Home Cerpen Keluarga Satu Hari
Satu Hari
14/6/2016 08:48:45
2,271
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Pelik betul Marina. Itu salah… ini salah… semua salah. Dia sahaja yang betul. ‘Tahulah presiden tapi berpada-padalah,’ bisik hati Erisya. Bertambah pelik lagi ajaib! Meskipun sudah terkenal dengan gelaran ‘kuku besi’, Marina tetap dipilih untuk menerajui kesatuan pekerja di pejabatnya. Kesatuan yang dianggotai kaum hawa ini bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja wanita di Kamarina Sdn. Bhd. Bagus juga cuma presidennya sahaja kurang berkaliber. Erisya kira, Saadah lebih layak. Walaupun agak pendiam, ia punya karisma tersendiri. Hidup Saadah!

“I hate Zukhairy!” Kata Marina suatu hari.

“Kenapa pula ni? Gaduh lagi? Biasalah… suami isteri. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula suami isteri,” Erisya cuba menenangkan Marina sambil mendendangkan lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“You tahu apa? Semalam, dia cakap I tak tunaikan tanggungjawab sebagai isteri. So what? Dia ingat dia siapa? Kalau bukan sebab daddy I, dah lama dia jadi eksekutif gaji RM3K. Sekarang, salary dia dekat RM20K. Dia memang lupa daratan!” Seperti biasa, Marina tidak pernah mahu kalah. Erisya membatukan diri. Tidak mahu berbahas dengan Marina. Kebarangkalian untuk menang agak tipis. Al-maklumlah, berdepan dengan ‘si kuku besi’. Macam ayahnya, Tan Sri Kamal. Ala-ala Mustafar Kamal Ataturk juga la…

Erisya termenung sendiri. ‘Kalau bukan sebab daddy I…’ terngiang-ngiang ungkapan Marina petang tadi. Berani betul Marina mengeluarkan kenyataan sebegitu. Bukankah rezeki itu daripada Tuhan yang mencipta? Tan Sri Kamal hanyalah wasilah bagi Allah untuk melimpahkan rezeki buat hamba pilihan-Nya. Adakah dia lupa bahawa setiap manusia itu lemah?

“Termenung panjang isteri abang,” tegur Muhammad tatkala melihat Erisya begitu asyik dalam dunianya.

“Eh, bila abang balik? Eisya tak sedar. Abang tunggu kejap ye. Eisya dah siapkan Milo dan karipap,” Erisya bingkas bangun dan menuju ke dapur. Tidak lupa ia menyalami suaminya sepertimana biasa.

“Eisya fikir apa tadi? Abang tengok, sudah jauh melayang. Sudah sampai Pulau Pangkor? Insya-Allah, bulan depan abang bawa Eisya ke sana. Kita honeymoon lagi, OK?”

“Abang… rezeki itu daripada Allah kan? Boleh tak kita keluarkan statement bahawa kerana kita dia berjaya?.....”

Panjang betul penerangan Muhammad. Stail dan gaya ‘berceramah’ tidak ubah seperti Ustaz Shahul. Tiba-tiba, Erisya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh Ustaz Shahul tentang poligami… berjela-jela. Jemaah lelaki pula tidak lekang dengan senyuman dan ada juga yang ketawa terbahak-bahak. Lihat kiri… lihat kanan… jemaah perempuan pun tidak kurang kusyuknya mendengar pengisian yang disampaikan. Mungkin isu yang diketengahkan agak hangat menyebabkan tidak ada yang berbual-bual atau tertidur.

‘Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja… An-Nisa ayat tiga…’ bait-bait kalamullah yang sering diungkapkan Muhammad. Banyak-banyak point yang disampaikan Ustaz Shahul, point ini yang dihafalnya. Lelaki oh lelaki… Namun, tidak sekali-kali Erisya naik angin kerana ia tahu Muhammad hanya bergurau. Itulah Muhammad.

“Almost everyday… ada sahaja kisah keganasan rumahtangga. You dah baca paper hari ni?” Tanya Marina suatu pagi.

“Sudah tapi isu mana yang kacau mood you?” Erisya bertanya kembali.

