Home Novel Cinta Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Terpadamnya Lilin di Tangga (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 13:57:44
736
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

BAS yang Saufi naiki berhenti di bahu jalan. Dia turun sambil membimbit plastik jualannya. Dia menarik nafas panjang. Dia tiba agak lewat di bandar lantaran kesesakan lalu lintas. Hujan semalaman membawa hingga ke pagi. Biarpun hanya rintik-rintik, perjalanan hari ini agak perlahan berbanding hari-hari sebelumnya. Dia berjalan tenang menuju ke arah pasar besar yang terletak di hujung persimpangan.

"Alamak!" Saufi cemas sendiri. Langkahnya terhenti.

Saufi masih terkaku di muka pintu utama pasar raya. Terlihat beberapa orang pegawai bandar raya sedang membuat pemeriksaan. Saufi menyaksikan beberapa peniaga kecil yang sedang menjaja di sudut pasar itu diberikan kertas putih. Mereka juga telah diarah meninggalkan kawasan itu. Tanpa berfikir lebih lama, Saufi berpatah semula mencari arah lain yang lebih selamat.

"Baik pergi kat depan pasar borong tu," bisik Saufi sendirian.

Saufi laju menyusuri jalan yang basah itu. Hajat di hati mesti menghabiskan jualannya hari ini. Dia mahu ke sekolah semula. Dia mahu tunaikan janjinya kepada ibu. Beberapa jam di situ, jualannya masih belum berkurang.

"Tak ada rezeki hari ni." Saufi menggeleng hampa. 

Dia melangkah longlai menuju ke sebuah masjid berhampiran. Azan zuhur sudah lama berkumandang. Dia kesal kerana agak terlewat menunaikan kewajipannya. Selepas itu, dia membuat perancangan baharu sambil menunggu masuk waktu asar. Usai melipat sejadah, Saufi  memulakan sekali lagi perjalanan yang hampir tertewas itu.

"Semoga ALLAH makbulkan doaku tadi," kata Saufi penuh yakin, lalu menuju semula ke hadapan pasar raya yang terkenal itu. Dia mencari sudut yang paling mendapat tumpuan ramai.

Pada masa itu, kereta berwarna gelap membelok. Pak Cik Daud memandu penuh cermat. Biarpun dia sendiri kurang mengerti perkara yang Umair kehendaki. Mengelilingi bandar tanpa arah dan tujuan. Dia hendak bertanya, tetapi terasa berat pula.

Sesekali pandangan Umair memerhati ke luar jendela bersama satu pertanyaan dalam hati. Orang yang dicari-cari belum dijumpai. Tiada berjejak. Mungkin Umair terlalu menaruh harapan untuk bertemu sekali lagi. Semoga ALLAH mengizinkan.

"Itu pun dia!" Umair terlihat si penjaja muda itu dari arah bertentangan.

Pak Cik Daud terkejut. Dia tertekan brek secara mendadak. Hampir tersungkur semua penumpang di dalam kenderaan MPV ini.

Abang Reza mengurut dada. "Jangan cuai macam ni lagi. Saya masih nak tengok tuan muda bertemu jodoh, tahu!"

Ketawa lucu Pak Cik Farisi menyambut kata-kata itu. Umair menggeleng sambil tersenyum sendiri. Pak Cik Daud mengesat peluh dengan wajah sangat bersalah. Kereta pun bergerak semula.

Umair tersenyum penuh makna apabila terlihat kelibat Saufi yang sedang menapak perlahan itu. Tanpa kata, Umair terus memerhati. Bimbang jika Saufi hilang dari pandangan. Hujan rintik-rintik apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan hajat dalam hati.

"Berhenti kat hujung selekoh sana," arah Umair.

Akur. Pak Cik Farisi dan Abang Reza saling berpandangan. Tertanya-tanya. Pak Cik Daud sudah memberi isyarat untuk memberhentikan keretanya di bahu jalan. Itu sebenarnya tujuan Umair. Ada apa dengan Saufi selain rasa belas dan simpati?

