Aswal Madri ( Bos )
Kami menjejakkan kaki di
Malaysia lagi. Selepas beberapa kali penerbangan kami tertunda akibat cuaca buruk
kami akhirnya dapat pulang ke Malaysia. Aku bawa abang Izzhar pergi ke rumah
Kak Iffa dan kami bermalam di rumah kak Iffa untuk menghilangkan keletihan. Aku
sengaja tipu Izz Zahrah bahawa kami masih tersangkut di Eropah dan belum balik
ke Malaysia. Aku teringin nak memberi dia kejutan.
Sebelum bertolak ke Teluk
Intan, kami sudah membuat satu pakatan dalam diam tanpa pengetahuan abang
Izzhar. Dalam perjalanan, Lina memasang video filem sedih di dalam kereta abang
Amri untuk menghayati babak-babak sedih yang akan dilakonkan oleh mereka nanti.
Tanpa disangka-sangka Lina
betul-betul menghayati perasaan sayu dan sebaknya itu hinggalah kami tiba di
Teluk Intan. Lina sudah meluru ke arah Izz Zahrah sebaik ternampak Izz Zahrah
di muka pintu. Lina terus menangis
teresak-esak dan memeluk erat Izz Zahrah yang masih terpinga-pinga. Sebaik aku
keluar dari kereta, aku lihat Izz Zahrah sudah lembik di muka pintu. Izz Zahrah
rebah hanya dengan sedikit lakonan kami yang baru nak bermula. Lemah betul
semangat isteri kesayangan aku ni.
Rumah mertuaku menjadi gempar
seketika sebaik Izz Zahrah jatuh pengsan. Lina dan Zuhaimie yang membawa watak
utama dan baru nak mengasah bakat lakonan mereka terus tergaman melihat Izz
Zahrah yang sudah tidak sedarkan diri. Aku pula terus menerpa laju ke arah Izz
Zahrah dan mencempung dia lalu membawa dia masuk ke dalam bilik dan menidurkan
dia di atas katil.
‘’Izz..bangun sayang. Abang
ni..’’ aku menepuk pipi Izz Zahrah berkali-kali. Cemas juga jadinya bila apa
yang dirancang tak menjadi seperti yang sepatutnya. Kalau aku tahu dia lemah
semangat, taubat aku tak berpakat dengan mereka. Ingatkan sengaja nak menguji
dia saja tadi.
‘’Renjis air ni..’’ ibu mertuaku
menghulurkan bekas air kepadaku. Aku mengambilnya dan melakukan seperti yang
disuruh.
‘’Sayang..’’ sambil merenjis air
ke muka Izz Zahrah, aku memanggil-manggil dia. Bilik Izz Zahrah sekarang ini
sudah dikerumuni oleh saudara maranya. Walaupun ada rasa segan tapi aku buat
selamba saja memandangkan dia sudah menjadi isteriku yang sah.
‘’Has..kenapalah sampai pengsan
tu?’’ ibu mertuaku bersuara lagi. Aku sudah mengelabah. Kalaulah ibu mertuaku
tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku. Apakah tindakannya?
‘’Tepi, bagi opah tengok.’’ Aku
memberi laluan untuk opah dan bangun dari katil. Opah mengambil alih tempatku
dan duduk di sisi Izz Zahrah.
Opah meminta segelas air dan
membaca sesuatu lalu dihembuskan di dalam air, kemudiannya opah menyapu ke muka
Izz Zahrah bermula dari ubun-ubun turun ke leher. Mulut opah terkumat-kamit
membaca doa. Aku hanya memerhatikan saja opah melakukan kerjanya sambil turut
berdoa di dalam hati.
‘’Bawa pergi hospitallah kalau
macam ni. Macam tak ada harapan saja dia nak sedar ni. Nadi dia pun macam lemah
sangat ni.’’ Aku mula berdebar-debar mendengar kata-kata opah. Terror juga
opah, siap tahu pasal nadi segala.
‘’Opah pernah jadi nurse dulu.’’
Macam tahu apa yang aku fikir, abang Izzhar berkata perlahan, mungkin
kata-katanya itu ditujukan khas untuk aku. Aku menjatuhkan kepala berkali-kali
dan bersedia untuk mencempung Izz Zahrah sekali lagi.