“Isu mahkamah syariah. You tengok sendiri. Senang-senang nak kahwin empat. Kerja bawa lori balak, ada hati nak cari extra. Cerminlah diri sikit. Cuba you tengok ni… I tak puas hati dengan jantan ni. Dah dapat madu, suka hati nak ceraikan wife dia. You tengok ni pula… perebutan harta pusaka. Really bad. Kenapalah…” macam machine gun Marina bercerita. Kadang-kadang, naik muak dibuatnya dengan pertikaian yang dibuat Marina. Tidakkah ia takut menidakkan hukum Allah? Silap hari bulan… nauzubillah.

‘Kita perlu berpegang teguh pada aqidah yang satu. Yakin dengan keesaan dan kekuasaan Allah. Mentauhidkan Allah dengan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma wa sifat…’ terimbas penerangan Muhammad tentang isu yang dibangkitkan.

Benar! Sebagai Muslim sejati, kita perlu meyakini keesaannya. Bergelar Muslim bukan sekadar mengucap kalimah syahadah tetapi perlu dengan penghayatan dan pengamalan. Allah adalah Tuan Punya yang memberi rezeki serta kasih sayang buat hamba-hamba-Nya. Maka, tidak timbul isu, ‘Kalau bukan sebab daddy I…’

Jika tidak mampu mendepani musibah, bermohonlah kepada-Nya. Bukankah tauhid uluhiyyah menjelaskan bahawa Allah adalah Ilah yang wajib diabdikan diri kepada-Nya serta tempat bermohon pertolongan? Bak kata Muhammad, ‘Hayatilah bait-bait kalimah Allah yang kita ungkapkan di dalam solat sehari-hari… “Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan…” Al-Fatihah ayat empat.’ Bertubi-tubi Erisya menyangkal kata-kata Marina di dalam hatinya. Ini sudah lebih…

“Allah itu Maha Mengetahui,” Erisya berkata tanpa sedar.

“Apa you cakap? Means you tak setuju dengan I? You bukannya ustazah yang mengajar tentang hukum. You are only an executive of Cash Management department. Don’t play-play ya,” Marina seakan memberi amaran. Erisya terdiam.

Bukahkah asma wa sifat Allah menjelaskan tentang sifat-sifat terpuji bagi Allah? Allah itu Maha Pengasih… Maha Penyayang… Maha Mengetahui dan Maha Segala-galanya. Dia sudah tahu tentang aturan yang paling baik buat alam ciptaan-Nya. Sepertimana traffic light… mengapa perlu berhenti apabila lampu merah menyala? Untuk menghindari berlakunya kemalangan. Jika semua ingin mengikut kata hati sendiri, hura-haralah dunia. Semua orang mahu menang sedangkan fikiran manusia sebenarnya terbatas. Hanya tahu sesuatu di permukaan! Argh… lupakan Marina dengan egonya. Bikin hati panas sahaja.

“OK Marina. I ada hal kejap. I have to meet Mr. Lim at 10.00 am. I lapar la. Nak isi perut sikit. Take care of yourself,” Erisya berkata lembut. Tidak mahu bermasam muka dengan Marina. Tidak mahu menjadi seperti Shahrizat… bertikam lidah dengan Marina dan akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan meskipun sudah lebih satu dekad ia mencurahkan baktinya di sini. Tidak tahan dengan cool treatment yang diterima daripada pihak pengurusan. Al-maklumlah, bergaduh dengan Marina seumpama berkelahi dengan satu department. Marina begitu berkuasa. Mungkin kerana daddynya CEO dan punya saham yang besar dalam syarikat ini.

Kringg… “Assalammualaikum,” Erisya memberi salam.

“Eh Erisya. Are you free this afternoon? Can you accompany me to Lassy Spa?” Terjah Marina. ‘Tidak dengarkah salam yang aku bagi?’ bisik hati Erisya.

“Em… Hold on ya. I need to ask my hubby…”

“Alah you ni. Sikit-sikit tanya hubby. Dunia dah berubah. Tak perlu nak minta permission dia. Lagipun, I belanja kat spa nanti. Tak pakai duit dia satu sen pun,” Marina berkata sebelum sempat Erisya bertanya kepada Muhammad.

“I’m sorry. I MUST!” Erisya berkata tegas.

“OK lah. You ni kolot la. Macam nenek I kat kampung…” sakit hati mendengar kata-kata Marina. Diselangi pula dengan ketawa yang dibuat-buat. Pedih sungguh. Entah bila wanita moden ini mahu sedar? ‘Bukan sahaja menyusahkan orang lain bahkan menyusahkan aku,’ bentak Erisya. Mungkin kerana sikap Erisya sendiri yang kurang berbahas dengannya menyebabkan ia selesa membulinya.

