Home Cerpen Travelog Beijing, Wo Ai Ni - sebuah travelog cinta
Beijing, Wo Ai Ni - sebuah travelog cinta
A. Darwisy
24/9/2013 01:46:59
3,756
Kategori: Cerpen
Genre: Travelog

Kameranya terus membidik. Apa saja yang menambat perhatiannya, lensanya terus ditujukan ke arah sasaran. Terkadang bunyi yang terhasil dari bidikan-bidikan itu ibarat komposisi merdu yang menyatu dengan hembusan angin yang bertiup mengalunkan lagu. Arif terlarut dalam pesona indera yang menyentuh seni jiwanya. Andai kata, angin itu berjisim dan punya bentuk, nescaya tidak dilepaskannya peluang bagi mengabadikan setiap momen-momen indah itu ke dalam bingkis-bingkis peribadinya.

Berjeda Arif barang seketika. Menikmati sepuas-puasnya panorama yang tiada cacat celanya. Lantas hujung lidahnya memuji-muji nama Allah. Terukir senyuman di wajahnya, senyuman seorang hamba yang begitu mendambakan cinta Tuhannya. Benarlah, Allah itu ada di mana-mana. Hatta di bumi Beijing, di mana jasad tubuhnya berada sekarang.

“Dia adalah Maha Pencipta langit dan bumi...” Arif berbicara halus dengan angin, memetik dari surah al-An’aam ayat 101. Dia menyakini, datangnya ke sini bukan semata-mata sebuah percutian tetapi lebih dari itu. Ibarat satu perjalanan mencari pengisian diri dan di Masjid Niujie, dia berehat mencari ketenangan hakiki.

Masjid Niujie di bumi Bejing itu dilihatnya seperti sebuah taman terpelihara yang sungguh tinggi nilai artistiknya. Seni bina masjid tertua yang letaknya di daerah Xuanwu itu cukup menggamit hati sang pencinta fotografi. Arif yang tidak lepas dengan kameranya sejurus usai mendirikan solat Asar secara berjemaah dengan penduduk tempatan tadi, tidak melepaskan peluang membidik segenap sudut yang dirasakannya menarik di pandangan mata. Lensanya diarahkan ke sana ke mari dan berhenti pada satu objek pegun yang menyandar di batang pohon hijau merimbun. Tidak jauh dari tempatnya berdiri.

“Eh, sweet!” Arif mengatur derap langkahnya, menghampiri sebuah basikal yang pada pandangan orang lain, barangkali biasa-biasa saja. Tetapi, tidak padanya. Basikal itu seakan punya kekuatan semawi, memanggil-manggilnya untuk datang mendekati. Jiwa seni anak muda itu menyeruak. Jari-jemari mulai menari. Punat kamera ditekan tidak henti-henti. Bagaikan objek tidak bernyawa itu, satu sensasi.

Asyik Arif melunasi obsesinya sendiri, sepasang mata sedang memerhatinya dengan kerutan di dahi. Pemilik sepasang mata itu berdeham-deham dari belakang. Sengaja mahu mengganggu konsentrasi lelaki itu yang terus larut dalam dunianya.

“Assalammualaikum,”

Lembut sapaan salam kesejahteraan berkandung kerahmatan itu menyinggah ke indera pendengaran Arif. Berkalih spontan lelaki itu ke belakang dengan jari telunjuknya masih melekat di butang kamera. Secara tidak sengaja, butang itu ditekan sekaligus menebarkan cahaya bidikan.

“Ya Allah, maaf... maaf...” Kelam-kabut Arif tidak semena-mena. Dia terperanjat sebenarnya. Serta-merta, dia berasa ralat. Dia dapat mengagak, pasti sekali orang di hadapannya itu adalah pemilik basikal yang menjadi fokus lensanya sejak tadi. Sudahlah tidak meminta izin terlebih dahulu, kemudian boleh pula membega-begakan kedudukan basikal itu supaya tampak cantik dalam skrin kamera. Arif menyalahkan diri sendiri.