"Pak cik, tolong saya ...." Umair memandang Pak Cik Farisi.

Tanpa sahutan, Pak Cik Farisi sudah menerima sepenuhnya tugasan yang dihantar oleh ayat sekerat Umair itu.

"Reza, nampaknya kita akan bercuti lama kat sini," ujar Pak Cik Farisi lalu membuka pintu kereta. 

Umair menyambut kata-kata Pak Cik Farisi itu dengan senyuman. Abang Reza menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Terpinga-pinga dia sendiri. Dalam masa itu, ketawa lucu Pak Cik Daud bersambut di hujungnya.

Langkah Saufi terhenti apabila bertemu dengan Pak Cik Farisi di hujung jalan itu. Senyuman mesra yang Pak Cik Farisi lemparkan bak memutarkan ingatan Saufi mengenai seseorang. Lama berdiam diri, akhirnya Saufi membalas senyuman itu.

"Pak cik ni kawan Pak Cik Daud. Betul tak?" sapa Saufi ramah.

Pak Cik Farisi mengangguk seraya melebarkan senyuman. "Ingatan kamu memang baik. Panggil saja, Pak Cik Farisi."

Ada ketawa kecil menyusul. Senyuman Saufi lebat menguntum.

"Nak ikan masin lagi? Berapa bungkus?" Laju Saufi membuka plastik ikan masin.

Pak Cik Farisi mengangguk. Agak lama juga dia berfikir. Setelah habis berkira-kira, dia memutuskan kata. 

"Semua sekali."

Sekali lagi ketawa kecil Saufi mengisi waktu. Rasa hairan yang mula bertanya-tanya itu, cuba disingkirkan agar tiada rasa syak wasangka.

"Pak cik janganlah bergurau. Banyak sangat ni." Saufi mula ragu-ragu.

Senyuman Pak Cik Farisi ranum sekali. Dia ligat mencari alasan yang munasabah. Bimbang juga jika rahsianya terbongkar.

"Produk berkualiti memang jadi pilihan ramai. Terbaik!"

Saufi mengangguk sambil tersenyum-senyum.

"Pak cik berniaga, ya?" Saufi bersungguh-sungguh ingin tahu.

Pak Cik Farisi mengangguk sambil tersengih. Kebenaran mula tersingkap sedikit demi sedikit. Dia perlu segera beredar. Kening sebelah kiri Saufi terangkat sedikit sambil memerhati lelaki yang mengenakan pakaian kemas ini. 

"Gaya pak cik tak macam tu pun?" tambah Saufi bagaikan sudah mengesyaki sesuatu.

Pencarian jawapan Saufi hampir jelas semuanya. Lampu merah sedang berkelip-kelip bakal membongkar segalanya. Tugasan khas Pak Cik Farisi ini perlu diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Boleh cepat sikit? Pak cik kejar masa," dalih Pak Cik Farisi dengan suara gementar.

Saufi tersenyum. Dia tidak layak mempersoalkan kejujuran seseorang. Ya, rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mungkin Pak Cik Farisi adalah perantara yang dikirimkan ALLAH untuk menyalurkan sumber pendapatannya hari ini. Alhamdulillah!

Saufi menyerahkan beg plastik ikan masin itu kepada Pak Cik Farisi. Beberapa keping wang kertas berwarna hijau kebiruan itu diletakkan dalam tangan Saufi.

Saufi ternganga.

"Simpan bakinya." Pak Cik Farisi melebarkan senyuman dan terus pergi.

Kejutan apakah ini? Sorotan mata Saufi mencari langkah laju Pak Cik Farisi yang kini membelok di hujung persimpangan. Saufi segera berlari anak mengejar Pak Cik Farisi. Sesekali dia terlanggar orang yang sedang lalu-lalang di laluan itu. Larian tidak berapa kencang Saufi terhenti di tepi jalan itu. Adakah itu kebenarannya?

KERETA mewah buatan luar negara itu telah menjawab semua persoalan mengenai pertemuan Saufi dengan orang tua ini. Semuanya telah dirancang dengan begitu teliti. Hinggakan dia gagal menyangkal tekaan sendiri. 

