Home Novel Cinta MASIHKAH SEPERTI DULU?
MASIHKAH SEPERTI DULU?
Azleya Shadzalin
5/11/2016 11:37:31
48,449
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 30

BAB 30

TIBA di depan hotel, kulihat Effa sudah berada di situ. Hendak ke mana pula dia waktu petang begini? Seperti mahu keluar saja lagaknya. Aku sudah berubah wajah. Yakin dan pasti dia akan nampak aku bersama Ryan. Jika aku mahu lari sekali pun, sudah tidak sempat. Effa sudah betul-betul ada di luar pintu utama hotel, di mana kereta Ryan terparkir tidak jauh dari situ.

Tepat sangkaanku. Baru hendak keluar dari kereta, Effa sudah perasan akan kehadiranku. Cuma, mungkin dia tidak perasan siapa yang ada bersamaku. Ryan mengenakan baseball cap dan wind breaker. Eh! Baru aku perasan. Ryan dari subuh tadi tidak lekang dengan wind breakernya. Sejuk sangat, ke? Sudah itu pakai seluar slack warna putih. Tidak takut kotor ke? Muskyil ni.

Pantas saja Effa membuang langkah untuk mendapatkan aku. Di belakangnya kelihatan seorang lelaki sedang mengekori. Siapa pula? Effa sudah buat laporan pada pengurusan hotelkah? Mereka sedang mencari aku? Aku pandang Ryan. Ryan pandang aku juga. Mengerti apa yang bersarang di mindaku pastinya. Lelaki itu hanya berlagak biasa. Tenang sahaja.

“You, Effa dah perasan kita tu. Macam mana?” tanyaku kalut, minta pendapatnya.

Dia tersenyum. Boleh senyum melekit lagi tu. Ada yang melekat, susah nanti.

Let it be, Nia.”

Eh! Senang betul dia bercakap. Dia fikir ke tidak masalah yang akan timbul nanti?

“Apa I nak cakap dengan dia nanti? Dia mesti banyak nak tahu pasal you dengan I.”

Just relax, okay. I’ll handle it. Don’t worry.”

Hisy! Dia ini memang selamba badak betullah. Langsung tiada resah. Aku yang bak cacing kepanasan. Risau.

“Cik Nia! You okey tak?” terjah Effa ketika sudah mendapatkan aku yang terkulat-kulat keluar dari kereta.

“I okeylah, Effa. Kenapa kalut sangat ni? Kan I dah janji nak balik petang ni. I dah sampai, kan? Janganlah risau sangat.” Aku cuba tenangkan dia. Dalam masa yang sama menenangkan diri sendiri.

“Macam mana I tak kalut. Encik Zahen dah gertak I, kalau dia tak dapat cakap dengan Cik Nia hari ni, esok pagi dia akan tiba. Cuaklah I.”

Aku terkedu. Kalau bab yang ini, aku pun cuak juga. Abangku itu memang jenis yang begitu. Risau memanjang. Tapi, silap aku juga. Langsung tiada khabar berita. Eh! Silap Ryan sebenarnya. Siapa suruh dia halang aku untuk hubungi abangku semalam? Kan keadaan sudah kalut.

Sorry, Effa. I memang belum call dia lagi.”

“Laa... Patutlah dia tak senang duduk. Cik Nia tahu tak yang dia call I setiap setengah jam?”

Ryan sudah berdiri di sebelahku. Tetapi, capnya pasti membataskan mata Effa untuk menilik siapakah dia yang sebenarnya.

“Effa... Ni...”

Belum sempat aku menerangkan, Ryan sudah buka capnya. Bulat mata Effa memandang Ryan. Macam tidak percaya.

“Encik Ryan?”

“Hai, Effa. Surprise!” Ryan boleh senyum melekit lagi. Aku yang geram melihatnya kala itu. Dia ini memang begitu dengan semua perempuankah? Senyum bajet gula ciput, tak ada ke? Asyik nak senyum melekit saja. Melekat-lekat dah kat aku ni. Hisy!

“Ha’ah, surpiselah sangat... Encik Ryan dengan Cik Nia ni, ada...”

“Effa!” pintasku laju bila jari telunjuk Effa sudah berlari di antara aku dan Ryan. Terkedu Effa mendengar suara tegasku. “Tak macam apa yang you sedang fikirkan, ya. Nothing personel!” sambungku lagi. Tegas. Aku tahu benar apa yang ingin ditebaknya.

Ryan pandang aku agak lama. Tidak berpuas hati dengan jawapanku pastinya. Aku peduli apa. Kenapa? Dia mahu bagi amaran pada aku? Buat mata stim macam tu ingat aku takut? Kalau dia berani hendak senyapkan mulut aku di tengah orang ramai ni, buatlah. Aku tembak berdas-das. Biar berlubang dada dia macam sundal bolong tu.

“Okey...” jedanya meleret. “So, semalam tu Cik Nia dengan Encik Ryanlah, ya?”