“Assalammualaikum...” sekali lagi empunya suara tadi mengucapkan salam. Kali ini, barulah salam itu berjawab. Arif memasang muka kalut.

“Waalaikumusalam. Err... I’m sorry for what I did just now. Actually, I’m only taking pictures of your bicycle...” Arif tertahan-tahan percakapannya. Yalah, manalah tahu tuan punya basikal itu memarahinya tidak pasal-pasal. Lebih baik dia yang menghulur maaf dan berkata jujur.

“Tak apa. Tapi... apa yang menarik sangat dengan basikal tua saya ni?” Empunya suara itu bertanya dan di hujungnya, dia tertawa. Arif bingung hendak menjawab. Tetapi dalam masa yang sama, dia terkejut mendengar gadis manis bermata kecil di hadapannya itu begitu fasih berbahasa Melayu. Gadis Beijing berbahasa ibunda Malaysia? Wah! Arif tersenyum lebar dan terselit perasaan bangga.

“Basikal ini ada aura. Macam air kosong dalam sebuah gelas jernih, bila dipasangkan dengan lagu, maka zarahnya bergetar. Itulah aura yang saya nampak...” Arif berhujah sedikit berbunga falsafah, tetapi sekali lagi disambut dengan tawa oleh gadis di depannya itu. Ketawa yang halus dan kedengaran ikhlas bunyinya.

“Basikal saya ni ada aura? Saudara, jangan merepeklah. Saya yang mengayuhnya setiap hari. Sampai mahu tercabut kepala lutut ni dibuatnya. Agaknya, kalau basikal ni boleh bersuara, mesti dia sudah menyumpah macam-macam. Haha.” Gadis manis itu membalas hujah dalam canda. Arif terhibur mendengar ketawa gadis itu yang cukup membahagiakan.

‘Barangkali, aura basikal ini terletak pada pengayuhnya iaitu... kamu,’ Arif menjawab sekadar dalam hati. Ah, itu sekadar bisik-bisik nakal hatinya. Dia bukan lelaki yang suka berkata-kata manis. Adabnya dengan bukan mahram cukup terpelihara. Gadis manis bermata kecil itu masih tersenyum-senyum. Barangkali berasa lucu memikirkan basikal yang diwarisi turun-temurun sejak dari datuknya itu dianggap punya aura oleh lelaki berkamera tersebut. Arif berdiri seperti patung, membiarkan gadis itu mencapai basikalnya dan beredar pergi meninggalkan perkarangan Masjid Niujie yang bersejarah itu.

***

“Jumpa, cu?”

“Alhamdulilah. Jumpa tok. Dalam masjid...”

“Atuk sudah nyanyuk agaknya...”

“Lupa tu fitrah seorang manusialah, tok.”

Zainab mengunjukkan tongkat milik datuknya yang tertinggal di masjid. Orang tua itu menyambutnya dengan senyuman melebar. Meski sudah berusia 80 tahun tetapi datuk Zainab itu masih berkudrat untuk mendirikan sembahyang lima waktunya secara berjemaah. Masih boleh berkayuh basikal saban hari. Zainab yang tinggal bersama datuknya semenjak kematian ibu dan ayahnya akibat kemalangan jalan raya lima tahun yang lepas, tidak mampu hendak melarang. Risau juga dia akan keselamatan orang tua itu pergi dan balik dari masjid tetapi hendak tidak hendak, hanya kepada Allah, dia berserah.