“You know what… Kalau I ada kuasa cerai, I dah minta cerai dengan Zukhairy. Semalam dia tegur cara I berpakaian. Kebaratan katanya. Ada ke patut dia nak I dressing macam you. Pakai tudung… to whom I can show my beautiful hair kalau I pakai tudung. Mahal tau aku buat treatment kat saloon. I really hate him,” Marina membebel. Tidak habis-habis dengan ketidakpuasan hatinya terhadap Zukhairy. ‘Kalau tahu tidak suka, mohonlah fasakh… habis cerita,’ rungut Erisya.

Berkali-kali Muhammad meminta Erisya berdakwah kepada Marina tetapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan. Katanya, ‘ Sesiapa yang mengungkapkan kalimah syahadah, ia adalah pendakwah… “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan; menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran; merekalah orang yang beruntung…” Al-Imran ayat seratus empat.’ Sebab itulah ia mengizinkan Erisya keluar dengan Marina.

Muhammad tidak tahu. Hati Marina lebih keras daripada batu. Mungkin batu yang sudah dikonkrit dengan beberapa lapisan batu dan tanah. Payah… Erisya sudah tidak sanggup tetapi tidak berani diutarakan ungkapan itu kepada Muhammad. Sudah banyak sirah nabawiyah diceritakan Muhammad buat Erisya… sebagai penyuntik semangat menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Namun, masih belum dapat memberi kekuatan kepadanya untuk mengikut jejak langkah junjungan mulia itu. Erisya terlupa seketika bahawa kekuatan itu sebenarnya datang daripada Allah.

Dalam perjalanan ke Giant Taiping…

“Abang… Apakah hikmah harta faraid memberi hak yang lebih kepada lelaki… hikmah suami diiktiraf sebagai ketua keluarga… hikmah kuasa talak diberikan kepada suami?” Takut-takut Erisya bertanya. Khuatir soalan sebegini mampu menjejaskan aqidahnya sebagai seorang Muslim yang sepatutnya hanya taat dan patuh kepada perintah Allah. Namun, Erisya tidak mahu sekadar taklid dengan apa-apa yang didengarinya. Muhammad sekadar tersenyum…

“Muat ke barang-barang ni nak muatkan dalam kereta kita?” Tanya Erisya tatkala melihat Muhammad menyusun barang-barang keperluan yang baru dibeli.

“Eisya main ambil je tadi. Tak terfikir pun muat ke tak. Dah abang tak cakap apa-apa bila tengok list, Eisya ingat semua OK,” Erisya menambah lagi.

“Eisya tolong letak bakul kecil ni bawah kaki ya. Eisya jangan risau. Abang dah fikir masa Eisya bagi list kat abang semalam. Muat kereta kita ni.”

“Ya ka? Eisya tak fikir langsung. Bagus la abang ni. Eisya rasa, Eisya dah buat yang paling baik tapi abang lagi bagus. Yang kecil-kecil… yang mudah-mudah semua Eisya buat. Yang besar-besar… yang susah-susah… yang berat-berat semua abang settle. Sayang abang,” kata Erisya memuji.

“Pandai bini abang. Dah la comel… pandai pula tu. Yang besar-besar semua abang settle. Sebab itulah Allah memberikan hak faraid melebihi kaum wanita, mengiktiraf suami sebagai ketua keluarga dan memberi kuasa talak kepadanya. Tanggungjawab lelaki lebih besar berbanding wanita. Pada hari akhirat kelak, lelaki yang akan dipersoal Allah atas apa-apa yang berada di bawahnya. Bukan itu sahaja, lelaki berfikir menggunakan akal. Wanita pula…”

“Wanita pula menggunakan nafsu. Eisya tahu, nafsu wanita sembilan, akalnya satu. Lelaki pula nafsunya satu, akalnya sembilan…” Erisya menambah.

“Makin pandai bini abang. Tambah sikit… akal lelaki perlu didasari dengan iman. Baru tidak jatuh dan tersungkur dari jalan yang sebenarnya.”

Erisya dan Muhammad sama-sama ketawa. Lupa sejenak kepada Marina. Biarlah dia dengan dunianya. Sampai waktu, akan disampaikan pesanan itu buat Marina… insya-Allah satu hari nanti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.