Home Novel Cinta MR. Kimchi Imamku
MR. Kimchi Imamku
17/11/2014 15:19:07
34,186
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

Matanya dibuka perlahan-lahan. Dia lihat Hyun dan disebelah ketika matanya terbuka. Dan saat matanya terbuka juga dia teringat kecurangan dan penipuan Soonie. Air matanya merembes keluar perlahan-lahan. Hyun yang sudah tahu perkara sebenar menggenggam tangannya erat. Kang Hae Jin bangun dan menarik wayar yang dicucuk ditangannya. Dia melangkah longlai keluar dari hospital dan tidak mempedulikan Hyun dan jururawat yang memintanya kembali. Dia lari dan terus lari dengan harapan ada kereta yang melanggarnya dan dia akan mati daripada mengingatkan penipuan perempuan yang dicintai sepenuh hati itu. Dalam keadaan terhuyung-hayang dia menahan teksi dan masuk ke dalam perut teksi itu dan teks terus melucur laju menuju ke tempat yang di mintanya.

Hari-hari seterusnya dilalui dengan minum arak dengan harapan dia dapat melupakan segala-galanya. Namun dia tahu, saat dia sedar daripada mabuknya pasti kenangan itu muncul semula dalam ingatannya. Dan pasti dia akan meraung mengenangkannya. Dan dia akan minum lagi sehingga mabuk lagi untuk melupakan semuanya.

Sahabat sejati dan teman serumahnya, Hyun hanya mampu menggelengkan kepalanya. Sudah berbuih mulutnya menasihati Kang Hae Jin. Sudah dipujuknya sahabatnya itu melupakan segalanya dan memulakan hidup baru. Dia tahu, Kang Hae Jin bukan orang yang mudah mencintai dan menyerahkan seluruh hatinya buat wanita. Dulu, dia pernah mencintai tetapi kekasihnya itu meninggal kerana kanser. Lama dia mahu melupakan kekasihnya itu sebelum bertemu Soonie dan hatinya dibuka semula untuk mencintai. Dan kali ini dia kecewa lagi. Dia tahu, pasti hati Kang Hae Jin hancur berkecai dengan kejadian ini.

“Jin, kau tak boleh terus menerus sebegini. Kau akan hancur kalau kau terus macam ni.” Hyun cuba memujuk sahabatnya itu. Kang Hae Jin yang mabuk hanya tersengih. Dia mengambil gelas di tangannya lalu meneguk arak itu sehingga habis.

“Kau kan tahu Hyun, aku memang sudah hancur. Kau tak tahu? Kau tak tahu?” Dia berkata lemah. Air mata yang tertahan-tahan akhirnya merembes keluar.

Entah kenapa, kata-kata Soonie masih terngiang-ngiang di telinganya. Dan saat kata-kata itu menerpa di telinganya pasti dia rasa terluka kerana selama ini dia bodoh kerana tidak menyedari yang dirinya ditipu dan dipermainkan oleh orang yang paling dicintainya itu. Seratus peratus dia percaya pada Soonie dan akhirnya dia tenggelam dalam kepercayaannya sendiri.

“Aku tahu tapi sekarang kau masih perlu teruskan hidup. Hidup kau masih panjang. Apa yang berlaku tetap sudah berlaku.” Hyun mahu mencuba untuk memujuk lagi. Dia menepuk bahu Kang Hae Jin. Kang Hae Jin hanya membatu.

“Jin, aku minta maaf.” Suara halus yang dikenalinya itu menyebabkan Kang Hae Jin mengalihkan pandangan pada si empunya suara. Ternyata benar dugaannya, suara itu milik Soonie. Matanya berkaca melihat wanita itu dihadapannya. Wajah yang selalu dirindui ditatap lama. Kata-kata maaf yang kedengaran dari mulut mulus itu ternyata sudah melembutkan hatinya. Biarlah dia melupakan sahaja apa yang berlaku hari itu. Sayangnya kepada Soonie melebihi segala-galanya. Hatinya meronta mahu memeluk wanita itu dan memaafkannya.

“Aku harap kau tak dedahkan perkara ni pada wartawan. Kau masih ada kerjaya dan aku masih ada kerjaya. Begitu juga Kim Jun. Aku harap kau tak lupa yang aku adalah kekasih kau di mata peminat.” Kang Hae Jin terpempan mendengar kata-kata itu. Sangkaannya Soonie mahu memujuk hatinya yang sedang lara. Ternyata sangkaannya salah sama sekali. Rupanya Soonie hanya datang untuk merobek lagi jantung hatinya. Dia merengus.

“Maksud kau? Kau nak aku akui kau masih kekasih aku di mata peminat kau? Demi keuntungan kau?” Kang Hae Jin bersoal dengan suara yang keras. Soonie mengangguk seperti tiada apa yang berlaku. Kang Hae Jin menghela nafas keras melihat wajah tidak bersalah Soonie. Kemaafan yang mahu diserahkan tadi melayang hilang. Kini hatinya dirobek dendam.

“Kau ingat aku cintakan kau selama ni? Aku juga gunakan kau untuk kepentingan kerjaya aku. Jadi, kau tak perlu risau aku akan dedahkan kepada sesiapa yang kita hanyalah kekasih boneka. Sebab aku juga sama macam kau, kau faham?” Kang Hae Jin merengus keras sambil matanya tajam memandang wanita itu. Soonie mengukir senyum yang dibuat-buat. Kang Hae Jin telan air liur melihat senyuman itu.

Dahulu, senyuman itu menjadi penawar duka lara buatnya. Menjadi kekuatan buatnya menghadapi hari-hari yang sukar. Namun, hari ini senyuman itu ibarat pisau tajam yang menghiris hatinya. Perit dan pedih terasa.

Okay, kalau macam tu, aku anggap kita dah mencapai kata sepakat. Aku harap lepas ni, hubungan kita masih seperti biasa walaupun tiada apa perasaan antara kita.” Soonie tersenyum kelat sebelum memalingkan tubuhnya. Tanpa menoleh lagi, dia menghayun langkah, keluar daripada rumah tersebut. Meninggalkan duka yang dalam buat Kang Hae Jin.

Kang Hae Jin sedari tadi menahan rasa, terus mengamuk menghempas gelas-gelas yang ada di sekelilingnya. Hyun yang sejak tadi menjadi saksi menenangkan sahabatnya yang semakin menggila.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh