Home Cerpen Umum MERDEKA
MERDEKA
Nia Reiya
28/8/2017 18:45:40
1,986
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

      “Kamala.”

      “Ya, cikgu.”

      “Nordin.”

       “Hadir, cikgu.”

       “Ali.”

       “Tak datang cikgu,” kedengaran suara murid menjawab apabila Cikgu Hayati mengambil rekod kedatangan anak muridnya.

       “Nur Husna.”

       “Saya di sini, cikgu.”

        Cikgu Hayati tergelak apabila murid-murid memberikan macam-macam respon bila nama mereka dipanggil. 

       “Kamal.”

        Murid-murid Tahun 4 Melur hanya memandang rakan masing-masing. 

       “Kamal,” panggil Cikgu Hayati untuk kali kedua seraya mengangkat wajah. 

       “Belum masuk lagi cikgu,” jawab Nur Husna lantang. Mereka semua kenal dengan perangai Kamal yang selalu lewat ke sekolah. Walaupun sentiasa lambat tetapi kecemerlangannya amat luar biasa. 

        Dia sentiasa mendapat nombor satu di dalam kelas. Itu yang buatkan semua cikgu hairan dan pelik walaupun bangga dengannya. 

       “Mervin Tan.”

       “Belum masuk lagi cikgu,” teriak mereka serentak. Cikgu Hayati hanya mampu menggeleng. 

       “Mei Mei.”

       “Hadil (hadir), cikgu.”

       “Dev.”

       “Baru sampai cikgu.”

        Kedengaran suara lemah seorang budak India di luar kelas. Cikgu Hayati dan murid-murid di dalam kelas menoleh serentak. 

        Murid-murid mula menjerit dan berkumpul di muka pintu kelas. Manakala Cikgu Hayati melopong dan terkejut. 

       “Astaghfirullah, apa dah jadi ini?” 

        Dev mengunci mulut. 

       “Kamal, Mervin Tan, apa yang terjadi?”

        Mereka bertiga hanya menunduk dan buat tidak tahu. 

       “Kamu bertiga pergi bilik disiplin sekarang jugak!”

        Mereka kecut perut. Suara tegas Cikgu Hayati memenuhi ruang kelas untuk seketika. Semua pelajar juga diarahkan untuk duduk di tempat masing- masing. 

        Dengan langkah longlai Kamal, Dev dan Mervin Tan mengorak langkah untuk berdepan dengan Cikgu Zali pula, seorang guru disiplin yang amat tegas dan garang. 

**********

       “Kamu bertiga ini sehari tak bergaduh tak boleh ke? Setiap hari ada saja masalah yang kamu bawa? Berapa kali dah cikgu tegur kamu bertiga. Kenapa tak nak berbaik?”

Soalan Cikgu Zali buatkan mereka bertiga kaku. Gegendang telinga mereka berdegil tidak mahu dengar ceramah Cikgu Zali. 

        Dev merupakan ikon di sekolah dalam subjek muzik. Minatnya yang amat mendalam buatkan ibu bapanya menghantarnya ke kelas muzik sejak dia berumur empat tahun lagi. Rakan sekelasnya kagum padanya kerana dia yang amat berfasih Bahasa Inggeris. 

        Kamal pula seorang pelajar yang sangat pandai. Walaupun nakal tetapi setiap subjek dia pasti akan dapat markah tertinggi kecuali dalam subjek Bahasa Inggeris. 

        Dan Mervin Tan pula, datang dari keluarga yang mempunyai latar belakang luar biasa dalam bidang lukisan. Sejak kecil lagi dia suka melukis. Warung kopi ayahnya penuh dengan lukisannya sahaja. 

        Walaupun ketiga-tiga mereka ini pandai dan mahir dalam beberapa subjek tetapi kenakalan mereka sering menjadi perbualan cikgu-cikgu di sekolah mereka. Cikgu-cikgu yang mengajar mereka terutamanya Cikgu Zali dan Cikgu Hayati sering pening kepala melihat kenakalan mereka. 

        “Hah, dah kenapa bisu tu? Jawab!” Marah Cikgu Zali seraya menikam muka mereka dengan pandangan tajam. 

        “Dia yang mulakan dulu. Saja nak cari gaduh,” marah Kamal seraya menuding jari ke arah Dev. 

Wajah Dev bertukar menyinga. 

        “Apa yang aku mulakan dulu? Kau tu suka buli. Jangan harap aku biarkan kau buli aku. Kalau kau tahu silat aku tahu taekwondo,” balas Dev dengan mata merah menyala. 

        “Aku pulak taiko. Jangan berani korang nak lawan aku lagi,” tambah Mervin Tan tidak mahu mengalah juga. 

        “Sudah, sudah. Kecil-kecil lagi dah pandai buli kawan sendiri. Apa masalah kamu bertiga ni? Masing-masing nak tunjuk hebat dengan bergaduh macam ini. Depan guru disiplin lagi boleh cakap fasal taiko.” 

         Masing-masing tunduk bawah. Mereka sedar semula yang Cikgu Zali ada di depan mata. Ralit sangat nak menang sebab gaduh punya pasal. 

        “Cikgu tak nak kamu bergaduh lagi. Cikgu nak tahu kenapa datang sekolah dengan poket baju koyak, kasut hitam kena lumpur, rambut tak sikat. Kamal cakap dulu.”

          Arah Cikgu Zali sambil menarik kerusinya ke depan. 

         “Saya tak buat apa-apa pun cikgu. Saya yang kayuh basikal dulu. Lepas tu dia yang potong saya. Nak tunjuk hebat dengan basikal buruk dia,” cerita Kamal seraya menolak bahu Dev. 

         “Hoi, cakap tu baik-baik sikit. Basikal aku RM650 tau. Kalau dah tahu lewat geraklah awal. Nak salahkan aku pulak. Itu jalan raya umum. Semua orang boleh guna,” marah Dev dan tolak bahu Kamal pula. 

          Cikgu Zali menggeleng dan berikan pandangan maut. 

          Dua-dua senyap kemudian. 

         “Habis tu macam mana kamu boleh terlibat sama?”

          Mervin Tan senyap. Dia tahu mereka bakal kena rotan.

         “Mervin Tan!” 

          Tersentak Mervin Tan dengan suara garau Cikgu Zali.

         “Tempat letak basikal saya dicuri cikgu. Saya yang letak dulu lepas tu Kamal tolak basikal saya dan letak dia punya. Takkan saya nak diam. Kalau mereka tahu silat dan taekwondo saya pun pandai wudo jugak cikgu.” 

          Jawab Mervin Tan sambil menjeling Kamal yang berdiri di sebelah kiri Dev. 

         “Aku tak nampak pun nama kau kat situ. Aku letaklah,” bela Kamal. 

         “Diam! Cikgu tak fahamlah dengan kamu bertiga ini. Tiga-tiga pun pandai tapi tak boleh nak tolak-ansur. Benda kecil pun nak gaduh. Umur baru 10 tahun tapi dah pandai buli.

          Tempat letak basikal banyak kat sekolah. Apa yang nak digaduhnya?”

         “Tempat tu tempat biasa saya cikgu. Setiap hari saya memang letak kat situ,” marah Mervin Tan. 

         “Sudah, Mervin Tan. Lepas ni kamu bertiga letak basikal di luar pagar sekolah. Kalau takut dicuri, kunci je. 

          Sekarang salam,” ujar Cikgu Zali. 

         “Cikgu kata salam dan berbaik semula. Cikgu tak nak kamu bertiga gaduh lagi. Dan cikgu tak nak tengok kamu datang bilik disiplin lagi. Faham?” 

Mereka bertiga mengangguk laju dan bersalaman. 

**********

          Waktu rehat sudah tamat. Murid-murid tahun 4, 5 dan 6 mula masuk kelas masing-masing. 

         “Apa yang berlaku dalam bilik disiplin tadi?” Pelajar tahun 4 Melur mula menyibukkan diri. Semua murid mengelilingi meja Kamal. 

         “Kalau nak tahu datang kat sini. Aku boleh cerita,” jerit Mervin Tan dengan mengangkat keningnya atas. 

          Semua murid mula berdiri di meja Mervin Tan pula. 

          Dia perlahankan suara dan bisik sesuatu pada mereka. Kamal menahan marah dan mula bangun dari kerusinya. Dev tergelak sinis. 

         “Hei kau ini…”

         “Ehem,” Cikgu Hayati berdiri di hadapan Kamal dengan bercekak pinggang. 

