“Ish, kamu ni Maryam, selalu sahaja sibuk. Jarang lekat kat
bilik. Orang lain pun pelajar juga, tapi taklah macam kamu ni. Dah macam
Perdana Menteri aku tengok. Silap-silap Perdana Menteri pun tak macam kamu tau.”
Leter Salina tatkala melihat Maryam masuk ke bilik setelah hampir tiga hari
tidak pulang.
Maryam hanya tersenyum mendengar luahan hati sahabat
biliknya dari tahun pertama sehinggalah sudah menginjak ke tahun akhir semenjak
mereka belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tercinta ini.
Sahabatnya itu seorang pelajar yang bijak. Selalu sahaja skor anugerah dekan
saban semester. Siapa tidak kenal Salina Afifah Mohsen. Namanya tidak asing di
kalangan para pensyarah dan pelajar sains politik lainnya.
“Salina, maafkanlah aku jarang di bilik. Aku ada komitmen
luar akademik yang harus diijalankan sebaiknya.” Maryam mendekati Salina yang
sedang duduk di compartmentB bilik
C.4.3 Mahalah Hafsa.
“Komitmen apanya Maryam sampai jarang-jarang kita dapat
menghabiskan waktu bersama. Dapat jumpa pun dekat kelas, tapi itupun
cepat-cepat kamu pergi sebab ada kelas subjek minor. Lepas tu kamu menghilang
entah kemana perginya.” Luah Salina lagi.
Maryam senyum. Maryam kemudiannya duduk di hujung birai
katil Salina sambil menghadapnya yang sedang menelaah pelajaran di meja studi.
“Salina, hujung minggu ni kamu lapang?” Tanya Maryam
ringkas. Salina menoleh dan memandang Maryam dengan muka berkerut. Kenapa
Maryam, nak bawa aku pergi jalan-jalan ke? Salina mengenyitkan mata kepada
Maryam.
“Ya, tapi jalan-jalan yang ini lain sikit dan aku tak dapat
pastikan samaada kamu suka atau tidak. Tapi aku akan pastikan kamu akan ada
paradigma berbeza tentang apa itu gelaran mahasiswa. Lapang tak minggu ni? ” Tanya
Maryam sekali lagi untuk tahu jawapan persetujuan kawan baiknya itu.
Salina mengerutkan dahi. Jari
telunjuk menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. “Hmm, macam menarik. Tidak
pernah kamu ajak keluar bersama, tapi kali ini, buat pertama kalinya kamu mempelawa
untuk aku ikut. Pelik bin ajaib ni. Aku akan ikut, tapi, untuk lakukan anjakan
paradigma tu, we’ll wait and see.”Senyum
Salina dengan anggukan tanda persetujuan.
***
Pagi Sabtu itu, Maryam dan
Salina solat subuh berjemaah. Maryam menjadi imamah kepada Salina. Selepas wirid, Maryam membaca doa dengan
suara sedikit perlahan, tetapi didengari jelas di cuping pendengaran Salina.
Kali ini, Maryam berdoa khusus
untuk sahabatnya.
“ Bismillahir-rohman-ir-rahim…
Ya Allah, di pagi sabtu yang
hening ini…
Kami memohon keampunan di atas
kesalahan dan kelalaian kami samada kami sedar ataupun tidak. Ampunilah dosa
kedua ibu bapa kami, keluarga kami, para pendidik kami, para sahabat kami dan
seluruh kaum muslimin dan muslimat yang hidup mahupun yang telah mendahului
kami menuju kepada-Mu.
Kami juga menyatakan rasa syukur
Ya Allah kerana diberi peluang untuk menghirup udara sebagai nafas kami
meneruskan kehidupan di bumi penuh pancaroba ini.
Ya Rabb,
Sesungguhnya, kami bersyukur
kerana dihidupkan sebagai Muslim..
Peliharalah iman kami hingga
akhir hayat kehidupan kami di dunia ini..
Golongkanlah kami dalam golongan
yang diredhoi..
Ya Rabb,
Aku juga bersyukur dikurniakan
sahabat seperti Salina,
Mengambil berat tentangku walau
aku tidak punya masa untuknya,
Kau kasihilah dia, berkatilah
perjalanan hidupnya,
Semoga suatu hari nanti, kawan
baikku ini menjadi permata berharga kebanggan kami, yang berbakti untuk
membangunkan umat.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”
Doa Maryam dengan sendu yang
halus.
Salina mengaminkan doa yang
dibacakan oleh Maryam. Hatinya terharu, air matanya mengalir kerana Maryam
mendoakannya.
Usai solat, mereka berpelukan.
“Terima kasih Salina, menjadi
sahabat saya yang tidak jemu mengambil berat tentangku.” Bisik Maryam.
***
‘Wah, aku rasa tak sabar nak
tahu kemana kamu nak bawa aku hari ini.” Laung Salina sambal bersiap-siap dalam
bilik kecilnya.