Dalam setiap sujudnya mengabdikan diri pada As-Sami’, tidak pernah terabai doanya biar sekali, memohon supaya diberikan kesihatan yang berpanjangan untuk datuknya. Zainab tidak pernah lupa. Pergantungannya hanya kepada Allah. Zainab tidak punya siapa-siapa lagi di bumi Beijing ini. Bahkan hanya dengan datuknya sajalah, dia boleh bersembang dalam bahasa Melayu. Datuk Zainab bukan sembarangan orang, dia merupakan tokoh akademik yang pernah mengajar di Pusat Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Komuniti muslim di Beijing memanggil datuk Zainab dengan gelaran Tuan Haji Lok. Lok merupakan nama ketika dia belum melafaz dua kalimah syahadah, yang membawa maksud kegembiraan. Setelah memeluk Islam, sewaktu itu usianya 40 tahun, nama Luqman dipilih. Tidak jauh bezanya dari segi sebutan. Zainab bersyukur kerana dia dilahirkan dalam keluarga Islam meski masih mengekalkan budaya dan identiti masyarakat China dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Agama tidak memisahkannya untuk menjadi diri sendiri selagi tidak melanggar syariat.

“Zainab sudah baca sampai mana buku tempoh hari?” tanya Tuan Haji Lok kepada cucu kesayangannya. Sekadar bersantai, mengisi waktu petang dengan sembang-sembang manfaat. Sambil, teh daun hijau yang masih suam-suam hangatnya terhidang buat pembasah tekak.

“Makan masa untuk habiskan bacaan, tok. Bukunya berjilid-jilid. But so far... hmm... part of me wants to feel proudtapi...”

“Tapi?” Tuan Haji Lok mengangkat kening. Dia seakan dapat membaca akan apa yang mahu diucapkan cucunya itu. Kerana dia juga merasakan sebegitu.

“Tapi sebahagian yang lain, Zainab rasa Joseph Needham tidak berlaku adil dalam buku yang ditulisnya tu. Seakan-akan Islam tidak menyumbang apa-apa dalam perkembangan ketamadunan China. Bukankah Islam yang pertama sekali mempelopori banyak cabang ilmu tapi satu pun tidak dinyatakan. Peliklah.” Zainab menzahirkan rasa tidak selesanya tentang buku yang dibacanya, berjudul Science and Civilisation in China.

Tuan Haji Lok cuma tersenyum, tidak memberi sebarang respon. Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun meninggalkan bidang akademik, orang tua itu masih giat membaca buku-buku ilmiah. Tuan Haji Lok sentiasa memberi keseimbangan dalam minatnya terhadap ilmu. Baginya, tidak ilmuwan seseorang itu selagi mana ilmu agama tidak didalami. Dan Zainab mengikut jejak langkahnya. Gadis manis bermata kecil itu merupakan pelajar tahun akhir kejuruteraan di Universiti Peking. Zainab juga adalah qariah yang mewakili negara China dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur setahun yang lalu.

Kenangan manisnya berada di Malaysia, biarpun cuma beberapa hari, tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Zainab mengharap akan adanya kunjungan kali kedua dirinya ke sana. Dalam terkenang-kenang saat-saat indah itu, terlintas satu bayangan wajah di benaknya. Wajah jernih seorang pemuda. Zainab menguntum senyum serta-merta.

***

“Arif, sudah-sudahlah dengan kamera kau tu. Letih aku tengok kau ke hulu ke hilir dengan tripod kau tu tau!” Oceh Idham, sahabat baik Arif yang turut sama mengikuti percutiannya ke bumi Beijing itu. Idham, usianya tua beberapa tahun dari Arif. Tetapi ulahnya, kebudak-budakan. Arif membuat muka. Muka mahu dikasi penampar. Arif gelak kemudiannya.

“Haha. Bertenanglah Id. Mak abah aku tak bising pun.” Respon Arif selamba. Asalnya, Arif bercuti ke Beijing bersama-sama orang tuanya saja. Tetapi sudah ditakdirkan, Idham yang berpergian keseorangan atas urusan peribadi, boleh pula berselisih bahu dengan sahabatnya itu di lapangan terbang. Alang-alang Idham sudah mengenali keluarga Arif, kedua-dua orang tua sahabatnya itu meminta dirinya untuk menjadi peneman. Sementelahan, Idham bukan sekali dua menjejakkan kaki ke bumi Beijing. Pemuda itu sudah biasa dengan selok-belok jalan di bandar raya China kedua terbesar selepas Shanghai itu.

