Home Cerpen Keluarga AKU ANAK PENEROKA FELDA
AKU ANAK PENEROKA FELDA
3/6/2015 16:20:01
3,495
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

AKU ANAK PENEROKA FELDA

Aku bersiap-siap selepas sarapan pagi di suatu hari untuk mengikut ayah ke ladang kelapa sawit. Hari itu aku berasa teruja untuk ikut bagi melihat dan merasai sendiri rutin ayah sebagai peneroka Felda. Ayah menaiki motosikal jenis Honda lama yang seringkali juga semput kerana sudah ‘uzur’.

Bahagian ladang ayah berada di hujung peringkat 2 Felda Ulu Belitong dan terdapat sebatang anak sungai buat ayah mengisi masa untuk rehat. Setiap kali ayah menarik jatuh buah sawit menggunakan sabit panjang berbatangkan buluh, aku akan bersedia juga untuk mengutip biji-biji sawit yang berselerak di kawasan berhampiran. Sungguh, kulihat keringat yang mengalir keluar di dahi ayah sebagai titisan berlian yang sangat berharga bagi kami sekeluarga. Kami pulang setelah matahari telah terik di atas kepala kami.

Itu pengalaman lebih kurang 20 tahun yang lalu. Hari ini aku bangga menjadi anak peneroka Felda. Membesar dengan hasil sawit yang turun naik, mengajar aku erti untuk tidak putus asa dalam meneroka kehidupan mendatang.

“Belajar rajin-rajin supaya tidak hidup susah macam ayah dan emak,” pesan emak pada suatu hari sebelum ke sekolah. Emak dilahirkan setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan dan hanya mendapat pendidikan sehingga darjah enam.

“Cakap dengan cikgu, bayaran yuran tangguh lagi bulan ini.” Ayah memberitahu dalam nada yang sayu. Jelas terpancar dari riak wajah ayah kegusaran hatinya kerana tidak cukup wang untuk membiayai pendidikan kami 10 beradik ketika itu.

Aku senyap. Sebagai anak peneroka, aku faham keperitan mencari sesuap nasi apatah lagi untuk mendapat pendidikan yang berbayar. Jika ada rombongan, pasti aku senyap kerana aku tahu tahap kewangan keluarga. Maka aku hanya mendengar sahaja kawan-kawan bercerita perasaan seronok mereka dapat mengikuti rombongan.

Di sekolah, para guru sudah maklum tentang kami beberapa beradik yang selalu bertangguh yuran bulanan persekolahan. Tapi, mereka tidak memaksa kami, kerana sudah faham kondisi kewangan kami sekeluarga. Apatah lagi, kami selalu mencapai keputusan yang baik setiap kali peperiksaan. Ini cukup bagi mereka memberi ihsan kepada kami meneruskan persekolahan.

Ayah melakukan pelbagai kerja sambilan lain seperti operator kilang dan pengawal keselamatan bagi membiayai makan pakai kami sekeluarga. Emak turut bekerja kilang bagi membantu ayah mencukupkan keperluan.

“Suatu hari aku akan berjaya dan buat emak ayah berbangga denganku.” Bisik hatiku di suatu malam ketika melihat kelibat ayah yang menyambut emak pulang pada jam 2 pagi selepas habis syif malam.

Keputusan SPM dumumkan dan aku mendapat keputusan yang memuaskan dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Emak dan ayah gembira lalu membelanja ‘burger’ yang ketika itu pun kukira mahal. Tapi itu cukup memberi memori yang kukuh tersemat dalam sanubari.

Aku bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Kulai sementara menunggu panggilan UPU. Upahnya kuguna untuk menampung perbelanjaan melanjutkan pelajaran dan memberi sedikit kepada emak ayah. Aku puas.

Setelah berjuang selama beberapa tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, aku berjaya menamatkan pengajian dengan kedudukan yang baik. Aku melakukan pelbagai kerja seperti pengasuh di taska dan sukarelawan di Rumah Perlindungan Wanita Islam sebelum menjadi pendidik di sebuah kolej swasta di Port Dickson dan membina kehidupan bekeluarga di sini.

“ Orang kampung pernah buat rombongan ke Port Dickson, tapi baru hari ini ada kesempatan tengok pantai di sekitar Port Dickson. Dulu-dulu nak ikut tak ada duit” Jelas ayah ketika adikku bawa emak ayah jalan-jalan di Port Dickson.

Terima kasih ayah dan emak berhempas pulas membesarkan kami, meredah hujan, mengikat perut bagi melunaskan kewajipan terbaik sebagai seorang ibubapa. Kamulah hero kami sekeluarga sehingga anak-anakmu berjaya melakar kehidupan yang terbaik.

Kesusahan yang dilalui oleh kalian tidak memusnahkan impian anak-anak untuk mendapat pendidikan dunia dan akhirat. Hasil keberkatan titik peluh kalian, kami membesar menjadi manusia.

“Ayah jangan susah hati lagi. Insya-Allah ayah sudah berjaya menjadi ayah terbaik. Semua anak-anak ayah dah berjaya masuk universiti dan sekolah tahfiz. Kami dapat menunaikan impian ayah menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Kami akan selalu mendoakan ayah. Insya-Allah.” Kata kakakku menenangkan ayah yang jatuh sakit. Aku pandang sepi. Kelihatan kuat, tapi sakitnya dada menahan sebak.

Kini, ayah telah pergi ke pangkuan Ilahi meninggalkan harta ‘anak-anaknya’ yang pasti mendoakan kesejahteraan ayah di sana. Insya-Allah. Aku bangga menjadi anak peneroka Felda kerana melaluinya aku kenal erti ketabahan, kepercayaan, kekeluargaan dan kepentingan pendidikan walaupun miskin.


P/S: Al-Fatihah kepada Almarhum Mohd Tap bin Hason.

       Peneroka Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.