Saufi tersenyum kelat. "Saya dah agak pak cik memang bukan orang sembarangan."

Pak Cik Farisi menoleh setelah menutup bonet kereta. Rasa bersalah kerana tidak berterus terang. 

"Ini hanya salah faham." 

Melihat Saufi di situ, Pak Cik Daud pun keluar dari kereta dan menghampirinya. Ternyata emosi Saufi sedang tergores. Merah berair pelupuk mata itu menahan rasa yang bergelora.

"Saya memang orang miskin. Tapi, saya bukan pengemis. Tak sangka Pak Cik Daud pun bersubahat!" tuduh Saufi.

Pak Cik Daud berasa serba salah. "Bukan begitu niat kami. Cuma ...."

Bahang di luar kereta membuatkan Umair tidak senang duduk. Dia keluar dari perut kereta. Abang Reza pun menyusul dan pantas mengiringinya. 

Kehadiran Umair membuatkan Saufi terpaku sebentar. Degup jantungnya laju. Hati mula tertanyatanya, di manakah mereka pernah bertemu? Debar di dalam dada, mula terasa pedih.

Tenang wajah Umair melemparkan senyuman.

"Jangan buat orang lain serba salah. Jika nak marah, marahlah pada saya seorang."

Tahulah Saufi, orang muda inilah pesalah sebenarnya. Saufi mengerling tajam. Enggan bertanya gerangan dan tujuan orang muda ini berbuat demikian. Muslihat yang berselindung tidak ingin juga dia ambil tahu.

Senyuman Umair memanjang. Jika orang tidak sudi bertanya, biarlah dia sendiri yang memperkenalkan diri.

"Saya Umair. Majikan kedua-dua pak cik dan abang ni."

Saufi mengerling ke arah Abang Reza yang tegap di sisi Umair. Tentu sahaja Umair seorang majikan yang berstatus tinggi. Percakapan dan butir bicara amat jelas menunjukkan Umair orang luar dari daerah ini.

"Sampai hati tuan buat saya macam ni. Saya masih muda. Saya masih larat lagi tunggu hingga lewat petang. Tuan tak perlulah nak bersimpati sangat!" Saufi menyambung bicara sambil melarikan pandangannya ke arah lain.

Kata-kata itu membuatkan Umair tersenyum sinis.

"Simpati? Dalam berniaga tak ada rasa belas. Kejujuran dan tolak ansur itu dah cukup. Selebihnya ada sikit keuntungan dan kamu jangan degil sangat, boleh tak?"

Spontan Saufi menoleh. Tercengang-cengang dia dimarahi Umair begitu.

Umair mendengus berat. Dia bersandar di tepi kereta. Renungannya terarah tepat ke wajah sugul Saufi. Bukan niatnya mahu meninggikan suara.

"Maaf."

Tulusnya bicara nan sepatah itu membuat Saufi mengangkat wajah. Air matanya hampir luruh di pipi. Entah mengapa, hatinya berasa begitu sayu. Tiada sahutan.

"Dalam hidup ni, kadang-kadang kita terpaksa buat pilihan yang sukar. Sesukar mana pun pilihan, tentu kita nak yang terbaik. Perjalanan kamu masih jauh. Pulanglah. Kamu belum bersedia putuskan sendiri arah nak ditujui." Umair menyambung kata.

Terlakar senyuman kelat Saufi. Bercerita mengenai hidup, tentulah dia yang kalah. Dia tidak memiliki kehidupan mewah seperti Umair. Personaliti, gaya dan penampilan tidak sesegak Umair. Adakah perkataan "sukar" yang sebenarnya dalam kamus hidup Umair yang baru dikenalinya ini?

"Hanya ada jalan yang ni."

Jawapan ringkas Saufi membelah rasa dalam hati Umair. Ada rasa yang tertikam. Penglihatan Umair beralih arah. Tidak akan dia biarkan Saufi mengesan rasa yang mula berbahang itu.