         “Dia yang sengaja cari pasal cikgu. Biar saya belasah budak kopi O tu.”

          Mervin Tan geram bila dia diejek begitu. 

         “Kau terlebih makan nasi lemak sebab tu badan kau penuh dengan lemak. Datanglah warung aku biar aku tolong sedut lemak kau,” perli Mervin Tan. 

          Dev bisik sesuatu dengan rakan sebelahnya. Dev gelakkan mereka berdua sinis. 

         “Apa masalah kau pulak?”

         “Kamal, Mervin Tan, Dev kamu nak cikgu hantar kamu pergi bilik disiplin lagi ke?”

          Kamal segera duduk di tempatnya dengan hati yang tidak puas. Semua murid sudah senyap. Dev dan Mervin Tan berasa gemuruh. Nak hadap Cikgu Zali memang tak boleh. Silap hari bulan kena rotan. 

          Nasib baik Cikgu Zali lepaskan mereka tadi kalau tidak mesti dah bekas tapak tangan mereka. Siapa yang tidak kenal dengan rotan tebal Cikgu Zali. 

         “Baik, semua markah peperiksaan kamu sudah dikira. Keputusan dalam kelas juga sudah ada. Agaknya siapa yang dapat tempat pertama?”

          Pelajar mula menjerit nama Kamal. 

          Ada yang menjerit nama Dev dan Mervin Tan. Masing-masing menunjukkan rasa jelek dan cemburu. 

          Cikgu Hayati tersenyum. Dia kenal sangat dengan mereka yang punyai persaingan sihat untuk mendapat tempat pertama dalam kelas. 

         “Baik cikgu akan mulakan dengan tempat paling terakhir.” 

          Semua murid mula bersorak. 

         “Nombor 27 ialah Ahmad Akil.” Wajah Ahmad Akil kelihatan murung dan sebak. 

         “Lain kali kamu kena berusaha lebih sikit ye.” Pujuk Cikgu Hayati. 

         “Nombor 26 ialah Kamala.”

          Dan Cikgu Hayati memanggil nama-nama seterusnya. Murid-murid kelihatan sangat teruja menunggu untuk mendengar tiga nama yang belum dipanggil. 

         “Nombor ketiga ialah Dev,” kata Cikgu Hayati dengan senyuman lebar. Ternyata Dev terkejut dan membuat wajah tidak puas hati. 

         “Nombor pertama ialah jeng, jeng, jeng Mervin Tan,” jerit Cikgu Hayati dengan riang. Kawan-kawan yang rapat dengan Mervin Tan juga bersorak dan semua pelajar menepuk tangan. 

         “Tak adillah cikgu. Macam mana dia boleh dapat tempat pertama? Saya yang dapat markah penuh dalam tiga subjek,” luah Kamal tidak puas hati.  

         “Saya tak percaya saya dapat tempat ketiga cikgu. Saya dapat markah penuh dalam Bahasa Inggeris. Mesti ada salah kira,” kini giliran Dev pula muntahkan rasa ketidakpuasan hatinya. 

         “Aku dapat markah penuh dalam empat subjek. Jangn buat-buat lupa. Terima sajalah kau kalah dengan aku,” ejek Mervin Tan sengaja naikkan darah Kamal. 

         “Baru sekali kau dapat tempat pertama dah mula berlagak,” komen Dev. 

         “Saya tak puas hatilah cikgu. Mesti saya kena marah dengan emak dan ayah saya kalau mereka dapat tahu saya dapat tempat kedua.”

         “Saya lagilah cikgu. Saya tak percaya saya dapat tempat ketiga.”

         “Keputusan ini adalah muktamad. Cikgu dah periksa tiga kali dah. Apapun tahniah untuk kamu bertiga. Mari kita mulakan pelajaran hari ini,” tegas Cikgu Hayati sambil mengurut dahinya. 

         “Aku tak puas hati langsung. Siap dia aku kerjakan masa dia balik nanti,” bisik Kamal pada Chan Lek Ka. 

         “Nanti kau tolong aku pancitkan tayar basikal si Kamal tapi bukan hari ini. Berani dia dapat tempat kedua dan berlagak pandai dekat aku,” bisik Dev pada Syukri. Syukri dan Dev kemudian colek ibu jari tanda beres.   

