasti! Hatinya belum cukup bersih dan jernih lagi. Aduh, sukarnya mahu berlapang dada. Payahnya hendak menuruti teladan Nabi SAW yang mudah memberi maaf meski diri disakiti.

Ainien tersenyum kecil.

“Teruskan beristighfar, Ya. Insya-ALLAH, dengan istighfar tu dapat membuang bintik-bintik hitam di dalam jiwa,” dia menitip pesan.

Sumayyah mengangguk laju.

“Insya-ALLAH. Terima kasih, kak.”

Sumayyah menunduk ke lantai, kemudian mendongak semula.

‘Aku boleh!’ jerit hati kecilnya sendiri.

“Bagus,” balas Ainien lalu beredar masuk ke dalam bilik tidurnya. Hendak berbalas cakap lagi, sampai esok pagi pun belum tentu habis. Ainien cukup maklum tentang itu.

Sumayyah terus membatu melihat dinding rumah yang sudah pudar warnanya. Wajah Zahin dan Kamil yang hakikatnya kacak tetapi dinafikan ketampanan mereka oleh Sumayyahmenerjah benak.

Dahi Sumayyah berkerut.

Sumayyah beristighfar buat kesekiankali. Hati yang sedang ‘sakit’ cuba dicuci dengan mengharapkan keampunan daripada-NYA.

Bukankah ALLAH telah berfirman melalui wahyu-NYA yang bermaksud, ‘... dan mohonlah keampunan daripada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ (al-Baqarah, 2:199)

“Astaghfirullah...

Sumayyah beristighfar lagi... dan lagi, dan lagi.

Sedang asyik Sumayyah mengkoreksi diri...

Penggera telefon bimbitnya berbunyi nyaring, menyebabkan dia tersentak buat kesekian kali. Cepat-cepat Sumayyah menyeluk poket hadapan baju kemeja petak-petak yang disarung. Mulut Sumayyah ternganga separuh. Sudah pukul 12.00 tengah hari! Ini bermakna, telah sampai masanya butang on pada kaca TV ditekan. Sumayyah mahu menonton rancangan bual bicara, Wanita Hari Ini. Namun, baru sahaja dia hendak menekan siaran 103, hidungnya menghidu sesuatu.

‘Harumnya,’ dia berbisik sendiri.

Dengan tidak semena-mena, bulu roma Sumayyah menegak. Dahinya berkerut. Apakah, ‘siapakah’ yang mahu mengusiknya pada waktu-waktu penting ini? Semangat Sumayyah untuk menonton rancangan bual bicara kegemarannya terus terbantut. Ah!

“Apa pasal, Ya?” ujar Sabreena pendek. Pelik melihat reaksi Sumayyah. Seperti baru terkena renjatan elektrik!

Sumayyah menarik nafas lega.

“Astaghfirullah...” ucapnya perlahan.

Wajah Sabreena yang cantik berhias ditatap agak lama.

“Kak Reen nak ke mana?” soal Sumayyah tanpa menjawab pertanyaan Sabreena.

Tangan kanannya pula mengesat hidungnya berkali-kali. Sah. Bau harum itu datangnya daripada Sabreena, bukan makhluk lain ciptaan TUHAN!

“Sunway Pyramid,” balas Sabreena pendek.

Sumayyah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapa pula garu-garu kepala, Ya? Ada kutu?” Sabreena bertanya lagi.

Sumayyah tersenyum sumbing. Terlupa sudah dengan kata-kata pedas Sabreena pagi tadi.

“Buat apa Kak Reen nak ke sana?” Macam inspektor polis pula anak dara Pak Abu yang seorang ini.

Sabreena mendengkus kecil.

“Lepak-lepak sambil hilangkan stres. Kak Reen bukan macam Yaya. Akak stres sebab deadline,bukan sebab Zahin. Fikir balik apa yang akak cakap tadi. Maaflah kalau Yaya terasa tetapi itulah...”