‘’Bawa pi hospital, dok biar
lama-lama macam tu, mudarat pula nanti..’’
entah siapa pula yang berkata. Aku pun tak tunggu lama dan mula nak bertindak,
tapi belum sempat berbuat apa-apa Izz Zahrah perlahan-lahan membuka matanya.
‘’Ibu…’’ lemah suara Izz Zahrah.
Bila mendengar dia memanggil ibu, aku memberi laluan untuk ibu mertuaku duduk
di tepi Izz Zahrah.
‘’Abang Awal bu..’’ aku dengar
Izz Zahrah menyebut namaku.
‘’Kenapa dengan Awal pula? Tadi
panggil ibu..’’ ibu mertuaku berbalas soalan dengan Izz Zahrah. Aku faham,
kenapa Izz Zahrah memanggil namaku lantas aku tampilkan diri.
‘’Izz Zahrah..abang ada ni. Sayang
okey ke?’’ aku bertanya sambil menjenguk sikit. Mata Izz Zahrah terbuka luas.
Ibu mertuaku pula menyuruh aku duduk di tempatnya tadi. Dan sebaik aku duduk
Izz Zahrah sudah meraung dan memeluk kejap pinggangku. Wajah aku sudah berbahang
bila menyedari semua orang yang menyaksikan adegan ini sudah tersenyum lebar.
‘’Sayang..jangan macam ni.
Kenapa menangis ni?’’ aku menjadi serba salah melihat Izz Zahrah terus menangis
dan tak semena-mena aku rasa perut aku sudah dipulas kuat.
‘’Ouchhh..sakitlahh..’’
tertahan-tahan suaraku akibat menahan sakit. Melihat gelagat kami, seorang demi
seorang beransur keluar dari bilik dan abang Izzhar yang keluar akhir sekali
sudah menutup pintu bilik sehingga rapat. Wah, bagi peluang nampaknya tu.
‘’Kenapa buat orang macam ni?’’
Izz Zahrah masih terus menangis dan mencubit tubuhku bertubi-tubi. Habis tubuh
aku dikerjakannya.
‘’Buat apa? Abang tak buat apa pun.
Sayang tu yang lemah semangat. Abang dah keluar pun dari kereta. Tahu-tahu
sayang dah terkulai jatuh..’’ aku cuba membela diri tapi dalam masa yang sama
aku tak mampu menahan ketawa.
‘’Uwaa..ibu! abah!..tengoklah abang
Awal ni, masih lagi nak ketawakan orang.’’ Izz Zahrah terus meraung. Aku pula
sudah memeluk tubuhnya erat dan cuba memujuk agar dia berhenti menangis. Dalam
rasa kasihan, terselit juga sedikit rasa lucu melihat keadaan Izz Zahrah
sekarang ini.
‘’Abang kejam, orang dahlah risau
separuh nyawa..’’ Izz Zahrah terus bersuara sambil mengelap rakus air matanya
yang masih mengalir. Aku tolong dia mencapai tisu di atas meja di tepi katil
dan menghulurkan kepadanya. Dia menyambut tisu yang aku hulurkan sambil
menjeling dan dalam mengelap air matanya, jari jemarinya juga bekerja kuat.
Lengan aku pula menjadi mangsa cubitannya.
‘’Dah tak sayang abang ke ni?
Sakit tau, habis lebam badan abang ni. Abang balik nak jumpa dia, boleh pula
dia dera abang macam ni,’’ aku bersuara rajuk. Kononnya nak meraih simpati.
Mana tahan, asyik kena cubit saja sejak tadi.
‘’Lebih baik abang cakap. Abang
memang plan dengan mereka nak kenakan orangkan? Lebih baik abang mengaku.’’ Aku
mengeleng laju, walaupun ada kebenarannya.
‘’Tak!..abang tak niat pun nak
kenakan isteri abang ni. Abang rindu tau. Kalau abang tahu, ada orang nak
pengsan macam ni, tak teringin abang nak bergurau macam ni lagi. Tapi,
sekurang-kurangnya abang tahu, ada orang tu dah sayangkan abang sampai-sampai
pengsan-pengsan sebab terkejut.’’ Aku menghabiskan ayat-ayatku sambil
menyeringai. Dia ingin mencubit lagi tapi aku mengengam tangannya dengan
pantas.