          Pembelajaran mereka terganggu apabila seorang pengawas mengetuk pintu bilik darjah mereka. 

          Usai Cikgu Hayati bincang sesuatu dengan pengawas itu perhatiannya terarah kepada semua murid. 

         “Baik, minggu depan kita akan adakan pertandingan kelab sekolah sebelum menyambut Hari Kebangsaan di sekolah. Oleh itu, mereka mencari seorang pelajar yang boleh mainkan drum.” 

          Ujar Cikgu Hayati dengan segaris senyuman. 

          Dev sudah bangun kerana dia pasti Cikgu Hayati akan panggil namanya. Namun…

         “Kamal, ikut Murni dan sertai kumpulan mereka.”

          Berubah wajah Kamal. Dia tidak berminat langsung untuk main drum.  

         “Cikgu saya nak masuk kelab muzik. Saya suka main drum cikgu.”

         “Awak pergi masuk kumpulan Dikir Barat dekat Dewan Perhimpunan.” Ujar Cikgu Hayati selamba. 

         “Dikir Barat?! Apa pulak cikgu? Saya tak suka…”

         “Dev, pergi sekarang. Kamal ikut Murni, sekarang jugak.”

          Mereka berdua mendecit dan keluar dari kelas. Sempat mereka menolak tubuh masing-masing. Cikgu Hayati menggeleng. 

          Mervin Tan tersenyum sinis. 

          ‘Padan muka,’ kutuknya di dalam hati. 

         “Mervin Tan.” Panggil Cikgu Hayati seolah-olah dapat mendengar kutukannya tadi. 

          Dia tersentak. 

         “Kamu pergi masuk kumpulan tarian zapin dekat padang sekolah.”

         “Ala cikgu, tak nak. Saya tak suka tarian zapin,” komennya sambil mengeluh. 

         “Dah pergi cepat. Mereka dah nak mula buat latihan. Cepat,” gesa Cikgu Hayati sambil menikam matanya tajam. 

          Mervin Tan keluar dari kelas dengan membuat riak wajah murung. 

**********

          Kamal mendapat snare drum. Tanpa mengendahkan arahan guru panitia, Kamal memukul drum tersebut di bawah. 

         “Dangga dakka dangga dakka. Dum dum dum, dim dim dim,” pukulnya sambil membuat rentak muzik Tamil di mulutnya. Kepalanya juga goyang ikut rentaknya. Oleh kerana pukulannya yang kuat, tali yang ada di bawah terputus dan tiada bunyi yang keluar.

         “Jangan sesekali memukul drum di bawah sebab stainer yang ada di bawah unsur terpenting untuk hasilkan bunyi pada drum ini,” arah Cikgu Sofea. 

          Kamal menelan air liur seraya menunjukkan tali drum yang sudah putus. 

         “Kamal,” panggil Cikgu Sofea sambil kancing giginya geram. 

         “Nakal sungguh kamu ni ye. Baru tadi cikgu pesan dah kamu buat masalah. Sini kamu berdiri di sini. Nah, ambil kerincing ni,” panggil Cikgu Sofea lalu berikan alat muzik tesebut pada Kamal. 

Kamal mula mengetuknya ikut rentak lagu yang mereka nyanyikan. Dia rasa tidak cabar mendapat kerincing itu. 

**********

          Ala ewau ewau bule, ewau bule teraju tigo

          Ala ewau ewau bule, ewau bule teraju tigo

          Ala ewau ewau ewau bule, ewau bule teraju tigo…


          Mervin Tan rasa tersasar menari tarian zapin dengan rakan-rakannya yang turut serta. Dia rasa bingung dan keliru dengan setiap langkah tarian yang ditunjukkan. Sesekali dia garu kepalanya yang tidak gatal.

**********

         “Iya, kami bangsa bersatu. Kami menghormati semua kaum di Malaysia, oh!

          Assalamualaikum… Ni haoVanakam!

          Wah, wah, wah, aman damai kami hidup, oh!

          Wah, wah, wah, aman damai kami hidup, oh!


          Dev menggerakkan tangan dan kakinya lemah. Suaranya timbul tenggelam. Kepalanya juga bergerak kiri dan kanan mengintai kawannya di sebelah. 