“Jom! Kita pergi. Kita akan naik
bas Metro 12 ke Chow Kit Road.” Ucap
Maryam sambal tersenyum riang kerana dapat membawa Salina keluar dari biliknya
untuk lakukan aktiviti yang berbeza selain hanya bergelumang dengan buku-buku
dan nota pelajaran.
Mereka berdua menaiki bas tepat
jam 10 pagi. Pagi sebegitu, seperti biasa bas dipenuhi dengan pelajar-pelajar
UIA yang keluar hujung minggu mencari hiburan masing-masing. Setelah hampir 30
minit, mereka sampai ke destinasi yang dituju.
“Kita akan kemana ni Maryam?”
Tanya Salina setelah turun dari bas di Jalan Chow Kit.
“Jom. Kita melintas. Tempat aku
nak bawa ni depan sana tu.”Tunjuk Maryam sambil mereka berpimpinan melintas
jalan yang mulai sesak.
***
Chow Kit adalah tempat yang
sibuk kerana menjadi tumpuan warga kota di Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menjadi
tarikan kerana terdapat pasar basah harian terbesar di seluruh Wilayah Kuala
Lumpur selain pasar malamnya yang
dikenali sebagai Bundle Chow Kitdi
sepanjang Lorong Haji Taib yang menjual pelbagai barangan dan aksesori.
Ironinya, Chow Kit ini menjadi tumpuan warga Indonesia selain komuniti kecil
warga Afrika.
***
“Inilah tempatnya.” Cetus Maryam
di hadapan sebuah banggunan usang dua tingkat sebaris lot-lot kedai
bersebelahannya.
“ Tempat apa ni Maryam” Takut
pula aku sambil menggengam erat tangan Maryam.
“Janganlah takut, tempat ini
adalah rumah perlindungan bagi kanak-kanak jalanan. Kasihan mereka.” Terang Maryam
menenangkan Salina yang kelihatan sedikit gusar.
Maryam dan Salina bersalaman
dengan pengurus rumah perlindungan tersebut, Puan Hidayah. Mereka beramah-mesra
sebelum melakukan pelbagai aktiviti dengan sejumlah kanak-kanak malang yang
ditempatkan di rumah tersebut.
Pada mulanya, Salina kelihatan
kekok tetapi akhirnya beliau seronok melayan keletah anak-anak kecil berusia
sekitar satu tahun hingga 12 tahun. Kanak-kanak juga ketawa riang dengan
pelbagai aktiviti seperti bacaan buku cerita dan nyanyian.
“Itu Amin berusia setahun.
Dialah penghuni paling muda di rumah ini. Dia ditemui bersama ayah dan abangnya
yang baru lapan tahun setelah tinggal dibawah jambatan selama hampir sebulan.
Dia dihantar kesini kerana ayahnya sedang menjalani pemulihan dari najis dadah.
Ibunya pula sudah meninggal dunia. Ayah mereka membawa keluar dari kampung, dan
sanak-keluarga tidak mempedulikan mereka kerana ayahnya adalah penagih tegar.
Amin juga istimewa kerana dia tidak seperti kanak-kanak lain. Dia disahkan sebagai
‘sindrom down’. Kasihan anak syurga
ini.” Terang Maryam kepada Salina dengan air mata bertakung menunggu masa untuk
tumpah.
Salina juga kelihatan sedih dan
memahami rasa yang dirasai oleh teman baiknya Maryam. Beliau memangku anak
kecil malang itu lalu mencium dahinya.
“Tugas kita sebagai mahasiswa
sebenarnya adalah sebuah amanah yang besar. Jika kita telusuri sejarah,
mahasiswa adalah jurubicara masyarakat yang sangat disegani. Pada awal 1970-an,
mahasiswa menjadi pendokong paling hadapan dalam membela masyarakat marhaen
terdiri daripada petani, nelayan, penoreh getah dan lain-lain. Mahasiswa ketika
itu sangat disegani kerana aura mahasiswa yang dibawanya.” Maryam memulakan bicaranya tentang mahasiswa.
Salina mendengarnya dengan
khusyuk sekali. Itulah kali pertama dia mendengar ayat ‘mahasiswa adalah
jurubicara masyarakat. Beliau sangat tertarik untuk mendengar huraian Maryam
lagi. Sesekali dia mencium pipi Amin yang terlena dipangkuannya selepas meminum
susu botol. Kebetulan, itu adalah waktu rehat bagi anak-anak di rumah
perlindungan tersebut.
“ Tetapi itu dulu. Mahasiswa
hari ini dipandang sebagai tiada fungsi kepada masyarakat. Mahasiswa hari ini
merasakan apabila sudah menjejakkan kaki ke menara gading, mereka perlu
disanjung dan dipuja. Habiskan waktu ke kelas, kemudian balik hostel makan dan
buat hal sendiri. Bila ada waktu terluang, pergi berjalan-jalan ‘window shopping’ atau apa sahaja
aktiviti untuk kepuasan sendiri.” Sambung Maryam lagi.
