Home Cerpen Umum Dr. Mahathir Tak Mengigau Diingat
Dr. Mahathir Tak Mengigau Diingat
Tan Sri Abdullah Ahmad
16/1/2013 20:28:46
5,090
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Dr. Mahathir pernah berkata tidak mahu apa pun sempena namanya sebelum kembali ke rahmatullah!


Kolumnis adalah seorang pengingat, tidak mudah lupa (kecuali sengaja buat-buat lupa). Ramai orang pelupa (kecuali juga buat-buat tak ingat). Satu penyakit yang ditakuti oleh orang tua ialah penyakit Alzheimer yang pada akhirnya diserang dementia. Dalam kolum minggu lepas, walaupun telah diperakukan Bangunan Capitol (CAPITOL) telah diubah oleh sama ada ‘hantu’ atau ‘pengatur huruf’ kepada Bangunan Capital! Bangunan Capitol di Washington D.C adalah wisma yang terletaknya Kongres Amerika Syarikat, iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan Rakyat. Capital, dalam bahasa Inggeris, bermaksud antaranya modal (ekonomi), kesilapan besar, huruf besar, juga ibu negara/negeri. Dalam konteks apa yang dibicarakan tidak mungkin capital! Itu kata Inggeris common sense atau akal budi!

Mengenai cadangan mengabadikan nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan sepotong jalan (Jalan Ampang di KL) dan KLIA. Niat baik yang amat dihargai tetapi saya kira tidak kena masanya dan tidak, tegas Speaking, “opportune”. Lagipun saya fikir Dr. Mahathir sendiri tidak bersetuju dengan cadangan itu berdasarkan pada perbualan kami dulu tentang menamakan sekolah, dewan, universiti, jalan, airport, jambatan hatta bandar sempena mereka (apa jasa dan baktinya pun kepada watan) yang masih hidup. Pada pendapat saya, Dr. Mahathir tetap berpegang pada prinsip itu kecualilah dia telah berubah! Atas cadangan Shahril Samad, waktu itu Menteri Wilayah Persekutuan, nama Jalan Pekeliling telah bertukar Jalan Tun Razak (wajarlah setelah bertahun-tahun Tun Razak kembali ke rahmatullah); Jalan Tuanku Abdul Rahman (dulu Batu Road) ditukar sempena nama Yang di-Pertuan Agong pertama (gambarnya di mata wang kita). Jalan Tuanku Abdul Rahman bukan memperingati Tunku Abdul Rahman Putra. Nama Perdana Menteri pertama diabadikan di Bukit Tunku dan sekitarnya (dulu Kenny Hill, kediaman kelas atas tinggi), Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri), Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej Tunku Abdul Rahman; Taman Tun Dr. Ismail (TTDI); sempena nama Tun Dr. Ismail Abdul Rahman (bekas Timbalan Perdana Menteri), Taman TAR (sempena Tun Abdul Razak) dan sebagainya.

Apa ada pada nama? Teringat waktu saya di Amerika Syarikat dulu (1960-1962; 1984-85; 1996-2000) orang Amerika, seperti orang Malaysia, amat impressed - tertarik dengan orang yang ada gelaran. Juga British (mereka lebih banyak gelaran daripada kita) maka ramailah Tengku Raja dalam pasport sudah tambah atau tukar Tengku Raja dengan Prince atau Princess; Datin, Puan Sri, Toh Puan lebih senang dipanggil Lady di England! Tetapi Lady ada dua makna; Lady gelaran bagi isteri kenamaan (tinggi) British dan sebutan halus dan sopan bagi wanita tua, seperti a rich elderly Chinese lady (woman); Lady Middleton atau Lady Templer atau a rich young Lady!