“Ya! Tapi tetap tak seperti yang you fikirkan. Tolong jangan fikir yang bukan-bukan, Effa. I tahu apa yang bermain di minda you. Hmm... I tolong dia selesaikan sedikit masalah.”

Sekali lagi Ryan pandang aku, tapi kali ini dengan senyum. Senyum perli tu. Ingat aku tidak tahu.

So, who is this handsome and adorable guy, Effa?” soalku pula. Cuba mengubah tajuk. Makin banyak yang Effa tanya, makin terbuka pula segala rahsia. Belum masanya. Kali ini Ryan pandang aku dengan wajah sakit hati. Biar padan muka dia.

“Oh! Ini I kenalkan tunang I, Haikal. Kebetulan dia ada kerja juga di sini. Tu yang dia datang jumpa I. I pun ceritalah kerisauan I tentang Cik Nia pada dia. You, ni Cik Nia dan Encik Ryan.”

Haikal dan Ryan berjabat tangan. Dengan aku, dia sekadar menganggukkan kepala. Aku lakukan yang sama. Senyum kutarik selebar mungkin.

“Macam mana task kita hari ni? You boleh buat?” tanyaku lagi.

Settle, Cik Nia,” ucap Effa bersama senyum yang mengiringi. Bangga kerana dia mampu lakukan tugas itu sendirian. Dia memang sentiasa aku harapkan. Sangat komited dan ada daya saing untuk maju.

“Alhamdulillah... sorry tau, I tak dapat ada sama.”

Small matter aje tu, Cik Nia. I boleh buat. Kalau tak boleh, I tunda macam yang Cik Nia cadangkan semalam.”

Makin lebar senyumanku.

Okay, enough about that. You all berdua dah makan?” celah Ryan. Mesti dia bosan dengar aku dengan Effa asyik bercerita pasal kerja.

Actually, kami memang nak keluar makan pun. Haikal cakap ada tempat makan seafoad yang best dekat-dekat sini. Nampak Cik Nia tadi, terus I lupa apa tujuan kami.”

That’s right! So, apa kata kita pergi sekali. I pun lapar ni. Everything is on me.” Ryan dengan senang hati menawarkan diri untuk belanja kami.

“Encik Ryan nak belanja, ke?” teruja Effa bertanya. Hisy! Kan Ryan bercakap sangat jelas mahu belanja. Pekak ke apa? Bab makan boleh tahan. Tolak batu dengan kayu saja. Tidak padan dengan badan sekeping.

Ryan hanya mengangguk.

“Haikal, okey ke kalau saya dan Ryan ada sekali?” Aku sekadar mahukan pendapat Haikal. Manalah tahu dia mahu luangkan masa hanya berdua. Dengan adanya kami jadi kacau daun pula. Tapi aku kalau mahu kacau bukan setakat daun. Dengan pokoknya sekali aku gegar. Baru puas hati.

“Eh! Okey aje. The more, the merrier. Serius, I tak kisah.”

Ryan sudah semakin senyum lebar. Terlebih melekit! Haikal juga. Effa, jangan cakaplah. Sejak nampak aku ‘okey’ tadi, memang senyum sampai telinga.

“Kejap! Effa pinjam telefon you.”

“You nak call siapa?” celah Ryan. Berminat mahu tahu.

“Abang I.”

Effa serahkan telefon bimbitnya.

“Kenapa tak nak guna phone I aje?” Ryan bertanya kurang senang. Aku pandang dia sekilas dengan jelingan tajam.

“You gila, ke? I nak call Zahen, bukan Hadeef. Nak dia tahu you ada dengan I? You dengan Zahen bukan okey pun. Nanti dia mengamuk, I jugak yang teruk,” bebelku pula sambil mencari nama abangku di senarai contact telefon bimbit milik Effa. Mudah saja aku temui.

“Apa salahnya. Lebih baik dia tahu. Buat apa kita nak sembunyi-sembunyi. Lambat-laun dia tahu jugak.” Ryan sedikit berbisik ketika mengatakan itu. Tidak mahu Effa dan Haikal terdengar. Hmm... Sekurang-kurangnya dia masih menjaga rahsia kami.

Banyaklah dia punya sembunyi. Siapa yang sembunyi? Dialah kot. Aku tidak. Cuma abangku yang seorang itu tidak boleh tahu buat masa ini. Kecoh nanti. Aku juga yang susah. Bukan itu saja. Ryan pun akan dapat susah sekali.

“Effa tak akan beritahu. I percayakan dia. I tak nak abang I tahu. Kenapa you susah sangat nak faham?”

“You tahu sebabnya kenapa I tak nak faham,” balasnya datar. Saat itu aku perasan Ryan juga sibuk dengan telefon bimbitnya. Telefon aku memang sudah kehabisan bateri. Langsung aku tidak cas semalam. Itu sebab kena minta simpati, pinjam milik Effa.

“Abang, Nia ni...” Aku menegur setelah memberi salam. Zahen jawab salamku dengan kelegaan. Selepas itu dia membebel sehingga aku rasa mahu matikan talian. “Ya, Nia okey. Sakit kepala sikit. Tak payah risau. Effa ada dengan Nialah. Ya... ya. Faham. Sorry! Tak payahlah datang sini. Tak payah... Abang, Nia dah okey.”