“Memanglah tak bising sebab mak abah kau yang suruh aku ikut kau ke mana aje kau pergi. Dah dua hari kut, balik-balik Masjid Niujie ni juga yang kau pergi. Tak cukup sekali. Macamlah tak ada tempat menarik yang lain boleh pergi dekat Beijing ni. Huh.” Idham membebel tidak puas hati tetapi disambut lagi dengan gelak ketawa Arif.

“Masjid Niujie ni ada aura. Orang jiwa tak berseni macam kau, mana tahu? Haha.”

“Banyaklah aura kau!” Idham malas hendak berlawan hujah lagi dengan sahabatnya itu. Dia menjauhi Arif yang leka membelek-belek gambar-gambar bidikan di dalam kameranya. Langsung, Idham merapati peniaga jalanan yang menjual topi, tidak jauh dari kawasan masjid itu. Satu demi satu topi yang bermacam-macam warna, dipandangnya tanpa menaruh minat untuk membeli.

Puas barangan jualan itu diperhati, Idham melayangkan pandang ke arah seberang jalan. Matanya memicing. Kelibat yang sedang berbasikal itu seperti dikenalinya. Idham cuba mengecam, khuatir pula tersalah orang. Sudah cukup pasti, Idham melambai-lambaikan tangan sambil melaung sepotong nama. Idham tersenyum, kelihatan gembira sekali.

“Zhen-zhen!”

“Abang Id?”

Gadis bernama Zhen-zhen itu mengayuh basikalnya perlahan, menghampiri Idham yang menyeringai. Dua teman yang sudah sejak sekian lama tidak bertemu itu, bertentang mata dalam suasana masing-masing tidak menyangka.

“Abang Id buat apa terdampar dekat sini?”

“Terdampar? Ingat abang Id, ikan paus apa? Bercutilah Zhen-zhen...”

“Hehe. Saja usik abang Id. Yalah, orang banyak duit. Bercuti aje kerja dia. Eh, abang Id ada kelapangan, jemputlah datang ke rumah. Nanti Zhen-zhen buatkan nailaokacang merah kesukaan abang.” Zhen-zhen yang fasih berbahasa Melayu, ikhlas mempelawa. Nailao merupakan sejenis puding pencuci mulut yang mana bahan asasnya adalah keju dan susu.

Zhen-zhen mengenali Idham sudah lama. Bermula dari program pertukaran budaya ketika dia di tahun pertama bergelar siswi, kemudian berjumpa pula di sebuah persidangan antarabangsa hubungan diplomatik Malaysia-China yang melibatkan pelajar-pelajar universiti dan beberapa lagi susulan pertemuan di Kuala Lumpur lebih setahun yang lalu. Mereka kerap bertukar cerita menerusi e-mel. Hubungan rapat yang dianggap seperti hubungan abang dengan adik. Tetapi tidak pada Idham. Idham mengagumi Zhen-zhen dalam senyap.

“Okey, kalau macam tu... petang nanti abang singgah rumah. Abang bawa sekali kawan. Boleh?” Idham meminta izin terlebih dulu. Yalah, budi bicara tuan rumah perlu dihormati.

“Boleh aje.” Zhen-zhen mengangguk sambil tersenyum manis. Beberapa ketika kemudian, gadis itu mengayuh basikalnya, hilang dari pandangan mata Idham yang tidak berkedip-kedip. Angau pula lelaki seorang ini sehingga tidak menyedari Arif yang menyergah dari belakang.

“Hoi! Berangan apa tu? Haha!” Arif ketawa lepas melihat Idham tersengih-sengih seorang diri.

“Ish, kau ni. Kacau daun betullah! Ha, dah selesai sesi fotografi kau? Urat-urat kayu dekat pintu masjid, semut-semut menjalar dekat pokok, dah habis kau tangkap semua?” Perli Idham sengaja menggiat.

“Amboi, bergurau lebih nampak! Aku sebenarnya... haih...” Arif mengeluh halus. Terkandung kecewa keluhnya. Idham berkerut dahi. Tidak dapat menangkap maksud.

