Home Novel Cinta CINTA HILANG ARAH
CINTA HILANG ARAH
Noreey
7/12/2015 01:16:24
2,471
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 35

BAB 35

BEBAN RINDU PADA insan yang merajai hati kian memberat. Secebis memori bersama Karmilla juga buat dia resah. Sudah terang lagi bersuluh gadis itu menagih kasih yang bukan sedikit darinya.

Bohonglah dia sebagai seorang lelaki jika tiada sekelumit perasaan yang hadir dalam nalurinya. Ahhh..., akan tetapi sungguh dia tidak mampu untuk menyambut huluran kasih itu. Ternyata Karmilla terlewat tiba untuk mendiami hatinya.

Hatinya yang satu sudah dilimpahi dengan rasa rindu dan kasih yang mendalam terhadap insan lain. Walau semuanya masih samar, dia tetap teguh mempertahankan kesetiaannya dan sesekali tidak akan jemu untuk terus berharap.

Demi kasih dan rindu yang sudah terdampar di hati, selalu pula dia ingin mengatur pertemuan kedua. Kian kejap rasa rindu membelit hati, kian kemas juga diri dipeluk rindu. Kamalia yang seringkali menolak permintaannya untuk bertemu lagi, buat dia begitu sabar meniti hari-hari sepinya ditemani gadis bernama Karmilla selama ini.

Pun begitu, hati yang satu itu enggan juga menolak rasa cinta terhadap yang jauh walau yang di depan mata sudah menagih untuk dicinta. Dia rasa bersalah terhadap Karmilla, tidak sedar kemesraannya selama ini telah membibitkan rasa sayang di hati gadis manja itu.

Bagaimana ingin menyisih kasih, sedangkan dia tidak mahu melukakan hati Karmilla meski dia tahu suatu hari dia harus memilih jalan hidupnya sendiri. Sungguh sulit pula jadinya…

….

Kepulangan Irsyad ke utara membuka lembaran baru dalam dirinya. Kesempatan itu tidak dibiarkannya. Kotak fikirnya berputar mencari alasan.

Pada bapa saudaranya dia mengatakan ingin menziarahi Irsyad yang sudah pun pulang ke utara. Satu alasan yang cukup kuat untuknya kerana dia belum bersedia mengatakan perihal yang sebenarnya.

Dia benar-benar mengharapkan pada pertemuan kali ini Kamalia akan berubah fikir. Jika perempuan itu memberinya kata putus, semestinya dia tidak akan membuang waktu lagi.

Akan segera disusun tindakan yang sepatutnya dia buat untuk memiliki cinta hatinya. Ah, betapa bahagianya bila diri jauh berkhayal. Tetapi, jika sebaliknya macamana pula?

Ah… kacau! Dia mendengus sendiri.Apa-apa pun dia harus kuat menerima segala sesuatu yang tidak dirancangnya terjadi. Dan petang itu tiba lagi dia di bawah langit utara, membawa bersama hamparan kasih yang telus.

….

“Nasib baik jalan tak jem, kalau tak mesti ada orang merajuk sebab tunggu lama sangat,” ujar perempuan genit berkulit putih gebu itu sebaik melangkah masuk dan duduk di sebelah Raish.

Keretanya ditinggalkan di perkarangan hotel Raish tempat menginap. Mereka telah berjanji dan sepakat untuk pergi ke restoran yang menjadi tempat pertemuan pertama mereka dulu.

“Merajuk? Siapa yang merajuk tu? Soal Raish yang sedang mengenakan tali pinggang keledar dan membetulkan duduknya dengan lebih selesa. Bibirnya yang berkumis mempamer senyum setelah matanya memandang ke sebelah.

“Rindu?” Soal Kamalia, senyum juga. Mereka berbalas pandang.

“Heii…” Kamalia mengibarkan telapak tangan kanannya di hadapan mata Raish setelah beberapa saat anak muda itu memandangnya dengan leka.

 “I ada di depan you sekarang, usah nak bermimpi di dalam jaga,” ujar Kamalia menguntum senyum melihat gelagat Raish. Pelukis muda itu tersedar lalu cepat-cepat menukar gear kereta. Jelas di raut wajahnya diterpa rasa malu. Dengan cermat dia mengundurkan keretanya keluar dari kotak parkir.

“Adakala kita akan bermimpi di dalam jaga pabila melihat sesuatu di depan kita, tapi kita tak boleh menyentuhnya,” balas Raish. Kereta yang dipandunya sudah mula keluar dari perkarangan hotel dan mula memasuki jalanraya yang sibuk.

“Mengapa harus bermimpi untuk menyentuhnya kalau sudah tahu itu adalah tidak mungkin.” ucap Kamalia spontan, dia melirik Raish dengan secebis senyum.

