Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
34,771
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6-1

“Seronok apa? Tersenyum- senyum dari tadi,” perli ibu apabila aku masih lagi tersenyum lebar di dapur.

“Kakak dari tadi memang macam tu, ibu. Tak tahu kenapa,” kata Dyana.

“Seronoklah tu, buah hati nak datang,” perli ibu.

Perlilah macam mana pun, aku tak kisah sekarang. Aku terlalu gembira untuk ambil peduli.

“Tapi abang Furqan tak dapat datang. Kakak cakap dia di Johor,” komen Dyana.

“Yakah? Jadi cuma kita dan keluarga dia saja malam ni? Ibu dah lama tak jumpa dia.Rindu pula ibu pada bakal menantu ibu.”

“Tak apalah ibu. Apa salahnya. Bukan selalu kita dapat berjumpa dengan keluarga dia macam ni. Lain kali ada banyak masa lagi untuk makan dengan Furqan,” pujuk aku.

“Hmm, ya lah,” kata ibu, menghela nafas.

Aku mengerling Dyana yang diam mendengar. Apabila tidak berbual, aku perasan senyumannya tidak lagi semanis tadi. Aku benar- benar dapat rasakan Dyana dalam masalah. Entah apa yang mengganggu dia.

Seperti jangkaan, cuma Aunty Sofea dan Uncle Hadi yang datang. Furqan tidak muncul-muncul. Walaupun sudah dapat jangka, terselit rasa kecewa. Sibuk betul dengan kerja sampai makan malam dengan keluarga pun susah. Bukan selalu semua orang dapat berkumpul begini. Tapi, selepas ini masih ada banyak masa lagi untuk kami berkumpul. Jadi hari ini biarlah begini.

“Lepas majlis Furqan dan Rania, kita kena bersedia untuk majlis Dyana pula,” usik Aunty Sofea.

“Isy, tak adalah! Saya tak tahu bila lagi,” bantah Dyana.

“Tak kan tak ada calon? Orang cantik macam ni, petik jari pun dapat,” kata Aunty Sofea.

“Petik dah, tak ada pun yang muncul,” balas Dyana.

“Salah petik tu. Tak ada calon, beritahu aunty. Nanti aunty tolong carikan,” tawar Aunty Sofea.

Dyana tergelak kecil. “Tak apalah, terima kasih. Nanti saya cari sendiri.”

“Uncle pun boleh tolong. Ramai pekerja uncle yang tak kahwin lagi,” tawar Uncle Hadi pula.

“Tak mahulah,” kata Dyana, tergelak- gelak.

Aku cuma mendengar dengan tersenyum kecil. Setiap kali mereka berdua berjumpa Dyana, memang mereka suka mengusik Dyana begitu. Mereka bagaikan tertarik dengan Dyana. Malah pertama kali berjumpa, Aunty Sofea tak habis- habis memuji kecantikkan Dyana. Kadang- kadang aku sebagai bakal menantunya ini terasa kecil hati kerana mereka terlalu memberi tumpuan kepada adikku itu. Tapi aku ingatkan diri yang mereka tidak ada niat jahat. Jadi lebih baik jangan berfikir yang bukan- bukan. Lagipun siapa yang tidak tertarik apabila bertemu Dyana.

Tapi nasib baiklah selepas itu kami mula berbual tentang persiapan majlis.Memandangkan hampir semua telah siap, tidak ada banyak masalah yang masih tertunda atau belum selesai. Hampir selesai makan malam, telefonku berdering. Semua yang ada di meja memandang aku.

Terpandang nama Furqan di skrin, terus aku menjawab panggilan. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Saya ada di depan pagar.”

Eh, dia jadi datang pula! Aku bingkas bangun, meminta diri untuk menekan kunci pagar.

“Siapa datang?” tanya ibu, mewakili yang lain yang kelihatan terpinga- pinga dengan tindakanku.

Aku tersenyum lebar. “Furqan.”

“Jadi pula dia datang,” komen Aunty Sofea.

“Balik awal agaknya,” balas Uncle Hadi.

Aku menuju ke pintu depan, membuka untuk menyambutnya. Furqan yang kelihatan letih, tersenyum apabila melihatku.

“Maaflah saya lambat,” katanya.

“Saya ingatkan awak tak jadi datang. Kami dah mula makan pun,” kataku.

“Saya pun ingat tak sempat juga. Tapi projek kami selesai awal. Semua orang ada?” tanya Furqan.

“Ya,” jawabku sepatah. “Jom!”

Setibanya kami di ruang makan, ibu sudah siap menyediakan tempat untuk bakal menantu kesayangannya ini. Sayang betul ibu dengan Furqan.

“Maaflah saya datang lambat,” kata Furqan.

“Tak apa, kami faham kerja kamu tu. Duduklah makan,” kata ibu.

Furqan membisu, mengambil tempat di sebelahku. Entah kenapa, aku dapat rasakan sesuatu yang kekok antara Dyana dan Furqan. Dyana membisu sejak dia tahu Furqan datang.Furqan pula langsung tidak menegurnya. Sebelum ini mereka berdua pantang berjumpa. Sekarang tengok muka pun tak mahu. Mereka bergaduhkah?

Furqan berbual dengan ayah yang duduk di sebelahnya. Dyana kembali berbual dengan Aunty Sofea tentang pakaian untuk pengapit pengantin yang akan dipakainya nanti. Aku berfikir terlalu banyak agaknya. Mereka mungkin tak ada masalah apapun.

Selesai makan, aku membantu ibu mengemas dan mencuci pinggan. Dyana menemani AuntySofea berbual bersama mereka yang lain.

“Hidangkan kopi ni,” arah ibu yang selesai membancuh kopi panas.

Aku hanya mengangguk, mengangkat talam berisi minuman untuk di bawa keluar. Sampai di ruang tamu, Dyana dan Furqan tidak kelihatan. Ke mana pula mereka?

“Mereka berbual di beranda,” kata Aunty Sofea apabila perasan aku mencari- cari mereka.

Tentang apa pula? Selesai menghidangkan minuman, aku terus menyusul mereka di beranda.

“Saya minta maaf,” terdengar suara Dyana apabila aku dekat dengan pintu yang terbuka.

“Abang yang patut minta maaf,” kata Furqan pula.

Terdengar Dyana menghela nafas. “Bukan salah abang pun. Saya pun bersalah. Kita patut lupakan saja dan teruskan hidup macam tak pernah berlaku apa- apa.” 

 “Bolehkah buat macam tu? Abang tak fikir semudah tu abang dapat lupakan,” bantah Furqan.

“Tapi apa pilihan yang kita ada?”

“Ada! Kalau Dyana tak halang abang-”

“Cuba! Apa sekalipun kita perlu cuba!”

“Sudah dekat sebulan kita cuba tapi berhasilkah? Dyana dapat lupakankah?” tanya Furqan dengan suara yang keras.

Dyana tidak menjawab. Apa yang mereka berdua bualkan ni? Perasaan ingin tahu yang membuak- buak membuatkan aku mendekati mereka.

“Kamu berdua berbincang apa?” tanyaku.

Dyana terperanjat melihat aku. “Tak ada apalah, kak.”

“Yakah? Tak macam tak ada apa pun,” kataku dengan cuak.

“Pasal bowling,” jawab Furqan. “Saya ingat nak main balik.”

“Oh ya kah?” balasku.

Pelik betul mereka berdua. Pasal bowling pun bergaduh macam tu. Macam tak kena ayat-ayat mereka.

“Adik pergi tolong ibu dulu,” kata Dyana.

Aku hanya melihat Dyana berlalu. Furqan pula tumpukan perhatian pada kegelapan malam.

“Saya tak sangka awak minat bowling sampai macam tu,” komenku.

“Ya,” balasnya sepatah.

“Jadi Dyana tak benarkan awak main balik?” tanyaku, sedikit keliru dengan apa yang aku dengar tadi.

“Hmm…lebih kuranglah.”

“Kenapa?” tanyaku, langsung tidak faham.

“Adalah. Sebab game kami di Terengganu tu. Ada masalah. Dah lah. Jom berbual dengan yang lain.”

Tanpa menunggu sama ada aku mengikut atau tidak, Furqan terus masuk. Aku pula masih berdiri agak lama di situ. Aneh betul mereka berbual tentang bowling begitu. Agaknya mereka terlalu sukakan sukan itu. Habis kenapa kedua- duanya berhenti bermain?

Previous: Bab 5-2
Next: Bab 6-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.