Mak Ngah Fauziah memulakan
nyanyiannya sebaik saja semua alatan selesai dipasang oleh pembantunya. Pak
Ngah Ya pula mula memeriksa mikrofon. Kedua-dua orang suami isteri ini cacat
penglihatan sejak kecil. Mereka dijodohkan dan kini sudah mempunyai dua orang
anak perempuan yang normal. Kedua orang anak mereka sudah menjawat jawatan
besar di sebuah syarikat kerajaan.
Sebenarnya mereka bukanlah orang
miskin tapi kerana sudah terbiasa mencari makan dengan menyanyi di rumah-rumah
kenduri dan di pasaraya atau kaki-kaki lima kedai, mereka menjadikan pekerjaan
ini sebagai hobi hari tua mereka.
Suara merdu Mak Ngah Fauziah dan Pak
Ngah Ya selalu menarik minat orang ramai. Kalau pergi menghadiri jemputan untuk
menyanyi di rumah kenduri, kedua-duanya berpakaian cantik sekali. Tapi, hari
ini keduanya sedang menyanyi di kaki lima deretan kedai, mereka hanya
mengenakan pakaian lusuh.
Dari jauh seorang wanita yang
kelihatan begitu anggun menghampiri pasangan suami isteri ini. Laju langkahnya
dan wajahnya kelihatan sangat bengis.
‘’Pak cik, Mak cik...jangan mengemis di
depan kedai saya, boleh tak? Menyemakkan pandangan saja,’’ suaranya yang garang
menyentap tangkai hati mak ngah Fauziah dan Pak ngah Ya. Lidah kedua-duanya
terus terkelu. Kejadian ini disaksikan oleh Pak Mahat yang membaiki kasut
berhampiran mereka. Pak Mahat mengelengkan kepalanya apabila dia mendengar
percakapan pemilik baru kedai pakaian itu.
‘’Mak cik dan pak cik dah lama
menyanyi di sini,’’ mak ngah Fauziah berkata perlahan. Kalau mereka dihalau
sekarang, ke mana mereka harus pergi? Pembantu mereka sudah pulang sebaik
menolong mereka memasang alatan yang diperlukan.
‘’Ah, saya tak kira. Saya tak sukalah
ada orang nak ambil kesempatan mengemis depan kedai saya ni.’’ Wanita anggun
itu bersuara lagi.
‘’Puan Sue, Mak ngah dengan pak ngah
memang dah lama menyanyi di sini. Dulu bos lama kami yang izinkan. Tak apalah
puan, lagi pun mereka bukan menganggu pekerjaan kita pun. Mereka pun macam kita
juga, nak cari makan.’’ Yati pembantu kedai pakaian keluar dan memberitahu bos
barunya yang telah mengambil alih kedai pakaian tersebut.
‘’Eh..kau tahu apa? Ini kedai aku. Kau
nak kena pecat ke? Memandai-mandai saja. Ramai lagi orang di luar sana yang nak
kerja kau ni!’’ Puan Suriani yang dipanggil Puan Sue oleh pekerja-pekerja
barunya bersuara angkuh. Matanya dibeliakkan pada Yati. Tertunduk Yati melihat
wajah bengis bosnya itu.
‘’Tak apalah Yati, Mak ngah telefon
Mamat saja, suruh dia datang ambil kami di sini. Bumi Allah ni luas Yati. Lagi pun
rezeki kami di tangan Allah. Bukan di tangan manusia,’’ Mak ngah bersuara lagi
sambil meraba-raba isi di dalam begnya. Pak Ngah Ya hanya diam membisu.
Bila mak ngah Fauziah menjumpai apa
yang dicari. Dia mula meraba-raba pula punat-punat di telefon bimbitnya. Dengan
mahirnya mak ngah menekan nombor satu yang bermaksud panggilan pantas yang
telah disetkan oleh anak sulungnya. Nombor satu untuk memanggil Mamat pembantu
peribadi mereka. Nombor dua untuk memanggil anak sulungnya. Nombor tiga untuk
memanggil anak ke-2 mereka dan nombor empat untuk membuat panggilan kecemasan
saja.
‘’Hello Mat, datang ambil mak ngah
dengan pak ngah. Kami kena ubah tempatlah Mat.’’ Sebaik panggilannya dijawab,
mak ngah terus bersuara. Yati memandang sayu pasangan tersebut. Puan Suriani
pula mendengus kasar dan bergegas masuk ke dalam kedainya.
‘’Yati! Jangan nak curi tulang pula.’’
lantang suara Puan Suriani menyergah Yati yang masih berdiri kaku di depan mak
ngah dan pak ngah. Yati menoleh pantas ke arah Puan Suriani yang berhenti di
depan pintu masuk kedainya. Yati terus meloloskan dirinya dan hilang di dalam kedai.
‘’Huh! Nak raih simpati akulah tu.’’ Puan
Suriani berkata penuh angkuh pada mak ngah yang sedang bercakap dengan Mamat di
talian. Suara mak ngah yang lembut dan penuh sifat keibuan itu disalah ertikan
oleh Puan Suriani.
‘’Esok saya tak mahu tengok lagi pak cik
dan mak cik mengemis di sini. Faham?’’ sebelum masuk ke dalam kedai, mak ngah
dan pak ngah diberi amaran. Mak ngah hanya mengeluh perlahan bila pak ngah
mengapai tangannya dan mengusap perlahan. Hanya isyarat itu saja yang mampu pak
ngah beri untuk menenangkan hati isterinya yang tersayang.
‘’Tak apalah...mungkin dah sampai
masanya kita berehat di rumah dan mencari redha Allah pula. Kita bukannya akan
muflis kalau tak menyanyi di sini.’’ Pak ngah berkata perlahan dengan niat
untuk memujuk mak ngah.