“Kau ni dah kenapa?”

“Aku tunggu sumber inspirasi aku... tapi tak datang...”

Sekali lagi Arif menzahirkan rasa terkilannya. Tetapi dia tidak berputus asa. Esok, dia akan ke Masjid Niujie sekali lagi!

***

“Kau nak bawa aku ke mana ni, Id?” Arif bertanya jujur apabila Idham menyuruhnya bersiap-siap dan mengikutnya ke satu tempat.

“Kau kan suka tangkap-tangkap gambar. Jadi, aku nak bawa kau ke rumah seorang kenalan aku. Rumah dia berseni bina tradisional, dalamnya pun penuh dengan barang-barang antik. Kau mesti suka punya.” Idham memancing minat Arif yang mulai tersenyum lebar.

Sebaik sampai di halaman rumah Zhen-zhen, Idham melaung salam. Arif sedikit terpinga. Muslim rupanya tuan punya rumah ini, desis hati Arif. Kehadiran mereka berdua disambut seorang lelaki yang sudah lanjut usia tetapi masih tampak sihat dan kuat.

“Kamu apa khabar Id? Masuklah... masuklah...” Orang tua itu bertanya khabar lalu meraikan tetamunya masuk ke dalam. Zhen-zhen yang sedang berada di dapur, menyiapkan puding nailao, menyusup ke dalam biliknya mengenakan skaf di kepala. Hijab aurat memang Zhen-zhen tidak pernah abaikan. Dia tidak mahu mengundang kemurkaan Allah. Sementara mahu kembali ke dapur semula, Zhen-zhen mencuri-curi dengar, Idham yang rancak berborak.

“Saya sebenarnya sekarang ni sedang mencuba-cuba menyiapkan sebuah skrip drama. Dan saya memilih Beijing sebagai latar cerita. Sebab tu, saya datang ke sini untuk meninjau lokasi-lokasi menarik.” Idham bercerita, sekadar memenuhi pertanyaan orang tua di hadapannya itu. Arif yang duduk di sebelah, sekali lagi berasa kagum bila mana melihat orang tua itu begitu hebat berbahasa. Terlintas di fikiran akan bait-bait laksamana Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang di dunia’. Buktinya, di bumi Beijing, bahasa Melayu berkembang mekar.

“Oh, kawan kamu ni pula? Jurugambar?” Beralih pertanyaan orang tua itu kepada Arif pula. Merujuk pada kamera yang tersandang di bahunya.

“Eh, tak. Saya sebenarnya sedang bercuti di sini. Fotografi ni, memang salah satu minat saya. Saya dengan kamera, tak boleh berpisah...” jawab Arif jujur. Tidak mahu ucapnya kedengaran terlalu berbunga. Orang tua itu terangguk-angguk. Menepuk-nepuk lembut bahu kedua-dua anak muda berkenaan.

“Baguslah kalian berdua berjiwa seni. Orang yang halus jiwanya ini, insyaAllah lebih memandang kehidupan dengan pandangan matahati. Setiap yang Allah jadikan, bukanlah sia-sia. Termasuklah kejadian kita sebagai manusia, hamba-Nya. Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku. Firman Allah dalam surah Az-Zaariyat ayat 56.” Lembut orang tua itu berpesan sambil menitip nasihat berguna.

“Zhen-zhen...” Sepotong nama dipanggil orang tua itu. Zhen-zhen yang manis dan bermata kecil itu keluar ke ruang tamu sambil menatang hidangan petang berupa sepinggan kuih cakoi, seteko teh daun hijau berserta cawan dan tiga mangkuk bersaiz sederhana berisi puding nailao.

“Jemputlah makan atuk, abang Id, err...” Zhen-zhen tergamam barang seketika apabila matanya tertumpu pada Arif. Mereka sama-sama terkesima. Pandangan kedua-duanya bertaut. Lama. Sehingga Idham berdeham keras, barulah Arif berpijak di bumi nyata.