“Sungguh tak mungkin dapat I sentuh jasadnya, tapi hatinya… terasa seperti ada dalam dada ini.” ujar Raish lagi, tangan kirinya diletakkan di dadanya sebentar.

“Semua itu hanya khayalan saja, rindu dan sayang itu hanya mainan perasaan belaka.”

“Macam mana boleh you cakap tentang sayang, tentang rindu, I tak cakap pun,” tukas Raish, menjeling nakal sambil senyum meleret. Kamalia terjerat, bibirnya terkunci sudah.

“I tak percaya kalau selama ini tak ada sedikit pun perasaan you pada I,” sambung Raish lagi.

“Perasaan apa pulak ni?” Soal Kamalia pantas.

“Err... macam you sebut tadi… sayang, rindu.”

“Alaa you ni, I ni manusia jugak… mestilah ada perasaan, tapi semua tu hanyalah sebagai seorang kawan, seorang sahabat.” jelas Kamalia lembut, dia tidak ingin buat anak muda itu terluka dan merajuk lagi.

“Tapi… I dah sayang you lebih dari itu.”

“Itu hak you, I tak boleh nak halang.”

“Kenapa you tak boleh terima I? Jelek sangatkah lelaki ini di mata you?” Soalan lama diulang lagi.

“Boleh tak you jangan cakap macam tu?”

“Kenapa? Atau selama ini I yang tak tahu sememangnya you sudah menjadi hak orang?” Tegas suara Raish menerbak dan tepat mengena di atas batang hidungnya. Kamalia melarikan wajah, menyembunyi pembohongan yang sudah pecah diterbak lelaki itu tanpa sedar.

Sepi. Yang terdengar hanyalah lagu-lagu yang berirama sentimental dari sebuah channel radio. Hemm… nampaknya hati mereka serasi dalam menghayati lagu-lagu retro.

Kereta meluncur laju membelah kesibukan jalanraya dalam limpahan cahaya lampu di kiri kanan jalan. Perjalanan mereka kian jauh menghala ke Butterworth.

“Kalau I nak cakap sesuatu… boleh tak?” soal Raish tiba-tiba memecah hening. Soalannya yang tidak berjawab sebentar tadi sudah pula dilupakan. Mereka sama-sama menoleh, mata bertemu pandang menerbitkan rasa debar di hati.

“Hemm… cakaplah.” Wajah anak muda itu direnung dengan rasa gelisah di sudut hatinya. Berkebetualan melewati sebuah sekolah, Raish memberi signal kiri lalu meminggir, di bawah cahaya lampu jalan dia memberhentikan keretanya.

Raish menoleh memandang Kamalia. Sebelah tangannya masih melekat di stering kereta. Masing-masing membiarkan sepi bertamu, tiada pula yang bersuara. Kamalia sedikit resah dan cuak dengan perbuatan anak muda itu berhenti di situ.

“Bukan senang untuk I luangkan masa sekarang, kerja semakin bertambah, masa untuk bertemu sukar sekali.” ujar Raish dengan nada yang kurang bersemangat. Kamalia semakin tidak senang berbual begitu, di tempat yang tidak langsung sesuai.

“Jikalaulah boleh I ingin selalu dekat dengan you, dan I ingin you selalu di sisi,” lembut dan mesranya luahan lelaki muda itu, terkesima sudah Kamalia tidak tahu apa yang harus diucapkan, dia terdiam dan menunduk.

“Apa maksud you sebenarnya?” Itu pertanyaan Kamalia saat dia mengangkat kelopak matanya dan memandang ke wajah anak muda itu. Raish menghela nafas, dalam sedar dia cuba menyusun ayat-ayat yang sesuai, agar jelas dan mudah difahami perempuan genit itu.

“I rasa, I rasa… I benar-benar sudah jatuh cinta pada you!” lirih sungguh pengakuan yang terlafaz.  Kamalia rasakan hatinya seperti sedang terbelah dua saat itu. Tiada sepatah kata yang mampu dibalasnya untuk beberapa saat. Tangan yang sedang erat memegang handbag di ribaan diangkat perlahan mengurut dada, cuba mengusap debar dan getar di dalam diri.

“I rasa tak sesuai kita bincang di sini, lebih baik kita teruskan perjalanan.” pujuk Kamalia, dia mula risau, dan diburu bayangan menakutkan dalam keadaan begitu.

Raish tersedar dari lamunan cintanya. Dia membetulkan duduknya semula lalu menukar gear kereta, meneruskan perjalanan menuju ke destinasi mereka. Kusut sudah fikirnya mengenang cinta  yang satu masih terkapai-kapai di awangan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.