Waktu Dr. Mahathir Menteri Pelajaran saya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pengerusi PIBG Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Machang Tok Kadi Machang - tanpa pengetahuannya - telah menulis surat kepada Dr. Mahathir mencadangkan sekolah itu dinamakan sempena nama saya. Kenapa? Sungguhpun Datuk Muhammad Yaakob, MP Tanah Merah (sebelum 1974 merangkumi Machang) Menteri Pelajarannya gagal mendapat peruntukan bangunan baru Sekolah Bandar Machang tetapi saya berjaya mendapatkannya beberapa bulan sahaja apabila saya MP Machang (sudah dipisahkan dari Tanah Merah dalam PRU 1974).
Memori masih segar perbualan saya dengan Dr. Mahathir (lagipun surat Tok Kadi mesti ada dalam fail/arkib Kementerian Pelajaran atau dalam simpanan PIBG).
Dr. Mahathir: “Lah, saya sedar you berjasa pada Machang awal-awal lagi (perbualan kami lazimnya dalam BI) tetapi saya telah membuat keputusan sekolah/kolej tidak akan dinamakan sempena orang yang masih hidup. Lepas you mati, it’s okay!”
Dollah: “apa hal ni, saya tidak minta nama saya diabadikan...”

Dr. Mahathir, setelah menjadi PM pun menegaskan kepada saya, apa pun kehormatan selain daripada gelaran (yang dia ‘terpaksa’ menerima seperti Dato, Dato Seri dan Tun) harus berlaku selepas dia menjadi Almarhum. Saya setuju. Masakan negara akan lupa jasanya sebagai PM. Jasa kerdil seperti lain-lain dan saya, boleh dilupakan. Pada saya apa yang penting, bakti yang kita buat diketahui Allah SWT seperti juga dosa kita. Sama ada sekolah atau jambatan dinamakan sempena nama kita atau tidak - fardu kifayah telah dilakukan maka pahalanya tetap ada dan berterusan selagi sekolah dan jambatan itu digunakan.
Risiko dan bahaya memberi nama sekolah atau apa pun sempena politikus yang masih hidup banyak: apa pula pandangan orang pada sekolah yang diberi nama seorang pemimpin apabila dia dipenjara walaupun selepas itu diampunkan? Atau politikus yang muflis? Atau yang namanya tidak lagi harum, tidak lagi wangi (apa sebab pun)?; tatkala dia dalam siasatan kerajaan, baik tuduhan rasuah, merogol, menipu atau melakukan perkara-perkara yang jelek?

Adakah ukuran jasa Dr. Mahathir dengan sebatang jalan atau KLIA? “He deserves more than a road!” tegas Speaking. Pada saya, apabila Dr. Mahathir tidak ada bersama dengan kita lagi, kalau mahu mengingatinya satu-satu yang wajar ialah satu sekolah/universiti perubatan pasca tertinggi yang bertaraf dunia, satu bandar (bukan kampung) yang berteknologi tinggi, Bandar CyberMahathir (Bandar Dr. Mahathir, bukan Bandar YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad) buatlah seperti Heathrow, bukan Heathrow International Airport (bayi pun tahu Heathrow bukan airport local). JFK (di New York bukan Joseph Fitzgerald Kennedy). KLIA memadai dengan ‘abbreviasi’nya sahaja. Siapa yang tidak tahu apa itu KLIA - too bad!

Saya kesian mendengar sukarnya sesetengah pramugari Mas menyebut nama penuh KLIA atau Kuala Lumpur International Airport. Lebih baik sebut dan popularkan akronimnya KLIA! SIPA atau ALSIPA - Alsultan Ismail Petra Airport Kota Bharu.

Pengganti Shahril, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin atau Dato Bandar Ahmad Fuad Ismail jangan pandai-pandai; baiklah mendapat izin daripada Dr. Mahathir dahulu sebelum bertindak. Selepas Dr. Mahathir jadi Almarhum perlu pula mendapat izin daripada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan keluarga. Saya tidak setuju Jalan Ampang dinamakan Jalan Dr. Mahathir, dia berhak menerima penghormatan yang lebih tinggi lagi seperti Bandar Tun Razak. Saya ada cadangan untuk yang berkuasa menukarkan nama sebuah kelab malam di Jalan Ampang sempena dengan nama seorang bekas ahli jemaah menteri!
Saya yakin Dr. Mahathir tidak setuju dengan cadangan yang dibuat. Mahu bertaruh? Itu pun kalau tidak haram!

Dapatkan buku "Berani Tanpa Segan" karya Tan Sri Abdullah Ahmad di Mall Karangkraf. http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=3273

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.