‘’Benci..’’ Izz Zahrah menjarakkan
dirinya dariku dan berpaling ke arah lain. Aku ketawa melihat telatahnya.
Terhibur pula melihat gelagatnya itu.
‘’Jomlah keluar. Malulah, kalau
kita berkurung dalam bilik ni.’’ Aku menyuarakan apa yang aku rasa. Izz Zahrah
menoleh dan merenung tajam ke arahku. Seketika kemudian, dia menekan perutnya
pula.
‘’Orang lapar, belum makan.’’ Dia berkata
dengan wajah sayu. Alahai..kesiannya dia.
‘’Kenapa tak makan? Suka sangat
buat abang risau.’’
‘’Amboi, sedapnya mengata orang.
Abang tu buat orang risau, boleh pula?’’ Izz Zahrah menarik muncung lagi. Aku
mengeleng kepala seraya mencapai tangannya.
‘’Okey, abang minta maaf. Lain kali
abang tak buat lagi.’’ Aku mengangkat tangan kanan separas telinga sambil
menarik tangannya untuk keluar dari bilik.
‘’Kejap, siapa yang tanggalkan
tudung orang tadi? Malu tau, dogol saja di depan bukan mahram orang. Ramai tak
yang tengok orang pengsan tadi?’’ aku baru nak pulas tombol pintu, Izz Zahrah
masih menyoal. Aku tak terkata kerana aku yang menanggalkan tudungnya tadi
tanpa berfikir panjang. Nak kata ramai, yang ramainya orang perempuan saja.
Orang lelaki cuba abang Izzhar dan abah saja yang masuk ke dalam bilik tadi.
‘’Tak apa, darurat. Nak bersalin
esok, lagi ramai doktor lelaki.’’ Topik itu pula yang keluar dari bibirku. Izz
Zahrah sudah mencebik seraya mengeleng kepalanya. Dan dalam masa yang sama, dia
sudah memakai tudungnya.
‘’Ishhh..ingat orang lelaki
saja ke yang jadi doktor? Doktor perempuan pun ramai tau.’’ Dia masih ingin
bertekak dengan aku. Aku mengaku kalah saja bila dia sudah menolak aku keluar
dari bilik dan semua yang ada di luar bilik sudah memandang ke arah kami. Aku
hanya tayang wajah selamba dan mengukirkan senyuman ramah.
‘’Dah okey?’’ abah orang
pertama yang bertanya. Aku melihat Izz Zahrah mengangguk perlahan. Wajahnya
sudah merah, agaknya apa yang ada dalam fikirannya? Malukah dia, dengan apa
yang telah terjadi? Aku berteka-teki di dalam hati.
‘’Has terkejut apa, sampai pengsan-pengsan?’’
ibu pula bersuara. Aku sudah tersenyum bila Izz Zahrah memandang aku.
‘’Tak ada apalah ibu. Has lapar
sebab belum makan lagi. Ingat nak makan selepas solat tadi, tapi asyik tangguh
saja sampai terlupa.’’ Aku mengurut dada kelegaan mendengar alasan Izz Zahrah.
Buatnya dia pecah rahsia, entah apa pula saudara maranya akan fikir.
‘’Laa..suka sangat buat perangai
macam tu. Dah, pi hidang nasi, ajak yang baru sampai ni makan sekali. Lauk dengan
nasi pun banyak lagi tu.’’ Ibu mertuaku sudah memberi arahan. Sementara nasi
dihidangkan, aku mendapatkan Zuhaimie dan abang Amri. Mereka berdua sudah
tersenyum memandang aku. Zuhaimie sudah membuat isyarat ibu jari terbalik
kepadaku.
BERSELERA betul kami makan hidangan di rembang
petang ini. Aku cakap rembang petang sebab waktunya yang sudah hampir pukul
4.00 petang. Kebetulan kami pun sudah lapar benar, ditambah pula dengan lauk
pauk yang dihidangkan keluarga Izz Zahrah. Udang galah bersaiz besar masak
sambal, gulai keli berkuah pekat, pucuk ubi kayu masak lemak cili padi, pekasam
ikan talapia beserta ikan lampan digoreng bersama bawang besar dan cili kering
yang dipotong kecil, tak ketinggalan sambal belacan dan ulam-ulaman. Perghh..ini
kali pertama aku makan masakan kampung yang kebanyakannya berkuah pedas namun
aku tetap makan dengan selamba. Tak kisahlah, walau bibir aku pedih dan asyik
berdecit kerana kepedasannya namun nasi tetap bertambah.