Melihat Umair begitu, Abang Reza tidak sampai hati. Ingin sahaja dia membawa Umair pergi. Maksud renungan Abang Reza cepat benar Umair fahami. Umair menggeleng. Dia mesti melakukan sesuatu yang bermakna buat Saufi.

"Fikir masak-masak. Berkorban tu bukan untuk selamatkan salah satu. Tapi, nampaknya itulah yang kamu sedang buat. Betul?" kata Umair seraya menoleh semula ke arah wajah suram Saufi.

Sekali lagi, senyuman pahit Saufi terukir.

"Siapa tuan nak cakap macam tu? Tuan tak kenal saya pun!"

Umair menghela nafas panjang. Memang mereka tidak pernah berjumpa dan saling tidak mengenali. Mereka bukan kenalan. Hanya sebuah pertemuan tidak sengaja yang telah memunggah rasa belas. 

"Tentulah kita tak pernah berjumpa. Kami dari Perth," sampuk Abang Reza lurus seraya tersengih.

Saufi sedikit tersentak. Rupa-rupanya, tekaan dia benar belaka. Saufi tersenyum kecil nan bersahaja.

"Perth, bandar raya terpencil di dunia yang terletak di Australia Barat. Bandar yang dikelilingi lereng bukit. Menariknya kat sana, terdapat lebih kurang 21 buah ladang buah-buahan. Tapi, Roleystone adalah pengeluar buah-buahan utama. Paling terkenal ialah epal Rose Bakawali. Tentu kalian bukan pemilik salah satu ladang tu, kan?" kata Saufi lalu terkekeh-kekeh kecil di hujung ayat.

Umair tersenyum. "Pandai! Tapi, tindakan kamu ni macam tak selari dengan kebijaksanaan tu." Wajah Umair terlihat hampa. Entah mengapa, dia terpanggil untuk tunjukkan arah yang lebih tepat buat remaja di hadapannya ini. Dia pandang Saufi lama sekali. 

"Sedarlah, dengan cara macam ni kamu hanya beri orang lain dan diri sendiri mimpi. Maksudnya, benda yang tak nyata dan akan lenyap. Akhirnya, kamu tak dapat apa-apa pun. Kamu tentu belum fikir sampai ke situ," sambung Umair tenang sekali. Senyuman Saufi bertukar rasa.

"Saya dah kata, tuan tak kenal saya pun!" bidas Saufi dengan sinis. 

"Jika nak berniaga, buat betul-betul. Barulah kaya-raya!" Spontan Umair membalas.

Lama Umair dan Saufi saling merenung. Aneh betul perbualan di tepi jalan yang menjadi tumpuan orang ramai ini. Sesekali ada yang menjeling. Sesekali ada yang berbisik-bisik sambil menoleh ke arah mereka.

"Belajar tinggi-tinggi. Nanti dah cukup pandai, apa-apa saja yang kamu buat kelak lebih berjaya. Mungkin kamu hanya perlu berlatih berjualan macam ni di hujung minggu. Sekarang ni, masa untuk bersekolah. Jadi, pergi." 

Kata-kata itu membuatkan Saufi tersenyum-senyum dan akhirnya tertawa sendiri. Entah mengapa, terasa sikap mengambil berat Umair ini melebihi sempadan orang asing. Perkenalan yang singkat mempersoalkan mengenai hidup dan kehidupan.

"Tak sangka, hari ni saya dapat seorang lagi abang. Sikap tuan ni saling tak tumpah macam abang saya," balas Saufi dengan ketawa kecilnya yang masih bersisa di hujung ayat.

Umair kelihatan teruja dan tersenyum penuh makna.

"Mirip sangat?"

Saufi menggeleng sambil tersenyum nakal.

"Tuan lebih bertimbang rasa."

Ketawa Umair itu jelas kedengaran nada gembira. Pak Cik Farisi dan Abang Reza saling berpandangan. Senyuman Pak Cik Farisi menguntum penuh makna. Abang Reza juga mengangguk dalam senyuman. Syukur kepada ALLAH kerana membawa perasaan indah itu kembali kepada Umair.