“Okey. Baik-baik...” potong Sumayyah sebelum sempat Sabreena menyudahkan kata-kata sinisnya bak petir menyambar .

Hati kecil Sumayyahtergores lagi dengan kata-kata Sabreena, tetapi dia cuba berlagak selamba, tidak mahu memanjangkan cerita.

‘Berlapang dada. Berlapang dada. Astaghfirullah...’ Sumayyah cuba menenangkan hati.

Sabreena mendengus perlahan. Tanpa membalas kata-kata Sumayyah, dia pun berlalu dari situ menuju ke muka pintu. Sumayyah pula terpinga-pinga melihat Sabreena sampai kelibat gadis itu hilang dari pandangan.

“Muka cantik tetapi mulut celupar. Reject buat menantu,”katanya perlahan.

Hisy, Sumayyah terus menepuk mulutnya berkali-kali.

“Astaghfirullah...

MoodSumayyah untuk menonton rancangan Wanita Hari Ini terus menghilang. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk qailulah,mengikut jejak Ainien yang tidur seketika pada waktu tengah hari.

SUDAHlebih sejam Sabreena mundar-mandir di tingkat bawah stesen LRT Kelana Jaya. Dia kelihatan tidak keruan. Sampai pak cik teksi yang melihatnya pun naik pening. Apabila ditanya sepatah, Sabreena terus memuncung bagai itik serati. Hodoh. Jika begini tingkah lakunya, mana-manapak cik mahupun pak cik teksi, tak sudi nak buat calon menantu. Sabreena seolah-olah tidak terdidik untuk menghormati orang lain, terutama mereka yang lebih tua daripadanya.

“Hisy...” Sabreena mendengkus kuat.

Jam pada pergelangan tangan ditatap tajam. Sudah pukul 2.01 petang tetapi dia masih belum melakukan apa-apa!

‘Lembapnya,’ bentak hati kecil Sabreena.

Dia mendengus lagi.

“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Lambat bertindak, berputih matalah gamaknya,” Sabreena berkira-kira sendiri.

Mujurlah wajahnya tampak elok. Jika tidak, boleh jadi dikatakan orang sebagai OTS. Otak Tidak Senter. Dengan lain perkataan, disebut juga sebagai otak tiga suku. Sabreena berotak tiga suku?

Oh, tidak!

Tanpa berlengah, Sabreena pun berjalan ke arah pondok telefon awam yang terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri tadi. Kali ini, dia benar-benar tekad. Lelaki itu tetap perlu dihubungi. Jika tidak, rugilah... tidak berbaloi langsung. Sia-sia dia bersesak-sesak di dalam LRT PUTRA untuk sampai ke sini. Alih-alih, Zahin pula tidak dapat ditemui.

Di tepi pondok telefon awam.

Sabreena menarik nafas, kemudian menghembusnya perlahan. Selepas itu, dia mengeluarkan duit syiling yang dibawa siap-siap dari rumah. Perancangan untuk bertemu dengan Zahin telah diatur dengan teliti. Hendak meng-hubungi lelaki itu menggunakan telefon bimbitnya sendiri, mustahil. Zahin pasti tidak akan melayan. Boleh jadi lelaki itu akan membatalkan terus panggilan masuk daripadanya. Jadi, sesuatu di luar kebiasaan perlulah dilakukan. Moga-moga segalanya berjalan dengan lancar.

Sabreena mendail nombor telefon bimbit Zahin laju dan seperti yang dijangka, dia tidak perlu menunggu lama.

“Helo...” ucap Zahin dari corong telefon.

Senyuman Sabreena melebar.

“Assalammualaikum,” balasnya lembut. Cukup halus suaranya. Semacam anak gadis yang sedang berbicara dengan bakal ibu mertua pula.

Zahin mengeluh kecil. Dia cukup kenal dengan suara itu.

“Ada apa kamu telefon saya, Reen?” soal Zahin tanpa mahu berbasa-basi.

