Dr.
Mahathir pernah berkata tidak mahu apa pun sempena namanya sebelum kembali ke
rahmatullah!
Kolumnis adalah seorang pengingat, tidak mudah lupa (kecuali sengaja buat-buat
lupa). Ramai orang pelupa (kecuali juga buat-buat tak ingat). Satu penyakit yang
ditakuti oleh orang tua ialah penyakit Alzheimer yang pada akhirnya diserang
dementia. Dalam kolum minggu lepas, walaupun telah diperakukan Bangunan Capitol
(CAPITOL) telah diubah oleh sama ada ‘hantu’ atau ‘pengatur huruf’ kepada
Bangunan Capital! Bangunan Capitol di Washington D.C adalah wisma yang
terletaknya Kongres Amerika Syarikat, iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan
Rakyat. Capital, dalam bahasa Inggeris, bermaksud antaranya modal (ekonomi),
kesilapan besar, huruf besar, juga ibu negara/negeri. Dalam konteks apa yang
dibicarakan tidak mungkin capital! Itu kata Inggeris common sense atau akal
budi!
Mengenai cadangan mengabadikan nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan sepotong
jalan (Jalan Ampang di KL) dan KLIA. Niat baik yang amat dihargai tetapi saya
kira tidak kena masanya dan tidak, tegas Speaking, “opportune”. Lagipun saya
fikir Dr. Mahathir sendiri tidak bersetuju dengan cadangan itu berdasarkan pada
perbualan kami dulu tentang menamakan sekolah, dewan, universiti, jalan,
airport, jambatan hatta bandar sempena mereka (apa jasa dan baktinya pun kepada
watan) yang masih hidup. Pada pendapat saya, Dr. Mahathir tetap berpegang pada
prinsip itu kecualilah dia telah berubah! Atas cadangan Shahril Samad, waktu
itu Menteri Wilayah Persekutuan, nama Jalan Pekeliling telah bertukar Jalan Tun
Razak (wajarlah setelah bertahun-tahun Tun Razak kembali ke rahmatullah); Jalan
Tuanku Abdul Rahman (dulu Batu Road) ditukar sempena nama Yang di-Pertuan Agong
pertama (gambarnya di mata wang kita). Jalan Tuanku Abdul Rahman bukan
memperingati Tunku Abdul Rahman Putra. Nama Perdana Menteri pertama diabadikan
di Bukit Tunku dan sekitarnya (dulu Kenny Hill, kediaman kelas atas tinggi),
Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri), Universiti Tunku Abdul Rahman dan Kolej
Tunku Abdul Rahman; Taman Tun Dr. Ismail (TTDI); sempena nama Tun Dr. Ismail
Abdul Rahman (bekas Timbalan Perdana Menteri), Taman TAR (sempena Tun Abdul
Razak) dan sebagainya.
Apa ada pada nama? Teringat waktu saya di Amerika Syarikat dulu (1960-1962;
1984-85; 1996-2000) orang Amerika, seperti orang Malaysia, amat impressed -
tertarik dengan orang yang ada gelaran. Juga British (mereka lebih banyak
gelaran daripada kita) maka ramailah Tengku Raja dalam pasport sudah tambah
atau tukar Tengku Raja dengan Prince atau Princess; Datin, Puan Sri, Toh Puan
lebih senang dipanggil Lady di England! Tetapi Lady ada dua makna; Lady gelaran
bagi isteri kenamaan (tinggi) British dan sebutan halus dan sopan bagi wanita
tua, seperti a rich elderly Chinese lady (woman); Lady Middleton atau Lady
Templer atau a rich young Lady!
Waktu Dr. Mahathir Menteri Pelajaran saya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Pengerusi PIBG Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Machang Tok Kadi
Machang - tanpa pengetahuannya - telah menulis surat kepada Dr. Mahathir
mencadangkan sekolah itu dinamakan sempena nama saya. Kenapa? Sungguhpun Datuk
Muhammad Yaakob, MP Tanah Merah (sebelum 1974 merangkumi Machang) Menteri
Pelajarannya gagal mendapat peruntukan bangunan baru Sekolah Bandar Machang
tetapi saya berjaya mendapatkannya beberapa bulan sahaja apabila saya MP
Machang (sudah dipisahkan dari Tanah Merah dalam PRU 1974).