Ketawa kecil Saufi mula menghilang sedikit demi sedikit. Saufi mencari sebuah kepastian. Hakikat itu sukar diterima. Namun, sampai bila dia perlu menabur harapan palsu? Dia sendiri mula tertanya-tanya.

"Benar ke saya hanya beri dia harapan yang sia-sia?" 

Bukan niat Umair untuk memusnahkan kerdipan harapan.

"Dia?" Umair tersenyum sendiri. Mungkin yang dimaksudkan oleh Saufi adalah orang yang paling disayangi.

"Saya percaya, tentu dia juga sedang pegang tangan kamu erat-erat. Dia harapkan kamu sepenuhnya. Rasanya, dia bukan saja takut dikecewakan. Tapi, lebih bimbang kalau kamu yang terkecewa. Dia sangat takut sebenarnya. Apa kamu nak buat kalau jadi macam tu? Kamu tahu, orang yang bercita-cita tinggi ni seharusnya lebih kuat. Kena kuat untuk diri sendiri juga," lanjut Umair lagi.

Biarlah Saufi mengerti. Usia sementah ini, selayaknya dia di bangku sekolah. Sekalipun tuntutan hidup memaksa. Umair pasti, masih ada jalan keluar yang lain. Kehidupan yang masih panjang.

Tarikan nafas Saufi terasa lebih berkeyakinan setelah mendengar jawapan itu. Dia mengangguk perlahan. 

"Ya. Mungkin tuan betul. Saya ni cuma tahu bercita-cita tinggi saja sampai lupa kemampuan diri. Tapi, saya tetap ingin teruskan hingga ke akhir."

Senyuman Umair menceritakan rasa hati. Bunga-bunga sedang berkembang. Warnanya terang sekali. Banyak perkara yang boleh ditukar ganti dalam dunia ini. Namun, bukan masa depan sendiri. Mungkin permulaan langkah tidak sekata kerana kehidupan yang terbina di atas permukaan bumi yang tidak rata. Begitulah kehidupan setiap orang itu berbeza. Namun, semuanya masih mampu diperbaiki dengan usaha tanpa putus asa. Awan redup pada wajah Saufi mula berarak.

"Tetap ingin teruskan hingga ke akhir tu buatlah dengan cara yang betul. Saya tahu, dia tentu istimewa. Cuma, kamu tak patut mengabaikan masa depan sendiri."

Penghujung ayat itu membuahkan senyuman Saufi. Kian lama, kian lebar. Ada sesuatu yang sedang bermain di kotak fikirannya dan dia telah mengerti semuanya.

"Tuan memang nak saya hentikan semua ni, kan?" Saufi tertawa sendiri.

"Baguslah jika kamu dah faham," sambut Umair dengan nada lega.

Saufi merenung lama tuan muda yang baru dikenalinya itu. Tarikan nafas Saufi teratur.

"Jika saya masih degil?"

"Saya akan buat sampai kamu beralah," balas Umair penuh yakin.

Sekali lagi ketawa Umair bersambut di hujung kata. Keriangan nadanya membuat Pak Cik Farisi dan Abang Reza saling berpandangan. Kehadiran si penjual ikan masin ini, benar-benar mencipta kenangan yang tersendiri. Barangkali perkenalan ini mendatangkan seribu makna yang tersirat. Tidak siapa tahu rahsia yang ALLAH aturkan.

"Tuan lebih degil rupanya. Padan pun dahi tuan berparut."

Kata-kata itu menyedarkan Umair akan sesuatu. Bukan dia sahaja yang memerhati. Dia juga sedang diperhatikan. Tertawa lagi Umair.

"Tajam betul mata kamu."

Ketawa itu berlarutan untuk beberapa ketika. Tanpa disedari, hari sudah lewat petang. Mereka berlima masih duduk di bahu jalan itu.

Saufi menarik nafas panjang. "Kalau saya berhenti sekarang, macam mana dengan harapan yang dah saya beri pada dia? Saya dah berjanji." 