**********

          Cikgu Hayati mulakan rutinnya dengan mengambil rekod kedatangan murid-muridnya. Usai ambil rekod, Cikgu Hayati memanggil Kamal, Dev dan Mervin Tan ke depan. 

         “Cikgu nak ucapkan tahniah kepada kamu bertiga sebab kamu telah berikan satu persembahan yang baik minggu lalu. Semua cikgu puji kesungguhan kamu,” puji Cikgu Hayati sambil menepuk bahu Mervin Tan. 

         “Saya tak percayalah mereka buat dengan baik. Saya yang terbaik. Kalau tak, tak adanya saya berdiri kat depan masa persembahan hari tu,” bangga Kamal. 

          Dev tersenyum nipis. 

         “Sekadar ketuk kerincing. Baguslah sangat,” perli Dev seraya menunjukkan cara memukul alat muzik kerincing. Semua murid tertawakan Kamal yang sudah geram. 

         “Apa masalah kau?” Marah Kamal seraya menolak bahu Dev. 

         “Kau...”

         “Dev, Kamal, jangan bergaduh. Kamu bertiga sama-sama hebat. Faham?” 

          Mereka senyap. Tetapi main jeling-menjeling. 

         “Dan satu lagi, sebelum kita menyambut Hari Kebangsaan di sekolah cikgu nak kamu semua membuat persembahan di depan kelas dahulu. Cikgu akan pilih persembahan terbaik untuk ditunjukkan pada sambutan Hari Kebangsaan minggu depan. 

          Cikgu dah ada nama kumpulan. Cikgu nak kamu bekerjasama dan bincang dengan ahli kumpulan kamu.”

Ujar Cikgu Hayati satu-persatu. Kedengaran segelintir pelajar gemuruh, ada yang mengeluh dan ada yang bersorak riang. 

         “Dev, Kamal dan Mervin Tan satu kumpulan. Cikgu nak kamu buat persembahan sama-sama.”

          Mereka bertiga terkejut dan memandang wajah Cikgu Hayati serentak. 

         “Tak boleh cikgu. Dia ni berlagak sangat. Saya nak satu kumpulan dengan Nur Husna.” Bagitahu Mervin Tan sambil menuding jari ke arah Dev. 

         “Aku pun tak nak satu kumpulan dengan kau, ewau bule,” ejek Dev selamba. 

         “Saya tak nak dengan dia ni yang tak pandai gerak tangan dan kaki. Bila semua orang naik tangan dia baru nak goyang kaki,” ejek Kamal puas hati.

         “Keputusan cikgu muktamad. Dah pergi duduk dan bincang dengan kumpulan kamu. Cikgu tak nak kamu buang masa. Cepat bincang.” 

          Mereka bertiga tarik kerusi dengan malas. Kumpulan lain sudah rancak bincang dan hanya mereka bertiga sahaja senyap sambil pandang kiri, kanan dan atas. Cikgu Hayati tersenyum kecil walaupun resah melihat riak wajah masing-masing yang tidak mahu mengalah. 

         “Cikgu nak kamu buat persembahan esok jugak. Jadi bincang cepat,” gesa Cikgu Hayati sengaja. Dia geli hati. 

          Mereka tersentak. Suara murid menjadi lebih kuat dan panik. 

         “Aku jadi ketua,” ujar Dev tanpa pandang wajah mereka.  

         “Biar aku yang jadi ketua. Kita buat saja tarian zapin yang aku belajar.” Mervin Tan bersuara. 

          “Huruf nama aku bermula dengan K”. Jadi aku yang patut jadi ketua. Korang main jauh-jauh,” ujar Kamal bangga. Biarpun tak setuju Mervin Tan dan Dev terpaksa mengalah. 

          ‘Biar aku pancitkan tayar basikal kau hari ini. Aku nak tengok macam mana kau datang sekolah esok. Mana pulak si Syukri pergi ni?’ Monolog Dev di dalam hati. 

           Keesokan harinya, murid-murih tahun 4 Melur berdebar untuk membuat persembahan di depan kelas. Semua murid berasa gemuruh dan begitu teruja untuk dipanggil sebagai pemenang.

           Kumpulan pertama Syukri, Azman dan Aminah menyampaikan syair tentang Hari Merdeka. 

           Kumpulan kedua Letchumy, Pi Chiang dan Serina menyanyikan lagu Keranamu Malaysia. 

