Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
34,753
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6-2

Hujung minggu adalah waktu untuk membeli keperluan. Tambahan pula hari ini hari gaji. Jadi aku keluar awal seorang diri untuk membeli barang. Selesai mengisi troli,aku terus ke kaunter untuk membayar. Aku bercadang nak berjumpa Furqan nanti.

“Tujuh puluh ringgit,” kata juruwang.

Aku meraba beg, mencari dompet. Eh, aneh! Mana dompet aku?

Tidak berpuas hati, aku letakkan beg ke kaunter dan mencari lagi. Jantungku berdegup kencang apabila sedar dompetku tidak ada di dalam beg. Aku tertinggal di rumahkah? Habis macam mana sekarang. Sudahlah ada orang di belakangku, menunggu untuk membayar. Malunya!

“Saya minta maaf, saya tertinggal dompet,” kataku dengan perlahan.

Juruwang itu kelihatan tidak berpuas hati. “Jadi cik tak jadi belilah?”

“Nampaknya macam tu lah,” jawabku.

Dia mendengus perlahan, memanggil penyelianya. “Nak cancel payment. Tak jadi beli.”

“Saya minta maaf,” kataku dengan bersungguh- sungguh.

Sebelum sempat penyelianya menekan kekunci, terdengar suara di belakangku. “Tak apa, saya tolong bayarkan!”

Hazriq berdiri di belakangku.

“Eh, tak apalah! Tak payah susah- susah! Saya boleh beli lain kali,” bantahku.

“Tak ada susahnya. Nanti awak bayarkan balik pada saya,” kata Hazriq, seraya menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada juruwang.

“Tapi-”

“Tak ada tapinya. Bukannya awak tak kenal saya. Nanti awak bayarkan balik. Tak pun lain kali awak boleh belanja saya makan lagi,” usul Hazriq.

Tanpa banyak soal, juruwang itu mengambil wang yang diberikan oleh Hazriq.

“Sekali lagi awak tolong saya,” kataku, bagaikan merungut.

“Awak cakap macam saya dah selamatkan nyawa awak,” kata Hazriq.

“Lebih kuranglah,” balasku, menarik beg plastik berisi barang untuk dibawa ke kereta.“Awak buat apa di sini?”

“Saya ingat nak beli barang.”

“Mana barangnya?”

Hazriq mengangkat tangan, menunjukkan plastik kecil yang dibawanya. Dia menghantarku hingga ke kereta.

“Macam mana saya nak bayar awak balik? Saya tak ada nombor awak,” kataku.

“Tak ada?”

“Awak tak pernah bagi pun.”

Hazriq berfikir seketika. “Oh, kalau macam tu saya halalkanlah.”

“Jangan nak mengarutlah!”

Hazriq cuma tergelak. Aku menarik pintu untuk memasukkan beg tangan ke bawah tempat penumpang. Ketika itu jugalah dompetku terjatuh dari tepi pintu. Jadi aku memang ada bawa, cuma terjatuh di dalam kereta. Cepat- cepat aku mengeluarkan wang lalu dihulurkan kepadanya.

“Rupanya ada dalam kereta,” kataku pada Hazriq. “Terima kasih.”

“Sama-sama.”

Aku merenung Hazriq seketika. “Dah dua kali awak datang selamatkan saya.”

“Yakah? Tapi semuanya hal yang kecil, tak perlulah ingat.”

“Ibu saya pesan, kita kena ingat kebaikkan orang.”

Hazriq tersenyum herot. “Kalau macam tu, anggaplah saya macam Power Ranger. Saya akan selamatkan awak lagi kalau awak ada masalah.”

Berkerut dahi aku. “Awak ni macam saya selalu ditimpa masalah pula.”

“Eh, bukan macam tu! Saya tak bermaksud macam tu pun. Maaflah kalau awak terasa.”

Tapi dengan nasib malangku yang lebih banyak dari nasib baik, entah- entah aku akan perlukan bantuan dia lagi. Aku menarik nafas panjang. Harap- haraplah tidak. Dua kali terhutang budi sudah banyak bagiku.

“Saya nak kena ke tempat lain, jadi saya minta diri dulu,” kata Hazriq, melihat jam di tangannya.

“Baiklah. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama-sama sekali lagi,” balasnya, tersenyum.

Aku melihat dia memandu pergi. Hai untunglah bakal isteri dia. Sudahlah tampan,baik pula tu. Nasib baik aku dah ada Furqan. Kalau tidak, aku pun goyah!


Hari ini syarikat kami akan adakan mesyuarat dengan One Event, sebuah syarikat yang menguruskan acara untuk membuat promosi besar- besaran produk baru yang dilancarkan oleh syarikat. Pekerja bahagian ini tidaklah ramai sangat, jadi hampir semua orang terlibat dalam acara ini.

“Pukul berapa mereka nak datang?” tanyaku yang mula jemu menunggu.

“Pukul sebelas,” balas Zura yang sejak tadi membetulkan solekan di wajahnya.

Aku merenung dia dengan hairan. Aku rasa tidak ada peraturan perlu kelihatan cantik semata- mata untuk mesyuarat nanti. Apabila perasan aku sedang memerhatikan dia, Zura terus merenung aku kembali.

“Pengurus dia sangat hot, okay!” kata Zura.

“Kau dah ada boyfriend,” kataku.

Zuramenjungkit kening. “Boyfriend saja pun, bukan serius pun lagi.”

Macam tak percaya pula aku dengan kata- kata dia. Aku berpaling untuk bercakap dengan Kak Diba tapi nampaknya dia juga sama. Eh, tampan sangatkah sampai semua orang terkesan ni? Patutkah aku ingatkan Kak Diba yang dia sudah bersuami?

“Tapi bila kamu semua jumpa dia?” tanyaku hairan.

Kalau ada orang sebegitu kemari, pasti aku akan ingat.

“Kelmarin, masa kau keluar lunch. Dia singgah sekejap. Masa dia nak balik, kami berkongsi lif untuk turun,” jawab Zura.

“Cair kami berdua, kan?” kata Kak Diba. Laju Zura mengangguk.

Tak terkomen aku dengan perangai mereka. Aku ke pantri untuk mendapatkan minuman. Malas aku hendak melayan karenah mereka berdua. Sedang minum, terdengar suara-suara bercakap di luar. Sudah sampai agaknya tetamu yang ditunggu. Aku segera membasuh gelas minuman dan keluar untuk menyambut tetamu. Oh, ramai juga!

“And this is one of our best, Rania!” kata Encik Anas, ketua bahagian memperkenalkan aku yang tergesa- gesa keluar dari pantri.

Perlikah?Aku tahu aku bukanlah antara pekerja terbaik. Malah prestasiku walaupun teruk,bukanlah hebat pun. Tapi aku mengukir senyum walaupun menyumpah- nyumpah dia di dalam hati.

“Eh,awak kerja di sini rupanya?”

Huh? Eh, dia!

“Hazriq!”

Lelaki itu tersengih melihat aku. Wah, kecil betul dunia ini! Tak habis- habis kami bertembung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.