Janji jangan tinggal janji. Janji bawa sampai ke mati! Umair pasti, Saufi mampu melaksanakan janji-janjinya itu. Dia hanya perlu lebih berani.

"Masih banyak cara yang lain. Cuma, kalau dah berjanji, mestilah kena buat. Jika kamu tak diberi peluang, mudah-mudahan ALLAH bawakan seorang insan berhati malaikat untuk bantu kamu tunaikan janji tu," balas Umair penuh harapan.

Keyakinan Saufi terserlah.

"Begitu?"

Umair mengangguk sambil tersenyum penuh makna. Girang wajah Saufi bukan kepalang. ALLAH telah mengirimkan rezeki yang berlipat kali ganda hari ini. Bertemu Umair dan belajar mengenali diri sendiri juga rezeki yang tidak terduga. Dia berasa begitu bertuah.

"Tentu saja begitu. ALLAH Maha Pemurah dan Maha Pengasih." Umair tersenyum penuh erti.

Hujan rintik-rintik semakin kasar. Saufi mendongak. Gelap awan menyampaikan pesanan ringkas. Hujan lebat bakal melanda. Kemudian, dia melihat jam di pergelangan tangan. Tidak sedar masa pantas berlalu. 

"Alamak! Saya dah terlewat." Saufi laju meninggalkan lokasi pertemuan singkat ini.

"Sebentar!" kata Umair sepatah.

Langkah Saufi terhenti seraya berpaling. Senyuman Umair menusuk ke hati.

"Kalau kita ni kawan, jangan panggil saya tuan lagi. Saya lebih gembira jadi abang kamu," kata Umair sambil melebarkan senyuman. 

Hampir tertawa Saufi mendengar permintaan Umair. Sekalipun terhubung dengan perkataan "abang", bukankah persahabatan ini tidak seharusnya menjadi erat? Umair tetap berada dalam golongan elit yang tersendiri. Dia pula hanyalah si fakir yang hina.

Senyuman Saufi nampak kelat. "Saya berbesar hati. Cuma ...." 

"Cuma, kamu tak nak ada seorang lagi abang? Bukan ke tadi kamu kata, saya ni lebih bertimbang rasa? Rugi jika tak terima saya." Umair ketawa di hujung ayatnya itu.

"Tuan pemilik ladang. Saya pula ...." Saufi sangat sedar diri.

"Kita tetap milik ALLAH. Jadi, di mana perbezaannya?" soal Umair tenang.

Umair menghulur tangan bersama senyuman penuh makna. Senyuman Saufi mekar kembali. Tuan Muda Umair yang tidak dia fahami. Tingkah dan sikap hanya biasa-biasa. Tidak sama dan tidak serupa perwatakan sesetengah mereka yang berharta. Padan pun kedua-dua pak cik dan abang ini amat menyenanginya.

"Opie," sambut Saufi bersama sekuntum senyuman. 

Dia mengangguk sambil membuka hati dengan selebar-lebarnya, menyambut kedatangan Umair sebagai sahabat dalam hidupnya. Tangan Umair disambut penuh ikhlas.

Tautan mesra itu menghidupkan sepohon kerinduan yang sudah lama kekeringan. Ah, rindu itu dibiarkan pergi! Pergi bersama si penjual muda yang tidak Umair kenali salasilahnya.

"Kita akan berjumpa lagi, kan?" Umair sebenarnya menaruh harapan.

Saufi tidak menjawab. Langkahnya berhambatan dengan hujan lebat. Kelihatan bas mula meninggalkan perhentian sebaik Saufi tiba di situ.

"Tunggu!" Saufi mengejar bas yang sudah jauh meninggalkan terminal itu.

Saufi kelelahan dalam kehampaan. Maghrib sudah lama usai. Saufi duduk di tepi surau berhampiran perhentian bas itu dengan fikiran yang kalut mencari jalan pulang ke daerahnya. Dia melirik ke dalam surau kecil ini. Mungkin di sinilah tempat dia menumpang teduh. Beralaskan tikar dan berbantalkan lengan tidurnya malam ini. Namun, hatinya tetap gusar. Dini!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.