Salam yang diucap hanya disambut di dalam hati.

Zahin sebenarnya tidak suka mendengar lenggok suara Sabreena yang jelas mengada-ngada. Sungguh menjelikkan. Lagipun, sewajarnya dia seorang wanita yang kaya dan tebal dengan rasa malu terhadap ajnabinya. Ini tidak, semakin menyerah diri pula.

Wajah Sabreena terus berubah.

‘Cakap elok-elok tak boleh ke?’ Kedengaran suara Sabreena yang sengaja dimanjakan.

“Ada apa kamu telefon saya ni? Deadline kan dah habis,” soal Zahin lagi apabila pertanyaannya tadi tidak berjawab.

Sabreena menelan air liurnya sekali.

“Reen nak ajak abang pergi Sunway Pyramid. Sekarang ni, Reen kat stesen LRT Kelana Jaya. Jomlah. Nanti Reen belanja abang makan,” tutur Sabreena dengan lenggok bahasa yang mendayu-dayu.

Mata Zahin membulat.

Sedikit sebanyak, hatinya terdetik rasa ‘sakit’. Meskipun tidak ada sekelumit rasa suka terhadap gadis yang sejak dari dahulu cuba menambat hatinya itu, tidak Zahin nafikan. Getarannya tetap terasa apabila Sabreena berbicara sebegitu.

‘Astaghfirullah...bisik hati kecil Zahin berulang kali.

Wajahnya sudah berubah kemerahan. Semakin lama, semakin laju getaran jantungnya.

‘Astaghfirullah...ucap Zahin lagi.

Sabreena, Sabreena…

“Boleh tak, bang? Reen janji tak ambil masa abang terlalu lama,” Sabreena bertanya lagi apabila Zahin tetap membisu di hujung talian.

Senyumannya melebar. Dirasakan jeratnya hampir mengena. Kelebihannya terletak pada kemahiran menggoda. Sabreena tahu, Zahin bukanlah lelaki yang mudah tersungkur dengan kaum Hawa namun dia sekali-kali tidak akan berputus asa.

Belum cuba belum tahu!

Lelaki tetaplah lelaki!

“A...”

Baru sahaja Sabreena hendak menambah…

“Kenapa tak ajak Sumayyah dan Ainien? Lagi selamat keluar dengan sesama jantina daripada orang yang bukan muhrim. Makhluk yang ketiga tu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia,” balasnya serius.

Mendengar kata-kata sinis itu, Sabreena terus muncung. Hatinya tidak semena-mena menggelegak. Dalam ramai-ramai rakan perempuan, kenapa pula nama Sumayyah yang disebut Zahin? Huh!

“Ain dengan Yaya tak bangun tidur lagi. Biasalah. Kita kan baru habis deadline.Stres. Lagipun, anak dara tu manalah nak bangun awal-awal pagi,” balas Sabreena bersahaja tetapi sedikit gagap. Terdapat unsur-unsur pembohongan di situ.

Dahi Zahin berkerut. Kata-kata Sabreena langsung tidak boleh diterima akal. Sumayyah dan Ainien yang dia kenal bukan begitu. Namun boleh jadi ada benarnya juga. Alasan deadlinememang boleh diguna pakai. Setelah berhempas-pulas menyiapkan kerja yang bertimbun, tibalah masanya mereka qada tidur yang terkurang.

Zahin menggeleng laju.

Mana boleh!

Anak gadis tidak boleh diajar tidur sampai ke petang. Tidak manis. Tidak elok dipandang. Tidak, dan tidak...

“Boleh tak, bang? Jauh-jauh Reen datang dari Taman Melati semata-mata nak ajak abang keluar. Sampai-sampai, abang tak nak keluar pula. Tak baik abang hampakan harapan orang,” Sabreena masih tidak berputus asa memujuk.

Zahin mengeluh perlahan. Perbualan ini perlu ditamatkan segera. Semakin dilayan, semakin menjadi-jadi pula.

