“Kak Ecah..
Nak berbuka tak?”
“Eh, tak
naklah. Lagi berapa jam aje nak masuk waktu Maghrib.”
Balas si kakak yang berumur 10 tahun itu.
“Ala.. Macam tak biasa pula. Jom lah,” bersungguh-sungguh si adik lelaki itu
mengajak.
Udin ini bukannya boleh percaya sangat. Nanti aku berbuka, dia juga yang puasa.
Tak aci! Getus hati kecil Ecah. Tahun lepas pernah dah terkena.
Bersungguh-sungguh dia hendak berpuasa penuh. Tetapi, bila termakan hasutan
adiknya yang berumur 9 tahun itu, dia jadi kalah. Habis tak dapat duit raya
penuh dari Abah. Tahun ini dia mesti kuatkan semangat. Tak nak ponteng puasa
lagi!
“Ibu masak
ayam percik. Huiiiishhh.. Sedapnya,” sengaja Udin menayang ayam percik yang
baru dipanggang Ibu.
“Kau ni Udin.. Tak baik tau buat macam
tu. Boleh batal puasa orang!” Jerkah Ecah. Tanda marah. Tetapi dalam hati.
Memang kecur air liur dia melihat ayam percik itu. Masakan ibu memang sedap.
Kata sahajalah nak makan apa. Ibu pasti berusaha sehabis baik mungkin untuk
menunaikan hasrat anak-anaknya.
“Kau berbuka
dulu. Baru Kak Ecah ikut,” nampaknya jerat Udin mengena.
Dengan selamba, Udin menggayakan memakan ayam percik itu tetapi ada satu
muslihat yang Ecah tidak nampak. Sangkaan Ecah, Udin betul-betul dah
membatalkan puasanya. Lantas, Ecah pun mengambil seketul ayam dan terus disumbatkan ke dalam mulutnya.
“Ha! Ha! Ha! Yes! Kak Ecah tak puasa!!.. Ibu.. Kak Ecah tak puasa!” Berdekah Udin ketawa mengenakan Ecah.
“Udin jahat!!!” Geram Ecah dibuatnya. Terkena dia lagi.
Melepas lagilah nak dapat duit raya penuh dari Abah tahun ini.
-Tamat-