‘’Hidup kita di dunia ni memang macam
ni dah la Pak Ya, Fauziah. Manusia ni selalu memandang hina kita yang bekerja
biasa-biasa ni, sedangkan di sisi Allah tiada apa yang membezakan kita. Hanya
amalan yang kita bawa ke sana esok, yang akan membezakan kita dengan orang lain.’’
Pak Mahat yang hanya memerhati saja dari tadi datang menghampiri mak ngah dan
pak ngah. Pak Mahat menepuk perlahan bahu pak ngah Ya. Simpati dia kepada
pasangan suami dan isteri itu yang baru lepas diherdik.
Tak Kenang Budi
Haji Kamarul melangkah tenang keluar
dari rumahnya. Seminggu yang lalu Haji Kamarul yang sudah lama pencen telah
mewakafkan tanah miliknya untuk didirikan sebuah masjid dan juga untuk
dijadikan tanah perkuburan. Bila anak-anaknya tahu tentang tanah yang telah
diwakafkan itu Haji Kamarul telah dihalau sehelai sepinggang dari rumahnya.
Rumah pusaka dua tingkat yang telah diwarisinya sejak turun temurun kini
terpaksa ditinggalkan untuk anak sulungnya.
Bagi Haji Kamarul semua yang berlaku
adalah ujian yang Allah turunkan untuk dirinya dan anak-anaknya. Hari ini dia
hanya kehilangan harta dunia. Dia tak pernah kesal dengan kehilangan harta. Apa
yang dikesalkan bila anak-anak kandungnya sendiri yang telah menghalaunya
kerana tamakkan harta. Dunia ini hanyalah sementara sedangkan dunia Akhirat
itulah yang kekal abadi. Ramai manusia yang mengejar kemewahan dunia, termasuk
anak-anak Haji Kamarul.
Haji Kamarul menghayun langkahnya
perlahan-lahan. Kudratnya sudah semakin kurang, apatah lagi umurnya pun sudah
memasuki usia emas. Dalam melangkahkan kakinya Haji Kamarul berfikir akan nasib
dirinya selepas ini. Dia percaya Allah Maha Mengetahui dan nasibnya sedang
berada di tangan Allah. Haji Kamarul yakin dan pasti dia takkan merempat di jalanan
walaupun sekarang dia sendiri sedang kehilangan tempat untuk berlindung.
Ya Allah, aku serahkan nasibku kepadaMu.
Kalau inilah takdirMu dan ujian dariMu bantulah aku agar aku sentiasa menjadi
hambaMu yang Redha dengan ketentuanMu. Berikanlah aku tempat berlindung
daripada hujan dan panas. Temukan aku dengan hambaMu yang mempunyai sifat
kemanusian dan mempunyai hati yang suci.
Haji Kamarul berdoa di dalam hati
sambil kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan. Sayup-sayup dari kejauhan
terdengar laungan azan. Spontan bibir Haji Kamarul merekah dengan senyuman.
Alhamdulillah, Allah sedang memanggil aku untuk menuju ke rumahNYA. Langkah
kakinya dipercepatkan. Tak sabar rasanya untuk sujud dan bertemu dengan Allah.
Rindunya dia kepada Allah Yang Satu. Hanya kepada Allah tempat dia mengadu.
Masih Ada Yang Sayang
Usai solat Haji Kamarul bertafakur
lama di atas sejadah. Banyak permintaan yang ingin dipohonkannya kepada Allah. Bila
berada di rumah Allah ini hati Haji Kamarul menjadi tenang. Dia bersyukur
kerana Allah masih memelihara imannya hingga ke hari ini.
Mamat yang sedang memerhatikan gelagat
Haji Kamarul sejak tadi menunggu Haji Kamarul selesai berdoa dengan sabar. Haji
Kamarul adalah jiran sebelah rumahnya. Dia kenal Haji Kamarul yang baik hati
itu. Haji Kamarul yang kaya harta dan juga kaya budi bahasa. Siapa tak kenal
dengan Haji Kamarul yang mempunyai berbidang tanah di dalam kampung mereka.
Tapi sayangnya, tanah-tanah Haji Kamarul sudah dijual oleh anak-anaknya sedikit
demi sedikit.
‘’Pak Haji, dah makan ke belum ni? Saya
perasan sejak Pak Haji keluar dari rumah tadi, Pak haji tak balik pun lagi,’’
Mamat bertanya Haji Kamarul setelah dilihatnya Haji Kamarul menyapu muka dan
mula beralih dari tikar sejadah.
‘’Rezeki setiap manusia ni datangnya
daripada Allah. In Sha Allah ada rezeki takkan lari ke mana,’’ dengan tenang
Haji Kamarul menjawab. Sejak dihalau keluar dari rumahnya tadi memang dia belum
makan lagi. Pagi tadi pun dia hanya dijamu dengan sebiji roti dan secawan kopi
O oleh menantu sulungnya.
‘’Kalau macam tu, jomlah kita makan
di warung depan tu. Saya pun belum makan tengahari lagi ni. Kebetulan Midah
balik rumah orang tua dia dah seminggu dah. Tak ada orang rumah, tak berasaplah
dapur kami tu,’’ Mamat berkata sambil ketawa. Dicapainya tangan Haji Kamarul
supaya bangun dan mengikutnya. Haji Kamarul mengangkat tangan dan mengaminkan
sesuatu. Sesungguhnya rezeki itu pemberian Allah. Hatta ulat dalam batu pun
mampu hidup. Inilah pula manusia yang bernyawa dan diberi akal oleh Allah.
Nota : Kita semua adalah hambaNYA. Jangan dihina, jangan dicerca. Kami juga manusia biasa.