           Cikgu Hayati tercuit hati melihat kesungguhan mereka dan rasa patriotik terhadap negara Malaysia.  

           Hampir semua kumpulan telah membuat persembahan. 

           Dan kumpulan terakhir...

          “Kamal, Mervin Tan dan Dev,” panggil Cikgu Hayati walaupun dia tahu mereka tidak datang hari ini. 

           Cikgu Hayati mengerling jam tangannya. Dia menghela nafas panjang. Kecewa. 

          “Baik, cikgu akan...” Belum sempat Cikgu Hayati menghabiskan kata-katanya suara murid kedengaran panik. 

           Semua murid berasa cemas lalu menjerit memanggilnya. 

          “Cikgu, cikgu, cikgu.” 

           Cikgu Hayati menoleh ke arah pintu kelas seperti yang ditunjukkan anak muridnya. 

           Cikgu Hayati terkejut dan kelu lidah. 

          “Apa dah jadi ini?” Terjerit Cikgu Hayati dek terkejut. 

          “KAMI ANAK MALAYSIA, CIKGU!” Kedengaran suara Dev, Kamal dan Mervin Tan serentak. Mervin Tan memakai baju melayu, lengkap dengan sampin dan songkok. Kamal berpakaian Jippa (baju seperti kurta, seluar dan selendang) manakala Dev pula berpakaian Changsan. 

           Mereka kemudian masuk ke dalam kelas sambil membantu Kamal. Kakinya tercedera. 

          “Kami MERDEKA, cikgu. MER saya Mervin Tan, DE saya Dev dan KA saya Kamal. Kami MERDEKA! 

           Kami akan sentiasa bersatu. Kami bukan pembuli dan kami bukan mangsa buli. Kami saling menghormati. Kami satu anak bangsa. Kami sehati sejiwa. 

           Kami akan jadi contoh terbaik untuk perpaduan negara kita. Kami tidak akan bergaduh lagi. Persahabatan kami akan kekal sampai bila-bila. 

           MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!”

           Mereka bertiga berikan ucapan serentak dan laungkan Merdeka sebanyak tujuh kali di pengakhiran ucapan mereka. Cikgu Hayati menyeka air mata. Murid-murid bersorak riang.

          “Dev, apa cerita?” Tanya Syukri perlahan. Kononnya dia nak bisik tetapi satu kelas dapat dengar soalannya. Dev memeluk Kamal dan Mervin Tan erat.  

          “Mereka adalah musuh saya. Tapi bila saya cedera semalam, mereka yang datang tolong. Dev mengaku memang dia nak pancitkan tayar basikal saya tapi saya cedera disebabkan tali basikal terputus. 

           Dev yang bawa saya balik rumah dengan basikal dia yang berharga RM650. Mervin Tan bawa pembalut dan minyak ke rumah saya. 

           Kawan-kawan saya memang hebat, cikgu.”

           Cerita Kamal apa yang terjadi semalam semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. 

          “Tapi macam mana kamu boleh hafal ucapan tadi?” Musykil Cikgu Hayati. 

           Mereka bertiga tersenyum lebar. 

          “Perghh, kaw kaw punya kopilah cikgu. Lepas minum kopi O Mervin Tan terus kami berjaga sampai ke pagi.” 

Jawab Kamal. 

          “Cikgu, perut kami macam lapar pulak. Masa nak rehat dah ni. Mak Kamal ada bekalkan nasi lemak untuk semua orang. Kalau cikgu izinkan kita boleh makan sekarang,” pinta Dev sambil mengusap perutnya. 

          “Cikgu bangga dengan kamu bertiga. Jangan lupa buat latihan untuk sambutan Hari Kebangsaan minggu depan.” Cikgu Hayati sudah menemui pemenang hari ini. 

           Semua murid sudah sedia untuk isi perut mereka. Dan Kamal pula berdiri di hadapan kelas.  

          “Sebelum kita makan, marilah kita sama-sama menghargai pengorbanan dan berterima kasih kepada Bapa Kemerdekaan negara kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah kerana berjaya mendapatkan kebebasan untuk negara kita, Malaysia. 

           Sama-sama kita melaungkan Merdeka.”

           Kata Kamal penuh bersemangat dan semua murid mula melaungkan… 

           “MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!” 


TAMAT



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nia Reiya