Memori masih segar perbualan saya dengan Dr. Mahathir (lagipun surat Tok Kadi
mesti ada dalam fail/arkib Kementerian Pelajaran atau dalam simpanan PIBG).
Dr. Mahathir: “Lah, saya sedar you berjasa pada Machang awal-awal lagi
(perbualan kami lazimnya dalam BI) tetapi saya telah membuat keputusan
sekolah/kolej tidak akan dinamakan sempena orang yang masih hidup. Lepas you
mati, it’s okay!”
Dollah: “apa hal ni, saya tidak minta nama saya diabadikan...”
Dr. Mahathir, setelah menjadi PM pun menegaskan kepada saya, apa pun kehormatan
selain daripada gelaran (yang dia ‘terpaksa’ menerima seperti Dato, Dato Seri
dan Tun) harus berlaku selepas dia menjadi Almarhum. Saya setuju. Masakan
negara akan lupa jasanya sebagai PM. Jasa kerdil seperti lain-lain dan saya,
boleh dilupakan. Pada saya apa yang penting, bakti yang kita buat diketahui
Allah SWT seperti juga dosa kita. Sama ada sekolah atau jambatan dinamakan
sempena nama kita atau tidak - fardu kifayah telah dilakukan maka pahalanya
tetap ada dan berterusan selagi sekolah dan jambatan itu digunakan.
Risiko dan bahaya memberi nama sekolah atau apa pun sempena politikus yang
masih hidup banyak: apa pula pandangan orang pada sekolah yang diberi nama
seorang pemimpin apabila dia dipenjara walaupun selepas itu diampunkan? Atau
politikus yang muflis? Atau yang namanya tidak lagi harum, tidak lagi wangi
(apa sebab pun)?; tatkala dia dalam siasatan kerajaan, baik tuduhan rasuah,
merogol, menipu atau melakukan perkara-perkara yang jelek?
Adakah ukuran jasa Dr. Mahathir dengan sebatang jalan atau KLIA? “He deserves
more than a road!” tegas Speaking. Pada saya, apabila Dr. Mahathir tidak ada
bersama dengan kita lagi, kalau mahu mengingatinya satu-satu yang wajar ialah
satu sekolah/universiti perubatan pasca tertinggi yang bertaraf dunia, satu
bandar (bukan kampung) yang berteknologi tinggi, Bandar CyberMahathir (Bandar
Dr. Mahathir, bukan Bandar YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad) buatlah seperti
Heathrow, bukan Heathrow International Airport (bayi pun tahu Heathrow bukan
airport local). JFK (di New York bukan Joseph Fitzgerald Kennedy). KLIA memadai
dengan ‘abbreviasi’nya sahaja. Siapa yang tidak tahu apa itu KLIA - too bad!
Saya kesian mendengar sukarnya sesetengah pramugari Mas menyebut nama penuh
KLIA atau Kuala Lumpur International Airport. Lebih baik sebut dan popularkan
akronimnya KLIA! SIPA atau ALSIPA - Alsultan Ismail Petra Airport Kota Bharu.
Pengganti Shahril, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin atau Dato Bandar Ahmad
Fuad Ismail jangan pandai-pandai; baiklah mendapat izin daripada Dr. Mahathir
dahulu sebelum bertindak. Selepas Dr. Mahathir jadi Almarhum perlu pula
mendapat izin daripada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan keluarga. Saya tidak
setuju Jalan Ampang dinamakan Jalan Dr. Mahathir, dia berhak menerima
penghormatan yang lebih tinggi lagi seperti Bandar Tun Razak. Saya ada cadangan
untuk yang berkuasa menukarkan nama sebuah kelab malam di Jalan Ampang sempena
dengan nama seorang bekas ahli jemaah menteri!
Saya yakin Dr. Mahathir tidak setuju dengan cadangan yang dibuat. Mahu
bertaruh? Itu pun kalau tidak haram!
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.