Salina mengangguk tanda setuju
dengan Maryam kerana itulah realiti kebanyakkan mahasiswa hari ini.
“Benar tu Maryam. Aku tak pernah
terfikir tentang itu sebelum ini peranan mahasiswa kepada masyarakat. Pada aku,
bila masuk sahaja universiti, maka aku harus belajar, belajar dan belajar untuk
mencapai keputusan cemerlang. Akhirnya, dengan keputusan yang cemerlang itu,
aku akan senang dapat kerja dan mencapai impian sendiri tanpa meletakkan
kepentingan masyarakat dan umat dalam impian aku itu.” Terang Salina dengan
sedikit kesal.
“Tak mengapa Salina, belum
terlewat lagi untuk kamu lakukan anjakan paradigma tentang peranan sebagai
mahasiswa. Aku bawa kamu ke sini dengan niat yang murni. Aku mahu tunjukkan
kamu realiti masyarakat yang sangat memerlukan orang-orang bijak seperti kamu
dalam memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik. Sayang jika manusia
sebijakmu tidak dimanfaatkan untuk umat. Aku sendiri mengagumimu kerana
kecerdikanmu dalam pelajaran. Tapi, aku dan umat akan lebih berbangga, jika
sahabat aku ini menjadi jurubicara masyarakat untuk menjadikan bangsa, agama
dan negara yang lebih baik.” Bersungguh-sungguh Maryam meyakinkan Salina.
Salina tersenyum dalam rasa
terharu sambil memandang wajah-wajah polos anak-anak kecil yang semuanya sedang
lena tidur selepas penat beraktiviti.
Mereka menghabiskan masa lebih
kurang enam jam di rumah perlindungan anak-anak jalanan sebelum singgah di
Pasar Malam Chow Kit yang terkenal itu. Selepas itu, barulah mereka pulang ke
Taman Ilmu dan Budi yang sinonim dengan UIAM.
***
Di Majlis Konvokesyen Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia ke-25, Salina Afifah binti Mohsen telah dinobatkan
sebagai Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan telah dilantik untuk memberikan
ucapan mewakili seluruh 3,300 mahasiwa pada Konvokesyen tahun itu.
“To all my fellow friends here in this convocation hall, I humbly ask
you to be actively involving in nation building to bring triple IICE
(Integration; Islamization; Internationalization; and Comprehensive Excellence)
nationwide.
We’re IIUMans must aim to become a leading role player to bring Muslim
Ummah at the greatest position…..
Sebelum menghabiskan ucapannya,
Salina mengambil kesempatan mendedikasikan puisi tradisional Melayu ini kepada
semua mahasiswa yang bergraduat.
***
“Apa tanda si anak jantan?
Matinya
di tengah gelanggang
Tidurnya
di puncak gelombang
Makannya
di tebing panjang
Langkahnya
menghentam bumi
Lenggangnya
mengipas semak
Tangisnya
terbang ke langit
Esaknya
di telan bumi
Yang tak
kenal (kan) air mata
Yang tak
kenal (kan) tunduk kulai…
Itulah
bicara akhir penutup kata di hadapan para pensyarah, graduan dan ibu bapa yang
berada di dalam dewan CAC.
Tepukan
gemuruh menggamatkan suasana dewan selepas tamat ucapan dan Salina mengambil
tempat duduknya semula.
Maryam
Jameelah tersenyum bangga melihat Salina berada di atas pentas.
“Aku
bangga denganmu sahabatku.” Bisiknya dalam hati.
***
(Selepas
lima tahun)
Maryam
sedang membaca berita secara online
sebelum ke kelas bertemu pelajar-pelajarnya untuk subjek Pengenalan Sains
Politik. Kini beliau menjawat jawatan pensyarah muda di Pusat Asasi UIAM dan
sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah Sains Politik Pengurusan Awam di Universiti
Malaya.
Tiba-tiba,
pandangannya tertarik kepada tajuk berita “MUJAHIDAH MALAYSIA DI GAZA”.
Maryam menekan pautan baca
seterusnya untuk membaca laporan berita tersebut dengan lebih lanjut. Hatinya
sungguh tertarik apabila melihat imej yang dipaparkan sangat dekat dengan
hatinya.
“Salina Afifah Mohsen, 28 tahun
merupakan rakyat kelahiran Malaysia yang mengambil keputusan untuk berkhidmat
di Kem Perlindungan rakyat Gaza selepas perang meletus sejak beberapa tahun
dahulu. Beliau yang merupakan Eksekutif sepenuh masa Mercy Malaysia merasakan
tiba masanya untuk beliau kembali berbakti kepada umat…..”
“Wah, Salina Afifah. Saya bangga
dengan kamu.” Bisik hatinya. Rupanya disini kamu setelah empat tahun lebih
menghilang tanpa khabar berita.
Maryam terharu. Bergenang air
matanya melihat wajah kawan baiknya di akhbar tersebut.
“Kamu pasti menjadi kebanggaan
umat Islam dan rakyat Malaysia!” Bicara hati Maryam.
-Tamat-