“Kalian saling mengenali?” Idham bertanya spontan. Ada nada cemburu yang terkawal di situ.

“Dia ni kawan abang Id ke?” Zhen-zhen tergelak kecil. Arif turut sama tertawa. Lapang dan bahagia. Bingkis-bingkis semalam, menjentik rasa serasi.

***

“Dah lama kau kenal Zhen-zhen, Id?” Arif melanjutkan tanya sejurus mereka pulang dari rumah gadis manis bermata kecil itu. Perubahan sikap Idham tidak disedari Arif. Idham banyak berdiam lebih-lebih lagi melihat mudahnya Zhen-zhen menerima Arif seperti sudah berkawan lama. Ada saja yang dibualkan mereka di rumah tadi diselang-seli dengan gelak dan tawa. Apatah lagi melihat betapa terujanya Zhen-zhen mencuba-cuba kamera Arif sambil ditunjuk ajar oleh sahabatnya sendiri. Idham mulai rasa tercabar.

“Hanya aku aje yang layak panggil dia dengan nama tu,”

“Maksud kau, dia ada nama lain?” Arif yang masih tidak dapat mengesan riak cemburu sahabat baiknya itu, terus menyoal. Idham merengus kasar.

“Zainab.” Sepatah Idham menjawab.

Arif mengukir riak senang. Kameranya dihidupkan lalu membelek satu per satu imej pegun yang dibidik di rumah Zhen-zhen atau Zainab itu. Salah satu dari gambar-gambar yang tersimpan itu, ada satu yang benar-benar berharga. Gambar kandid Zainab sewaktu pertemuan pertama mereka semalam di Masjid Niujie. Zainab yang tetap kelihatan manis meski dalam keadaan tidak bersedia gara-gara jarinya tertekan butang bidik pada kamera.

“Kenapa kau panggil Zainab dengan nama Zhen-zhen, Id?” Arif mahu tahu. Idham tidak mahu berselindung lagi. Dari hati dibelenggu dengan perasaan yang tidak baik terhadap sahabat baik sendiri, biarlah dia berterus-terang.

“Zhen membawa makna ‘berharga’. Dan Zainab... cukup berharga dalam hidup aku, Rif.”

Arif terkedu. Barulah sekarang dia faham akan tingkah dingin yang dipamerkan Idham sedari tadi. Angin dibiarkan bercakap-cakap, dan dua sahabat itu terus mendiamkan diri.

***

Arif sekali lagi menjejakkan kaki di Masjid Niujie, di hari terakhir dia berada di bumi Beijing. Esok, Arif akan kembali ke tanahair bersama-sama orang tuanya. Datangnya Arif ke masjid itu kali ini, bersendirian. Idham tidak mengikut sekali. Ukhuwah fillah yang baik di antara mereka, seakan ada bisik-bisik jahat yang merenggangkannya.

Entahlah... Arif menyesali. Dia tidak meminta pun persahabatannya dengan Idham bergolak sebegini. Dan sebabnya hanya semata-mata seorang perempuan. Berdoa dia dalam sujudnya, mengharap hubungan di atas nama Allah sesama mereka ini, akan bertaut kembali. Arif menitikkan airmata.

“Hari terakhir di bumi Beijing...?” sapa Tuan Haji Lok, datuk kepada Zainab yang sudah menyimpan untaian tasbihnya dalam poket depan jubah yang disarungnya. Lelaki tua itu memang suka mengisi masanya yang berbaki itu dengan ibadah-ibadah sunat.

“Ye, tok...” Lemah saja Arif membalas.

“Hidup ini, Arif... seperti satu binaan. Batu-batanya adalah iman dan takwa. Berkawanlah dengan sesiapapun, bahkan bercintalah... Allah tidak pernah melarang semua itu. Ia fitrah. Tapi sebelum tu... Arif mesti kuatkan struktur binaan insaniah dalam diri terlebih dulu. Barulah tidak terumbang-ambing... Berdoalah, berhajat dengan Allah.” Tuan Haji Lok memujuk. Seolah-olah orang tua itu dapat membaca akan apa yang bergalau di hati anak muda tersebut. Arif terangguk-angguk dan menarik nafas dalam-dalam. Doa dipanjatkan.