“Petang ni, saya ada urusan lain yang perlu dibereskan. Kamu pergilah sendiri. Kalau dari Taman Melati kamu boleh datang berseorangan ke sini, saya kira tak menjadi masalah pada kamu untuk pergi berseorangan ke Sunway Pyramid. Hati-hati ye. Assalammualaikum.” Zahin terus menekan butang tengah telefon bimbitnya.

Talian pun terputus, membuatkan Sabreena terpinga-pinga.

Mulut Sabreena ternganga separuh. Kepalanya menunduk ke lantai. Dia jelas kecewa. Rancangannya tidak menjadi.

Hampa...

Sungguh. Sabreena benar-benar kecewa. Ketegasan Zahin membuatkan dia tidak mampu melakukan apa-apa. Hendak menerjah ke rumah lelaki itu? Mungkin tidak. Dia tetap punya harga diri walaupun hakikatnya, tindakan Sabreena ini secara tidak langsung telah merendahkan martabatnya di mata Zahin. Sabreena hanya mampu mengeluh perlahan.

‘Susah sangat ke nak buka pintu hati tu?’ hati Sabreena menjerit sekuatnya.

Sejak di alam kampus, Sabreena telah menaruh perasaan terhadap Zahin. Bukan suka main-main tetapi sungguh-sungguh. Boleh dikatakan, Zahin adalah cinta pandang pertamanya. Bukan hanya kerana kekacakan lelaki itu, tetapi disebabkan oleh banyak faktor. Zahin tampak sempurna pada kaca mata Sabreena. Tidak ada yang kurang. Dia pasti berbangga andai dapat menjadi teman wanitanya.

‘Apalah yang kurang lagi?’ hati kecil Sabreena menambah.

Dia lalu mengeluarkan cermin kecil dari dalam tas tangan. Wajahnya ditenung agak lama...

Hendak kata tidak cantik, tidak. Semua orang memuji kecantikan Sabreena. Manakan tidak. Ayahnya berketurunan Arab. Ibunya pula berdarah campuran Melayu, India dan Jawa. Jadi, Sabreena cukup yakin. Soal rupa paras tidak menjadi masalah baginya. Tetapi kenapa pula Zahin langsung tidak sudi memandang? Butakah lelaki itu?

“Ada lori, ada bas. Ada hari, boleh balas,” kata Sabreena dengan mulut yang masih memuncung.

Dia lalu berjalan laju ke tempat menunggu teksi. Sabreena sudah mengatur rancangan lainjika hajatnya untuk keluar dengan Zahin tidak kesampaian...

WALAUPUN perbualan telah berakhir, Zahin tetap mahu memandang skrin telefon bimbitnya. Wajah Sumayyah yang comel tetapi jarang tersenyum di hadapannya itu tidak semena-mena hadir di benak. Dia menggeleng laju.

‘Mana boleh anak dara tidur sampai ke petang!’ bentak hati Zahin sendiri.

Tanpa membuang masa, Zahin terus menaip sistem pesanan ringkas.

Mak cik, bangun! Tak elok anak dara tidur sampai ke petang.

Kemudian, mesej tersebut terus dihantar kepada Sumayyah. Tidak pula dia mengirimkan mesej yang sama kepada Ainien, walhal menurut kata Sabreena, kedua-duanya masih membuta.

Sumayyah yang baru siap membasuh pinggan tercengang. Matanya membulat memandang mesej yang baru diterima daripada Manusia Jam Bateri,alias Diktator alaf baharu!

‘Habis deadlinepun masih nak cari pasal?’ desis hati kecil Sumayyah.

Assalammualaikum, pak cik. Fitnah tu lebih bahaya daripada membunuh!

Sejurus selepas membalas mesej yang dikirim Zahin, Sumayyah terus mematikan telefon bimbit. Bibirnya tidak henti-henti beristighfar. Dia tidak mahu cari pasal dengan Zahin lagi. Sumayyah betul-betul tekad!

Noktah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.