‘’Abang okey ke tu? Selalunya
manja sangat, tak nak pedas.’’ Aku sedang rancak menyuap, Izz Zahrah pula sudah
menyoal hairan.
‘’Rezeki jangan ditolak. Apa yang
orang hidang, makan sajalah.’’ Aku bersuara pasrah, padahal hati lain pula
katanya. Best sangat sampai nak jilat jari.
‘’Jangan paksa diri. Sakit perut
pula nanti. Kalau tak boleh makan, orang boleh tolong masak telur goreng, kalau
abang nak.’’ Izz Zahrah sudah tawarkan diri untuk memasak untukku. Aku
mengeleng laju sambil menyuap. Sambal udang galah aku ceduk lagi masuk ke dalam
pinggan. Sempat aku mengerling Izz Zahrah yang memandang lama ke arahku.
‘’Makanlah. Kenapa tengok abang
macam tu? Tadi kata lapar, tengok abang bukannya nak kenyang pun.’’ Aku cuba
mengusiknya dengan kata-kataku. Dia menjeling geram dan kembali menyuap.
Dimasukkannya sambal belacan dalam pinggannya dan mengambil ulam lalu digaul
bersama nasi. Selamba saja dia menyuap tanpa berdecit sedikit pun. Memang hantu
pedas betul isteri aku ni. Aku menyatakan kekaguman aku di dalam hati.
‘’Izz..kenapa tadi? Terlampau
rindu dengan awal ke? Sampai pengsan-pengsan.’’ Zuhaimie membuka topik sensasi
itu lagi. Aku mencuit Zuhaimie dan mengelengkan kepala sambil memberi isyarat
mata. Jangan dibangkitkan lagi kemarahan orang tu. Naya pula nanti. Kata-kata
itu sudah aku ungkapkan di dalam hati.
‘’Haih! Bukan rindulah. Mungkin
lakonan encik Zuhaimie dan pelakon-pelakon yang lain tu terlebih mantap sangat
kot. Sebab tu la watak tambahan yang sorang ni pun terover juga.’’ Izz Zahrah
berkata sambil mencerlungkan matanya ke arahku. Aku tak dapat mengawal bibirku
dari menguntumkan senyuman. Spontan saja segalanya berlaku dan pantas juga jari
jemari Izz Zahrah mengetip pahaku.
‘’Sayang..tercekik nasi ni, kan
betul-betul kejadian pula nanti.’’ Aku memberi Izz Zahrah amaran. Zuhaimie
sudah tersembur nasi kerana gelakkan aku. Nasib baik dia sempat berpusing ke
belakang.
‘’Oh! Lobang sudah pecah ke
Awal?’’ dengan ketawa yang masih bersisa, Zuhaimie menyoal. Itulah, dia yang
buka topik, aku juga yang jadi mangsa jari jemari runcing Izz Zahrah.
‘’Yang kau gatal mulut bertanya tu
kenapa? Ramah terlebih pula. Yang lepas tu biarlah lepas. Badan aku dah habis
lebam-lebam. Kau sedap saja gelakkan aku.’’ Aku terlepas cakap, semua mata yang
ada di meja makan sudah memandang kami berdua silih berganti. Agaknya mereka tak
perasan kot jari jemari Izz Zahrah yang sedang bekerja di bawah meja.
‘’Izz yang pengsan. Apasal pula kau
yang lebam?’’ aku menjeling Izz Zahrah demi mendengar soalan Zuhaimie. Dan aku
juga sedang bersedia andai sepit ketam di bawah meja akan merayap naik atas
pahaku lagi.
‘’Ala…encik Zuhaimie macamlah tak
tahu. Kamikan sehati dan sejiwa. Kan abang?’’ Izz Zahrah buat ayat-ayat
perangkap. Tak mahu panjangkan masalah aku iakan saja. Yalah tu sayang. Sehati
dan sejiwa, seia dan sekata. Hati aku pula merungut sebal di dalam.