Sementara itu, Tuan Haji Lok melangkah keluar, menuju ke muka pintu masjid. Zainab sudah menunggu dengan basikalnya. Berkali-kali orang tua itu memesan supaya tidak perlu menghantar dan menjemputnya pergi dan balik dari masjid tetapi gadis manis bermata kecil itu tetap berdegil. Zainab tidak kisah memboncengkan datuknya menaiki basikal. Kata Zainab, barulah nampak comel. Tuan Haji Lok hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan tersenyum melayan ulah cucunya itu. Hakikatnya dia tahu, Zainab ingin bertemu Arif di situ.

“Arif ada di dalam...” Tuan Haji Lok bercakap lembut. Zainab malu. Tidak menyangka helahnya ketahuan.

“Boleh, tok?” Akhirnya Zainab mengakui lalu meminta izin.

“Pergilah. Atuk ada memerhati...” Tuan Haji Lok membenarkan. Zainab menunggu batang tubuh Arif keluar dari pintu masjid. Beberapa ketika kemudian, dua mata itu bertentangan antara satu sama lain.

“Assalammualaikum, Arif.”

“Waalaikumusalam, Zainab.”

Masa berhenti sejenak. Dan tiba-tiba, sepasang rama-rama saling kejar-mengejar mengisi latar momen kosong itu. Baik Arif mahupun Zainab, terleka melihat kecantikan makhluk kecil ciptaan Tuhan itu.

“Maafkan saya sebab keterlebihan saya dalam bergurau-senda, menyebabkan semua ini terjadi. Maaf, saya sepatutnya menjaga hijab pergaulan di atas kunjungan awak dan Abang Id kelmarin. Maafkan saya sekali lagi.”

Arif terkedu. Huluran kemaafan yang diucapkan Zainab benar-benar membuatkan dirinya tidak mampu untuk melanjutkan kata. Zainab tertunduk. Dia bermuhasabah. Gadis manis bermata kecil itu merasakan dialah punca kepada persengketaan Arif dan Idham. Sedangkan pada hakikatnya, dia hanya meraikan sebuah persahabatan. Barangkali, baik Arif mahupun Idham sudah tersalah-sangka. Meraikan bukan bermakna dia mahu menautkan sebuah hubungan yang lebih daripada itu. Zainab benar-benar menyesali.

“Bukan salah awak...” Arif menzahirkan kekesalan.

“Arif... Jujur saya bercakap dari lubuk hati paling dalam... terpandang akan wajah awak membuatkan saya terkhilaf seketika. Khilaf akan prinsip teguh yang saya pegang selama ini. Saya lupa pada perjuangan cinta Rabiatul Adawiyah. Saya mahu meraih cinta Allah terlebih dulu. Saya mahu jadi muslimah yang beriman.”

Airmata mengalir di pipi Zainab, dan sebelum dia beredar mendapatkan datuknya yang tidak jauh dari situ, gadis manis bermata kecil itu mengucapkan kata-kata selamat tinggal.

“Meski roboh Tembok Besar China itu, imanku sekali-kali tidak akan roboh. Semoga Allah melindungi perjalanan awak pulang ke Malaysia. Assalammualaikum, Arif...”

Zainab meminggir. Suasana di perkarangan Masjid Niujie seakan berkongsi sepi. Arif menerima dengan reda. Benarlah, percutiannya ke Beijing mengajarnya satu lagi perkara baru dalam merintis hidup sebagai seorang khalifah. Khalifah cinta yang sebetulnya. Berbisik Arif dengan angin, ‘Beijing, wo ai ni...’

TAMAT

<iframe width="560" height="315" src="//www.youtube.com/embed/N4VExuAGQ9M" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.