Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
4/12/2015 16:16:53
1,880
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 30

BAB 30

SUARA GURUH SESEKALI MENGGANGGU sunyi malam. Di langit, senyum bulan entah di mana. Sebutir bintang mengerdipkan sinarnya yang malap, sebentar kemudian hilang pula ditutup awan yang berarak. Semilir malam berhembus sepintas lalu membawa pergi bahang panas yang menyerkup suasana.

Mazlin sedang duduk-duduk di atas sebuah pangkin di bawah pokok manggis di pinggir rumahnya. Jalanraya yang berdekatan sesekali menghantar ngauman bising enjin kenderaan menyumbat lubang telinganya.

Bisik angin malam mengirim resah ke dalam hatinya. Rasa sayu mula menyelubungi diri selepas Irsyad, tunangnya pulang semula ke utara awal malam itu. Mengenang lelaki yang sudah pun menjangkau usia 28 tahun itu, buat dia mula rasa rindu.

“Alin. terima kasih kerana sudi terima saya seadanya, juga boleh bersabar dengan cara hidup saya. Cara hidup saya…saya akan bercinta dengan awak, tetapi selepas kita menjadi suami isteri,” masih terngiang-ngiang kata-kata Irsyad tadi sebelum pemuda itu berlalu pergi. Mazlin senyum sendiri. Dalam hatinya dia rasa bahagia dengan janji itu.

Dia tidak menyesal menerima lamaran Irsyad walaupun mengenali pemuda itu hanya beberapa bulan. Mereka bekerja di bawah satu bumbung di sebuah restoran makanan segera di pekan berhampiran rumahnya. Di situlah mereka kenal 6 bulan yang lalu. Sudah genap enam bulan, sekarang Irsyad diarahkan kembali bertugas semula di utara tanahair, tempat asal kerjayanya bermula.

Pemuda itu yang menjawat jawatan sebagai Pengurus Cawangan, berjanji akan selalu menghubunginya, juga akan selalu datang ke sini menjenguk Mazlin sekeluarga.

Senyum yang memekar bibirnya tiba-tiba luruh, tatkala peristiwa pagi tadi hadir kembali di ruang ingatannya.

Milla, maafkan aku. Aku terpaksa. Aku tak mahu kehilangan persahabatan antara kita bertiga yang terbina sejak dulu.

Entah mengapa dia sungguh tidak suka melihat Karmilla berhubungan mesra dengan Raish, walaupun dia tahu lelaki bergelar pelukis itu adalah sahabat karib tunangnya. Jika boleh dia ingin melihat hubungan kedua sahabatnya itu berakhir di jinjang pelamin.

…….

Seminggu selepas itu di tempat kerja Mazlin.

“Aku tak sangka kau kawan yang makan kawan!” herdikan itu bagaikan halilintar membelah bumi, dan kini sedang membelah hatinya pula.

“Apa kau cakap ni?” Soal Mazlin dengan muka yang sudah merah padam. Malu sudah dia diserang tiba-tiba di hadapan pelanggan di ruang restoran tempat kerjanya.

“Ni…ni, kau tengok sini!... ni gambar kau dengan Haziq

bukan?” Karmilla menarik tangan Mazlin lalu meletakkan telefon bimbitnya dalam genggaman Mazlin. Mazlin melihat gambar yang terpamer di skrin telefon kepunyaan Karmilla.

Benar, itu gambarnya dengan Haziq! Gambar itu diambil dari arah belakang, jelas menampakkan sisi wajahnya dan Haziq saling berpandangan ketika duduk berdekatan. Ya, ketika pertemuan di Pantai Cahaya tempohari!

Apa nak dikata, semua itu benar belaka. Mazlin tergamam, akalnya mati tiba-tiba bagaimana mahu menjelaskan perihal sebenarnya. Karmilla yang tidak tahu menahu hujung pangkal tentang gambar itu, terus-terusan menghambur kemarahan.

Lancang sungguh mulut sahabatnya itu meluah rasa marah dan geram. Karmilla nampaknya sudah lupa di mana bumi tempat dia berpijak ketika itu. Semua orang memandang mereka.

“Hemm…pandainya kau berlakon, konon suruh aku berbaik semula dengan Haziq, tapi dalam diam kau berdatingdengan jantan tak guna tu, kau curang dengan Irsyad!” tuduh Karmilla lagi sesedap mulutnya, sambil menuding jari telunjuknya ke wajah Mazlin yang terdiam dalam kebingungan.

“Milla..., kau salah sangka sebenarnya!” pintas Mazlin masih menahan sabar di hadapan orang ramai yang memerhatikan mereka.

“Kau dengan Haziq memang sepadan, teruskanah aku tak kisah pun!”

“Kau gila Milla… menuduh aku yang bukan-bukan, aku memang jumpa Haziq, tapi ada sebabnya!”

“Ya! Aku gila punya sahabat macam kamu berdua ni! Sudah... aku dah bosan! bosan tahu tak?” Karmilla merampas semula telefon bimbitnya lalu beredar dari situ. Mazlin sudah tidak dapat menahan rasa hatinya, sakit sungguh ditikam bertubi-tubi dengan kata-kata yang pedih. Segera dia bolos ke ruang dapur menyembunyikan diri bersama esak tangisnya. Malunya diperlakukan begitu oleh teman karib sendiri.

Nampaknya hubungan dia dengan Karmilla bertambah keruh. Tetapi, siapakah yang merakam gambar itu, alangkah lebih malang dirinya andai Irsyad dapat tahu tentang itu semuanya dari mulut orang lain.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.