Aku pulangkan telefon Effa dengan muka ketat. Effa sudah faham kenapa sebabnya. Tentulah aku kena marah dengan Zahen. Hisy! Mendidih tahi telingaku kalau Zahen membebel.

“Kenapa Cik Nia? Encik Zahen nak datang sini jugak, ke?”

“Tulah pasal. Bila I tak kasi, dia letak phone macam tu aje. Mana I tak sentap. Abang I tu selalu macam tu.”

Effa senyum lebar. Faham benar keadaan bila aku dengan Zahen bertengkar. Inilah yang akan jadi.

“Bergaduh dah macam boyfriend dengan girlfriend,” komen Ryan pula. Jemari dan mata sibuk bekerja di atas skrin telefon pintarnya. Telinga macam telinga lintah. Mencuri dengar apa yang orang lain bualkan. Aku buat tidak dengar sahaja. Malas mahu layan provokasinya. Saja cari gaduh dengan aku tu. Bukan aku tidak tahu. Haikal kulihat hanya memerhati dan tersenyum. Dia mahu mencelah pun belum faham keadaan kami agaknya. Berdiri diam-diam saja ya, Haikal. You tidak kacau I, I tidak akan kacau you.

“Ya, Deef? Kenapa?” suara Ryan kali ini berjaya tarik perhatianku. Aku pandang dia dengan tunak. Dia pun ketika itu sedang pandang aku walaupun sedang berbual dengan abangku ketika itu. Ah! Sudah! Kami ni sering saja bertentangan mata. Galak. Cucuk biji mata tu karang.

“Kenapa dengan dia? Oh ya? Dia demam. Ya. Tapi... nampak macam dah okey ni. Ya, dia ada depan mata aku sekarang ni. Save and sound! Hmm... Aku cadang nak ajak dia keluar makan sementara aku masih kat sini. Kau juga yang pesan suruh aku tengok-tengokkan dia, kan? Ya, boleh aje kalau kau nak beritahu Zahen...”

Aku terus rampas telefon dari dia. Terkejut Ryan dengan tindakanku. Bukan Ryan sahaja. Effa dan Haikal juga sudah pandang aku dengan tunak. Mana boleh jadi. Hendak kata aku kurang ajar pun, apa aku peduli. Suka hati dia saja mahu cakap apa dengan abangku. Dia tidak sedar jika Zahen tahu mengenai aku dengan dia, masak! Jadi gulai tempoyak ikan patin nanti. Memang hingga menjilat jari.

“You dah berpakat dengan abang I, ke?” soalku tegas sebelum aku bercakap dengan Hadeef.

“Mana ada!” nafinya keras. Berdirinya juga sudah tegak macam askar mahu berkawad. “Kebetulan I nampak you that day. Tu yang I tanya Hadeef, you buat apa kat sini,” jelasnya lagi, cuba meyakinkan aku.

Aku beri dia jelingan tajam. Memang sengaja mahu bagi hati dia luka. Tapi, macam tak ada apa saja pada dia. Dia tetap selamba gila. Tidak terkesan pun agaknya. Yalah, kau siapa, Nia?

“Abang! Nia ni... Nia okey. Don’t worry. Tolong jangan beritahu Abang Zahen yang Ryan ada dengan Nia. Nanti dia bising. Abang bukan tak tahu dia macam mana. Please, ya. Kalau abang sayang Nia, jangan sampai Abang Zahen tahu. Teruk Nia kena marah nanti. By the way, Nia baru aje bercakap dengan Abang Zahen. Okey abang, thanks!”

Aku pulangkan telefon bimbitnya. Masih marah lagi. Memang tiada senyum.

Thank you,” sindirnya bila aku langsung tidak senyum ketika memulangkan telefon bimbitnya. Mesti dia ingat aku ni jenis yang tidak reti berterima kasih agaknya. Lantaklah...

Most welcome!” Aku sengaja buat tidak faham sindiran dia. “You bukan nak selesaikan masalah. Makin tambah lagi, adalah. Please behave,” rungutku pula.

Ryan merapat kepadaku. Dia tundukkan wajahnya dekat di telingaku.

“You buat macam ni, marah-marah manja kat I, Haikal dengan Effa akan ingat kita ada apa-apa, sayang. Lupa ke mereka ada dengan kita sekarang ni. Mata mereka dari tadi asyik perhatikan kita, Nia. You suruh I behave, hmm? You are the one who should do that, darling,” bisik Ryan di telingaku. Bagai baru tersedar, mataku galak mencari wajah Effa dan Haikal. Memang ternyata benar yang mereka sedang ralit memerhatikan kami. Aduh! Kenapalah aku boleh lupa bahawa mereka ada dengan kami? Menutup kegugupan sendiri, aku carik juga senyum nipis. Aduh! Rasa hendak kutepuk dahi berulang kali. Yena dei!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin